lightning-solid
Berita :

Artikel "Kebajikan" Terkini

Ahli Parlimen Kemaman Isi 50 Tabung Masjid
Ahli Parlimen Kemaman Isi 50 Tabung Masjid
Oleh : Alfian Mamad/Wan Hadi KEMAMAN, 2 Julai - Sebanyak 50 buah masjid di seluruh Kemaman menerima sumbangan bagi menampung perbelanjaan pengurusannya setelah tiada kemasukan dana semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tempoh hari. Ahli Parlimen Kemaman, Ustaz Alias Abd. Hamid melalui Pusat Khidmat Masyarakatnya telah menyalurkan sejumlah wang tunai bagi meringankan bebanan sesetengah masjid. Menurut Ketua Penyelaras Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Kemaman, Mohd Hafiz Adam, peruntukan sebanyak RM125 ribu telah dikeluarkan bagi menyuntik dana tabung masjid yang agak berkurangan di seluruh Kemaman. "Menyedari perkara tersebut kami bermesyuarat dan merancang bagi memulihkan setiap tabung masjid yang ada di seluruh kawasan Kemaman. "Sepanjang tempoh PKP tiada sumbangan daripada orang awam yang kebiasaannya dikutip pada setiap solat Jumaat yang berjumlah tiga hingga empat ribu seminggu," ujar beliau. Mohd Hafiz berkata demikian ketika ditemui pada sesi penyerahan dana 14 buah masjid Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal di Masjid Jamek Kijal semalam. Hadir sama dalam majlis penyerahan tersebut, Pegawai Agama Daerah Kemaman, Aizi Saidi Abd Aziz, Ketua Unit Pengurusan Masjid Daerah Kemaman, Ustaz Hassan Harun, Pembantu Hal Ehwal Islam Bahagian Pengurusan Masjid, Ustaz Abdul Hakim Mohd Nasir dan Penyelia Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) DUN Kijal, Wahab Ahmad. Dalam pada itu, Penyelaras DUN Kijal, Hazri Jusoh turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada Pejabat Parlimen Kemaman di atas inisiatif mereka dalam membantu kesemua masjid yang terjejas. "Alhamdulillah, saya mewakili pihak pengurusan masjid di DUN Kijal merakamkan jutaan terima kasih kepada YB Parlimen Kemaman, Ustaz Alias Abd. Hamid di atas sumbangan ini," katanya.
06 Jul 20
1351
Impian 69 Penduduk Miliki Tanah Sendiri Tercapai
Impian 69 Penduduk Miliki Tanah Sendiri Tercapai
Penantian 69 penduduk daerah Kuala Nerus untuk memiliki tanah sendiri yang dipohon sejak lebih 20 tahun lalu berakhir apabila masing-masing menerima surat hak milik tanah hari ini.
