Artikel "Kebajikan" Terkini
PKPD : Jawatankuasa Khas Pelihara Kebajikan PAKR Anak Ikan
BESUT, 3 Ogos - Kerajaan negeri telah menubuhkan satu jawatankuasa khas penyelarasan berperanan memelihara kebajikan penduduk terkesan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Anak Ikan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dr Azman Ibrahim berkata, penubuhan tersebut turut berperanan memastikan 722 orang masyarakat berumur mulai satu hingga 80 tahun ke atas tidak tercicir.
“Bantuan sewajarnya akan diagihkan kepada 152 ketua isi rumah (KIR) PAKR Anak Ikan sepanjang PKPD dilaksanakan sehingga 16 Ogos di kawasan tersebut jadi penduduk tidak perlu bimbang.
“Semoga dapat bersabar warga PAKR Anak Ikan Jabi. Tempoh sukar dua minggu ini insya-Allah kita lalui bersama. kebajikan adik kakak semua keutamaan kami,” katanya menerusi Facebook rasminya, petang semalam.
Dalam perkembangan sama, seramai 500 penduduk Kampung Anak Ikan di Besut telah diarahkan menjalani ujian saringan COVID-19 bagi memastikan penularan wabak dikawal.
Kerja saringan selama dua hari bermula Isnin sehingga Selasa itu berikutan kedudukan kampung tersebut berdekatan dengan PAKR Anak Ikan.
“Kira-kira 250 penduduk pada Isnin akan disaring di Dataran Masjid Kampung Anak Ikan manakala selebihnya pada Selasa.
“Saya harap semua penduduk dapat hadir menjalani ujian saringan ini sebagai salah satu langkah pencegahan awal.
“Bagi PAKR Anak Ikan pula, penduduk sudah jalani ujian saringan pada minggu lepas dan setakat ini saya dimaklumkan sebanyak 15 kes positif COVID-19 dikesan,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.
02 Aug 21
261
Suri Rumah Tabah Jaga Anak Ketika Suami Hilang Di Laut
KUALA NERUS, 1 Ogos - Tragedi tanpa titik noktah adalah situasi yang dialami isteri kepada Wan Mohd Sufian Wan Abdul Rahman, 34, yang hilang di laut mendapat perhatian dan sumbangan kerajaan negeri.
Menemubual suri rumah tersebut, Noorfadillah binti Abdul Rashid, 31, berkata, peristiwa sedih ditimpa sejak bulan Mei sehingga hari kini masih tiada perkhabaran tentang kehilangan bapa kepada dua orang anak itu.
Lebih memilukan, Noorfadillah terpaksa menjaga kedua-dua anaknya bersendirian tanpa suami tersayang disisi hampir tiga bulan.
“Operasi mencari sudah dihentikan dan saya kini tinggal bersama bapa kandung saya di Kampung Telaga Daing, Seberang Takir,” luahnya ketika ditemubual pemberita, baru-baru ini.
Terdahulu, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) negeri melaporkan Wan Mohd disyaki hilang di laut selepas bot miliknya ditemukan nelayan tempatan di kedudukan 10.1 batu nautika dari muara Kuala Terengganu.
Melihat kesusahan dialami itu, Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri Seberang Takir, Mohd Fadhil Wahab dengan kerjasama Badan Bukan Kerajaan (NGO) Al-Hikmah semalam telah menziarahinya disamping lima buah keluarga yang terkesan dan memerlukan bantuan.
“Cuma keluarga Noorfadillah ini mendapat lebih perhatian disebabkan kehilangan ketua keluarga yang menyara mereka, pihak PAS kawasan ini turut menyampaikan sumbangan.
“Insya-Allah, kita dari pihak kerajaan akan sentiasa membuat susulan kerana dia merupakan suri rumah yang semestinya hendak menyara dua anaknya,” katanya.
Dalam pada itu, Timbalan Pengerusi NGO Al-Hikmah, Syed Ahmad Abdus Salam Syed Nazmi memberitahu kehadiran pihaknya adalah menyampaikan amanah hasil daripada sumbangan orang ramai.
“Bukan wang kami, wang orang ramai juga, terima kasih juga atas kerjasama Mohd Fadhil yang memberi maklumat mereka yang terkesan di kawasan beliau,” tambahnya.
01 Aug 21
294
Kerajaan Negeri Peruntuk RM1 juta Perkayakan Sumber Laut
Kerajaan negeri memperuntukkan RM1 juta bagi pembinaan 45 tukun tiruan rekreasi yang akan memperkayakan sumber marin.
01 Aug 21
52
Wartawan 'TvSepuluh Kini' Tarik Perhatian Warga Kemaman
KEMAMAN, 31 Julai - Kemunculan seorang lelaki berperwatakan dan berketerampilan luar kebiasaan, kini menjadi perhatian serta tumpuan masyarakat komuniti di sini.
Beliau dengan gaya dan cara tersendiri hampir setiap hari membuat siaran langsung di 'Facebook' miliknya iaitu Wartawan 'TvSepuluh Kini'.
