Artikel "Bisnes" Terkini
Peniaga Bazar Ramadan Disaran Guna Plastik Mesra Alam
KUALA TERENGGANU, 22 Mac- Peniaga-peniaga bazar Ramadan seluruh negeri Terengganu disaran beralih kepada penggunaan beg plastik mudah urai (biodegradasi) bagi menyambut Kempen Tiada Beg Plastik dan Pemberian Penyedut Minuman Atas Permintaan yang dilaksanakan kerajaan negeri.
Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pelaksanaan kempen itu adalah kesinambungan pelan hala tuju Malaysia ke arah sifar plastik 2018-2030.
"Pelaksanaan kempen diteruskan di hampir 63 bazar Ramadan dengan penglibatan 5,342 orang peniaga.
"Semua yang terlibat juga perlu menyediakan alternatif lain seperti menggantikan penggunaan beg plastik dengn beg boleh berulang kali digunakan iaitu 'woven bag', mengamalkan memberi penyedut minuman (straw) berdasarkan permintaan sahaja dan pengunaan straw mesra alam.
"Pengunjung juga disaran membawa bega dan bekas makanan sendiri bagi meminimakan penggunaan beg plastik sekali guna," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan kempen berkenaan di Wisma Darul Iman, hari ini.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Terengganu, Dr. Alias Razak memaklumkan, kempen tersebut boleh dilaksanakan peniaga dalam pelbagai alternatif.
"Kita galakkan peniaga untuk tawarkan plastik mudah urai kepada pelanggan yang tiada beg dengan mengenakan caj yang bersesuaian.
"Saya bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) akan turun memantau mana-mana individu yang mengambil kesempatan dengan mengenakan caj bagi plastik sekali guna," katanya kepada pemberita.
Menurutnya, bagi jangka masa panjang, kerajaan negeri akan menguatkuasakan penggunaan plastik mesra alam (mudah urai) dalam syarat perlesenan kepada peniaga.
Kempen Tiada Beg Plastik merangkumi dua fasa iaitu Fasa 1 bermula pada tahun 2018-2021 yang dilaksanakan pada setiap Jumaat dan Sabtu bertumpu kepada premis kekal seperti pasar raya besar, kedai serbaneka, restoran makanan segera, kefai rangkaian dan farmasi.
Manakala, Fasa 2 dilaksanakan lebih meluas kepada jenis premis perniagaan lain termasuk kedai runcit, pasar basah, pasar malam, pasar tani dan sebagainya.
22 Mar 22
590
Colek Kaki Ayam Murni Jadi Tumpuan Ramai
MARANG, 23 Februari - Colek kaki ayam yang menjadi menu istimewa di Warung Mee Sup Cik Murni, Kampung Bukit Kulim mendapat sambutan luar biasa daripada masyarakat setempat.
Pemilik kedai, Norazlimah Malik, 35, berkata, usahanya kini mula membuahkan hasil selepas ramai pengunjung menggemari menu tersebut.
Katanya, dia membuka perniagaan tersebut sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditamatkan bagi menyara keluarga.
"Alhamdulillah, setelah lima bulan kami beroperasi, kini menu ini sangat mendapat sambutan daripada pelanggan.
"Purata jualan untuk set kaki ayam ini lebih kurang dalam 80 hingga 100 pek sehari sama ada makan di kedai mahupun bungkus," jelasnya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) ketika ditemui di kedainya baru-baru ini.
Meja Warung Mee Sup Cik Murni yang dipenuhi pelanggan.
Norazlimah atau lebih dikenali Murni, turut menjelaskan bahawa terdapat juga menu-menu lain selain daripada colek kaki ayam itu
"Selain daripada colek kaki ayam, kita juga menyediakan menu-menu lain seperti masakan panas dan juga mi celup pelbagai jenis," ujarnya lagi.
