lightning-solid
Berita :

Artikel "Ekonomi" Terkini

Kerajaan Negeri, Perkeso Bantu Pemburu Kerja
Kerajaan Negeri, Perkeso Bantu Pemburu Kerja
KUALA TERENGGANU, 5 April – Kerajaan Terengganu akan meneruskan kerjasama dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dalam menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat dalam negeri. Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro & Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, cadangan tersebut tercetus hasil sambutan memberangsangkan daripada masyarakat setelah 936 orang berjaya mendapat temuduga kedua dalam Karnival Penjana kelmarin. “Insya-Allah dengan Perkeso, kerajaan negeri akan cuba bantu mereka yang sudah sebelah kaki untuk dapat kerja, kalau dapat lagi separuh (peserta) mungkin akan tolong 1,500 orang mendapat pekerjaan. “Perkeso boleh cadangkan untuk panggil majikan bagi pemusatan kerja temuduga, alternatifnya kita boleh diteruskan padanan kerja secara bentuk maya, ia boleh ditingkatkan kerana data pencari kerja sudah ada. “Pihak kami melalui Pusat Pembangunan Sumber Manusia Negeri Terengganu (THRDC) akan bersedia untuk menyokong usaha sebegini jika dapat direalisasikan,” jelasnya semasa sidang media Karnival Penjana Kerjaya Negeri Terengganu di Dewan Konvensyen di Duyong Marina & Resort, petang semalam. Perkara sedemikian turut disuarakan Ketua Pejabat Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) PERKESO, Dato’ Mohd Sahar Darusman yang menceritakan pelbagai inisiatif karnival kerja dijalankan pihaknya dalam bentuk fizikal dan maya. “Jika hasrat ini diteruskan di Terengganu, pihak kami boleh aturkan sokongan kewangan dan tenaga dengan setiap program temuduga kerja pada setiap suku tahun,” jelasnya. Mengulas lanjut berkenaan usaha Perkeso berkenaan temuduga secara maya, ia melibatkan dalam lingkungan 40 majikan dengan satu pegawai Perkeso mendidik beberapa calon untuk ditemuduga. “Setiap hari, sebarang kekosongan akan dipromosikan dalam portal Perkeso, manakala setiap minggu pihak kami adakan temuduga kecil bersama majikan dan pekerja (mengikut jadual dan kekosongan),” ulasnya. Untuk maklumat lebih lanjut, boleh layari https://www.myfuturejobs.gov.my/ atau laman web perkeso di https://www.perkeso.gov.my.
06 Apr 21
1419
Hampir 40 Peratus Pengunjung Karnival Kerjaya Dapat Kerja
Hampir 40 Peratus Pengunjung Karnival Kerjaya Dapat Kerja
KUALA TERENGGANU, 5 April - Hampir 40 peratus daripada bilangan calon yang hadir ke temuduga Karnival Penjana Kerjaya Terengganu 2021 mendapat kerja setakat semalam.  Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, selama dua hari program itu berjalan padanan pekerjaan berjaya adalah sebanyak 839 orang . Katanya, peratusan tersebut adalah indikator utama kejayaan program daripada bilangan pendaftaran pengunjung mencecah hampir 3,000 pengunjung. “Bilangan temuduga dijalankan berjumlah 3,665 iaitu seorang calon lebih satu temuduga, manakala jumlah yang berjaya untuk temuduga kedua adalah 936 orang atau 42.6 peratus. “Kejayaan penempatan pekerjaan yang berlaku akan memberi 'spill over economics effect' atau limpahan ekonomi yang sangat baik kepada negeri dan negara," katanya Tambahnya lagi, kesan limpahan ekonomi yang bakal wujud bermula bulan hadapan adalah sebanyak RM750,000 