Beliau akan bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain bagi mempromosikan perniagaan komuniti setempat tanpa mengenakan sebarang bayaran.
Kini, apa yang dilakukannya itu mula menjadi 'viral' sejak awal tahun ini.
"Sebelum ini, saya mengadakan siaran langsung tanpa menunjukkan diri sendiri. Namun, saya menerima banyak permintaan dari penonton yang ingin melihat diri saya.
"Selepas itu, saya mula mendapat idea untuk menonjolkan diri tetapi dengan hanya menyamar seperti ini.
"Memandangkan saya juga seorang peniaga, saya amat memahami perasaan peniaga-peniaga lain yang sedang bersedih kerana terjejas pendapatan ketika negara ini masih berada di dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"Oleh yang demikian, saya mula mengadakan siaran langsung secara amal. Kebanyakannya, saya turun mempromosikan perniagaan penjaja-penjaja kecil di tepi jalan," ujarnya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), kelmarin.
Beliau yang lebih suka tidak mendedahkan identiti sebenar menerima apa jua tanggapan orang ramai terhadapnya sama ada positif atau pun negatif.
"Dunia hari ini sedang bersedih. Apa yang saya lakukan ini hanyalah untuk menghiburkan hati mereka terutamanya peniaga-peniaga.
"Ini semua hanyalah watak penghayatan sebagai wartawan tv sepuluh sahaja. Perwatakan sebenar saya sama sahaja seperti orang lain," jelasnya.
Beliau turut menghargai sokongon daripada penonton-penonton yang kebanyakannya bukan sahaja dari negeri Terengganu ini, bahkan ada juga penonton dari negeri Pahang, Kedah, Johor dan lain-lain.
"Saya tumpang gembira apabila ada sebahagian peniaga semakin laris jualannya selepas dipromosikan. Itu semua adalah ketentuan dan takdir daripada Allah SWT.
"Semoga kita sama-sama memperoleh manfaatnya," ujarnya yang turut mempunyai perniagaan kedai makan iaitu 'Fahmi Hotlenz dan mobile spa bergerak 'Fahmi EBclusive Men'," katanya.
31 Jul 21
2401
Polis Terengganu Bantu Komuniti Terjejas Di Pulau Redang
KUALA NERUS, 31 Julai – Polis Terengganu menggerakkan Operasi Bantu (Op Bantu) di Pulau Redang di sini bagi mengatasi kesukaran masyarakat untuk mendapatkan bekalan keperluan harian akibat keterbatasan pergerakan.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, operasi tersebut berjalan dengan penyaluran bantuan buat warga pulau terbabit melibatkan 40 buah rumah.
Sumber foto : Facebook Polis Terengganu
“Umum mengetahui, sumbangan ini adalah hasil kutipan elaun COVID-19 Pegawai Kanan dan Anggota Pangkat Rendah Polis Terengganu khusus bagi tujuan membantu mereka yang terkesan pandemik ini.
“Bantuan yang kami sampaikan ini adalah atas dasar semangat 'Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada', memandangkan ramai anggota masyarakat di pulau ini bergantung kepada sektor pelancongan, yang terjejas teruk akibat pandemik ketika ini,” katanya dalam satu kenyataan, kelmarin.
Dalam pada itu, Datuk Rohaimi bersama rombongannya turut melawat Balai Polis Pulau Redang bagi menyampaikan barangan keperluan harian untuk kegunaan balai dan anggota.
“Bantuan sama turut disampaikan kepada tiga orang anggota RELA sebagai tanda menghargai jasa mereka sebagai sahabat barisan hadapan,” katanya lagi.
31 Jul 21
361
Bantuan Segera Untuk Penduduk PKPD Kubang Palas
HULU TERENGGANU, 27 Julai - Seramai 236 keluarga di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran di Kampung Kubang Palas, Kuala Telemong menerima bantuan segera berupa pek bakul makanan, baru-baru ini.
Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Telemong, Mohd Safari Abu berkata, bantuan bakul makanan itu bagi meringankan beban penduduk yang terlibat PKPD.
Katanya, pelaksanaan PKPD Pentadbiran di kawasan berkenaan menyebabkan penduduk yang terlibat tidak dapat keluar untuk bekerja dan membeli barangan keperluan.
"Dalam tempoh begini, kita perlu memastikan penduduk terlibat mempunyai bekalan makanan mencukupi.
"Saya juga memohon kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) untuk melihat keperluan penduduk di kawasan PKPD tersebut," katanya selepas pengagihkan bantuan berkenaan, baru-baru ini.
Turut hadir, Pegawai Khas Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Pauzi Yusoff, Penyelia i-MiTS DUN Telemong, Ustaz Mohamad Yusuf Abdullah, Penghulu Kanan Hisham Talib dan Penghulu Mukim Kuala Telemong, Mohd Fadhli Ramli.
