Artikel "Kesihatan" Terkini
Program 'Outreach' Sasar Warga Luar Bandar Bukit Besi
Oleh: Amiruddin Zamri
DUNGUN, 28 Jun - 'Outreach' Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Bukit Besi membekalkan 500 vaksin kepada warga Bukit Besi terutamanya melibatkan Ahli Jawatankuasa Masjid, KETENGAH dan para guru.
Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, setiap warga kawasannya itu perlu memikul tanggungjawab bersama dalam menjayakan program kebangsaan tersebut demi keselamatan komuniti setempat.
"Sambutan yang diterima dari peringkat luar bandar Hulu Dungun khususnya warga Bukit Besi amat menggalakkan.
"Seramai 75 sukarelawan terdiri daripada warga masyarakat disini ditugaskan bagi melancarkan pergerakan PPV outreach yang julung kalinya diadakan di Dewan Sekolah Menengah Bukit Besi," katanya ketika ditemubual pemberita, semalam.
Sementara itu, beliau juga berterima kasih kepada para petugas Pejabat Daerah Dungun, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Polis, Rela, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan sukarelawan yang menjayakan program tersebut.
"Tidak lupa juga kepada pihak Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Besol, JPKK Perumahan dan JPKK Kampung Bukit Besi yang turut sama membantu bagi melancarkan lagi program pemvaksinan di sini.
"Harapan saya agar penduduk di seluruh negeri dapat mengambil peluang atas inisiatif yang diberikan oleh kerajaan bagi memastikan imuniti berkelompok dapat dilaksanakan di kawasan luar bandar amnya di DUN Bukit Besi," jelasnya.
27 Jun 21
238
Program Outreach Vaksinasi SK Seri Kasar Sasar 1,000 Suntikan Sehari
SETIU, 24 Jun - Sebanyak 1,000 suntikan dos vaksin COVID-19 disasarkan kepada orang ramai di Program Outreach Vaksinasi di Sekolah Kebangsaan Seri Kasar, di sini pada Sabtu ini.
Pegawai Daerah Setiu, Rosli Latif berkata jumlah sebanyak itu diperuntukkan kepada penduduk daripada 10 buah kampung di Mukim Hulu Nerus 1.
"Ini adalah satu kaedah bagi membantu penduduk luar bandar daerah itu mendapatkan suntikan vaksin," katanya ketika ditemui selepas lawatan tapak Program Outreach Vaksinasi COVID-19 di SK Seri Kasar hari ini.
Sementara itu, Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir berkata, program outreach itu diatur berfokus kepada kampung yang berada jauh daripada Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Sungai Tarom.
"Setakat ini dua 'outreach' sudah dilaksanakan di SK Bukit Mundok dan SK Merang dan outreach di SK Seri Kasar ini merupakan yang ketiga buat daerah Setiu.
"Melihat sambutan yang menggalakan daripada orang ramai daripada pembukaan 'outreach' sebelum ini kita akan terus berusaha untuk membawa PPV dekat dengan mereka.
"Harapan saya agar warga daerah Setiu memanfaatkan peluang ini bagi memastikan penularan wabak COVID-19 dapat diputuskan," jelasnya.
24 Jun 21
627
Wad Kelas Ketiga Percuma Bermula 1 Julai
KUALA NERUS, 17 Jun - Pelaksanaan caj percuma bagi wad kelas ketiga bagi seluruh hospital kerajaan di Terengganu akan dilaksanakan bermula 1 Julai ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan Dan Alam Sekitar, Dr. Alias Razak memaklumkan, dianggarkan kira-kira 1.2 juta rakyat Terengganu akan menerima manfaat pelaksanaan manifesto PAS Terengganu bagi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 itu.
"Kita telah melalui proses yang panjang untuk melaksanakan satu lagi manifesto bagi memenuhi janji kepada rakyat iaitu untuk melaksanakan rawatan kelas ketiga percuma. Alhamdulillah, persiapan kita dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan kerajaan Persekutuan kini dilaksanakan, terima kasih bagi membantu menjayakan program ini di Terengganu.