iaitu RM1,500 didarabkan dengan 500 orang. Beliau berkata demikian semasa sidang media Karnival Penjana Kerjaya Negeri Terengganu di Dewan Konvensyen di Duyong Marina & Resort, petang semalam. Turut hadir, Ketua Pejabat Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Dato’ Mohd Sahar Darusman Pengarah Perkeso Negeri Terengganu, Farihah Che Husin. Sementara itu, Nurkhuzaini turut mencadangkan agar ada lanjutan program kepada peserta yang berjaya ke temuduga kedua. "Ini boleh dilakukan melalui kerjasama dengan PERKESO untuk latih dan sediakan mereka langkah seterusnya. “Bagi mereka yang tidak dapat, jangan berputus asa, mungkin PERKESO akan adakan program sebegini di negeri terdekat serta usaha secara maya melalui pertubuhan tersebut juga boleh dilakukan. Seorang pemburu kerja, Suhaimi Ghani, 36 yang juga seorang penghantar barang di Manir menyifatkan usaha pihak penganjur amat membantunya dalam mencari pekerjaan baharu dalam bentuk ‘one-stop center’. “Saya telah bertemu dengan tiga majikan, walaupun tiada jawapan lagi namun rezeki peluang cerah, orang macam saya tak perlu lagi pergi jauh-jauh mencari kerja kerana pelbagai jenis majikan ada di sini,” katanya selepas ditemu bual di meja SAA Engineering dan Marine Sdn Bhd. Nurkhuzaini beramah mesra bersama Suhaimi di salah satu booth  
05 Apr 21
792
Wanita Bekerja Sendiri Diseru Rebut Dana RM10 Juta
Wanita Bekerja Sendiri Diseru Rebut Dana RM10 Juta
KUALA TERENGGANU, 5 April – Golongan wanita kategori orang bekerja sendiri (OBS) daripada pelbagai sektor diseru agar merebut faedah di bawah Skim Pekerjaan Sendiri (SPS) Prihatin Wanita (SPW). Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Terengganu, Farihah Che Husin berkata, dengan skim itu, bermula 1 April kerajaan akan membayar 70 peratus daripada pelan caruman berjumlah RM232.80, iaitu sebanyak RM163. “Sementara para usahawan serta wanita bekerja sendiri hanya perlu membayar RM69.80 iaitu 30 peratus daripada caruman setahun Pelan 2 skim tersebut. “Ini peluang baik untuk wanita OBS kerana dengan hanya peratusan itu akan mendapat faedah perlindungan setahun “Contohnya seperti usahawan wanita meniaga atas talian, sekiranya berlaku kemalangan atau tidak mampu bekerja dalam tempoh sakit mereka berhak mendapat faedah, sama seperti kematian boleh mendapat pencen dan sebagainya," katanya. Beliau berkata demikian semasa sidang media Karnival Penjana Kerjaya Negeri Terengganu di Dewan Konvensyen di Duyong Marina & Resort, Petang kelmarin. Tambahnya, permohonan untuk program SPW tersebut boleh dibuat mulai 1 April hingga 31 Disember 2021. Mengulas tentang Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) Perkeso, Farihah memaklumkan, pihaknya menerima pendaftaran 109 OBS di karnival tersebut dan masih mengalukan mereka yang belum mendaftar. “Sehingga Mac 2021, kira-kira 4,400 OBS telah mendaftar dan kita masih mewar-warkan usaha ini supaya mereka ini mempunyai perlindungan sekiranya terjadi sebarang kejadian tidak diingini semasa mereka bekerja,” jelasnya. Untuk rekod, pihaknya menganggarkan terdapat kira-kira 25,000 individu yang bekerja sendiri di negeri itu. Untuk maklumat lebih lanjut boleh layari laman web perkeso di https://www.perkeso.gov.my/ atau ke kaunter fizikal di Wisma Perkeso, Kuala Terengganu.
