lightning-solid
Berita :

Artikel "Pendidikan" Terkini

TrenglishxCommunity Tawar Program Bahasa Inggeris Percuma
TrenglishxCommunity Tawar Program Bahasa Inggeris Percuma
KUALA TERENGGANU, 21 Jun – Program bahasa Inggeris ‘TrenglishxCommunity’ (TxC) kini membuka pendaftaran bagi sesi bulan Julai hingga Ogos dengan menawarkan pelbagai aktiviti pembelajaran menarik secara percuma. Penolong Pengurus TxC, Muhammad Najib Ahmad berkata, acara atas talian itu menawarkan suasana pembelajaran secara tidak formal dan menyeronokkan bagi mengalakkan penggunaan serta penguasaan Bahasa Inggeris dalam komunti negeri ini. “Ia juga berperanan sebagai penambahbaikan dan sokongan kepada pembelajaran sedia ada di sekolah, namun begitu, terdapat juga kelas buat pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan kumpulan masyarakat lain. “Ada sepuluh aktiviti #TxCr2 termasuk Fun English Class For All (FECFA) dan Songs to Soul yang ditawarkan secara percuma, manakala hanya dua aktiviti iaitu Better in Speaking (BESPEAK) dan Enrich Your English (EYE) mengenakan bayaran yuran minimum iaitu RM10," katanya ketika dihubungi UPDI. Sementara itu, Pengurus Program TxC, Cik Ani Aiza Ashaari memaklumkan, pihaknya juga mengalu-alukan kerjasama dalam menganjurkan aktiviti TxC seperti aktiviti English : The Next Level untuk pelajar sekolah yang dianjurkan dengan kerjasama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belia Manir, Mohd Shaheer Ibrahim serta aktiviti My Hub English yang menyasarkan pelajar Maahad Tahfiz terpilih. “Dengan tenaga 50 pembantu guru Bahasa Inggeris (T-HELP), sasaran penyertaan program selama dua bulan ini adalah seramai 250 orang, kekangan COVID-19 bukan penghalang dalam membangunkan keyakinan diri dalam ‘speaking’. “Dengan pelaksanaannya juga, diharap dapat meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan membangunkan keupayaan berbahasa inggeris, jadi penyertaan seluruh warga Terengganu amat dialukan,” katanya lagi. Sebelum ini, program TRENGLISH di bawah kelolaan Yayasan Terengganu (YT) dengan slogan ‘I am from Terengganu, and I speak English’ itu sebelumnya telah berjaya melaksanakan Sembilan aktiviti dalam fasa pertama program TxC pada Mac-April lalu dengan penyertaan daripada pelajar sekolah sehingga golongan warga emas. Untuk maklumat lebih lanjut tentang pendaftaran program TxC fasa dua, boleh layari Facebook, Instagram dan Youtube rasmi TxC di @TrenglishCommunity atau ke laman pautan Senarai Aktiviti #TxCR2.