"Caj Wad Kelas Ketiga Percuma ini akan melibatkan enam buah hospital iaitu Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Hospital Dungun, Hopsital Kemaman, Hospital Setiu, Hospital Besut dan Hospital Hulu Terengganu melibatkan anggaran 1,390 buah katil secara keseluruhannya," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Tunggal, semalam.
Jelasnya, golongan yang menerima faedah program tersebut ialah semua pemegang kad pengenalan Terengganu merangkumi caj katil, makan minum dan rawatan.
"Semua caj ini adalah percuma dan ditanggung oleh kerajaan negeri melibatkan jumlah kira-kira kos RM3.7 juta setahun.
"Berdasarkan rekod kita dapati jumlah rakyat yang mendapatkan rawatan dan menggunakan wad dalam tempoh setahun adalah sekitar 90 ribu orang.
"Buat masa ini, program ini tidak terpakai kepada bukan rakyat Terengganu, namun akan dipertimbangkan untuk lebih baik pada masa akan datang atau mereka yang tidak bernombor kad pengenalan 11 tetapi mengundi di Terengganu turut dapat mendapat manfaat ini. Ini kerana, kita fokus untuk meringankan golongan berpendapatan rendah (B40) yang terbeban dengan pendapatan harian dan sebagainya.
"Bagaimanapun, insya-Allah, selagi PAS Terengganu terus memerintah, caj percuma wad kelas ketiga akan diteruskan," katanya.
17 Jun 21
1299
Outreach PICK : 811 Penduduk Terima Suntikan
SETIU, 16 Jun - Seramai 811 penduduk menerima suntikan vaksin dos pertama dalam penganjuran Outreach Vaksinasi di bawah Program Imuninasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di daerah ini.
Sekolah Kebangsaan Merang, Setiu yang dijadikan pusat PICK dibuka seawal 8.00 pagi itu mula menerima kehadiran orang ramai.
Pegawai Daerah Setiu, Rosli Latif berkata, pendaftaran merekodkan seramai 888 penduduk.
"Namun, yang dibenarkan untuk disuntik adalah seramai 811 sahaja dan selebihnya tidak dibenarkan disebabkan beberapa faktor kesihatan.
"Terima kasih kepada semua yang terlibat pada hari ini Pejabat Daerah Setiu, Majlis Daerah Setiu, Pejabat Kesihatan Daerah Setiu, JKR Setiu, APM Daerah Setiu, Penghulu Mukim, Jabatan Amal dan semua Pengerusi JPKK yang terlibat".
Beliau berkata demikian ketika ditemui sejurus berakhir program PICK hari ini.
Dalam pada itu, PICK turut menerima kunjungan Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu dan memeriahkan program dengan edaran 'goodies bag' kepada orang ramai.
PICK kali kedua ini diadakan selepas kali pertama di Sekolah Kebangsaan Bukit Munduk, Langkap awal Jun lalu.
16 Jun 21
268
COVID-19 : Semakin Ramai Ingin Divaksinasi - Kajian
KUALA TERENGGANU, 6 Jun – Kajian terhadap sikap rakyat Malaysia mengenai kesedaran dan keyakinan mengenai usaha pemvaksinan COVID-19 menunjukkan keputusan memberangsangkan dengan 85 peratus rakyat menerimanya secara positif.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, ia adalah suatu perkembangan positif terutamanya apabila dibandingkan dengan hasil dapatan sebelumnya pada akhir Februari iaitu hanya 67 peratus daripada responden memilih untuk disuntik.
“Peningkatan penerimaan hasil selidik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berbanding sebelum bermula Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) sehingga April merupakan petanda baik dalam mencapai sasaran 80 peratus rakyat divaksin pada hujung tahun ini.
“Selain itu, peratusan golongan yang menolak vaksin sepenuhnya atas pelbagai sebab dan dakyah turut berkurang daripada 16 peratus (Februari) menurun sehingga lima peratus (April).
“Keyakinan ini juga boleh disumbangkan oleh keadaan semasa dunia dengan 1.8 bilion dos vaksin yang telah disuntik di seluruh dunia dengan kadar kesan sampingan yang sangat rendah,” katanya ketika bersiaran langsung di TVDI, baru-baru ini.
