Artikel "Pelancongan" Terkini
Terengganu Lokasi Terbaharu Nomad Digital di Malaysia
KUALA TERENGGANU, 26 Ogos- Terengganu terpilih sebagai lokasi keenam hub DE Rantau atau penginapan yang diperakui sebagai gaya hidup nomad digital bagi menggalakkan mobiliti profesional digital dan pelancongan negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris, berkata inisiatif yang diterajui Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) itu bakal menarik lebih ramai komuniti ‘digital nomad’ (nomad digital) menjadikan Terengganu sebagai pejabat atau rumah kedua mereka.
Menurutnya, kerajaan negeri sentiasa mengalu-alukan pemilihan Terengganu sebagai hub nomad digital kerana pelbagai usaha telah dilakukan untuk mendapatkan status tersebut.
”Bukan sekali jumpa tetapi beberapa kali, saya memberi gambaran bahawa Terengganu ini sangat sesuai untuk dijadikan hub atau satu destinasi kepada digital nomad sebab kita mempunyai ekosistem yang sangat baik.
“Kita punyai pulau-pulau yang sangat indah dan cantik, Tasik Kenyir yang hebat, pelbagai pilihan makanan tradisional, warisan yang cukup kuat untuk kita sertai nomad digital.
“Dan saya sangat bangga pada hari ini kerana ia direalisasikan dengan MDEC, Kementerian Digital dan mungkin kita akan adakan perbincangan seterusnya dari semasa kesemasa untuk pastikan ada pertambahan nomad digital ke Terengganu,”ujarnya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis pelancaran program de rantau@Terengganu di Laman Singgahsana, Kampung Budaya Terengganu, Kompleks Muzium Negeri Terengganu, di sini hari ini.
Mengulas mengenai bagaimana de rantau@Terengganu mampu mempengaruhi pertambahan kehadiran pelancong ke Terengganu, Razali berkata penilaian itu akan dibuat selepas beberapa bulan program itu dilaksanakan.
“Saya yakin nomad digital akan memberi ruang promosi negeri Terengganu ke seluruh dunia dan jika promosi berjaya, pelancong akan datang ke Terengganu sebagai destinasi wajib.
“Dan saya jangkakan beberapa peratus lagi pertambahan kehadiran pelancong selepas program hari ini...kita akan tengok ‘Return on Investment’ selepas dua tiga bulan nanti tentang kehadiran pelancong,”ujarnya lagi.
Tambah Razali, berdasarkan data sehingga Jun 2024, Terengganu antara negeri tumpuan dengan merekodkan seramai 5.2 juta pelawat melebihi sasaran awal iaitu 4.5 juta bagi setahun..
"Menjelang akhir tahun kerajaan negeri mensasarkan seramai 7 hingga 8 juta pelancong berkunjung ke Terengganu.
“Sasaran ini juga berdasarkan Terengganu sebagai hub nomad digital terbaharu dan saya letak pertambahan sehingga 40 peratus selain program sepanjang Monsun Timur Laut nanti,”kata beliau.
26 Aug 24
688
Jabatan Pelancongan Berhasrat Hidupkan Kembali 'Pesta Pantai'
Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT) berhasrat mahu menghidupkan kembali acara Pesta Pantai yang pernah menjadi fenomena dan acara tahunan rakyat negeri ini dengan memastikan ia lebih patuh syariah.
19 Aug 24
845
Jabatan Pelancongan Berhasrat Hidupkan Kembali 'Pesta Pantai'
KUALA TERENGGANU, 17 Ogos - Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT) berhasrat mahu menghidupkan kembali acara Pesta Pantai yang pernah menjadi fenomena dan acara tahunan rakyat negeri ini dengan memastikan ia lebih patuh syariah.
Pengarahnya, Ahmad Ridzwan Abdul Rahman berkata, hasrat itu difikirkan relevan bagi memastikan sektor pelancongan di negeri ini sentiasa hidup dengan pelbagai acara.
Katanya, pertunjukan seni budaya, adat tradisi dan makanan tradisional terkenal yang ada di dalam negeri ini akan menjadi pengisian pada acara Pesta Pantai itu nanti.
"Apabila kita beri penekanan kepada elemen tradisi, kebudayaan dan warisan sudah tentu ia akan menjadi nilai tambah dari segi pendedahan berkaitan dengan kehebatan budaya.
"Memberi impak yang baik serta akan menjadi satu 'wow factor' kepada daya tarikan untuk pelancong datang melawat Terengganu.
