Artikel "Kebajikan" Terkini
Terengganu Luluskan RM100 Ribu, Jeti Baharu Buat Nelayan
Cakna terhadap keluhan warga nelayan di Kampung Fikri, Kerajaan Terengganu meluluskan peruntukan RM100,000, pembinaan jeti baharu bagi menampung jumlah bot-bot di sini.
05 Jul 21
408
PKPD : 350 Pek Barangan Dapur Buat Penduduk Kubang Jela
KUALA NERUS, 4 Julai - Sebanyak 350 pek barangan keperluan dapur buat masyarakat terkesan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Kampung Kubang Jela telah bermula pengagihan semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buluh Gading, Ridzuan Hashim memaklumkan, barangan tersebut dihantar dan dikumpulkan di Masjid Kampung Kubang Jela sebelum diagihkan oleh petugas dari Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) setempat kepada semua penduduk yang terlibat.
“Untuk kawasan PKPD, kita hanya mampu menyalurkan di kawasan yang dibenarkan pihak berkuasa tempatan (PBT), selebihnya diuruskan oleh warga komunitit sendiri untuk proses pengagihan,” ujar beliau ketika diminta mengulas tentang proses pengagihan sumbangan itu.
Beliau juga menzahirkan ucapan terima kasih kepada pihak Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Kuala Nerus khususnya Menteri Perusahaan Perladangan & Komoditi, YB Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali diatas barangan keperluan harian yang telah disalurkan.
“Kepada semua penduduk Kampung Kubang Jela, saya mohon bersabarlah di atas ujian ini, jagalah garis panduan yang ditetapkan dan patuh arahan PBT.
"Sekiranya terdapat masalah berbangkit sepanjang tempoh PKPD ini termasuk terputus bekalan keperluan harian, para penduduk boleh menghubungi Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Buluh Gading ditalian 0169867007 dan 0139303308,” pesan beliau lagi.
04 Jul 21
415
KETENGAH Hargai Media Terengganu
KUALA TERENGGANU, 4 Julai - Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) menzahirkan rasa terima kasih kepada pengamal media di negeri Terengganu atas usaha mengetengahkan pelbagai isu-isu masyarakat dalam usaha membantu meringankan beban yang ditanggung pada pasca pandemik Covid-19.
Pengerusinya, Senator Datuk Razali Idris berkata, media juga merupakan barisan hadapan yang berusaha dalam memerangi Covid-19 di negara kita.
"KETENGAH sangat menghargai sumbangan 'frontliner', tidak terkecuali wartawan. Para pengamal media terdedah dengan risiko jangkitan pandemik kerana mereka berjumpa dengan pelbagai individu di berbagai tempat dalam usaha menjalankan tugas, maka mereka juga dianggap barisan hadapan yang patut dihargai.
"Saya menganggap mereka (pengamal media) sebagai penyedar kepada pimpinan yang culas mengambil tahu apa yang berlaku dalam kawasan masing-masing," katanya ketika ditemui di pejabat KETENGAH Holding, di sini hari ini.
Dalam pertemuan itu, KETENGAH menyampaikan saguhati kepada pemberita yang hadir sebagai penghargaan kepada penat lelah mereka.
Razali turut menyarankan, para pengamal media harus diberi keutamaan mengambil vaksin bagi mengelakkan penularan dikalangan mereka.
Jelasnya, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) perlu mengambil maklum bahawa ada lagi sebahagian pengamal media di negeri itu belum menerima vaksinasi.
04 Jul 21
96
Harrif Salleh Kongsi Duit Menang Lumba Basikal Dengan Masyarakat
KUALA TERENGGANU, 3 Julai - Jaguh pecut negara dan Terengganu Cycling Team (TSG), Mohd Harrif Saleh, menunaikan hasratnya berkongsi hadiah dimenanginya bersama orang ramai dengan cara tersendiri.
Atlet terkenal Terengganu itu memasak gulai ayam kampung bersama keluarganya untuk disedekahkan kepada orang ramai yang berkunjung ke gerai bapa mentuanya di Jalan Panji Alam, hari ini.