05 Apr 21
9935
Kerajaan Negeri Sokong Penuh Hasrat SKM Bantu Belia Koperasi
Kerajaan Negeri Sokong Penuh Hasrat SKM Bantu Belia Koperasi
BESUT, 31 Mac - Kerajaan negeri menyokong penuh usaha baik Suruhanjaya Koperasi Malaysia Terengganu (SKM) menjadikan koperasi sebagai penyumbang ekonomi dan mengharapkan ia dapat direalisasikan. Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro & Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, dalam memastikan usaha kerajaan itu berjaya, SKM mengambil inisiatif mengadakan Program Belia Berkoperasi di negeri Terengganu dengan mengumpul belia dan beliawanis di daerah Besut bagi memberi kesedaran kepada masyarakat terutamanya di kalangan belia mengenai kewujudan koperasi dan kepentingan golongan iyu dalam membantu menambahkan pendapatan ekonomi masyarakat. “Matlamat utama adalah mewujudkan koperasi bagi membolehkan mencapai objektif program terutamanya dalam meneraju tranformasi generasi belia melalui Gerakan Koperasi serta dapat menerapkan budaya berkoperasi di kalangan belia," katanya. Beliau berkata demikian dalam dalam ucapan perasmiannya di Tanjung Demong Resort, Besut. Ia selari dengan hasrat kerajaan dan dasar keusahawanan negara yang merupakan suatu garis panduan yang akan menjadi hala tuju kepada agenda pengukuhan keusahawanan peringkat nasional.  Ia adalah salah satu usaha kerajaan untuk mempercepatkan kadar pertumbuhan dan pembangunan ekonomi negara khususnya membabitkan penglibatan aktif daripada usahawan koperasi dan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) tempatan. "Ia juga akan menjadi pemangkin buat kita untuk mencapai 41 peratus sumbangan sektor keusahawanan kepada pertumbuhan ekonomi negara," jelasnya. Nurkhuzaini mengharapkan agar gerakan koperasi mampu berjaya menjadi pemangkin serta agen penggerak utama dalam pembangunan ekonomi negara serta membantu rakyat jelata, khususnya di negeri Terengganu. "Terima kasih SKM kerana menganjurkan program seperti ini dan menatijahkan perkara yang baik," ujarnya.
28 Mar 21
390
Pengangguran Musim COVID-19, Mahasiswa Jangan Memilih
Pengangguran Musim COVID-19, Mahasiswa Jangan Memilih
Oleh : Rohayati Ripin KUALA TERENGGANU, 24 Mac – Para mahasiswa hendaklah mempunyai suatu pemikiran positif dan tidak terlalu bergantung kepada kerja makan gaji semata-mata kerana ia mampu mendorong golongan lepasan universiti samada awam atau swasta ramai mengganggur pada musim COVID-19. Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato’ Yahaya Ali berkata, isu pekerjaan ini berlaku di mana-mana dan menjadi lebih besar dan bersifat global. “Kepada golongan mahasiswa yang telah keluar ataupun bakal keluar daripada kampus akan menghadapi cabaran yang besar tetapi saya yakin sebenarnya di luar sana banyak peluang-peluang yang boleh diterokai. “Terutamanya dari segi menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi dengan penyesuaian dengan norma-norma baharu yang ada sekarang ini,” jelasnya. Beliau berkata demikian dalam siaran langsung bersama Persona FM di Laman Pusat Kesenian dan Warisan, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), baru-baru ini. Katanya, walaupun negara maju tetapi kadar pengangguran sangat tinggi dan peluang pekerjaan sangat terhad oleh kerana ekonomi transaksi perniagaan tidak berjalan dengan lancar sebagaimana biasa disebabkan pandemik. Tambah Yahaya lagi, disebabkan itu, mereka yang telah ada pekerjaan tetapi hilang punca pendapatan menyebabkan sedikit sebanyak terjejas sumber rezeki. “Di peringkat kerajaan negeri kita mempunyai bajet bagaimana untuk meningkatkan skil kemahiran yang ada kepada golongan ini. "Dengan harapan supaya mereka mempunyai satu persediaan bagaimana mereka boleh terlibat untuk peluang pekerjaan yang seharusnya mereka terokai. “Salah satu bidang yang kita beri perhatian sekarang ini satu kegiatan ekonomi ialah bidang pertanian,” ujarnya. Justeru itu, beliau menyarankan para mahasiswa supaya fokus dan mengambil perhatian berkaitan bidang pertanian moden menggunakan pelbagai teknologi moden.  “Mereka yang keluar daripada kampus apabila terlibat dengan kegiatan pertanian ini mereka boleh bergantung hidup dengan pendapatan yang agak lumayan dalam bidang ini,” katanya lagi.