22 Jun 21
569
Cara Semak Keputusan SPM Esok
Cara Semak Keputusan SPM Esok
KUALA TERENGGANU, 6 Jun - Keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi tahun 2020 akan diumumkan pada Khamis depan mulai jam 10.00 pagi. Kementerian Pendidikan Malaysia dalam satu kenyataan berkata calon sekolah dan persendirian boleh membuat semakan keputusan melalui beberapa kaedah. Katanya, ia merangkumi semakan secara dalam talian talian di pautan http://myresult1.moe.gov.my/ atau http://myresult2.moe.gov.my/ untuk mendapatkan keputusan penuh. "Calon juga boleh buat semakan menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) untuk mendapatkan ringkasan keputusan SPM 2020 dengan menaip SPM[jarak]NoKP[jarak]AngkaGiliran dan hantar ke 68886. "Perkhidmatan ini akan diaktifkan mulai jam 10 pagi pada Khamis depan sehingga jam 6 petang, 17 Jun ini. "Bagi calon sekolah yang tidak mempunyai capaian internet, pihak sekolah akan mengenal pasti calon berkenaan dan memaklumkan kaedah yang sesuai untuk mendapatkan keputusan peperiksaan," ujarnya. Bagi calon persendirian yang tidak mempunyai capaian internet, KPM berkata, Jabatan Pendidikan Negeri atau Pejabat Pendidikan Daerah akan mengenal pasti individu berkenaan dan memaklumkan kaedah sesuai untuk mendapatkan keputusan peperiksaan. Terdahulu, seramai 401,105 calon sekolah yang menduduki SPM 2020, mulai 22 Februari lalu, melakar sejarah tersendiri apabila peperiksaan itu diadakan dalam keadaan norma baharu, berikutan penularan jangkitan COVID-19 di samping mengikuti sesi kelas SPM tahunan terpanjang, iaitu hampir 14 bulan,     
06 Jun 21
263
16 Kes Positif, UniSZA Tutup 14 Hari
16 Kes Positif, UniSZA Tutup 14 Hari
KUALA TERENGGANU, 18 Mei - Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) kampus Gong Badak di Kuala Nerus ditutup selama 14 hari berikutan 16 kes positif Covid-19 yang dikesan di institusi itu. Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus berkata arahan penutupan tersebut dibuat mengikut Seksyen 18 (1)(d) Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342). "Arahan itu bagi memberi laluan kepada kerja-kerja sanitasi bagi mengelak perebakan  penyakit berjangkit dan mengesan kontak rapat kepada semua kes positif tersebut," katanya dalam satu kenyataan hari ini. Justeru itu, Nor Azimi berkata, sekiranya ada kakitangan atau mana-mana individu datang dari zon merah, penilaian risiko mesti dibuat dan mereka yang mempunyai gejala sepatutnya tidak dibenarkan memasuki kampus. "Pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan sangat penting. "Oleh semua kakitangan, pelajar kampus tersebut dan pelajar yang telah pulang ke kampung agar sentiasa mematuhi dan segera menjalani ujian kesihatan sekiranya mengalami sebarang gejala," ujarnya.  
18 May 21
2580
Terengganu Beri Anugerah Khas Pelajar Ketujuh Terbaik Dunia
Terengganu Beri Anugerah Khas Pelajar Ketujuh Terbaik Dunia
Dengan hanya berbekal telefon mudah alih bagi mengikuti pembelajaran atas talian sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kejayaan Nurul Fatin Nabihah Hamdan, 25, mendapat tempat pertama di kalangan pelajar Malaysia dan ketujuh peringkat antarabangsa dalam peperiksaan Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) merupakan sesuatu yang amat luar biasa.
06 May 21
65
Modul Itqan Insani Medium Pembangunan Sahsiah Rakyat
Modul Itqan Insani Medium Pembangunan Sahsiah Rakyat
Pembangunan modul Itqan Insani menjadi usaha terbaru Kerajaan Terengganu dalam melengkapkan proses pendidikan, pentarbiahan dan pembangunan modal insan yang mencakupi pelbagai segmen masyarakat rakyat di negeri ini.