Kedai makan yang diberi nama Warung Mee Sup Cik Murni itu beroperasi dari jam 3.00 petang sehingga 11.00 malam dan ditutup setiap hari Isnin.
23 Feb 22
983
Gadis Kampung Buat Duit Dengan 'Bigo Live'
MARANG, 17 Februari - Bergiat aktif sebagai pempengaruh aplikasi 'Bigo live' sejak 2021, gadis dari Kampung Jerung Surau, Syafiqah Rashid, 25, mampu meraih pendapatan hampir RM6,000 sebulan.
Katanya, dia sangat meminati bidang berkaitan media sosial dan memasang tekad untuk terus memanfaatkan kelebihan platform itu.
"Saya akui untuk sampai ke tahap sekarang bukanlah sesuatu yang mudah, namun ia bukanlah menjadi satu halangan apabila ada usaha daripada kita.
"Sebelum ini saya merasakan cukup sukar untuk meraih pendapatan bulanan sedemikian, namun setelah belajar daripada beberapa 'influencer' saya mampu melangkah ke depan.
"Dulu, sukar untuk saya jadi seperti sekarang, kena kerja dari pagi sampai malam, penat lagi, nak dapat RM2,000 pun susah, dengan pendapatan sekarang, sekurang-kurang saya mempu membantu keluarga," jelasnya ketika ditemui UPDI semalam.
Syafiqah Rashid yang sedang dalam pengambaran untuk dimuat naik ke You Tube.
Menurut lulusan Diploma Pengurusan Zakat Wakaf, Kolej profesional Baitulmal itu, 'gaji' tersebut diperolehi selepas dia berjaya mengumpulkan 26 ribu pengikut.
Katanya, setiap kali bersiaran langsung di aplikasi berkenaan, dia menjadikan topik atau tips masakan kampung dan penjagaan kecantikan serta tutorial penggunaan alat solek sebagai bahan menjana wang.
"Daripada 26 ribu pengikut itu, ramai yang meminati topik berkenaan dan memberi galakan setiap kali saya bersiaran," jelasnya.
Ditanya mengenai 'Bigo live' yang mempunyai persepsi negatif dalam kalangan masyarakat kerana kandungan melampaui batas, Syafiqah berkata dia mahu merubah persepsi itu.
"Sama juga juga tik tok sebelum ini, banyak kandungan negatif kerana kurang individu yang mengetengahkan 'content' positif.
"Bagi saya, selagi kita menggunakan sesuatu platform itu untuk memberi manfaat kepada orang ramai, ia tiada masalah,
"Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan pun pernah mengeluarkan kenyataan tiada masalah untuk menggunakan aplikasi itu selagi bukan bertujuan untuk melakukan kemaksiatan dan perkara yang diharamkan," tambahnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Syafiqah turut menjelaskan dia sedang memperluaskan 'content' media sosialnya ke You Tube.
"Saya juga boleh menambah pendapatan dengan menjual biskut buatan tangan secara atas talian di dalam aplikasi shopee dan juga instagram," jelasnya.
17 Feb 22
5643
Pengusaha Kedai Gunting Syukur Terima Sumbangan
KUALA TERENGGANU, 17 Februari – Pengusaha kedai gunting Yen Hairstyle, Mohd Azreen Chik, 30, bersyukur apabila menerima sumbangan kerusi gunting rambut daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi.
Menurut Mohd Azreen, bantuan itu sedikit sebanyak membantunya melancarkan operasi kedai.
“Sebelum ini saya hanya menggunakan kerusi rumah saya untuk gunting rambut pelanggan.
Kerusi yang digunakan sebelum ini
“Alhamdulillah, saya rasa bersyukur dan berterima kasih kepada Yang Berhormat kerana sudi hantar sendiri kerusi ini ke premis saya,” kata Mohd Azreen ketika ditemui pemberita di premis perkhidmatannya di Kampung Tok Adis, semalam.