05 Jul 20
29
Impian 69 Penduduk Milik Tanah Sendiri Tercapai
Impian 69 Penduduk Milik Tanah Sendiri Tercapai
KUALA NERUS, 2 Julai - Penantian 69 penduduk daerah ini untuk memiliki tanah sendiri yang dipohon sejak lebih 20 tahun lalu berakhir apabila masing-masing menerima surat hak milik tanah itu hari ini. Rata-rata penerima teruja dengan berita gembira tersebut serta bersyukur atas keprihatinan kerajaan negeri menyerahkan surat hak milik dinantikan-nantikan sejak sekian lama. Seorang penerima, Meriam Yusof, 75, berkata, dia memohon tanah di kawasan Kampung Baroh Tok Jiring pada tahun 1999 ketika berusia 54 tahun bersama penduduk lain untuk diusahakan sebagai tempat penanaman padi. "Hari ini, saya cukup gembira dan bersyukur kerana penantian untuk memiliki tanah sendiri akhirnya tercapai walaupun sedikit terkilan kerana arwah suami, Mohamad Abdullah tidak dapat melihatnya. "Sukar untuk menggambarkan perasaan saya selepas surat hak milik yang tertera nama sendiri sudah berada di tangan. "Lebih bermakna, ia diserahkan sendiri oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, alhamdulillah terima kasih banyak-banyak," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis penyerahan Dokumen Hak Milik Peserta Tanah Rancangan Berkelompok Baroh Tok Jiring, disini, hari ini. Turut hadir, Pegawai Kewangan Negeri, Dato' Zainal Abidin Hussin, Pengarah Tanah Dan Galian,Tengku Seri Bijaya Raja, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri, Dr. Alias Razak, Pegawai Daerah Kuala Nerus, Ariffin Abdullah serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim Seramai 69 penduduk daripada 102 pemohon menerima surat hak milik tanah masing-masing pada majlis yang disempurnakan Ahmad Samsuri. Perasaan sama turut dikongsi warga emas, Kelsom@Semek Ismail,74, yang turut melahirkan rasa syukur kerana masih berkesempatan menikmati saat penuh bermakna dalam hidupnya itu apabila turut menerima surat hak milik tanah. “Terima kasih kepada kerajaan negeri yang berusaha untuk mengembalikan hak kami,” ujarnya.
02 Jul 20
76
Rumah Hangus, Ibu Tunggal Tinggal Sehelai Sepinggang
Rumah Hangus, Ibu Tunggal Tinggal Sehelai Sepinggang
KUALA NERUS, 30 Jun - Seorang ibu tunggal termasuk seorang anak kelainan upaya tinggal sehelai sepinggang selepas kediaman mereka di kampung Pulau Duyong Kecil hangus dijilat api, hari ini. Dalam kebakaran kira-kira jam 1.40 petang itu, rumah pusaka yang didiami Rohaini Yusof, 52, musnah seratus peratus. Menurut Rohaini, ketika kejadian dia bersama empat lagi anaknya berada di kawasan halaman rumahnnya. Katanya, sejurus selepas itu dia terlihat asap dari ruang tamu sebelum disusuli api besar membakar kediamannya. "Selepas itu, kita beritahu jiran dan suaminya menelefon Bomba. "Jadi, tak sempat hendak ambil belaka surat beranak ke apa, lari sehelai sepinggang," katanya ketika ditemui di lokasi, petang ini.  Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Mokhtar Dollah memaklumkan menerima panggilan pada jam 1.44 petang sebelum jentera bomba dengan kekuatan 23 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian. Katanya ketika sampai ditempat kejadian api marak sedang membakar kediaman berkenaan. "Di lokasi, kita dapati kebakaran 100 peratus melibatkan rumah jenis sementara kekal dan kita gunakan tiga jentera  Fire Rescue Tender (FRT), satu water tanker dan satu Emergency Medical Rescue Services (EMRS). "Kita mengalami sedikit kesukaran untuk sampai di lokasi kebakaran akibat jalan terlalu sempit  dan juga pili bomba berada lebih kurang 400 kaki dari tempat kejadian," katanya. Tambahnya, setakat ini, pihak bomba masih menyiasat punca kebakaran dan anggaran kerugian.  
02 Jul 20
46
MB Zahir Takziah Kepada Mangsa Kebakaran
MB Zahir Takziah Kepada Mangsa Kebakaran
Oleh: Aslam Wira MARANG, 28 Jun - Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menzahirkan ucapan takziah kepada mangsa kebakaran yang berlaku di Kampung Baru Bukit Kecil, semalam. Pada masa sama Ahmad Samsuri turut menghulurkan sumbangan yang disampaikan oleh Pegawai Khasnya, Sabri Zakaria bagi meringankan beban mangsa. Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang dan beberapa jabatan lain turut bersama-sama memberikan sumbangan segera berbentuk kewangan dan keperluan asas. Antaranya adalah Pejabat Ahli Parlimen Marang, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Marang, Tabung Darul Iman serta Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) Marang. Ketika kejadian, mangsa tiada di rumah kerana berada di rumah anaknya. Kebakaran yang bermula daripada sebuah bilik menyebabkan keadaan rumahnya itu hangus secara keseluruhannya. Punca kejadian kebakaran yang berlaku kira-kira jam 11.40 pagi itu masih belum dikenal pasti, namun tiada kemalangan jiwa yang berlaku.