Menurutnya, sejumlah RM2,000 hadiah yang dimenangi ketika muncul pelumba Malaysia pertama menjuarai perlumbaan di Eropah pada Februari dibelanjakan bagi menyediakan juadah itu.
"Sudah menjadi kebiasaan sebelum berlumba, saya memasang niat untuk bantu orang ramai sekadar termampu jika saya berjaya menduduki kedudukan podium atau lebih baik, muncul juara.
"Sebelum ini saya berkunjung rumah ke rumah memberi sumbangan berbentuk keperluan asas, tapi kali ini dengan wabak pandemik COVID-19 yang masih tidak menentu selain pelanggan tidak boleh makan di kedai, saya memilih untuk memasak sendiri gulai ayam kampung sambil dibantu keluarga," katanya.
Pelumba berusia 33 tahun yang lebih mesra dipanggil Mamat berkata, dia mengagihkan sebanyak 160 pek gulai ayam kampung sebagai tanda terima kasih kepada peminat yang sentiasa menyokongnya selama ini.
Februari lalu, Harrif mencipta sejarah mengungguli Grand Prix (GP) Manavgat di Turki sekali gus menjadi pelumba tempatan pertama memenangi perlumbaan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) di benua Eropah.
"Pencapaian di Turki adalah antara kenangan manis yang tidak dapat dilupakan dalam karier saya, lebih-lebih lagi kali pertama berlumba di Eropah terus membawa pulang kejayaan selepas tidak berkayuh selama setahun berikutan wabak COVID-19.
"Sekarang saya menumpukan latihan sebagai persediaan menghadapi kejohanan di Thailand nanti selain jika dipanggil mewakili negara pada temasya Sukan SEA di Vietnam hujung tahun ini," katanya.
03 Jul 21
1459
Di Sebalik Senyuman, Suraya Derita Kanser Tahap 4
Oleh : Khatijah Alias
HULU TERENGGANU, 1 Julai – Tiada siapa yang menyangka, di sebalik wajah ceria dan tenang Suraya Abdullah menyimpan pelbagai kisah duka kerana sedang menderita kanser payudara tahap 4.
Wanita yang tinggal Kampung Binjai Kertas, Kuala Berang itu berkata, penyakit itu tidak melemahkan semangatnya untuk hidup seperti biasa dan dia menganggap kanser tersebut sebgai ujian.
Suraya Abdullah atau Kak Aya, 46, berkata, dia mula mengidap penyakit barah payudara ini sejak tahun 2018 lalu.
"Masa itu tahun 2018, saya dapat tahu yang saya diserang kanser payudara dan dah berada pada tahap 2.
"Saya masih lagi bekerja seperti biasa sebagai guru di Madrasah Darul Iman (MDI), Marang, sehinggalah tahun lepas sakit saya semakin serius dan terpaksa menjalani pembedahan.
"Bermula itu saya tidak lagi dapat bekerja dan hanya duduk dirumah,” katanya ketika dihubungi pemberita semalam.
Kak Aya ketika menerima kunjungan Dr Mamad.
Disebabkan itu, bekas guru MDI itu memaklumkan, pendapatan keluarganya sekarang hanya bergantung kepada kerja suaminya dan bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta sumbangan daripada MDI.
“Suami bekerja sebagai guru di sekolah agama di Kampung Laut. Dulu, sumber pendapatan daripada kami berdua, tapi sekarang ini bergantung kepada suami sahajalah.
“Suami pun tidak berapa sihat juga kerana menghidap penyakit sendi Charkot di bahagian kaki akibat diabetes.
“Dia berjalan menggunakan tongkat bagi membantu pergerakan. Kadang-kadang pakai kasut khas bila perlu berjalan lama dan jauh,” tambahnya.
Kesukaran hidup Kak Aya mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang, Dr Mamad Puteh dan Penyelia Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (I-MiTS) Dun Kuala Berang, Mohamed Abdullah.
Prihatin dengan nasib Kak Aya, Dr Mamad ditemani Mohamed turun menziarahi Kak Aya di kediamannya di sini.
“Hari ini (kelmarin) saya hadir untuk bertemu mata dengan Puan Suraya ini dan keluarganya untuk bertanya khabar sekali lagi dan menyampaikan sedikit sumbangan bagi meringankan beban yang dihadapinya.