Menurut beliau lagi, perkhidmatan menggunting rambut telah dimulakan sejak tahun 2009 namun hanya mengambil upah daripada rakan-rakan.
“Saya mulakan perniagaan Yen Hairstyle ini pada tahun 2019 dan alhamdulillah menerima sambutan yang baik daripada penduduk setempat,” tambahnya lagi.
Kerusi baharu diserahkan oleh ADUN Batu Buruk
17 Feb 22
328
Penantian Peniaga Selama 30 Tahun Berakhir
Penantian hampir 30 tahun bagi peniaga pasar sementara di bandar Jertih kini berakhir selepas premis kekal siap untuk beroperasi.
07 Feb 22
129
Wartawan 'TvSepuluh Kini' Tarik Perhatian Warga Kemaman
KEMAMAN, 31 Julai - Kemunculan seorang lelaki berperwatakan dan berketerampilan luar kebiasaan, kini menjadi perhatian serta tumpuan masyarakat komuniti di sini.
Beliau dengan gaya dan cara tersendiri hampir setiap hari membuat siaran langsung di 'Facebook' miliknya iaitu Wartawan 'TvSepuluh Kini'.
Beliau akan bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain bagi mempromosikan perniagaan komuniti setempat tanpa mengenakan sebarang bayaran.
Kini, apa yang dilakukannya itu mula menjadi 'viral' sejak awal tahun ini.
"Sebelum ini, saya mengadakan siaran langsung tanpa menunjukkan diri sendiri. Namun, saya menerima banyak permintaan dari penonton yang ingin melihat diri saya.
"Selepas itu, saya mula mendapat idea untuk menonjolkan diri tetapi dengan hanya menyamar seperti ini.
"Memandangkan saya juga seorang peniaga, saya amat memahami perasaan peniaga-peniaga lain yang sedang bersedih kerana terjejas pendapatan ketika negara ini masih berada di dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"Oleh yang demikian, saya mula mengadakan siaran langsung secara amal. Kebanyakannya, saya turun mempromosikan perniagaan penjaja-penjaja kecil di tepi jalan," ujarnya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), kelmarin.
Beliau yang lebih suka tidak mendedahkan identiti sebenar menerima apa jua tanggapan orang ramai terhadapnya sama ada positif atau pun negatif.
"Dunia hari ini sedang bersedih. Apa yang saya lakukan ini hanyalah untuk menghiburkan hati mereka terutamanya peniaga-peniaga.
"Ini semua hanyalah watak penghayatan sebagai wartawan tv sepuluh sahaja. Perwatakan sebenar saya sama sahaja seperti orang lain," jelasnya.
Beliau turut menghargai sokongon daripada penonton-penonton yang kebanyakannya bukan sahaja dari negeri Terengganu ini, bahkan ada juga penonton dari negeri Pahang, Kedah, Johor dan lain-lain.
"Saya tumpang gembira apabila ada sebahagian peniaga semakin laris jualannya selepas dipromosikan. Itu semua adalah ketentuan dan takdir daripada Allah SWT.
"Semoga kita sama-sama memperoleh manfaatnya," ujarnya yang turut mempunyai perniagaan kedai makan iaitu 'Fahmi Hotlenz dan mobile spa bergerak 'Fahmi EBclusive Men'," katanya.
31 Jul 21
2396
Gerai Makan Pasar Besar Chukai Dinaik Taraf
KEMAMAN, 12 Julai - Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) akan menaik taraf 10 unit gerai makan yang berada di belakang Pasar Besar Chukai.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai, Hanafiah Mat berkata, kerja-kerja menaik taraf itu akan bermula selepas Hari Raya Aidiladha nanti dan ia dijangka mengambil masa lebih kurang dua bulan.
"Alhamdulillah, kami telah bertemu dengan peniaga-peniaga yang terlibat ini dan berbincang serta dapat mengambil keputusan sepakat secara harmoni.
