Artikel "bencana" Terkini
Fenomena Luruan Monsun, Penumpuan Angin Dijangka Landa Pantai Timur
KUALA TERENGGANU, 3 Disember - Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan cuaca aktif bakal melanda kawasan Pantai Timur, khususnya di Kelantan dan Terengganu, bermula petang 3 Disember hingga awal pagi 4 Disember.
Fenomena penumpuan angin di kawasan ini dijangka membawa hujan lebat berserta ribut petir.
Menurut hantaran di Facebook rasmi MetMalaysia pada 2 Disember, fenomena luruan monsun pula dijangka berlaku antara 8 hingga 14 Disember 2024.
Keadaan ini berpotensi menyebabkan hujan berterusan di kawasan timur Semenanjung, yang boleh meningkatkan risiko banjir di beberapa lokasi.
Sebagai makluman, luruan monsun sering berlaku pada bulan November, Disember, dan Januari, fenomena ini terjadi apabila kawasan tekanan rendah dan pusaran terbentuk berhampiran rantau negara.
Pada masa yang sama, udara sejuk dari Siberia meluru ke arah Malaysia akibat letusan udara bertekanan tinggi di kawasan tersebut.
Apabila luruan udara sejuk dari Siberia bertembung dengan angin timuran dari Pasifik, ia bergerak ke rantau kita, mencetuskan hujan lebat, angin kencang, dan ombak besar, terutamanya di kawasan Pantai Timur Semenanjung.
Orang ramai disarankan agar sentiasa peka dengan keadaan cuaca dan merancang aktiviti harian dengan teliti, terutama bagi mereka yang tinggal di kawasan rendah atau mudah terjejas.
Pastikan anda mendapatkan maklumat yang sahih melalui laman web rasmi MetMalaysia di www.met.gov.my, aplikasi myCuaca, atau media sosial rasmi MetMalaysia.
Peringatan ini dikeluarkan untuk memastikan semua pihak bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.
Kekal tenang, utamakan keselamatan keluarga dan komuniti, serta ikuti arahan pihak berkuasa jika diperlukan.
03 Dec 24
602
Bot Hanyut, Nelayan Rugi Hampir RM1 Juta
Kampung Telaga Papan dilanda tragedi meruntun hati apabila beberapa bot termasuk bot gentian kaca milik nelayan tempatan dihanyutkan ombak besar hingga mengakibatkan kerugian hampir RM1 juta.
02 Dec 24
68
Peruntukan Tambahan RM25 juta untuk Terengganu, Kelantan
Kerajaan Persekutuan mengumumkan peruntukan tambahan segera sebanyak RM25 juta, bagi bencana banjir untuk Terengganu dan Kelantan.
02 Dec 24
112
Tiada Keperluan Isytihar Darurat Banjir
SETIU, 1 Disember – Pengisytiharan darurat bencana banjir tidak diperlukan buat masa ini, meskipun lebih 150,000 mangsa terjejas di 10 negeri.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan situasi banjir masih berada dalam kawalan dengan seluruh agensi keselamatan dan jentera kerajaan berfungsi dengan baik.
“Berdasarkan laporan Pasukan Keselamatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN), darurat tidak perlu diisytiharkan.
“Jentera keselamatan, termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), serta agensi kerajaan Persekutuan, Negeri, dan Daerah, berjaya menguruskan situasi dengan cekap,” jelas beliau.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas lawatan dan santuni mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Telaga Papan di sini hari ini.
Turut mengiringi beliau Menteri Besar Terengganu; Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Hanafiah Mat dan Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir
Anwar turut memuji keberkesanan operasi pasukan keselamatan yang telah bertungkus-lumus memastikan keselamatan mangsa banjir dan kelancaran proses pemindahan.
“Semua pihak telah menunjukkan kerjasama luar biasa.
“Kesungguhan dan komitmen mereka jelas membantu mengawal situasi tanpa memerlukan pengisytiharan darurat,” tambahnya.