“Tahun lepas, saya juga menziarahinya dan sentiasa mengambil tahu perkembangan dari semasa ke semasa dengan harapan semoga urusan Puan Suraya dipermudah dan diberi kesembuhan hendaknya,” ujar beliau.
01 Jul 21
727
MB Sentiasa Ingatkan Jangan Pilih Kasih
KUALA TERENGGANU, 24 Jun – Sejak mengambil alih tampuk pemerintahan kerajaan Terengganu pada Mei 2018, barisan pentadbiran sentiasa berpegang kepada prinsip tidak memilih bulu dalam menyampaikan bantuan kepada masyarakat yang layak.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sentiasa menegaskan perkara itu kepada seluruh kepimpinan sehingga ke Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).
“Jangan ada pemikiran pilih kasih, latar belakang politik, warna, agama dan kaum, semuanya adalah rakyat negeri yang tidak perlu disisihkan disebabkan perbezaan tersebut, penghormatan dan sumbangan mesti diutamakan.
“Kerja pengagihan sumbangan oleh setiap lapisan pentadbiran berjalan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 1.0 pada Mac tahun lepas, cuma mungkin ada sedikit terlepas pandang.
“Jika rakyat diluar sana tidak mendapat bantuan yang sewajarnya, mereka boleh datang berbincang di Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri, Pusat Khidmat Masyarakat atau terus berjumpa JPKK di kawasan masing-masing bagi memastikan nama-nama yang layak tersenarai,” katanya ketika bersiaran langsung di TVDI baru-baru ini.
Ujar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai itu, penyaluran bantuan secara bersasar yang berjumlah RM200,000 kepada setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan jumlah keseluruhan RM6,400,000 sedang diagihkan secara dua fasa.
“Kita bersetuju untuk agihkan RM100 (RM50 dalam bentuk wang, RM50 dalam bentuk barangan keperluan) melalui ADUN dan Pegawai Penyelaras dalam negeri.
“Kata kunci bagi inisiatif ini adalah meringankan beban orang bekerja yang hilang punca pendapatan serta tidak tersenarai dalam Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” jelasnya.
24 Jun 21
663
4,000 Keluarga Di Permaisuri Mula Terima Barangan Keperluan
SETIU, 22 Jun - Seramai 4,000 keluarga di Dewan Undangan Negeri (DUN) Permaisuri mula menerima barangan keperluan harian di bawah program Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu (BERKAT) 3.0.
Pegawai Penyelaras DUN Permaisuri, Zul Bhari A Rahman berkata, agihan itu akan menyasarkan golongan yang terjejas teruk sebelum dipanjangkan kepada kategori lain.
Katanya, ia selepas mengambil kira mereka yang terjejas pendapatan dan tidak dapat bekerja ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berlarutan.
"Alhamdulillah, dua hari kita mengambil masa untuk membuat agihan barangan bantuan kepada Pengerusi Jawatankuasa Pembanguan dan Keselematan Kampung (JPKK) sebelum barangan ini diperturunkan kepada penerima yang terkesan di bawah pentadbiran masing-masing.
"Saya ucapkan ribuan terima kasih kepada semua JPKK yang memberikan komitmen terbaik menguruskan serahan bantuan BERKAT 3.0 ini bermula dari stor operasi sehingga sampai kepada penerima", tambahnya lagi.
Beliau berkata demikian ketika ditemui wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI).
Agihan barangan bantuan BERKAT 3.0 peringkat DUN Permaisuri berlangsung dua hari itu dibantu beberapa petugas sukarelawan bagi melancarkan proses agihan.
22 Jun 21
274
Agihan Bantuan COVID-19 DUN Batu Buruk Masuk Fasa Empat
KUALA TERENGGANU, 21 Jun – 2,000 pek bantuan makanan asas bagi fasa keempat Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu (BERKAT 3.0) Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk telah mula diagihkan kepada masyarakat yang terjejas pendapatan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, bantuan tersebut disalurkan melalui kesemua 36 buah Jawatankuasa Pembangunan Dan Keselamatan Kampung (JPKK) sejak beberapa hari lepas.