24 Mar 21
197
Empat Manfaat SUT Usahawan Perlu Tahu
Empat Manfaat SUT Usahawan Perlu Tahu
KUALA TERENGGANU, 23 Mac - Terdapat empat manfaat utama yang perlu diketahui usahawan dalam negeri jika mendaftar dan menyertai Sahabat Usahawan Terengganu (SUT) di bawah kelolaan Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU), supaya dapat menggembleng pelbagai kemudahan demi memajukan perniagaan. Pengurus Pembangunan Usahawan YPU, Engku Mohd Hairulnizam Tuan Ahmad berkata, antara manfaatnya adalah bantuan pembiayaan seperti Tabung Pemulihan PKS (Perusahaan Kecil dan Sederhana) Terengganu COVID-19 yang menyokong 333 usahawan (sehingga 2020) terjejas akibat pandemik. “Manfaat kedua ialah mereka akan direkod dalam data usahawan, tetapi ramai bertanya ‘tak jadi ahli tak bantu ke?’, jawapan kami jika tidak mendaftar tiada data lengkap sekali gus menyukarkan pihak kami dalam mengetahui permasalahan lebih lanjut. “Bagi mengetahui angka tepat dan masalah yang dihadapi, maklumat asas jenis keusahawanan seperti penjaja jalanan, bisnes atas talian boleh diketahui. “Manfaat ketiga adalah pembangunan usahawan, kami mengadakan kursus dan khidmat jurulatih bagi mengelakkan bisnes anda tidak berhasil, walaupun laku tapi tidak mahir pengurusan kewangan. Ini sama seperti sakit berjumpa doktor, jika perniagaan berpenyakit maka daftar SUT,” katanya ketika bersiaran langsung di TVDI, baru-baru ini. Mengulas lanjut mengenai faedah keempat, pihaknya menawarkan fokus pembangunan produk dan perniagaan melibatkan diskaun perkhidmatan analisa nutrisi, kod bar dan lain-lain lagi. “Kita ada ilmu dan produk tetapi bila tiada rupa dan solekan orang ramai tidak akan beli. Melalui SUT kod bar produk kita buat secara percuma dan kandungan nutrisi makanan juga separuh harga (tidak melebihi RM100) berbanding makmal lain (RM300 sehingga RM400). “Manakala berkaitan bisnes kita sediakan tunjuk ajar cara berkembang memasuki pasaran lain seperti pasar raya, platfom e-dagang dan sebagainya. “Bukan menjual sahaja, kita juga menyediakan teknik-teknik mendapat ramai pengikut dan ‘suka’ media sosial, semuanya pakej lengkap jika mendaftar dengan kami,” tambahnya. Untuk maklumat lanjut mengenai pendaftaran SUT, boleh melayari laman Facebook di https://www.facebook.com/YPUTerengganu atau https://www.ypu.com.my/
23 Mar 21
734
Dasar Perhutanan Malaysia Garis Hala Tuju
Dasar Perhutanan Malaysia Garis Hala Tuju
Dasar Perhutanan Malaysia (DPM) menggariskan hala tuju jelas termasuk strategi dan pelan tindakan pragmatik dalam mendepani cabaran baharu sektor perhutanan di peringkat domestik serta antarabangsa.