"Sebab itu kita hendak menghidupkan balik Pesta Pantai ini dalam memastikan Terengganu akan terus meriah dikunjungi selain ia akan memberi impak ekonomi yang baik kepada komuniti setempat," ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa sidang media Penganjuran Pertandingan Gamelan Melayu (Senandung Terengganu) di Bilik Ulek Mayang Jabatan Keseniaan dan Kebudayaan Negara (JKKN) negeri, di sini, baru-baru ini.
Mengulas lebih lanjut katanya, menjadi kebiasaan serta kemestian sesebuah negara yang menerima ramai pengunjung adalah disebabkan memiliki kebudayaan, kesenian serta warisan yang menarik.
"Kita andaikan diri kita sendiri seandainya kita pergi ke Korea dan Jepun sudah tentu kita mahu mempelajari serta mengetahui sejarah dan seni budaya yang terdapat di negara terbabit," ujarnya.
17 Aug 24
3811
Terengganu Perhebat Usaha Cungkil Bakat Baru Gamelan
KUALA TERENGGANU, 15 Ogos - Kerajaan negeri melalui Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu bakal menganjurkan Pertandingan Gamelan Melayu (Senandung Terengganu) peringkat negeri bagi mencungkil bakat baru agar seni warisan itu terpelihara dan tidak luput ditelan zaman.
Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Ahmad Ridzwan Abdul Rahman berkata, pertandingan yang diadakan dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) akan berlangsung pada 27 dan 28 September.
Ujarnya, usaha memartabatkan kesenian itu difikirkan wajar bagi memastikan kesinambungan kepada perkembangan budaya seni 'Gamelan Terengganu'.
"Matlamat utama kita adakan program ini sudah tentu untuk mencungkil bakat kanak-kanak dan juga remaja dalam bidang seni gamelan bagi memastikan pemuliharaan dan pengembangan kepada seni gamelan tidak akan terhenti.
"Dengan menyasarkan penglibatan pelajar sekolah rendah dan menengah ia akan memberi pendedahan baru terutama kepada mereka yang baru menceburi diri dalam bidang seni dan budaya ini," ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa sidang media Penganjuran Pertandingan Gamelan Melayu (Senandung Terengganu) Peringkat Negeri Terengganu, di Bilik Ulek Mayang JKKN, Kuala Ibai, di sini, hari ini.
Mengulas lebih lanjut katanya, sebanyak 17 buah sekolah telah mengesahkan penyertaan dalam dua kategori pertandingan iaitu tarian dan alat gamelan.
"Kategori tarian akan disertai pelajar dari sembilan buah Sekolah Renda (SK) iaitu Seberang Takir, SK Tok Jembal, Tengku Ampuan Intan, Kubang Ikan, Tanjung Gelam, Gong Pasir, Sultan Sulaiman, Wakaf Tapai manakala SK Methodist Kuantan, Pahang turut dijemput khas untuk menyertai.
"Bagi kategori pertandingan alat gamelan pula disertai oleh lapan buah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kompleks Gong Badak, Tengku Mahmud, Tengku Lela Segara, Pulau Serai, Maktab Rendah Sains Mara Kuala Terengganu, Sekolah Menengah Sains Hulu Terengganu.
"SMK Bandar Damai Perdana, Selangor telah turut bersetuju menyertai pertandingan yang bakal diadakan itu nanti," ujarnya.
Jelasnya, berlaku peningkatan ketara dalam penyertaan pada kali ini berbanding kali pertama diadakan pada tahun lalu yang hanya disertai oleh lima buah sekolah.
"Terutama setelah ia dipersembahkan semasa pembukaan program 'Beautiful Terengganu', dan dalam beberapa cara lagi di samping kita menawarkan kepada lebih banyak sekolah untuk menyertai acara ini dan telah mendapat sambutan yang sangat menggalakkan," ujarnya.
Dalam pada itu katanya, hadiah keseluruhan bagi pertandingan itu ditawarkan sebanyak RM12,000 membabitkan dua kategori yang dipertandingkaan, dengan juara akan mendapat RM2,500, naib juara RM2,000 dan ketiga RM1,500.
