Artikel "Kebajikan" Terkini
Tingkatkan Kesabaran Dalam Menjaga ‘Anak Syurga’
Oleh : Adli Mohamad
DUNGUN, 23 Jun - Pasangan yang mempunyai anak kelainan upaya (OKU) atau anak syurga perlu banyak bersabar dalam mendidik dan membesarkan anak masing-masing.
Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Ghazali Sulaiman berkata, menjaga anak syurga menuntut kesabaran serta ketabahan yang agak tinggi.
“Allah menjanjikan pahala berlipat kali ganda kepada penjaga anak syurga yang mendidik serta membesarkan mereka dengan penuh kasih sayang.
"Jangan merasa rendah diri ataupun merasa kekurangan apabila menjaga anak OKU ini,” ujarnya ketika dihubungi pemberita selepas menyantuni 150 OKU di bawah umur 17 tahun, di DUN tersebut, baru-baru ini.
Katanya, program berkenaan telah digerakkan bersama Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) DUN Bukit Besi dimana sumbangan duit raya, pek makanan beserta kad ucapan kepada penjaga telah disampaikan kepada setiap penjaga-penjaga anak istimewa berkenaan ketika diziarahi.
"Dimana ziarah berkenaan telah kita adakan secara serentak. Sebagai tanda kecaknaan dan keprihatinan daripada pihak kita.
"Dimana kita komited mengetahui perkembangan mereka, walaupun dilahirkan sedemikian (kelainan upaya) namun kita yakin, Allah telah anugerahkan kepada mereka kebolehan serta keistimewaan yang tersendiri," katanya.
Dimana ujarnya lagi, kebolehan itu akan dapat dikesan apabila mereka mengikuti latihan atau kursus-kursus tertentu.
"Yang membolehkan mereka untuk berdikari. Mereka perlu diberi galakkan serta sokongan agar dapat menyelusuri kehidupan dengan baik.
"Kepada penjaga pula kita suntikkan semangat kepada mereka agar menjaga anak syurga berkenaan dengan sebaik-baiknya, kerana ianya amanah daripada Allah," katanya.
02 Jul 20
288
Ajar Ibu Ucap Syahadah Sebelum Tidur
Oleh : Aziz Hambali
MARANG, 21 – Menjadi rutin bagi Ahmad Hakim Mohamad, 25, menjenguk, mengajak bersembang dan mengajar ibunya mengucapkan kalimah syahadah hampir setiap masa.
Pada masa sama, dia sanggup berjaga sehingga lewat malam demi menjaga ibunya yang sedang terlantar akibat sakit strok otak lebih tiga tahun lalu.
Ahmad Hakim berkata, dia akan berjaga malam sehingga 2 pagi bagi memastikan lampin ibu sentiasa kering, selain menyediakan minuman susu khas.
“Saya buat semua itu kerana sedar, ia adalah tanggungjawab sebagai anak, saya tidak mahu berjauhan dengan ibu yang memerlukan saya pada setiap masa.
“Kerana ibu, saya turut memilih untuk berniaga secara kecil-kecilan dengan menjual burger dan minuman di kawasan kampung,” katanya.
Ahmad Hakim berkata demikian ketika ditemui pemberita Urusetia Penerangan Darul Iman ketika Program Ziarah Bersama isteri Ahli Parlimen Marang (YB Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang), Y.Bhg To’ Puan Seri Hajjah Zainab Awang, kelmarin.
02 Jul 20
173
PINTAR Terengganu Kembali Beroperasi
Bermula 1 Julai, kerajaan Terengganu membenarkan 38 buah Pusat Internet Akses Rakyat (PINTAR) dan satu buah van PINTAR bergerak di seluruh negeri ini mula beroperasi.
02 Jul 20
517
PKM Parlimen Kuala Terengganu Tempatkan Pegawai Urus 'Non-Muslim'
Oleh : Akid Hafriz
KUALA TERENGGANU, 15 Jun - Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Ahli Parlimen Kuala Terengganu telah memperluas organisasi dengan menambah beberapa pegawai-pegawai bukan Islam dari kaum Cina dan India bagi menjaga hal kebajikan berkaitan masyarakat bukan Islam pelbagai kaum di kawasan berkenaan.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Ahmad Amzad Hashim berkata, pembaharuan tersebut bagi melicinkan pengurusan serta gerak kerja PKM di samping mencakupi ruang toleransi lebih luas antara kaum.
“Jadi kita tidak perlu sering ke sana-sini untuk berbincang tentang kaum Cina, kita tidak perlu sana-sini untuk berbincang keperluan kaum India, semuanya ada di sini,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu berkata demikian pada sidang media sejurus merasmikan Majlis Perasmian dan Solat Hajat bersempena pembukaan tambahan pejabat baharu bagi PKM Ahli Parlimen Kuala Terengganu, semalam.