22 Mar 21
52
Ganding Bahu Tarik Pelancong Antara Negeri
Ganding Bahu Tarik Pelancong Antara Negeri
ALOR SETAR, 21 Mac – Penggiat pelancongan daripada Terengganu serta Kedah dapat menarik nafas lega kerana dapat berganding bahu dalam membantu sektor masing-masing melalui program Bisnes dengan Bisnes (B2B). Timbalan Pengerusi Cawangan Kedah/Perlis Persatuan Ejen-ejen Pelancongan Dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), Rohanee Ismail berkata, 30 ejen telah berjaya dikumpul untuk hadir ke program tersebut bagi menjalinkan hubungan memantapkan kemasukan pelancongan domestik. “Dengan adanya program ini, kita boleh bersua muka dengan penggiat hotel Terengganu, antara kerjasama yang boleh diadakan adalah pihak kami boleh menyediakan pengangkutan dan agen pelancongan daripada Kedah ke Terengganu. “Sitausi ini adalah ‘win-win’, Insya-Allah kita akan rangkakan pelan dan pakej bagi merealisasikan tujuan tersebut, bermula dengan pertukaran maklumat pada hari ini,” katanya Ketika ditemubual pemberita di Hotel Grand Alora, petang kelmarin. Kenyataan positif tersebut turut dikongsi Penolong Pengurus, Pengurusan Acara Dan Promosi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Muhammad Fakhri khazali, katanya inisiatif tersebut menaikkan nama kawasan wilayah Ketengah dan memasarkan nama di Kedah. “Sekarang ini produk kami belum dikenali di sini, Ketengah bersama Kementerian Pembangunan Luar Bandar telah menganjurkan Tahun Melawat Kenyir 2021 dengan 30 acara. “Matlamatnya agar sambutan dengan lebih 15 agensi ke meja kami dapat memperkenalkan Tasik Kenyir di negeri ini,” jelasnya. Ketua Jualan Duyong Marina and Resort Terengganu, Farhana Adila Mohamad Yunus, juga menerima sambutan positif daripada lebih 10 agen pelancongan. “Platform program ini lebih membantu kerana kita dapat menjalankan perbincangan dengan ‘face to face’ bagi rundingan lebih produktif bagi pelbagai pihak terlibat,” ujarnya. Siri pertama daripada lapan keseluruhan itu amat menggalakkan kepada sektor ekonomi negeri kerana sambutan lebih 30 pemain pelancongan Kedah, ulas Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Cawangan Terengganu, Suaibah Harun. “Hasilnya, impak tinggi terutamanya sokongan kuat daripada Tourism Terengganu menampakkan hasil tinggi dalam merancakkan kembali industri yang penting bagi negeri Terengganu,” katanya.
20 Mar 21
542
Zetty Roses Bakal Terokai Industri Pati Minyak Wangi
Zetty Roses Bakal Terokai Industri Pati Minyak Wangi
HULU TERENGGANU, 14 Mac-Perusahaan berasaskan bunga ros sememangnya mendatangkan pulangan lumayan, ditambah pula minyak yang dihasilkannya antara paling bernilai dengan setiap milimeter boleh mencecah ribuan ringgit.  Dek keharuman pati minyak ros, ramai pengusaha minyak wangi berjenama di dunia  sanggup mengeluarkan perbelanjaan yang tinggi bagi mendapatkan bahan mentah utama kepada produk keluaran mereka. Melihat potensi pasaran yang tinggi di luar negara itu, Dr Sh Marzety Adibah Al-Sayed Mohamad, 43, pemilik Zety Roses yang merupakan satu-satunya taman ros terbesar tanah rendah di Malaysia mula menerokai bidang tersebut. Katanya, industri penghasilan minyak wangi sehingga kini masih dikuasai negara-negara pengeluar dan pengasas awal bauan pesona dunia. "Terlintas di fikiran saya untuk menghasilkan sendiri pati bunga yang bermutu tinggi sekaligus menjadi pembekal utama di Malaysia. Pada masa yang sama saya membuat beberapa penyelidikan tentangnya di internet. "Saya kemudian mengambil keputusan untuk meneruskan perancangan tersebut dengan sokongan suami, Engku Hassan Engku Wok Zin dan impian kami ingin menjadikan Zety Roses salah satu pengeluar  terbaik di Malaysia dan dunia. “Untuk permulaan sebanyak 1,000 mawar kampung (rose damask) akan ditanam di sebahagian tanah di belakang Laman Ros yang mana hasilnya( pati bunga)akan diperolehi akhir tahun ini,” ujar ibu kepada lima anak ini. Beliau berkata, industri berkenaan mempunyai potensi yang luas memandangkan ia kurang diceburi di negara ini walaupun Asia