15 Aug 24
327
Kehilangan Penyu Belimbing Pengajaran Besar Buat Manusia
Kerajaan negeri sentiasa membuka ruang dan peluang kepada semua pihak khususnya sektor korporat untuk tampil memberikan sokongan dalam usaha konservasi penyu dan negeri Terengganu merupakan satu-satunya negeri yang telah mewujudkan Tabung Amanah Pemuliharaan Penyu Terengganu sejak dulu lagi sebelum diperkasakan dibawah enakmen Penyu 1951 pindaan 2021.
14 Aug 24
159
Permai Hotel Rangkul Anugerah 'Hotel Bandar Terbaik' 2024
KUALA TERENGGANU, 12 Ogos - Permai Hotel Kuala Terengganu sekali lagi mencipta nama di peringkat antarabangsa apabila dipilih sebagai pemenang bagi kategori “Best City Hotel” di Tourism Industry Awards 2024 (TIA 2024), baru-baru ini.
Pengurus Besarnya, Noralizan Abd Rahman berkata kejayaan tersebut menandakan satu pencapaian hebat bagi Permai Hotel Kuala Terengganu, sekaligus memperkukuhkan kedudukannya sebagai salah satu pilihan utama penginapan di bandar Kuala Terengganu.
Menurutnya, anugerah itu merupakan satu tanda aras penting untuk menjadi lebih baik dan lebih banyak akan dilakukan bagi memastikan kepuasan tetamu yang menginap di hotel terjaga.
"Tahun ini, kami akan mulakan pengubahsuaian bagi 80 bilik bagi keselesaan pengunjung.
"Permai Hotel juga telah melakukan beberapa pengubahsuaian bilik, penggantian karpet Ballroom, dan renovasi restoran," ujarnya ketika ditemui pemberita.
Majlis anugerah yang dianjurkan oleh Malaysia International Tourism Development Association (MITDA) Tourism Industry Awards 2024 (TIA 2024) diadakan di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur dan dirasmikan oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
Majlis tersebut turut mempertandingkan lebih 60 kategori termasuk ejen pelancongan, perhotelan, seni dan budaya, perkhidmatan makanan dan banyak lagi.
Noralizan juga berkata beliau yakin anugerah itu juga akan menjadi antara faktor para pelanggan menjadikan hotel tersebut sebagai destinasi pilihan penginapan utama apabila bercuti serta berkunjung ke Kuala Terengganu.
"Anugerah ini akan menjadi pemangkin untuk terus mencapai lebih banyak kejayaan dan mengekalkan kecemerlangan dalam industri pelancongan di Terengganu khususnya," ujarnya.
12 Aug 24
1666
‘Usikan’ Motosikal Klasik dan Retro Kini di Muzium Negeri
Lebih 40 buah motosikal klasik dan retro menjadi perhatian orang ramai serta pengunjung pada Pameran Muto dan Kenangan 2024 yang berlangsung di Dewan Mandalika dan Ruang Foyer, Kompleks Muzium Negeri Terengganu bermula 1 Julai sehingga 31 September ini.
31 Jul 24
114
Malaysia Baharu Perlu Dibina Semula
KUALA TERENGGANU, 31 Julai - Perikatan Nasional (PN) melihat bahawa Malaysia Baharu perlu dibina demi menjamin kehidupan rakyat yang lebih sejahtera di masa akan datang.
Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pihaknya sentiasa didatangi pelbagai pihak yang menyatakan ingin bersama dengan komponen PN dan PAS sendiri yang akan dipertimbangkan dari semasa ke semasa mengikut kesesuaian serta kepentingan bersama bagi membangunkan negara.
"Kami melihat masa depan negara yang lebih baik 'a new Malaysia' harus kita bina dengan (memperkasakan) muafakat politik sedia ada antara PAS bersama dengan rakan-rakan dalam PN.
"Ia perlu kita kembangkan dari semasa ke semasa (dan) ini akan menjadi satu tawaran yang baik untuk Malaysia baru, insya-Allah," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media semasa sidang akhbarnya pada Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Ke-15 di Wisma Darul Iman, di sini, baru-baru ini.
Mengulas mengenai kenyataan Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi yang menyatakan pihak pembangkang iaitu PN datang untuk berunding dengannya serta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ahmad Samsuri menyatakan pihaknya tidak berminat untuk melayan kenyataan yang tidak berasas itu.
"Apa yang dia sebut dia punya pasal, saya tidak campur apa yang disebut, (selama ini) berjumpa di parlimen, selisih dalam mesyuarat itu pertemuan dengan peranan masing-masing sama ada sebagai Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) ataupun kerajaan.