01 Dec 24
252
Bot Hanyut, Nelayan Rugi Hampir RM1 Juta
SETIU, 1 Disember – Kampung Telaga Papan dilanda tragedi meruntun hati apabila beberapa bot termasuk bot gentian kaca milik nelayan tempatan dihanyutkan ombak besar hingga mengakibatkan kerugian hampir RM1 juta.
Seorang pemilik bot yang terkesan dengan kejadian itu, Jamaludin Mohamad, 57, berkata tragedi itu dipercayai berpunca daripada tekanan air banjir dan ombak besar yang menyebabkan tebing pecah pada tengah malam tadi.
“Saya hanya tahu tentang musibah ini pada awal pagi tadi selepas dimaklumkan oleh adik saya, yang juga tekong bot.
“Beliau menyedari kejadian itu sekitar jam 6 pagi ketika rutin harian untuk memeriksa bot,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di pesisir pantai Kg Telaga Papan, di sini hari ini.
Tambah Jamaludin, sebaik tiba di jeti yang terletak kira-kira 500 meter dari pantai, dia terkejut dan sedih apabila melihat semua bot milik nelayan kampung telah hilang.
“Tali pengikat bot-bot itu putus, menyebabkan semuanya dihanyutkan ombak.
“Saya terus ke pantai, dan apa yang saya lihat amat memilukan, bot-bot bersepah-sepah seperti sampah yang dibawa arus,” katanya.
Jamaludin, yang memiliki dua bot kelas A, satu bot kelas B, dan beberapa bot gentian kaca, menganggarkan kerugiannya lebih daripada RM200,000.
Meskipun begitu, dia merasa sedikit lega kerana kesemua bot yang hanyut berjaya diselamatkan.
“Semua bot dapat diselamatkan, tetapi kebanyakan daripadanya perlu dibaiki.
“Apabila bot keluar dari muka kuala, ia berlanggar dengan ombak besar yang menyebabkan bahagian bot banyak yang pecah dan rekahan berlaku.
“Mungkin, proses membaikinya akan memakan masa hampir setahun, kos membaikinya sangat tinggi dan memerlukan kerja yang amat memakan masa,” jelas beliau dengan kesedihan terbayang di wajahnya.
Seorang lagi mangsa, Khairul Hassan Mohamad, 54, turut berkongsi kisahnya dengan penuh kesedihan.
“Air malam tadi sangat besar, dengan ombak setinggi 2.7 meter.
“Bot-bot yang berjaya diselamatkan selepas tersadai di pantai pun banyak yang rosak teruk, terutama pada badan dan enjin.
“Sebuah bot saya hancur sepenuhnya, dan kos untuk membaikinya sangat tinggi. Ia akan mengambil masa yang panjang untuk dibaiki,” luahnya.
01 Dec 24
258
Banjir : Peruntukan Tambahan RM25 juta untuk Terengganu, Kelantan
SETIU, 1 Disember – Kerajaan Persekutuan mengumumkan peruntukan tambahan segera sebanyak RM25 juta, bagi bencana banjir untuk Terengganu dan Kelantan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata jumlah itu adalah tambahan kepada RM50 juta yang telah diluluskan sebelum ini melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
“Kita akan beri kerjasama penuh dan bantuan menyeluruh untuk Kelantan dan Terengganu.
“Seperti yang telah diumumkan sebelum ini, RM50 juta telah diluluskan. Namun, selepas menilai keperluan terkini dan mendapati jumlah mangsa terjejas lebih besar daripada jangkaan awal,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas lawatan dan santuni mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Telaga Papan di sini hari ini.
Turut mengiringi beliau Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Hanafiah Mat.
Menurut Menteri Kewangan itu, peruntukan berkenaan akan digunakan untuk membaiki infrastruktur asas seperti jalan raya, pembentung dan menaikkan aras jalan di kawasan Hulu Besut yang terjejas teruk akibat banjir.
“Selain itu, kerja-kerja pembersihan, termasuk tandas-tandas sekolah, turut dimasukkan dalam peruntukan tambahan.