"Kerja-kerja menaik taraf ini akan berjalan secara berperingkat. Sepanjang tempoh kerja-kerja ini berlangsung, peniaga-peniaga akan disediakan tapak lain yang berhampiran beserta dengan kanopi.
"Oleh yang demikian, peniaga-peniaga ini masih dapat mencari rezeki dengan menjalankan perniagaan makanan mereka itu," ujarnya ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), semalam.
Hanafiah turut mengharapkan kerja-kerja menaik taraf berkenaan akan dapat memberikan manfaat dan kebaikan kepada pihak-pihak yang terlibat.
"Insya-Allah, selepas siap sepenuhnya kerja-kerja ini dan peniaga dapat kembali berniaga, kita mengharapkan ia akan memberikan lebih keselesaan dan menjamin keselamatan yang lebih baik sama ada untuk peniaga dan orang ramai yang berada di sana," ujarnya lagi.
12 Jul 21
427
Komen Peniaga Tentang PKP 3.0, ‘Total Lockdown’
KUALA TERENGGANU, 28 Mei – Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang dikuatkuasakan kerajaan dalam memutuskan penularan wabak COVID-19 mendapat respon yang pelbagai oleh sebahagian peniaga kecil.
Seorang peniaga, Ahmad Firdaus Abdul Talib, 31, berkata, kebenaran berniaga diberikan pihak berwajib melegakan mereka yang bergantung hidup menjual makanan.
“Alhamdulillah dalam keadaan PKP 3.0 ini, kerajaan masih benarkan kami berniaga untuk mencari pendapatan harian.
“Walaupun jualan tidak banyak seperti sebelum ini, namun cukup untuk saya sekeluarga untuk makan dan minum,” katanya ketika ditemu bual pemberita.
Luahan yang sama turut dikongsikan Wan Zaib Wan Abdullah, 42, ujarnya perniagaan yang diusahakan itu merupakan satu-satunya sumber mata pencarian untuk menyara kehidupan mereka.
“Ketika PKP 1.0 dulu, memang sangat terjejas sehingga hendak bayar sewa pun saya tidak mampu. Bila boleh berniaga dalam keadaan sekarang saya rasa bersyukurlah,” katanya.
Namun, Zulhisyam Awang, 36 pula memberikan pendapat berbeza dengan berharap agar kerajaan melaksanakan ‘total lockdown’.
“Saya bersetuju sekiranya pihak kerajaan membuat ‘total lockdown’ untuk menurunkan bilangan kes jangkitan COVID-19.
“Apabila kes turun dan semua aktiviti dapat dibenarkan semula, orang ramai dibenarkan semula untuk berekreasi di pantai dan kita boleh berniaga dan mendapat ramai pelanggan seperti sedia kala,” tambahnya.
Sebentar tadi, kerajaan memutuskan untuk melaksanakan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi ataupun ‘total lockdown’ Fasa Pertama di seluruh negara bagi tempoh 14 hari bermula 1 hingga 14 Jun 2021.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu kenyataan sebentar tadi berkata. sepanjang tempoh ini semua sektor tidak dibenarkan untuk beroperasi kecuali sektor ekonomi dan perkhidmatan perlu (essential economic and service sector) yang akan disenaraikan oleh Majlis Keselamatan Negara.
Katanya, bantuan ekonomi kepada golongan tertentu sedang diperinci dan diumumkan dalam masa terdekat.
28 May 21
4232
Sweet Bakery & Frozen Mula Dibuka
KEMAMAN, 19 April - Sweet Bakery & Frozen, sebuah kedai yang membekalkan bahan pastri dan sejuk beku kini telah dibuka.
Pemiliknya yang merupakan usahawan muda, Mohd Zalhasmir Zulkifli, 23, bersyukur ke hadrat Ilahi di atas pembukaan kedainya itu.
"Alhamdulillah, hari ini kedai kami mula beroperasi. Saya mengharapkan dengan perasmian kedai pada hari ini akan mendapat sambutan yang baik daripada masyarakat di negeri Terengganu ini khususnya.