Tenggara terkenal dengan penghasilan minyak pati gaharu yang terkenal dalam pembuatan minyak wangi di Asia Barat. ”Secara praktikalnya, semua wangian mahal di seluruh dunia mengandungi minyak ros. “Jadi tidak hairan jika harganya mencecah ribuan ringgit untuk satu botol kecil minyak mawar. Minyak mawar digunakan untuk menghasilkan pelbagai perfum berasaskan bunga ros,”ujarnya. Menurut bekas Pensyarah Kaunseling dan Psikologi Universiti Malaysia Terengganu (UMT), jenis bunga mawar yang sering digunakan untuk minyak pati adalah daripada jenis rose damask. Minyak pati ini sesuai sekali untuk tujuan pembuatan minyak wangi Bergelar pengumpul ros sejak sembilan tahun lalu, dia mengakui begitu obses mengumpul ros daripada pelbagai baka dan identiti kerana bunga berkenaan sarat dengan nilai keindahan semula jadi. Laman ros di hadapan rumahnya menjadi tumpuan penggemar bunga itu setiap hujung minggu, baik yang mahu melawat untuk berterapi, atau memborong benih untuk ditanam di rumah sendiri atau dijual semula. "Sejak berkecimpung secara serius dalam penanaman bunga ini kira-kira sembilan tahun lalu, saya mempunyai ribuan peminat ros termasuk wakil penjual dari seluruh negara yang sebahagiannya aktif menjalankan perniagaan menjual bungaan ini pada rakan dan jiran di tempat masing-masing. "Kebiasaannya pada cuti sekolah, rumah saya dipenuhi rombongan Rosarian iaitu peminat ros dari sekitar dan luar Terengganu. Saya bangga kerana secara tidak langsung membantu orang lain menjana pendapatan dan meningkatkan ekonomi mereka, selain memberi satu terapi kepada mereka," katanya. Pernah kerugian puluhan ribu ringgit tapi jiwanya kental, dugaan dalam perniagaan menjadikannya lebih bersemangat untuk meneruskan cita-citanya menjadi usahawan berjaya. Keringat dan air mata sudah puas dicurahkan tapi nyata berbaloi untuk Dr Zetty selepas usahanya dalam projek Laman Ros seluas 1.6 hektar membuahkan hasil lumayan.  Tambahnya lagi, beliau kini komited untuk mencapai visi mereka iaitu  Zety Roses akan menjadi pusat yang menyediakan perkhidmatan pelbagai berasaskan ros untuk kelestarian alam sejagat demi penjanaan ekonomi ummah menjelang 2023.
14 Mar 21
2459
Pembangunan Projek ECRL Lepasi Sasaran
Pembangunan Projek ECRL Lepasi Sasaran
KUALA TERENGGANU, 14 Mac – Status terkini Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sehingga bulan Februari 2021 menunjukkan perkembangan membanggakan selepas peratusan kemajuan dalam negeri ini melepasi sasaran asal. Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh berkata, keadaan pembangunan semasa projek tersebut adalah kehadapan dengan 3.82 peratus berbanding 1.46 peratus mengikut jadual asal. “Ini bermakna kita memintas jadual dan merupakan satu petanda baik, jika kita boleh lihat terowong di Paka sudah berjalan dan begitu juga di Bukit Bauk, Dungun dengan pembinaan terowong dalam proses untuk disiapkan. “Kerajaan negeri turut memulakan perancangan mengenalpasti tanah-tanah bersesuaian bagi pembangunan di sekitar stesen-stesen ECRL dalam lingkungan radius 5 kilometer. “Pembangunan ini di bawah Economic Accelerated Project (EAP) dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dalam mewujudkan hab kargo, pembangunan kawasan perindustrian dan juga pembinaan secara Townsed Oriendted Development (TOD),” katanya ketika bersiaran langsung di TVDI baru-baru ini. Tambah Dr Mamad, pelaksanaan projek di sekeliling laluan kereta api akan berpotensi meligatkan ekonomi negeri khususnya mengukuhkan pelaburan sedia ada serta mengurangkan kos ‘doing business’ dalam negeri. Berdasarkan laporan sebelumnya, Terengganu akan mempunyai enam buah stesen iaitu Kampung Raja, Kuala Terengganu, Pengkalan Berangan, Dungun, Kemasik dan Chukai yang merangkumi empat stesen penumpang dan dua stesen gabungan penumpang dan kargo. Projek berkenaan dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2026 merangkumi laluan sepanjang 640 km dengan perubahan jajaran sebanyak 417 km atau 65.2 peratus daripada jajaran asal.
14 Mar 21
2815