lightning-solid
Berita :

Artikel "Kesihatan" Terkini

Berusaha Ubah Minda Negatif Ibu Bapa Terhadap Vaksin Sempena Ramadan
Berusaha Ubah Minda Negatif Ibu Bapa Terhadap Vaksin Sempena Ramadan
KUALA TERENGGANU, 3 April-Kerajaan negeri berusaha untuk mengubah minda ibu bapa terhadap vaksin kanak-kanak dengan memperhebatkan kempen kesedaran sepanjang Ramadan ini termasuk melalui slot khas tazkirah di masjid dan surau. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, ini kerana Terengganu masih berada di kedudukan kedua tercorot dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) sejak mula dilaksanakan Februari lepas. Katanya, sebelum ini kempen telah digerakkan di peringkat kerajaan negeri termasuk melalui Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan Kuliah Maghrib mengenai kepentingan vaksin ini namun masyarakat masih tidak memiliki tahap kesedaran yang tinggi. "Setakat Jumaat, hanya 12.4 peratus (22,240 orang) daripada 178,700 populasi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun di negeri ini telah menerima suntikan dos pertama. "Ini kerana mitos yang telah mempengaruhi ibu bapa yang tersebar melalui media sosial sedangkan di Terengganu tiada lagi terdapat kesan sampingan serius dilaporkan berlaku terhadap kanak-kanak yang telah menerima suntikan vaksin,"ujarnya, Beliau berkata demikian selepas merasmikan Kempen Nafas Baru Bermula Ramadan dan Pelancaran Operasi Cakna Undang-Undang Kesihatan Awam Peringkat Negeri Terengganu, di sini, semalam. Turut hadir, Pengarah Kesihan negeri, Datuk Dr Kasemani Embong. Katanya, walaupun berhadapan kesukaran untuk mengubah pemikiran ibu bapa terhadap vaksin namum kerajaan akan terus berusaha menggunakan pendekatan berhemah dalam menyantuni golongan terbabit. "Kita berdoa agar ibu bapa ini terbuka hati mereka kerana dengan fasa peralihan ke endemik sekarang, kerana apabila tiada lagi sekatan atau peraturan ketat untuk majlis sosial yang berisiko meningkatkan jangkitan maka dengan pengambilan vaksin ia akan dapat memberikan perlindungan kesihatan kepada anak masing-masing,"katanya.    
03 Apr 22
152
Pegawai Aids JKNT Terima Anugerah Bantu Pesakit HIV
Pegawai Aids JKNT Terima Anugerah Bantu Pesakit HIV
Kredit foto : Shafwan Zaidon KUALA LUMPUR, 12 Disember - Pegawai Aids Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), Dr Mahani Nordin menerima Anugerah Tun Dr Siti Hasmah Sunway-Malaysian AIDS Foundation (MAF) atas sumbangannya dalam membantu masyarakat Terengganu terhadap HIV dan Aids. Beliau merupakan pengasas bersama organisasi berasaskan komuniti, Komuniti Cakna Terengganu (KCT), sebuah organisasi berasaskan komuniti yang menyediakan khidmat pengurangan bahaya kepada bekas pengguna dadah serta rawatan, penjagaan dan sokongan kepada orang yang hidup dengan HIV. Antara jasanya terhadap golongan tersebut seperti menyumbang seluas satu ekar kepada KCT bagi pembinaan rumah perlindungan untuk membantu mereka pulih dan berintegrasi kembali ke dalam masyarakat. Dr Mahani berkata, beliau amat berbesar hati dengan pengiktirafan itu dan berterima kasih atas perhatian dalam usaha membantu golongan sasar di Terengganu. “Pemberian ini memang tidak dijangka. Pada mulanya, saya tidak tahu bahawa akan ada anugerah tahun ini sehingga beberapa rakan dan rakan sekerja saya mencalonkan saya. "Saya hanya melakukan kerja saya, walaupun saya tahu bahawa ia di luar skop kerja saya tetapi bagi saya, ia amat penting, dan saya tidak menjangkakan akan mendapat anugerah hasil daripada usahanya," katanya sepertimana dilaporkan Malay Mail. Katanya yang juga antara tiga finalis anugerah tersebut, semangat untuk membantu komuniti HIV bermula pada 2008 ketika membimbing sekumpulan remaja berisiko di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat Terengganu. "Namun, masalah