"Selain daripada itu, kami juga mengharapkan dapat memajukan lagi perniagaan ini ke satu tahap sehingga mampu menambah cawangan lain bukan setakat di negeri Terengganu sahaja.
"Jadi, dengan pembukaan kedai ini dapat menjadi pedoman untuk kami pergi lebih jauh lagi," ujarnya selepas kedainya dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri merangkap Ahli Dewan Udangan Negeri (ADUN) Cukai, Hanafiah Mat, baru-baru ini.
Sweet Bakery & Frozen membantu dan memudahkan urusan peniaga-peniaga kek yang ingin mencari apa sahaja bahan untuk membuat kek serta turut menjual barang sejuk beku seperti sosej, nugget dan lain-lain.
Kepada yang berminat boleh terus ke kedainya di alamat PT17375 Ground Floor, Basement And Ground Floor, Jalan Kemaman Kuantan, 24000, Kemaman Terengganu atau hubungi di talian 011-33526698.
18 Apr 21
1176
Beras Terengganu myGAP Tampil Ke Pasaran Bulan Ini
KUALA TERENGGANU, 8 April - Pertengahan April ini, rakyat Terengganu buat kali pertamanya akan menikmati beras jenama Terengganu dengan persijilan Skim Amalan Pertanian Baik Malaysia (MyGAP), satu skim pensijilan yang dirangka oleh Jabatan Pertanian sebagai pengiktirafan kepada ladang-ladang yang mengamalkan amalan pertanian bagi menghasilkan produk berkualiti, selamat dan sesuai dimakan.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, kejayaan itu diperoleh hasil perancangan rapi semua pihak berkaitan.
"Sebelum ini, kita ada padi yang bertaraf myGAP, tetapi sayangnya kita tiada beras myGAP.
"Kesilapan kita adalah kerana rantaian kita tidak lengkap. Kita ada sawah myGAP, petani myGAP dan penerima insentif dari myGAP tetapi apabila kita mesin padi, kita campur dengan padi-padi lain menyebabkan ia tidak mencapai kualiti ditetapkan myGAP," katanya.
Khabar gembira itu disampaikan Azman kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas merasmikan Hari terbuka Jabatan Pertanian Negeri, di Ajil, baru-baru ini.
Jelasnya, melalui perancangan dan penyusunan rapi dari peringkat awal sehingga akhir, rakyat Terengganu kini akan dapat menikmati beras jenama Terengganu yang lebih berkualiti.
"Segala rantaian dari petak sawah sehingga mesin padi, pengangkutan untuk di bawa ke kilang, pembungkusan dan pemasaran telah kita persiapkan dengan rapi.
"Persiapan kita ini bukan semata-mata pada satu tahap, sebaliknya kita menyusun rantaian lengkap dari sawah padi sehinggalah kepada pemasaran," katanya.
Menurutnya, Terengganu memiliki sekitar 413 hektar iaitu lebih 1,000 ekar sawah padi samada dalam IADA Ketara atau di luar kawasan jelapang di bawah Jabatan Pertanian Malaysia yang telah mendapat persijilan myGAP.
Dari jumlah itu, sekitar 3,000 metirk tan padi dapat dihasilkan.
"Berapa beras yang akan dihasilkan? Selalunya dalam 60 peratus daripada padi akan jadi beras,jadi itulah anggaran keluaran beras myGAP yang akan kita hasilkan dari sawah-sawah negeri Terengganu.
"Dua hari lepas, kita telah merasmikan penuaian padi myGAP di Kubang Lembu, Besut iaitu dalam kawasan Jelapang IADA Ketara. Sekarang, musim menuai telah bermula dan akan sampai kemuncaknya pada pertengahan April. Insya-Allah, pertengahan bulan ini kita kan dapat menikmatinya," katanya.
06 Apr 21
958