Mengulas lanjut mengenai masalah keraguan kalangan umat Islam dalam negeri, beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu mencadangkan supaya masjid dijadikan sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV).
“Kita telah berbincang dengan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) serta Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA) yang tawarkan sukarelawan dalam usaha memulakan projek perintis ini di Terengganu.
“Diharapkan agar ia dapat menyelesaikan masalah berkaitan keberkesanan dalam salah faham berkaitan vaksin dalam komuniti islam yang sebilangannya masih teragak-agak untuk pergi ke pusat vaksinasi,” jelasnya lagi.
Menurut statistik daripada Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) sehingga 5 Jun, Terengganu mencatatkan jumlah pemberian dos vaksin seramai 85,595 orang untuk dos pertama dan 50,053 untuk dos kedua.
06 Jun 21
158
Terengganu Perhalusi Strategi Atasi Kegagalan Hadir Vaksinasi
KUALA TERENGGANU, 3 Jun - Kerajaan negeri sedang giat merangka strategi bagi mengatasi masalah ketidakhadiran penerima vaksin bagi fasa kedua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang dilancarkan April lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, langkah tersebut diambil setelah melihat lebih 10,000 individu dalam negeri gagal menghadiri sesi temu janji vaksinasi.
“Jumlah ini melibatkan warga emas dan golongan ‘co-morbid’ yang rata-rata memberi alasan seperti tidak ingat tarikh temu janji dan tiada kenderaan untuk pergi ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) berdekatan.
“Menjangka akan berlakunya perkara ini, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) telah bersiap sedia dengan senarai pengganti lain, hasilnya tidak berlaku pembaziran dos vaksin setakat ini,” katanya dalam satu sidang media, kelmarin.
Mengulas lanjut berkenaan jalan penyelesaian itu, Dr Alias memaklumkan, Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri Terengganu (JKKNT) mencadangkan kaunter pemberian vaksin di masjid-masjid di semua daerah.
“Perbincangan sedang diadakan bersama JKNT dalam mengatasi keperluan tenaga kerja dan jurusuntik daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), sekurang-kurangnya kita sasarkan satu masjid di satu kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Cadangan lain seperti daripada Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) untuk mewujudkan pusat suntikan bergerak juga disuarakan, namun kita perlu selesaikan masalah kakitangan dan pemantau selepas sudah disuntik, perkara sebegini perlu diambil kira terlebih dahulu.
“Bagi kawasan DUN dan Parlimen, pusat khidmat masyarakat masing-masing ada menyediakan perkhidmatan kenderaan percuma untuk hantar ke PPV, hanya perlu hubungi sahaja," katanya.
Menurut statistik Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) sehingga 31 Mei, seramai 345,492 individu di negeri ini telah mendaftar sebagai penerima vaksin manakala daripada jumlah itu seramai 79,185 individu sudah disuntik.
01 Jun 21
254
Lockdown Diri Sendiri Putuskan Rantaian COVID-19
Oleh: Faizal Ghani Al Medaniey
KUALA TERENGGANU, 27 Mei - Masyarakat digesa untuk sama-sama berganding bahu membantu memutuskan rantaian jangkitan COVID-19.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi merayu agar rakyat negeri ini dapat mengikuti kempen yang disarankan oleh pihak Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT).
"Saya menyeru dan merayu agar kita semua rakyat negeri Terengganu khususnya penduduk di dalam kawasan DUN Batu Buruk agar melakukan "Lockdown Diri Sendiri" sebagaimana pesanan dari JKNT bagi membantu memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 di negeri kita," katanya dalam satu status Facebook miliknya, semalam.
Tambahnya lagi, melihat keadaan kes harian yang makin meningkat, amat wajar pada waktu ini rakyat menyahut seruan JKNT untuk menyekat penularan virus tersebut.
Beliau juga mengingatkan bahawa ini bukan masa untuk masyarakat bertelingkah sebaliknya semua pihak perlu bersatu bagi menghadapi musuh COVID-19.