masyarakat kita ialah, apabila kita melihat anak-anak ini menuju ke arah yang salah, kita membuang mereka. "Jadi, tiada sesiapa di sana untuk menyelamatkan mereka walaupun mereka masih boleh diselamatkan,” ujarnya. Pada mulanya, KCT memberi tumpuan kepada pelbagai program pencegahan dan pengurangan bahaya HIV seperti program pertukaran jarum dan program penyelenggaraan metadon. Pada tahun 2010, KCT dengan pembiayaan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) berjaya membuka rumah perlindungan mereka untuk penghidap HIV di tanah Dr Mahani seluas satu ekar di Hulu Terengganu. Ladang komuniti di rumah perlindungan Komuniti Cakna Terengganu untuk penghidap HIV. — Gambar ihsan Dr Mahani Nordin Jelasnya, KCT kini mempunyai sejumlah empat rumah perlindungan di Hulu Terengganu, tiga untuk lelaki yang menghidap HIV manakala satu lagi untuk wanita dan kanak-kanak yang menghidap HIV. “KCT bersama penghuninya juga telah berjaya menjadikan sebidang tanah kecil di situ sebagai ladang komuniti yang membolehkan penduduk mencari rezeki melalui perusahaan sosial. “Pihak kami turut bekerjasama dengan kerajaan negeri Terengganu untuk menetapkan tanah seluas tujuh ekar untuk mengembangkan usaha KCT dan mewujudkan rumah serta kemudahan untuk lelaki, wanita dan kanak-kanak yang menghidap HIV/AIDS," katanya. Pegawai AIDS itu disampaikan hadiah wang tunai RM20,000 serta trofi kristal rekaan khas oleh Sunway Group dan sijil kecemerlangan di MAF Red Ribbon Gala dan Sunway–MAF Tun Dr Siti Hasmah Award 2021 yang berlangsung di Hilton Kuala Lumpur. Turut hadir, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, Pengerusi MAF Prof Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman, Penaung MAF Datin Paduka Marina Mahathir serta Pengasas Kumpulan Sunway Tan Sri Jeffrey Cheah.
14 Dec 21
512
Wanita Terengganu Antara 43 Individu Di Dunia Berdarah Emas
Wanita Terengganu Antara 43 Individu Di Dunia Berdarah Emas
KUALA TERENGGANU, 1 Disember – Seorang wanita Terengganu tergolong dalam 43 individu yang mempunyai darah paling sukar ditemui di dunia atau berdarah emas. Menurut Perkhidmatan Tabung Darah Negeri Terengganu, wanita tersebut diklasifikasikan sebarah penderma darah Rhnull. “kelompok ini paling sukar ditemui di dunia dan setakat ini hanya ada 43 orang sahaja di seluruh muka bumi mempunyai kumpulan darah tersebut. Di Malaysia, hanya beliau seorang setakat ini. “Darah yang didermakan akan dihantar ke Pusat Darah Negara, Kuala Lumpur untuk disejuk bekukan dan seterusnya akan disimpan dalam peti nitrogen -80 darjah celsius selama 10 tahun. “Jika ada pesakit yang memerlukan darah jenis ini, maka darah ini akan dicairkan untuk digunakan,” katanya menerusi satu hantaran, baru-baru ini. Sementara itu, pihaknya turut mengajak seluruh warga agar turut sertai menyumbang darah dalam usaha menyelamatkan mereka yang memerlukan. Menurut Akademi Sains Australia, orang yang hidup dengan jenis darah ini tidak mempunyai sebarang antigen Rh (protein) pada sel darah merah. Dilaporkan bahawa kumpulan darah yang jarang ditemui pertama kali ditemui pada wanita Orang Asli Australia pada tahun 1961. Jarangnya bermakna derma Rhnull amat terhad dan sukar diperoleh apabila individu dengan jenis darah tersebut memerlukan transfusi. Untuk maklumat lebih lanjut berkenaan jadual pusat derma darah mengikut daerah, ikuti ‘Derma Darah Terengganu Kite’ di Facebook serta saluran Telegram Derma Darah Terengganu di pautan : https://t.me/DermaDarahTerengganu
01 Dec 21
4331
Kaedah Inokulasi Dalam Tempoh Percubaan
Kaedah Inokulasi Dalam Tempoh Percubaan
Kaedah inokulasi atau penyuntikan pada batang pokok getah mampu meningkatkan hasil pendapatan penoreh kini sedang menjalani tempoh percubaan dan akan diperkenalkan oleh kerajaan dalam tempoh setahun lagi.