“700 pek daripada jumlah bantuan tersebut telah diagihkan lebih awal kepada kawasan di Mukim Bukit Besar yang termasuk dalam Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) melibatkan 12 buah JPKK.
“Manakala selebihnya diagihkan pada pada hari-hari seterusnya,” katanya ketika ditemubual oleh pemberita baru-baru ini.
ADUN Batu Buruk turut sama membantu dalam proses agihan
Menurutnya lagi, sejurus Menteri Besar, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar mengumumkan Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu (BERKAT 3.0), Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Batu Buruk telah menyusun bantuan untuk disalurkan secara berperingkat.
“Pada fasa pertama, kita telah agihkan sebanyak 2,000 kilogram ikan kepada masyarakat yang terjejas.
“Manakala fasa kedua sebanyak 900 pek bantuan makanan asas telah diagihkan.
“Fasa ketiga pula, kita telah agihkan sebanyak 1,100 ekor ayam kepada mereka yang terjejas pendapatan,” tambahnya lagi.
Beliau juga berharap agar bantuan yang disalurkan ini dapat meringankan beban rakyat yang terkesan dalam tempoh PKP ini.
“Bantuan ini tidak terhenti setakat ini dan akan diteruskan lagi pada masa akan datang,” katanya lagi.
Selain itu, beliau menasihatkan agar masyarakat kekal berada di rumah sekiranya tiada keperluan untuk keluar dan menjaga keselamatan dengan mengikut arahan yang ditetapkan sekiranya berada di luar rumah.
Proses agihan makanan asas dijalankan
21 Jun 21
405
BANTUAN ONE OFF PEMANDU BOT PENAMBANG DAN PENARIK BECA
Majlis Penyampaian Bantuan One Off kepada Pemandu Bot Penambang dan Penarik Beca bersama dengan Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu diadakan pada 14 jun, di Jeti Bot Penambang Pasar Payang, Kuala Terengganu.
15 Jun 21
347
Pengayuh Beca Gembira Kerajaan Bagi RM200 Sebulan
KUALA TERENGGANU, 14 Jun – Rata-rata pengayuh beca di negeri ini gembira dengan keputusan kerajaan negeri yang akan menyalurkan bantuan bulanan bernilai RM200 bermula Julai.
Asmat Muhammad, 73, berkata sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dia tidak lagi berkayuh membawa pelanggan seperti dahulu.
“Kami hanya duduk berehat sahaja, ini membuatkan kami hilang mata pencarian,” luahnya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) semalam.
Asmat atau mesra disapa Mat berkata, kariernya sebagai pembawa pelancong di kawasan Pasar Payang bermula sejak 1974.
"Bermula dari situ kami mendapat rezeki yang agak baik untuk menyara keluarga, namun sejak COVID-19 melanada, kami mengalami penyusutan kewangan kerana ketiadaan pelancong tempatan apabila sempadan daerah dan negeri ditutup.
“Sekarang ini kita termenung sahaja, sebelum ini (PKP) kebiasaannya sehari ada boleh sehingga RM40 dengan pelanggan sehingga 10 orang, kebanyakkan daripada hotel yang ingin pergi ke Pasar Payang.
“Sekarang punca rezeki saya selama empat dekad ini memang terjejas, boleh kira hampir tiada pelanggan langsung,” katanya.
Mengulas mengenai bantuan bulanan yang diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman, semalam, Asmat mengakui dia sangat bersyukur.
“Alhamdullilah, dengan bantuan oleh Exco pada hari ini (semalam) dan sebelumnya ada juga, ia dapat meringankan beban membeli barangan dapur untuk empat orang anak bersama isteri di Flat Bukit Kecil, Kuala Terengganu.
“Saya berharap supaya virus ini terhapus, dan jalan (sempadan) dapat dibuka kembali seperti biasa,” katanya lagi.
Terdahulu, Kerajaan negeri telah menyalurkan bantuan sebanyak RM27,200 kepada dua golongan tersebut sebahagian daripada Program Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu (Berkat) PKP 2.0 (Sektor Pelancongan), awal tahun ini.
15 Jun 21
325