02 Jul 20
185
Pasangan Warga Emas Terharu Terima Katil Boleh Laras
Pasangan Warga Emas Terharu Terima Katil Boleh Laras
Oleh : Mohd Fakhrullah Mohamad MARANG, 27 Jun – Pasangan warga emas yang menghidapi penyakit kencing manis, darah tinggi dan strok menerima katil boleh laras yang disumbangkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payong, Mohd Nor Hamzah semalam. Suami isteri itu Hussin Awang, 66, dan Zaimah Chik, 59, menetap di Kampung Titian Baru, di sini. Husin berkata, bantuan itu dapat meringankan sedikit beban selepas kedua-dua mereka tidak lagi mampu bergerak kerana penyakit yang dihadapi. “Alhamdulilah, kami bersyukur, dengan adanya katil beroda ini, ia sedikit sebanyak memberikan keselesaan selain memudahkan lagi urusan,” katanya. Mohd Nor yang juga merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri turut berharap agar mereka akan terus tabah menghadapi dugaan itu. "Semoga dengan sumbangan katil ini dapat menambahkan sedikit keselesaan kepada mereka dan tabahkan hati dalam mengharungi ujian ini," katanya Hadir sama dalam penyerahan tersebut, Pegawai khas Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Bukit Payong, Mat Ghani Jusoh, Penyelia Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (IMITS) Bukit Payong, Mat Noh Ismail, Pengerusi MPKK Kampung Titian Baru, Abdul Halim Wahab dan hadir sama Masyarakat setempat.
02 Jul 20
130
Anak Autisme Bakal Diami Rumah Baharu
Anak Autisme Bakal Diami Rumah Baharu
Oleh : Aslam Wira MARANG, 25 Jun – Dua kanak-kanak yang menghidapi autisme bakal menghuni rumah kediaman yang baharu dan lebih selesa selepas ibunya menerima Rumah Mampu Milik (RMM) di Taman Bukit Gasing. Ibu ‘anak syurga’ terbabit, Hanipah Jusoh, 41, menyatakan rasa syukur dan terharu dengan keprihatinan pihak kerajaan negeri yang mengutamakan keluarganya untuk memiliki rumah berkenaan Hanipah yang turut mengalami depresi berkata, sejak 10 tahun lalu dia berharap untuk memiliki kediaman sendiri kerana memerlukan ruang yang lebih privasi bagi menguruskan dua anak lelakinya, Iqbal Muhaimin Saharuddin, 14, dan Muhammad Aisy Maashir Saharuddin, 9,. “Saya sendiri menghidap kemurungan (anxiety disorder) dan dirawat di Hospital Selayang sebelum ini serta masih berada dalam pantauan pakar Psikiatri untuk ubat-ubatan. “Ada orang yang nampak biasa tapi kita sebenarnya menderita daripada dalam, tambahan pula anak-anak autisme juga susah untuk dijaga, kerana kadang-kadang mereka sangat agresif,” katanya ketika ditemui di rumahnya baru-baru ini. Menurutnya, sebelum ini dia dan keluarga menyewa sebuah rumah namun disebabkan keadaan dua anak lelakinya itu yang tidak sama seperti anak orang lain ia memberi suasana tidak selesa kepada jiran-jiran. “Malah kami juga tidak selesa dengan tuan rumah apabila mendapat aduan daripada jiran-jiran yang tidak