28 Nov 21
261
TERENGGANU TAWAR KHIDMAT RAWATAN KESIHATAN MENTAL PERCUMA
TERENGGANU TAWAR KHIDMAT RAWATAN KESIHATAN MENTAL PERCUMA
16 Nov 21
63
JKNT Keluarkan Kompaun RM18,000 Kesalahan Merokok, Langgar SOP
JKNT Keluarkan Kompaun RM18,000 Kesalahan Merokok, Langgar SOP
KUALA TERENGGANU, 2 November - Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) menerusi ‘Ops Gomo Asap Pagi’ telah mengeluarkan kompaun sehingga RM18,000 dalam sebuah aktiviti penguatkuasaan larangan merokok sertra pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) di tempat makan. Pengarah Kesihatan negeri, Dato Dr Kasemani Embong berkata, usaha tersebut dijalankan bagi menyokong Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memastikan peraturan larangan merokok terutama di tempat makan dipatuhi. “Dengan kelonggaran ekonomi dan aktiviti ‘dine-in’ dibenarkan, masalah merokok di tempat sebegini kembali meningkat dalam negeri. “Terdahulu, ‘Ops Gomo Asap Pagi’ pada 28 Oktober lalu telah melibatkan 33 anggota dengan 69 premis berjaya diperiksa, 26 kesalahan telah dikesan dan semua kesalahan dikeluarkan kompaun dengan nilai RM6,750.00. “Pada operasi hari ini, 51 premis melibatkan 47 pegawai penguatkuasa daripada lima daerah telah mengeluarkan lapan kompaun di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 pindaan 2018 bernilai RM2,000,” katanya. Tambahnya, tujuh daripada kesalahan tersebut melibatkan kedai makan dan satu premis yang tiada tanda larangan merokok. “Kita turut mengeluarkan enam kompaun di bawah pematuhan SOP bernilai RM9,000 di mana kesalahannya seperti pengunjung tidak mengimbas aplikasi MySejahtera dan tidak memakai pelitup muka. “Turut bersama, penguatkuasa Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) yang mengeluarkan satu kompaun (RM250) atas kesalahan berniaga lesen menjadikan jumlah keseluruhan kompaun pagi ini sebanyak RM11,250. “Penguatkuasaan ini selaras dengan pewartaan kawasan larangan merokok di bawah peraturan 11(1)(d), Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 pindaan 2018 berkuatkuasa 1 Januari 2019 serta SOP fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN),” jelasnya lagi. Tambah Kasemani, penguatkuasaan juga akan dibuat jika terdapat kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 seperti pekerja tidak memakai apron lengkap, tidak berkasut dan tidak mempunyai sijil suntikan anti typhoid yang sah. “Diharapkan dengan adanya operasi ini, perokok tidak lagi merokok di kawasan larangan merokok dan memberi peluang kepada golongan tidak merokok menghirup udara yang bebas asap rokok sewaktu menikmati makanan di premis-premis makanan,” ujarnya.
03 Nov 21
531
PENGHUNI INSTITUSI PEMULIHAN YAKIN LEBIH SELAMAT SELEPAS DIVAKSIN
PENGHUNI INSTITUSI PEMULIHAN YAKIN LEBIH SELAMAT SELEPAS DIVAKSIN
14 Oct 21
94
35 Kes Meninggal Luar Hospital Di Terengganu Akibat COVID-19
35 Kes Meninggal Luar Hospital Di Terengganu Akibat COVID-19
SETIU, 29 September – Sehingga kini, Terengganu mencatatkan 35 kematian akibat COVID-19 di luar hospital dan institusi kesihatan (BID) atau sebelum bantuan perubatan secara khusus diberi. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, kebanyakan kes kematian di luar hospital tersebut berlaku akibat sesetengah masyarakat lewat ke hospital dan mendapat rawatan setelah terkesan teruk akibat virus itu. “Bila sudah tenat baru pergi hospital, COVID-19 ini penyakit baharu dan simptomnya boleh datang tiba-tiba seperti sesak nafas kerana saluran penafasan diserang wabak. “Kebanyakan golongan yang kehilangan nyawa akibatnya belum divaksin serta komorbid (berpenyakit kronik) seperti kencing manis, darah tinggi dan sebagainya,” katanya ketika ditemubual pemberita semalam. Beliau menasihati agar masyarakat tidak mengambil mudah simptim COVID-19 dan segera ke institusi kesihatan bagi mendapat ujian saringan. “Jika anda mengalami tanda-tanda atau gejala, buat ujian saringan dahulu, jika didapati positif maka rawatan segera boleh diambil. Jika tidak ia akan berpotensi untuk menjadi pesakit COVID-19 tahap 4 dan 5 (kritikal). “Jika anda telah menerima suntikan dua dos, maka kemungkinan untuk diselamatkan adalah tinggi,” katanya lagi. Kes BID direkodkan sebagai kes baru dan kematian baru secara serentak.