"Itu bukan diklasifikasikan sebagai pertemuan perbincangan politik, itu akan kalau bertemu dengan Ahli Parlimen UMNO sekalipun itu adalah pertemuan dalam konteks mengurus tadbir sesuai dengan perananan sebagai Ahli Parlimen dan ADUN di negeri masing-masing," ujarnya.
Menjawab mengenai akan berlaku atau tidak kerjasama dengan UMNO pada masa akan datang, katanya perkara pada masa hadapan sukar untuk diramal.
"Jadi saya tidak akan komen tentang perkara akan datang, setakat ini tiada apa-apa perancangan, tidak ada untuk mengadakan pertemuan dan seumpama dengannya," jelasnya,
31 Jul 24
271
Primula Raih Anugerah 'Hotel Amalan Lestari Terbaik 2024'
KUALA TERENGGANU, 27 Julai - Primula Beach Hotel yang popular dengan lokasi penginapan pelancongan di negeri ini membuktikan kualiti yang ditawarkan mereka menerusi kemenangan 'Hotel Amalan Lestari Terbaik' di Anugerah Industri Pelancongan 2024 di Royale Chulan Kuala Lumpur.
Pengurus Besarnya, Suaibah Harun berkata pengiktirafan itu berdasarkan komitmen teguh Primula Beach Hotel terhadap kelestarian dan usaha inovatifnya dalam mempromosikan amalan mesra alam dalam industri perhotelan.
Katanya, pihak mereka sentiasa komited untuk menetapkan penanda aras dalam hospitaliti lestari dan menginspirasi orang lain dalam industri untuk mengamalkan amalan hijau.
"Sejak tahun 2021, Primula Beach Hotel telah bekerjasama dengan TNB GSPARX untuk menggunakan sistem tenaga suria, mengurangkan jejak karbon hotel dengan ketara dan mempromosikan penggunaan tenaga boleh diperbaharui.
"Primula Beach Hotel
menganjurkan acara-acara hijau seperti Beach Run Primula Eco Green pada Februari 2024, sebuah acara yang promosikan kesedaran kesihatan dan alam sekitar,"ujarnya dalam satu kenyataan.
Suaibah juga berkata, pihaknya juga bekerjasama dengan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) untuk inisiatif "Bring Our
Turtle Back" pada tahun 2022 dan 2023.
"Ia bertujuan melindungi dan memulihkan penyu, serta memelihara kehidupan marin,"ujarnya.
Tambah beliau, bagi memastikan hasil tani yang segar dan lestari untuk para tetamu, Primula Beach Hotel menanam sayur-sayuran menggunakan teknik hidroponik dan fertigasi.
Selain itu katanya, pihak hotel juga telah melaksanakan program kitar semula dalam pembuatan sendiri sabun menggunakan minyak masak terpakai.
Menurut Suaibah lagi, inisiatif baru yang diperkenalkan pertengahan tahun 2024 iaitu pengkomposan sisa makanan, menukar sisa organik kepada baja yang berharga.
"Hasilnya ia berjaya meningkatkan kesihatan tanah dan kurangkan sisa yang dibuang ke tapak pelupusan," ujarnya.
27 Jul 24
542
Pemecah Ombak Merchang Bakal Rancakkan Eko Pelancongan
MARANG, 16 Julai - Penduduk Merchang digesa mengambil peluang apabila pemecah ombak sungai Merchang siap dibina dan dijangka akan merancakkan lagi eko pelancongan di kawasan terbabit.
Timbalan Pengerusi Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri Sulaiman Sulong berkata peluang tersebut perlu direbut kerana ia akan mendatangkan limpahan ekonomi kepada penduduk tempatan,
"Saya marah kalau orang sini tidak ambik peluang (contohnya )Merchang Glamping Park sentiasa menerima kehadiran penuh tiap-tiap minggu sehinggakan lot kedai yang sedang dibina pun sudah habis ditempah.
“Sesiapa ada tanah, buatlah Homestay disini," ujarnya di program Bicara Maal Hijrah Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Berangan, di Masjid Lama Merchang, di sini, baru-baru ini.
Terdahulu, Sulaiman berkata pemecah ombak sedang dibina di muara Merchang itu bertujuan bagi mengatasi masalah air cetek, sehingga menyebabkan aktiviti pelayaran terpaksa dihadkan.
“Namun selepas masalah tersebut berjaya diselesaikan, kita akan melihat kembali kesibukan keluar masuk bot di muara sungai ini", ujarnya.
16 Jul 24
420