memahami. Walaupun kami cuba memberi kefahaman kepada mereka tentang autisme, tetapi situasi sebenar tidak sama seperti apa yang diharapkan,” ujarnya. Tambah Hanipah, situasi menjadi lebih rumit apabila suaminya, Saharuddin Danial, 41, dibuang kerja sebanyak hampir 10 kali kerana kerap mengambil cuti untuk menguruskan anak hingga menyebabkan kewangan terjejas. “Kadang-kadang berlaku konflik antara keluarga, apabila menumpang di rumah ibu bapa, dengan keadaan anak yang seperti ini, sedikit sebanyak mengundang rasa tidak selesa terutamanya apabila adik beradik dan saudara mara pulang menjenguk ibu bapa lebih-lebih lagi ketika cuti perayaan,” jelasnya. Sementara itu, Pegawai Khas Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng berkata, proses pemilihan kepada mereka yang berkelayakan untuk memohon tiga kekosongan di Taman Bukit Gasing itu adalah melalui jawatankuasa khas. “Jawatankuasa ini dipengerusikan Pegawai Daerah Marang, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak yang dihadiri oleh Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT), SUK Perumahan dan wakil Pejabat ADUN Rhu Rendang. “Kelayakan permohonan mereka ini dikaji melalui siasatan bersama Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) e-Kasih, Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Marang, dan jabatan-jabatan terbabit, sebelum dihantar kepada PMINT untuk ditemuduga,” tambah beliau.
02 Jul 20
188
Tunai Janji Kembalikan Tanah RTB
Tunai Janji Kembalikan Tanah RTB
Oleh : Nooreni Abu Bakar DUNGUN, 25 Jun- Kerajaan negeri bersungguh menunaikan janji manifesto PAS pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) apabila mengembalikan tanah peserta 'terkilan' Rancangan Tanah Berkelompok (RTB). Pegawai Penyelidik, Pejabat Menteri Besar Terengganu, Azman Shafawi Abdul Rani berkata, selepas berjaya mengambil alih kerajaan pada 2018 kerja-kerja mengenal pasti peserta yang tersisih sebelum ini segera dilakukan. "Kita tidak berlepas tangan dengan bekerja keras menyelesaikan masalah mereka yang tersisih akibat bertukar kerajaan, kita gantikan yang baharu, walaupun bukan tanah di tempat asal tetapi mereka dapat hak mereka," jelasnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di Majlis Penyerahan Jadual 5A Bagi Tanah Rancangan Berkelompok Tapak Rumah Dan Tanah Pertanian, DUN Rantau Abang di Dewan Darul Ansor, Kampung Alor Mak Bah di sini, baru-baru ini. Seramai 119 orang penerima termasuk mereka yang membuat permohonan baharu telah menerima hak masing-masing pada majlis yang dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun itu. Turut hadir, ADUN Sura, Wan Hapandi Wan Nik dan Pegawai Daerah Dungun, Anuar Awang. Sementara itu, Alias berharap penerima memanfaatkan sebaiknya tanah yang diberikan. "Kita tidak mahu ianya menjadi tanah terbiar atau dijual kepada orang lain," ujarnya.