29 Sep 21
1968
Gelandangan Di Kuala Terengganu Terima Vaksin COVID-19
Gelandangan Di Kuala Terengganu Terima Vaksin COVID-19
KUALA TERENGGANU, 27 September – Golongan gelandangan di sekitar daerah ini menerima suntikan vaksin semalam dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK). Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md. Noor berkata, hampir 20 gelandangan termasuk yang menghidap masalah mental telah disuntik dos pertama. “Antara lokasi tumpuan adalah di Terminal Bas Express Kuala Terengganu, Stesen Bas Tanjung dan Kuala Terengganu Waterfront di Jalan Bukit Balik. “Pelaksanaan ini disambut baik melibatkan penyertaan daripada Badan Bukan Kerajaan (NGO) serta agensi kerajaan seperti Kementerian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Polis, Jabatan Pendaftaran Malaysia (JPN) serta Persatuan Komuniti Sosial Negeri Terengganu,” katanya. Beliau berkata demikian selepas program vaksinasi orang gelandangan di Terminal Bas Express Kuala Terengganu, semalam. Tambah Zuraida, inisiatif seumpama itu perlu diadakan secara berkala kerana masih ramai lagi golongan gelandangan yang belum disuntik kerana sukar dijejaki. “Projek ini amat bagus dalam mencapai sasaran semua rakyat Malaysia menerima suntikan vaksin termasuk golongan kurang bernasib baik,” katanya lagi. Sementara itu, ADUN Bandar, Ahmad Shah Muhamed menjelaskan walaupun sasaran asal 14 orang namun pada malam itu pihaknya berjaya menyantuni 18 gelandangan. “Insya-Allah akan diteruskan lagi kerana gelandangan negeri Terengganu berlainan dengan bandar besar kerana kebanyakkan mereka sudah mempunyai rumah sendiri. “Walaupun jumlah sedikit, namun kerjasama baik bersama golongan sasar ini amat baik dalam menerima dos suntikan tanpa sebarang masalah,” katanya lagi. Untuk pengetahuan, selain orang gelandangan, usaha pemvaksinan di Terengganu turut melibatkan golongan sasar lain seperti penghuni Penjara Marang dan Orang Asli di sekitar negeri.
27 Sep 21
542
Vaksin COVID-19 : Empat Penemuan Baharu
Vaksin COVID-19 : Empat Penemuan Baharu
KUALA TERENGGANU, 26 September – Suntikan vaksin COVID-19 yang lengkap dibuktikan dapat mencegah beberapa perkara berdasarkan empat aspek kajian dijalankan bermula 1 April sehingga 12 September melibatkan 14,500,984 individu lengkap vaksinasi. Menurut KKM, kajian itu membuktikan pengambilan vaksin COVID-19 dengan dos lengkap adalah 83 peratus berkesan dalam mencegah kemasukan ke ke unit rawatan rapi (ICU) dan 88 peratus berkesan dalam mencegah kematian. “Selain itu, pengambilan dua dos suntikan 88 peratus berkesan mengurangkan risiko jangkitan serta 86 peratus berkesan mengurangkan risiko jangkitan bergejala,” katanya menerusi hantaran di Twitter, kelmarin. Katanya, analisis tersebut dijalankan Real-World Evaluation of Covid-19 Vaccines di bawah PICK (RECoVaM) dan diterajui Institut Penyelidikan Klinikal (ICR-NIH) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). “Daripada lebih 14.5 juta individu lengkap vaksinasi itu, 953 orang atau 0.0066% dimasukkan ke ICU manakala 1,445 atau 0.010 peratus kematian. “Majoriti individu lengkap vaksin yang dimasukkan ICU dan kematian adalah warga emas dan mempunyai komorbid. Dalam pada itu, AstraZeneca menunjukkan bilangan kes ICU dan kematian yang lebih rendah. “Ini kerana bilangan penerima dos lengkap vaksin itu yang sedikit berbanding vaksin Pfizer dan Sinovac serta sebahagian besar penerima vaksin itu adalah golongan muda,” katanya lagi menerusi webinar dibentang oleh Pengarah ICR-NIH, Dr. Kalai Peariasamy. Berdasarkan Laman web rasmi kerajaan Malaysia untuk data dan analisa tentang COVID-19, Terengganu telah mencapai kadar vaksinasi lengkap bagi dewasa lebih 80 peratus dengan 91 peratus lagi sekurang-kurangnya disuntik satu dos.
26 Sep 21
1400