Turut hadir, ADUN Bandar, Ahmad Shah Muhamed dan Pengarah Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), Mohd Soud Said.
Jelasnya, banyak bantuan diproses dan disalurkan sepanjang kemelut COVID-19 menyebabkan kesesakan dalam ruang pejabat sedia ada dan kekurangan itu perlu diperkemaskan.
"Kita rasakan satu keperluan untuk memperbesarkan Pejabat Pusat Khidmat ini supaya urusan lebih lancar.
"Sebentar tadi kita telah mengadakan solat hajat bagi memohon keberkatan daripada Allah SWT agar gerak kerja di Pusat Khidmat ini berjalan dengan sempurna dalam memberikan khidmat yang terbaik kepada rakyat khususnya di Kuala Terenganu,” katanya.
Hadir sama dalam Majlis Perasmian serta Solat Hajat tersebut ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam, Wan Sukairi Wan Abdullah dan ADUN Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi.
02 Jul 20
345
ADUN Wakaf Mempelam Rai Pelajar Cemerlang Dari Rumah Ke Rumah
Oleh : Wan Luqman Hakim
KUALA TERENGGANU, 14 Jun - Seramai 67 pelajar SPM, STPM dan STAM yang berjaya mendapat keputusan yang cemerlang tahun lalu, menerima sumbangan sagu hati daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam, Wan Sukairi Wan Abdullah.
Berdepan kemelut Covid-19 dan demi mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), majlis yang biasanya diadakan di dewan ditukar dengan Wan Sukairi memilih untuk menyantuni pelajar terbabit dari rumah ke rumah.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) berkata, program ini adalah untuk menghargai anak-anak tempatan yang cemerlang di samping memberikan semangat baru kepada mereka untuk melanjutkan pelajaran di peringkat lebih tinggi.
“Saya bersama Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam menyampaikan penghargaan serta ucapan selamat maju jaya kepada mereka dalam apa jua bidang yang mereka ambil sama ada di peringkat matrikulasi, asasi mahu pun diploma.
“Mereka ini adalah pelapis yang akan mengantikan pemimpin sedia ada sekali gus menjadi harapan untuk membangunkan negeri dan Negara kita ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) sewaktu mengadakan Program Ziarah Pelajar Cemerlang di Kampung Kubang Jambu dan kampung-kampung sekitarnya, semalam.
02 Jul 20
190
Terima kasih Ustaz Atas Kecaknaan
Oleh : Azhar Yusof
HULU TERENGGANU, 12 Jun - "Terima kasih Ustaz, kerana ustaz sudi datang memberi kata kata semangat dan motivasi pada kami," kata Orang Kena Pengawasan (OKP), yang hanya mahu dikenali sebagai Faizal.
Dia melahirkan rasa terharu dengan kesudian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Ustaz Maliaman Kassim hadir slot Program Agama dan Kerohanian walaupun mengetahui tentang sejarah hitam mereka yang hadir.
Malah dia juga berkongsi kisah permulaan bagaimana penglibatannya dengan pil kuda.
Jelasnya, dia mengambil pil kuda kerana mengalami masalah peribadi pada umur 23 tahun ketika bergelar penuntut di sebuah Universiti Awam yang menyebabkanya tercicir dalam pembelajaran.
"Pada mulanya, memang berasa hilang segala masalah tetapi selepas itu, menjadi sangat letih dan lemah. Lepas itu mula menggandakan pengambilan pil kuda dan lama-kelamaan, dah tidak boleh mengawal diri dan terus menjadi hamba dadah," katanya kepada wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) ketika ditemui selepas program berkenaan, semalam.
Faizal yang kini berumur 37 tahun sedang menjalani pemulihan bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) .
Sementara itu, Pengerusi ( JKPD) Jawatankuasa Pemulihan Dadah Hulu Terengganu yang juga ADUN Ajil, Ustaz Maliaman Kassim berkata kolaborasi agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan menerusi program itu juga diharap akan membangunkan model baharu dengan tindakan lebih berkesan dalam menangani penyalahgunaan dadah di negara ini.
“Terjebaknya dengan najis dadah amat memberi kesan terhadap kehidupan segelintir belia .Kebanyakkannya bermula akibat pengaruh rakan sebaya membuatkan mereka terjebak dengan aktiviti tersebut seawal bangku persekolahan lagi.
"Walaupun mereka kurang disenangi masyarakat, mereka sentiasa mendapat perhatian dari kerajaan melalui AADK yang memainkan peranan penting dalam membantu mereka keluar dari masalah penggunaan dadah disamping menjadikan mereka mempunyai modal insan yang berguna," ujarnya lagi.