06 May 21
259
Terengganu Beri Anugerah Khas Pelajar Ketujuh Terbaik Dunia
Terengganu Beri Anugerah Khas Pelajar Ketujuh Terbaik Dunia
KUALA TERENGGANU, 3 Mei - Dengan hanya berbekal telefon mudah alih bagi mengikuti pembelajaran atas talian sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kejayaan Nurul Fatin Nabihah Hamdan, 25, mendapat tempat pertama di kalangan pelajar Malaysia dan ketujuh peringkat antarabangsa dalam peperiksaan Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) merupakan sesuatu yang amat luar biasa.  Fatin Nabihah telah menerima penganugerahan daripada ACCA apabila berjaya mendapat markah tertinggi iaitu 88 bagi memperoleh kedudukan pertama di Malaysia dan ketujuh dunia untuk kertas Strategic Business Report (SBR) selain turut berjaya lulus di dalam satu lagi kertas yang diambilnya iaitu Advanced Taxation (ATX). Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyifatkan, pencapaian yang diperoleh tersebut sangat membanggakan semua pihak terutamanya kerajaan negeri serta turut menyifatkan ia jarang diperolehi anak Melayu khususnya anak Terengganu. “Tahniah saya ucapkan kepada Fatin Nabihah yang berusaha keras untuk mendapat kejayaan seumpama ini. Sudah tentu semua pihak merasa sangat bangga dengan kemampuan beliau mengharumkan nama Malaysia di peringkat dunia. “Apa jua cara yang kerajaan negeri boleh bantu, kita akan usahakan sebaik mungkin untuk masa hadapannya. Kita akan berusaha memberi galakan daripada sudut kewangan, memberi panduan dalam dunia pekerjaan dan sebagainya,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Penyampaian Anugerah Khas Pelajar Terbaik Dalam Subjek SBR Peperiksaan Mac 2021 Peringkat Kebangsaan Dan Antarabangsa di sini hari ini. Hadir sama dalam majlis berkenaan, ibu Fatin Nabihah, Noriah Ahmad, 46, Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat dan Pengarah Yayasan Terengganu, Dato’ Mohd Azmi Mohamad Daham. Atas pencapaian tersebut, kerajaan negeri memberikan penghargaan berupa wang tunai sebanyak RM3,000 dan sijil penghargaan kepada Fatin Nabihah dalam majlis kali ini. Beliau masih perlu menduduki dua lagi kertas di peringkat Strategic Professional sebelum dijangka menamatkan pengajian ACCA pada bulan September nanti. Sementara itu, menurut Fatin Nabihah, beliau sama sekali tidak menyangka mendapat tempat dalam ranking tertinggi SBR serta penghargaan dan pengiktirafan sebegitu besar daripada semua pihak. “Saya sangat terkejut sewaktu terima keputusan, saya cuma doa untuk lulus peperiksaan dan tak pernah target setinggi itu. Alhamdulillah sangat bersyukur dengan kejayaan yang Allah kurniakan, lebih dari apa yang saya perlukan. “Terima kasih kepada kerajaan negeri dan semua pihak yang terlibat. Atas pengharapan semua orang, saya akan berusaha memberi balik kepada masyarakat insya-Allah,” jelasnya. Pelajar  INTEC Education College (INTEC) di bawah seliaan Malaysia Professional Accountancy Centre (MyPAC) itu antara 92,000 calon di seluruh dunia yang menduduki peperiksaan tersebut baru-baru ini. Anak sulung daripada empat beradik itu dibesarkan oleh ibunya dan ayah tiri, Mustape Che W Abdullah, 68, sebaik kematian ayah kandung ketika berumur 11 tahun akibat sakit jantung. “Berkat doa dan dorongan ibu supaya terus berusaha mencapai kejayaan demi kejayaan, akhirnya saya diumumkan pelajar terbaik Malaysia bagi peperiksaan SBR," katanya yang ketika ini menerima tajaan Yayasan Sime Darby. Fatin Nabihah turut berkongsi petua untuk mudah faham, sentiasa tenang dan ingat apa yang dipelajari, antaranya memulakan ulangkaji pelajaran seawal 4.00 pagi hingga 6.00 pagi. “Sebelum ulangkaji buat solat sunat dan baca al-Quran, lepas itu amalkan sedekah waktu subuh dan seterusnya solat Dhuha,” katanya.  