02 Jul 20
113
Penantian 10 Tahun Penduduk SPKA Bakal Berakhir
Penantian 10 Tahun Penduduk SPKA Bakal Berakhir
MARANG,  24 Jun - Gangguan bekalan air yang membelenggu kira-kira 300 penduduk di Tanah Lot Skim Penempatan Kemudahan Awam (SPKA), Wakaf Tapai, di sini bakal berakhir selepas Syarikat Air Terengganu (SATU) bersetuju membina tangki simpanan dalam tempoh terdekat. Ketua Pegawai Eksekutif SATU, Ir Atemin Sulong berkata, pihaknya bersetuju membina tangki simpanan bernilai RM100,000 itu menggunakan peruntukan di bawah tanggungjawab sosial korporat (CSR). Katanya, kawasan yang bersesuaian untuk tujuan tersebut sudah dikenalpasti dan proses pembinaan dijangka akan bermula dalam tempoh terdekat. “Sekiranya tiada sebarang masalah teknikal terutama daripada pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB), penduduk di kawasan ini boleh mendapatkan bekalan air bersih sebelum Aidiladha ini,” katanya. Beliau berkata demikian pada  Program bual bicara SATU bersama penduduk SPKA Wakaf Tapai di Dewan Sivik Wakaf Tapai di sini hari ini. Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong. Menurut Ir Atemin, apa yang dialami penduduk di kawasan itu terutama membabitkan 20 keluarga adalah disebabkan kawasan berbukit-bukit, selain tinggal di tempat yang tinggi. “Paip utama yang sedia ada tidak dapat membekalkan air di kawasan itu lebih-lebih lagi ketika di waktu puncak. “Pihak kami berharap penduduk terbabit  bersabar kerana pembinaan tangki simpanan air itu memerlukan penelitian, penggunaan alat ganti ditempah khas dan bukan boleh dibeli mana-mana kedai,” katanya. Beliau turut memberitahu, Marang antara daerah yang turut disenaraikan bakal menerima loji air bernilai RM500 juta bagi menampung keseluruhan penduduk. “Daerah itu sebelum ini mendapatkan bekalan air dari loji air Kuala Terengganu dan Hulu Terengganu. “Pihak kami tidak dapat membina loji di Marang kerana pelbagai faktor antara sungai yang ada tidak dapat membekalkan air secukupnya, selain berdepan masalah kawasan berbukit,” katanya.  
02 Jul 20
70
Pinjaman Jaya Diri Terengganu Bantu Keluarga Pendapatan Rendah Berniaga
Pinjaman Jaya Diri Terengganu Bantu Keluarga Pendapatan Rendah Berniaga
KUALA TERENGGANU, 23 Jun - Seramai 96 orang peserta aktif memulakan perniagaan selepas menyertai Program Jaya Diri (PJD) yang membabitkan pinjaman bernilai RM811,000 melalui Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) bermula awal tahun ini sehingga Mei 2020. Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, berlaku pengurangan mendadak jumlah pinjaman dan bilangan penerima berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula 18 Mac lalu. Katanya, dijangkakan permohonan akan terus meningkat dengan beberapa kelonggaran yang diberikan dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ketika ini. "PJD merupakan inisiatif kerajaan negeri melalui YPKT yang bertujuan untuk memberi pinjaman tanpa faedah kepada golongan kurang berkemampuan memulakan perniagaan selain melatih kemahiran asas pengurusan diri untuk membantu meningkatkan pendapatan keluarga peserta. "Mereka kebanyakannya terdiri daripada golongan keluarga, belia dan ibu tunggal. Di Terengganu sahaja, kita mempunyai seramai kira-kira 36,000 ibu tunggal dengan usia paling muda adalah 18 tahun. "Penyertaan peserta disasarkan kepada golongan suri rumah, ibu tunggal dan belia-beliawanis daripada keluarga berpendapatan RM3,000 ke bawah atau mempunyai pendapatan per kapita di bawah RM600. "Melalui PJD, setiap peserta layak menerima pinjaman antara RM3,000 hingga RM20,000 bergantung kepada jenis perniagaan yang dijalankan seperti kedai makan, jahitan, kedai runcit, pertanian, penternakan dan salun kecantikan," katanya kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Buku "Keluarga Mawaddah & Rahmah", di Wisma Darul Iman, semalam. Hadir sama dalam majlis tersebut, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor. Dalam pada itu, Hanafiah turut memberitahu, selain mendapatkan bantuan modal, peserta turut didedahkan dengan program-program untuk meningkatkan kefahaman dan motivasi serta menambah pengetahuan dan kemahiran mereka dalam bidang perniagaan yang diceburi.
02 Jul 20
1138