Jelasnya, dinamika penyalahgunaan dadah ini adalah sangat kompleks kerana ada yang terjebak kerana kemiskinan, sebab membesar di kalangan orang yang menghisap dadah, dan kitaran yang tidak baik ini akan berterusan.
“OKP ini mahu berubah, tetapi memerlukan sokongan ahli keluarga dan masyarakat di mana melalui program sebegini memberi kesedaran bahawa masyarakat masih menerima mereka.
"Sebab tu lah peranan kita yang ‘sihat’ ni penting. Bukan dengan memaksa, tapi dengan memberi perhatian, mendengar, dan memahami jiwa dan fizikal mereka-mereka yang terperangkap dalam penyalahgunaan dadah ini," katanya.
02 Jul 20
117
167 Orang Asli Sungai Pergam Disantuni
Oleh : Aminji
KEMAMAN, 11 Jun - Seramai 167 orang ketua isi rumah masyarakat Orang Asli Sungai Pergam menerima sumbangan keperluan harian dan wang ringgit di sini hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Ab Razak Ibrahim berkata, mereka adalah antara golongan yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula 18 Mac lalu.
"Masyarakat Orang Asli di Sungai Pergam terdiri daripada pelbagai peringkat umur dan pekerjaan.
"Mereka juga terkesan dengan PKP dalam usaha sama mengekang wabak COVID-19 ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam satu majlis ringkas penyampaian sumbangan kepada penerima.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat juga turun padang menyantuni masyarakat Orang Asli di sini.
Ab Razak turut memberitahu, Pusat Khidmat Masyarakat DUN Air Putih menyampaikan sumbangan kepada masyarakat Orang Asli dari masa ke masa sepanjang PKP berjalan.
“Kami mengucapkan terima kasih kepada YB (Yang Berhormat) Ahli Parlimen Kemaman dan YB Exco Kerajaan Negeri Terengganu yang sanggup turun padang menyantuni mereka.
"Kita berharap dengan sumbangan yang diterima dapat meringankan sedikit sebanyak bebanan yang ditanggung," ujarnya.
01 Jul 20
717
Mangsa Motosikal Terbakar Terharu Terima Sumbangan
Oleh : Mohd Rizauddin
DUNGUN, 9 Jun - "Saya sungguh terharu dengan sumbangan motosikal yang saya dapat ni. Terima kasih banyak ustaz. Saya doakan semoga Allah permudahkan segala urusan ustaz dan semua kakitangan Pejabat Parlimen Dungun," ujar Mohammad Radzi Mohamed.
Mohamad Radzi, 65, merupakan pemilik sebuah motosikal yang musnah terbakar di Bangunan Salwa, Sura Gate, pada 7 April lalu.
Katanya, dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 10 pagi itu dia berada di bilik sewanya di tingkat tiga bangunan tersebut selepas baru 10 minit pulang dari kedai runcit.
Mohamad Radzi berkata, dia tetap redha dengan dugaan yang dihadapi walaupun kejadian berkenaan menyebabkan satu-satunya kenderaan miliknya lenyap sekelip mata.
Bagaimanapun, sukar untuk digambarkan perasaannya apabila memperoleh sebuah motosikal baharu hasil sumbangan Pejabat Ahli Parlimen Dungun serta pihak kedai Aroma Kitchen yang turut mengadakan kutipan derma untuk menggantikan motosikalnya yang terbakar.
"Sekali lagi saya nak ucapkan terima kasih. Saya memang tidak menyangka Allah kurniakan rezeki sebegini kepada saya. Terima kasih juga kepada Aroma Kitchen kerana turut serta mengadakan kutipan derma. Semoga Allah membalas jasa kalian semua," ujarnya kepada pemberita pada majlis penyampaian sumbangan itu di Tenox Motorbikes, di sini, semalam.
Penyerahan motosikal tersebut dilakukan oleh Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli dengan disaksikan pemilik Aroma Kitchen sendiri, Jamilul Khairi Abd Rasid serta rakan kongsinya, Azidy Abdul Hadi.
Sementara itu, Wan Hassan berkata, inisiatif yang dilakukan oleh pihak Aroma Kitchen itu adalah satu contoh terbaik bagi anak muda.
Beliau juga menggalakkan agar lebih ramai lagi anak muda di Dungun khususnya terlibat dengan kerja-kerja kebajikan seperti yang dilakukan oleh mereka berdua.