“Kerja-kerja pembersihan ini penting supaya sekolah dapat beroperasi semula tanpa gangguan,” tambah beliau.
Perdana Menteri turut memberi jaminan bahawa negeri-negeri lain yang terjejas akibat banjir akan menerima bantuan berdasarkan keperluan masing-masing.
“Kita sedang pantau keadaan di negeri-negeri lain.
“Saya jangka keseluruhan bantuan banjir di seluruh negara kali ini hampir mencecah RM1 bilion,” ujarnya.
01 Dec 24
249
Banjir Landa DUN Ajil, Tiga PPS Dibuka Untuk Mangsa
HULU TERENGGANU, 20 November - Hujan lebat yang berterusan sejak semalam telah menyebabkan beberapa kawasan di Negeri Terengganu, termasuk di DUN Ajil, dilanda banjir.
Keadaan ini memaksa tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka bagi menempatkan mangsa yang terjejas.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim, yang juga merangkap ADUN Ajil, memaklumkan bahawa pihaknya segera turun padang bagi meninjau keadaan semasa dan memberikan sokongan moral kepada mangsa banjir.
“Tiga PPS yang telah dibuka ialah PPS Surau Kolam yang menempatkan 6 keluarga, PPS Masjid Hadhari dengan 5 keluarga, dan PPS Masjid Tok Gebok yang menempatkan 3 keluarga,” ujar Maliaman menerusi hantaran di Facebook, semalam.
Beliau turut memberi jaminan bahawa Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Ajil akan terus memantau keadaan dan memastikan bantuan segera diberikan kepada semua yang memerlukan.
Maliaman turut menyeru orang ramai untuk berdoa agar keadaan kembali pulih dan banjir cepat surut.
“Semoga semua mangsa diberi kekuatan menghadapi ujian ini,” ujarnya dengan penuh simpati.
Keadaan banjir yang melanda ini mencetuskan kebimbangan penduduk setempat, khususnya bagi mereka yang terpaksa meninggalkan rumah demi keselamatan.
Penduduk dinasihatkan untuk sentiasa berwaspada dan mengikut arahan pihak berkuasa dari masa ke semasa.
20 Nov 24
136
Peruntukan Segera Diperlukan Tangani Hakisan Pantai, Banjir di Setiu
KUALA LUMPUR, 30 Oktober - Penduduk Setiu kini resah menghadapi ancaman hakisan pantai dan banjir yang semakin memburuk, terutama menjelang musim Monsun Timur Laut (MTL) yang bakal melanda Terengganu.
Dalam sesi Dewan Rakyat semalam, Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadirn menggesa kerajaan untuk segera meluluskan peruntukan tambahan bagi menangani isu hakisan yang kian mengancam kawasan tersebut.
Shaharizukirnain menekankan bahawa hakisan pantai kini telah merebak jauh melampaui kawasan yang dilindungi oleh 16 benteng pemecah ombak (breakwater) yang dibina sebelum ini.
“Kerajaan sudah meluluskan RM84 juta untuk pembinaan breakwater di Kampung Pengkalan Maras dan Batu Rakit, tetapi peruntukan tambahan segera amat diperlukan bagi menghalang hakisan baru yang semakin mengancam penduduk,” ujarnya.
Menurutnya, peruntukan hanya diberikan selepas hakisan berlaku, sekali gus mendedahkan penduduk kepada risiko bencana.
Beliau turut menyuarakan kebimbangan mengenai Pantai Bali Kecil, yang kini hampir menceroboh kawasan kediaman penduduk.
“Saya benar-benar berharap agar cadangan pembinaan benteng pemecah ombak ini dapat disegerakan.
"Penduduk di kawasan ini sentiasa hidup dalam kebimbangan setiap kali musim MTL tiba,” katanya dengan penuh harapan.