03 May 21
1122
Tablet Percuma Rapatkan Jurang Digital Pelajar Terengganu
Tablet Percuma Rapatkan Jurang Digital Pelajar Terengganu
KEMAMAN, 4 Mei - Usaha pemberian tablet percuma kepada rakyat negeri Terengganu diharapkan dapat membantu merapatkan lagi jurang digital di kalangan pelajar-pelajar sekolah. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Ab.Razak Ibrahim mengucapkan terima kasih di atas keprihatinan kerajaan negeri dalam menjaga kebajikan rakyat khususnya di kawasannya.  "Saya mengucapkan terima kasih kepada anak syarikat negeri Terengganu antaranya Terengganu Inc Sdn Bhd, Epic Berhad, Syarikat Air Terengganu (SATU), Ladang Rakyat Terengganu dan Terengganu Strategic Integrity Institute (TSIS) yang menyumbang dan menjayakan program Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu (BERKAT) 2.0," katanya. Tambah beliau lagi, penyerahan tablet di DUN Air Putih yang tertangguh sebelum ini adalah disebabkan pandemik Covid-19 yang meningkat jumlah kesnya pada bulan lepas.  "Terdapat 32 buah sekolah di DUN Air Putih, hari ini seramai 50 orang yang bernasib baik. Saya berharap ibu bapa sentiasa mengawasi anak-anak dalam penggunaan tablet agar tiada penyalahgunaan teknologi ini," katanya pada Majlis Penyerahan Tablet kepada pelajar DUN Air Putih yang berlangsung di Dewan Sivik Pasir Gajah. Beliau turut berpesan kepada para pelajar untuk menggunakan tablet ini dengan sebaiknya dan menghargai sumbangan yang diterima daripada anak-anak syarikat Terengganu ini. Turut hadir dalam majlis tersebut, Ketua Jabatan Penyelidikan Komuniti TSIS, General Manager Konsortium Pelabuhan Kemaman, General Manager Epic Oil Field Services dan Ketua Komunikasi Korporat Kumpulan TI.
02 May 21
96
Modul Itqan Insani Medium Pembangunan Sahsiah Rakyat
Modul Itqan Insani Medium Pembangunan Sahsiah Rakyat
KUALA TERENGGANU, 28 April - Pembangunan modul Itqan Insani menjadi usaha terbaru Kerajaan Terengganu dalam melengkapkan proses pendidikan, pentarbiahan dan pembangunan modal insan yang mencakupi pelbagai segmen masyarakat rakyat di negeri itu. Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, dalam suasana semasa dan masa depan yang penuh cabaran dari pelbagai sudut, kerajaan bertanggungjawab menyediakan dan melengkapkan rakyat untuk berdepan dengannya. "Kita mengetahui bahawa manusia merupakan punca utama dalam menentukan ketamadunan sesebuah negara atau negeri. Oleh itu, manusia merupakan modal paling benilai dalam sesebuah negara atau negeri yang kita sebut sebagai modal insan. "Hari ini kita mengorak langkah dalam membawa agenda modal insan sekali gus melengkapkan inisiatif yang telah diambil oleh kerajaan negeri. Modul ini juga dilihat secara komprehensif kerana menyasarkan 10 golongan yang merangkumi kebanyakan rakyat Terengganu," katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap sewaktu merasmikan pelancaran Modul Itqan Insani di Wisma Darul Iman, hari ini. Jelasnya, pembangunan modal insan perlu dilakukan secara bersepadu dan sistematik agar ia dapat memberikan manfaat besar dan baik kepada negara atau negeri. "Sebelum ini, kita sudah menggerakkan Dasar Intergriti Darul Iman (DIDI) dan Garis Panduan Hiburan, Persembahan Kebudayaan, Pelancongan dan Sukan Negeri Terengganu. Modul ini merupakan satu lagi usaha kerajaan negeri dalam melengkapkan proses pendidikan dan pentarbiahan rakyat Terengganu. "Besarlah harapan kita kepada agensi pelaksana dalam memastikan setiap modul yang dilaksanakan mencapai objektifnya, sekaligus melahirkan jati diri dan budaya sebagaimana yang dihasratkan dalam dasar Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera," katanya.      