01 Jul 20
449
Pok Mat Tidak Sangka Terima Kunjungan Pemimpin Negeri
Oleh : Rohayati Ripin
KUALA TERENGGANU, 8 JUN – Bapa kepada tiga mangsa kejadian lemas di Sungai Telemong, Hulu Terengganu pada 28 Mei baru-baru ini tidak menyangka dan terharu dengan kehadiran para pemimpin kerajaan negeri ke kediamannya.
Mohamad Ismail ataupun dikenali dengan panggilan Pok Mat, 64, yang tinggal di kampung Kuala Telemong, Hulu Terengganu tidak menyangka rumahnya sentiasa didatangi para pelawat.
“Saya tak sangka rumah saya tak putus-putus didatangi oleh para pemimpin kerajaan negeri Terengganu. Kita orang biasa sahaja dan orang yang hadir itu orang kenamaan.
“Ada orang kata anak-anak saya ini mulia Allah bagi selepas dia tiada. Terima kasih kepada semua pihak daripada orang atas hingga bawah yang sudi hadir,” jelasnya.
Pok Mat yang merupakan seorang Pesara Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan kini pemandu van jenazah berkata demikian ketika ditemui pihak media di rumahnya, pada semalam.
Justeru itu, beliau berpesan kepada anak-anaknya yang lain jangan meratapi orang yang sudah pergi.
“Saya pesan ke anak-anak cukup-cukuplah menangis. Jangan fikir banyak. Nabi Muhammad SAW pun sedih juga dengan pemergian orang tersayang tetapi jangan melampau sangat.
“Saya redha dengan apa yang berlaku dan kita ambil kesempatan dan peluang yang ada seperti solat malam, sedekah pada mereka,” tambahnya lagi.
Sementara itu, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato’ Yahaya Ali yang membuat kunjungan ke rumah Pok Mat berkata, beliau bersimpati dengan kejadian yang telah meruntun hati apabila kehilangan tiga orang anak sekaligus.
“Tujuan kami datang adalah untuk menyatakan rasa simpati dan merapatkan ukhuwah persaudaraan sesama umat Islam.
“Mudah-mudahan apa yang berlaku ini, Pok Mat sekeluarga bersabar menghadapinya walaupun anak-anak yang pergi masih lagi diusia remaja,” ujar beliau.
Menurutnya yang juga Pengerusi Pertubuhan Muafakat Sejahtera (Sejahtera), sebelum Ini Menteri Besar Terengganu Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar telah mengadakan kunjungan bersama barisan Exco dengan tujuan yang sama.
“Kami rancang lewat sikit tapi sekurang-kurangnya ada penyambung yang turut sama merasai perasaan dan kesedihan. Dan ada sedikit sumbangan berbentuk kewangan diberikan kepada keluarga tersebut,” tambah Yahaya.
01 Jul 20
56
‘Projek Kongsi Rezeki’ Sasar 400 keluarga
Oleh : Adli Mohamad
DUNGUN, 7 Jun-‘Projek Kongsi Rezeki’ menyasarkan 400 keluarga yang terdiri daripada golongan asnaf, warga emas, Orang Kelainan Upaya (OKU) serta ibu tunggal untuk diagihkan bantuan berupa barangan dapur, secara berperingkat.
Koordinator Negeri Kindness Malaysia (Team Terengganu), Nur Syazwani Halim berkata, projek amal tersebut adalah hasil kerjasama Kindness Malaysia (Team Terengganu) dan Biro Pembangunan Pelajar Akademi Pengajian Bahasa, Universiti Teknologi MARA Cawangan Terengganu.
“Kita juga bekerjasama dengan ahli jawatankuasa masjid terlibat iaitu Masjid Kampung Tepus, Balai Besar, Seberang Pintasan dan Kampung Baru untuk pemilihan penerima yang layak.
“Sementara itu, kita turut mendapat sumbangan daripada individu yang mahu identitinya dirahsiakan,” ujarnya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Mengulas lanjut, katanya sebagai permulaan seramai 100 keluarga terpilih dari sekitar Bukit Besi telah menerima bantuan masing-masing dalam satu majlis ringkas yang diadakan di Masjid Kampung Tepus, semalam.
“Setinggi-tinggi penghargaan kepada Pegawai Penyelaras DUN Bukit Besi, Ghazali Sulaiman serta ahli jawatankuasa masjid tersebut yang membantu mengenalpasti keluarga-keluaga yang memerlukan bantuan.
“Selain bertungkus lumus memastikan agihan dapat dibuat secara lancar dan teratur. Diharap bantuan yang diberikan ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban semua penerima, terutamanya pada musim Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini.
Dalam pada itu, Ghazali turut merakamkan ucapan terima kasih diatas bantuan Badan Bukan Kerajaan (NGO) berkenaan yang tampil membantu meringankan beban mereka yang memerlukan.
01 Jul 20
273