Selain hakisan, isu banjir di Permaisuri turut dibangkitkan, kawasan ini sering kali menjadi lokasi terjejas teruk akibat banjir, walaupun ia menempatkan banyak pejabat agensi kerajaan dan premis perniagaan penting.
“Mengapa kita harus menunggu sehingga berlaku kerosakan besar?,” tegas Shaharizukirnain, sambil menggesa agar Rancangan Tebatan Banjir Sungai Setiu Fasa 1 yang dianggarkan berjumlah RM200 juta dapat dipercepatkan demi melindungi infrastruktur penting.
Beliau berharap semua pihak memandang serius permasalahan ini demi keselamatan dan kesejahteraan rakyat Setiu.
“Penduduk disini amat memerlukan perlindungan yang lebih baik sebelum MTL bermula,” serunya supaya ada tindakan segera daripada pihak berkuasa.
30 Oct 24
286
Terengganu Hantar Sukarelawan Bantu Mangsa Banjir di Kedah
KUALA TERENGGANU, 22 September - Terengganu sedang dan akan menghantar sukarelawan dan pelbagai badan bukan kerajaan negeri (NGO) bagi membantu mangsa banjir di negeri Kedah.
Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, tindakan selanjutnya bagi meringankan beban rakyat negeri kedah yang terlibat musibah itu akan diperhalusi.
"Kita tengoklah selepas ini apa tindakan selanjutnya berdasarkan keperluan yang sewajarnya sama ada dari segi kewangan dan sebagainya," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas menghadiri Program Townhall Persatuan Mahasiswa Anak Terengganu (PERMATA), di Duyong Marina Resort , di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Dr. Ahmad Samsuri berkata, persiapan menghadapi bencana banjir di Terengganu sedang berjalan sebagaimana perancangan.
"Perbincangan dengan pihak NADMA dan lain-lain entiti yang mengurus selia banjir di Terengganu sedang berjalan.
"Alhamdulillah berdasarkan pengalaman sebelum ini, persediaan yang kita lakukan adalah dalam keadaan terurus dengan baik," ujarnya.
22 Sep 24
357
17 Rumah Terkena Ribut Dibaik Pulih
MARANG, 28 Disember - Sebanyak 17 buah rumah di Kampung Jambu Bongkok, Marang yang dilanda ribut ahad lepas kini sedang dalam proses pembaikan sejak semalam.
Dalam kejadian ribut itu, penduduk kampung yang terperangkap terkejut apabila angin kuat tiba-tiba melanda hingga menerbangkan bumbung rumah.
Azmi Abd Rahman Timbalan Pengerusi JPKK Jambu Bongkok Pantai
Timbalan Pengerusi JPKK Jambu Bongkok Panti, Azmi Abd Rahman berkata, angin kuat tiba-tiba melanda kampungnya sekitar jam 3 pagi dan ia mendatangkan kerugian kepada mangsa.
"Bencana angin kuat ini berlaku dengan tiba-tiba kira-kira jam 3 pagi dan menjejaskan bumbung di sebanyak 17 buah rumah selepas angin kedua yang datang secara berpanjang bermula jam 12.00 tengahari sehingga 4.00 petang.
"Sekarang kami sedang berusaha untuk memasang bumbung rumah mereka dengan seberapa segera," Jelasnya ketika dihubungi hari ini.
Sementara itu, ADUN Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong, merakamkan ucapan dukacita kepada semua mamgsa dan menyuarakan rasa syukur kepada semua yang terlibat dalam usaha pemulihan.
"Terima kasih buat semua yang terlibat, JPKK, pemuda, dan komuniti setempat yang berusaha untuk menyiapkan pembaikian ini. InsyaAllah semoga semuanya dipermudahkan," katanya.
Sulaiman Sulong.
Usaha pembaikan ini dilihat sebagai langkah positif dalam memulihkan kehidupan penduduk yang terjejas.
Pembaikan bumbung rumah-rumah tersebut dijangka dapat diselesaikan dengan cepat demi memastikan kestabilan hidup komuniti yang terjejas.
28 Dec 23
158