28 Apr 21
648
'Dah Tak Perlu Kongsi Telefon Ibu Untuk Belajar'
'Dah Tak Perlu Kongsi Telefon Ibu Untuk Belajar'
KUALA NERUS, 21 April – “Alhamdullilah, dengan tablet ini saya tidak perlu lagi berkongsi telefon ibu untuk belajar ‘online’,” luah seorang pelajar tingkatan empat, Nurin Atikah Ayuni Mohd Sufian setelah menerima sumbangan peranti pintar di bawah Inisiatif Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu (BERKAT). Adik Nurin yang juga seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Dato' Haji Abbas berkata, dia akan memanfaatkan sebaik mungkin gajet tersebut dalam membantu pembelajaran atas talian. Menurut ibunya, Yusniza Maria Yasin, 41, situasi ekonomi keluarganya yang disara suami bekerja sendiri serta pendapatan tidak menentu memaksa empat orang anaknya berkongsi telefon bagi memperoleh bahan pendidikan digital. “Sekarang ini susah sedikit kerana telefon saya terpaksa dikongsi antara anak-anak semasa pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR). “Tapi pemberian ini, saya sebagai ibu berterima kasih kepada Kerajaan Negeri Terengganu dalam usaha ini,” katanya ketika ditemubual pemberita.  Pengagihan sumbangan itu disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal, Dr. Alias Razak, semasa Majlis Penyerahan Sumbangan Tablet Kepada Murid Sekolah Di Bawah Inisiatif BERKAT 2021, semalam. Turut hadir, Presiden dan Pengarah Eksekutif Terengganu Incorporated Sdn. Bhd. (Terengganu Inc.), Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun. Dr. Alias memaklumkan, seramai 50 pelajar sekolah rendah dan menengah daripada kumpulan B40 kawasan Bukit Tunggal menerima peranti digital merangkumi pakej data BeOne untuk memudahkan pembelajaran dalam talian mereka. “Harapan kerajaan negeri supaya ia dapat merapatkan jurang digital dan memberi peluang kepada para pelajar, membantu dalam hasil akademik mereka sambil terus mengikuti perkembangan teknologi,” jelasnya.
21 Apr 21
584
Pelajar Politeknik Dungun Harumkan Negara
Pelajar Politeknik Dungun Harumkan Negara
DUNGUN, 12 April - Pelajar Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA), Dungun berjaya mengharumkan nama negara di persada Asia selepas menduduki tempat ketiga dalam pertandingan kemahiran yang diadakan di Centre For Instructor & Advanced Skill Training (CIAST), Shah Alam.  Mohd Harith Aman daripada PSMZA tidak keseorangan apabila dia bersama rakannya Tan Khia Wen daripada Politeknik Kota Bharu (PKB) manakala jurulatih mereka ialah pensyarah Mekatronik PSMZA, Mohd Fadrul Rizal Ab Rahim dan Masrul Nizam Mahmod dalam Politeknik Malaysia. Menurut Fadrul, dua pelajar politeknik itu terpilih untuk ke Aseanskills Singapore 2020, namun disebabkan pandemik COVID-19, tuan rumah Singapura membatalkan penganjuran  pertandingan tersebut.  "Oleh itu, Festo Asia telah mengambil inisiatif untuk menganjurkan pertandingan yang melibatkan bidang 'mechatronics' sahaja. "Dalam  pertandingan tersebut mereka dikehendaki memasang beberapa Modular Production System Station (MPS) mengikut tugasan yang diberikan dan membuat sistem program untuk gerakan 'station' tersebut berdasarkan soalan yang diberi," jelasnya ketika dihubungi pemberita kelmarin. Katanya, pertandingan tersebut telah disertai oleh institusi pendidikan dari pelbagai negara seperti Vietnam, Singapura, Indonesia, Korea dan Jepun secara atas talian yang berlangsung pada 7 hingga 8 April lalu. "Sekian lama diberi tunjuk ajar dan latihan keras, akhirnya berjaya juga mereka. "Walaupun gagal mempamerkan kebolehan mereka di Asean Skills, sekurang-kurangnya pertandingan ini mampu membuktikan keupayaan kita dalam bidang Mechatronics terutama bagi pasukan Politeknik Malaysia," katanya  Dalam pada itu, Pengarah PSMZA, Mohd Fikri Ismail mengucapkan tahniah di atas kejayaan pelajar daripada Jabatan Kejuruteraan Mekanikal (JKM), PSMZA ini yang dapat menempa nama di peringkat Asia.  "Pihak Pengurusan PSMZA akan sentiasa memberi sokongan kepada program-program pembangunan akademik pelajar seperti ini," ujarnya.
11 Apr 21
4162