Tambahnya lagi, beliau turut berterima kasih kepada Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Dato Rosol Wahid kerana turut menyumbang sebanyak 120 pek bakul makanan keperluan dapur dalam bantuan tersebut.
"Saya berharap, sepanjang tempoh PKPD dilaksanakan, agihan secara berperingkat-peringkat turut dilaksanakan untuk memastikan penduduk terlibat sentiasa mempunyai bekalan makanan mencukupi," katanya.
29 Jul 21
332
90 Rumah Rosak Akibat Ribut
KEMAMAN, 23 Julai - Sebanyak 90 buah rumah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Cukai, rosak dalam kejadian ribut, hujan lebat dan angin kencang yang telah berlaku, semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai, Hanafiah Mat berkata, jumlah itu diperolehi setakat ini selepas menerima laporan oleh setiap pihak Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) yang terlibat.
Setakat ini, sebanyak 17 kampung yang dilaporkan mempunyai penduduk yang menjadi mangsa ribut ini.
"Saya telah memaklumkan kepada semua JPKK untuk segera mengambil tindakan untuk baik pulih rumah berkenaan.
"Insya-Allah, kita akan segera melaksanakan kerja-kerja baik pulih rumah ini dan menyelesaikannya secepat mungkin.
"Ia adalah bagi memastikan keselesaan dan keselamatan semua mangsa ini kembali seperti sediakala," ujarnya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI).
Hanafiah yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri telah turun melawat kawasannya seawal pagi tadi.
Kejadian ribut, hujan lebat dan angin kencang ini dikatakan berlaku sekitar jam 12.00 malam, malam tadi.
23 Jul 21
523
Bakul Makanan PEMULIH Parlimen Kuala Terengganu Mula Diagih
Sebanyak 100 bakul makanan di bawah Program Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) bagi Parlimen Kuala Terengganu mula diagihkan.
18 Jul 21
335
Azreen, Zulkhairie Terima Insentif RM30,000
Sebagai sokongan kepada ratu pecut Terengganu, Azreen Nabila Alias dan jaguh berbasikal Paralimpik, Zulkhairie Tarmizi yang layak ke temasya sukan Olimpik di Tokyo, kerajaan negeri bersetuju menyampaikan insentif kepada kedua-dua atlet kelahiran Terengganu itu.
18 Jul 21
186
Kelab Bola Sepak Chukai Bantu Asnaf
KEMAMAN, 18 Julai - Kelab Bola Sepak Chukai turut memainkan peranan dalam membantu golongan asnaf atau mereka yang memerlukan apabila turun menyantuni dan menyampaikan sumbangan bakul makanan, semalam.
Penaung Kelab Bola Sepak Chukai, Dato' Dr Leom Joo deck berkata, sumbangan yang mereka lakukan ini adalah hasil kutipan daripada dermawan-dermawan ahli kelab itu.
"Kami amat berbangga dapat mengadakan program seperti hari ini. Sedikit sebanyak ia dapat membantu mereka yang memerlukan ketika ini.
"Saya juga berharap semua penduduk khasnya di Kemaman, Terengganu dan Malaysia agar mematuhi "Standard Operating Procedures (SOP)" yang telah ditetapkan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
"Jagalah SOP seperti pakai pelitup muka, cuci tangan dan jaga jarak 1 meter," ujarnya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman ketika ditemui selepas selesai agihan barang-barang kepada penerima.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai, Hanafiah Mat mengucapkan ribuan terima kasih di atas sumbangan yang disampaikan oleh pihak kelab itu.
"Terima kasih kepada mereka yang sedia menyampaikan bantuan di dalam keadaan kehidupan rakyat yang mengalami kesusahan waktu ini akibat daripada pandemik Covid-19.
"Jadi saya juga mengharapkan kepada Badan Bukan Kerajaan (NGO) lain yang ingin menyampaikan sumbangan juga boleh berjumpa dengan saya.
"Hari ini penerima-penerima kelihatan gembira menerima bakul makanan. Sekurang-kurangnya ia mampu bertahan selama satu hingga dua minggu dan saya yakin selepas ini ada lagi sumbangan- sumbangan yang akan diberikan bukan sahaja daripada kerajaan dan NGO tetapi daripada individu-individu yang mempunyai kewangan yang lebih.
"Inilah masa yang terbaik untuk mereka memberikan sumbangan ini kepada orang-orang yang terkesan semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0," ujarnya yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri.
Dalam program itu, sebanyak 100 bakul makanan yang mengandungi beras dan barangan dapur telah diagihkan di mana mereka terdiri daripada penduduk yang tinggal di Kampung Geliga Jambatan, Kampung Mak Lagam, Kampung Paya Berenjut dan Kampung Geliga.
Turut hadir, Pengerusi Kelab Bola Sepak Chukai, Tan Kwang Ming, ahli jawatankuasa kelab, Jimmy Tan Chun Hiang dan Pengarah Akademi Didik Ulamak Amilin Terengganu (DUAT), Ramlan Mahmood.
18 Jul 21
404