"Bukan masanya kita menuding jari dan berbalah menuduh kepada sesiapa sebaliknya kita tanpa mengira agama, bangsa dan fahaman politik, perlu bersatu memerangi musuh yang tidak kelihatan ini," jelasnya.
27 May 21
189
Warga Tua Kritikal Akibat Covid-19 Bertambah
KUALA TERENGGANU, 25 Mei - Semakin ramai warga tua di Terengganu berada di tahap kritikal ekoran penularan terbaru pandemik Covid-19.
Pakar Kecemasan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Dr. Mohamad Faizal Zulkhifli berkata, terdapat peningkatan ketara pesakit Covid-19 yang berada dalam keadaan kritikal sejak akhir-akhir ini.
"Dahulu, pesakit kami datang ke bahagian kecemasan sama ada kritikal, separa kritikal dan tidak kritikal. Namun, selepas peningkatan kes Covid-19 kita dapati semakin ramai yang datang sebab sesak nafas, cuma sekarang kita sukar untuk membezakan mereka disebabkan Covid-19 atau tidak.
"Banyak pesakit berumur 60 tahun ke atas sebab mereka banyak penyakit lain yang berisiko mendapat kesan Covid-19 lebih teruk dan kebanyakannya berpunca disebabkan kunjungan ke kawasan zon merah," katanya ketika ditemui di HSNZ, hari ini.
Jelasnya, peningkatan lebih ketara berlaku sebelum hari raya baru-baru ini, di mana banyak situasi ahli keluarga yang balik ke Terengganu tanpa menyedari mereka dijangkiti Covid-19 dan menjangkiti orang tua mereka.
"Banyak berlaku, anak-anak pulang berjumpa ibu bapa mereka akhirnya menyebabkan ibu bapa yang mengalami simptom teruk akibat jangkitan itu, sedangkan mereka pula hanya mengalami simptom ringan.
"Selalu yang kritikal, biasanya mereka akan dikomakan dan sambung bantuan pernafasan sebab mereka tidak boleh bernafas macam biasa, oksigen mereka hanya tinggal sekitar70-80 peratus," katanya.
Justeru, beliau mengingatkan masyarakat supaya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dengan pengawalan kendiri yang optimum.
"Pertama, kita tahu vaksin membantu, bagi masyarakat di luar ketahuilah ia sangat berfungsi di mana staf kami yang sudah divaksin kadang-kadang terdedah dengan pesakit Covid-19, apabila di 'swab' alhamdulillah masih kekal negatif. Jadi, galakkan mak ayah dan ahli keluarga dapatkan vaksin.
"Kedua, kawalan kendiri. Kita kena ingat risiko yang kita bawa balik ke rumah, kadang-kadang disebabkan kita mak ayah yang terima kesannya. Ingatlah, supaya tiada penyesalan di hari kelak," katanya.
25 May 21
1656
HSNZ Tak Benar Pelawat Masuk Wad
Pengurusan Tertinggi Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) memutuskan untuk tidak membenarkan pelawat masuk ke wad hospital berkenaan.
24 May 21
662
'Sabar, PKP Besut Keputusan Terbaik Untuk Terengganu'
MARANG, 7 Mei - Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menyifatkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di daerah Besut adalah keputusan terbaik bagi negeri itu.
"Semua sudah tahu kenapa terpaksa PKP di Besut, kita tidak menafikan melintasi sempadan (cross border) menjadi faktor utama penularan, melalui laluan-laluan tikus menyebabkan perkara tersebut sukar dikawal.
"Jadi, kita ambil pendekatan yang memang tidak menggembirakan ramai orang. Ini keputusan melalui perbincangan bersama kerajaan negeri dan agensi-agensi terlibat dan di bawa ke peringkat pusat sebelum diputuskan," katanya.
Jelasnya, penularan yang meningkat mendadak itu perlu disekat secepat mungkin bagi memastikan negeri Terengganu tidak terjejas dan Besut akan kembali pulih.
"Kita rasa tidak ada jalan lain lebih selamat supaya tidak menular ke daerah lain kerana jika ia (penularan) sampai ke daerah-daerah selatan Terengganu, ia akan lebih parah," katanya.
07 May 21
966