lightning-solid
Berita :

Artikel "agama" Terkini

Penguatkuasa Agama Pantau Kubur Nurly Elak Amalan Khurafat
Penguatkuasa Agama Pantau Kubur Nurly Elak Amalan Khurafat
KUALA TERENGGANU, 29 Jun – Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) melalui Unit Penguatkuasaan Pejabat Agama Daerah Besut akan melakukan pemantauan berkala bagi memastikan tiada sebarang perbuatan khurafat berlaku di kawasan kubur arwah Nurly Shahirah Azman, mangsa bahas bas pelajar UPSI. Ketua Penolong Pesuruhjaya Bahagian Penguatkuasaan JHEAT, Aizi Saidi Abd Aziz berkata, pemantauan itu adalah sebahagian daripada usaha mengekang sebarang aktiviti yang bercanggah dengan hukum syarak di kawasan tanah perkuburan. Menurutnya, pihaknya memberi amaran tegas bahawa mana-mana individu yang didapati melakukan perbuatan khurafat akan dikenakan tindakan di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001. “Seksyen 3A – Perbomohan dan Sihir memperuntukkan bahawa mana-mana individu atau pusat rawatan yang melakukan atau menjalankan amalan perbomohan, sihir, atau apa-apa perbuatan bercanggah dengan hukum syarak boleh dikenakan hukuman jika disabitkan kesalahan. “Hukuman itu meliputi denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun, atau kedua-duanya sekali,” katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) hari ini. Terdahulu, tular di media sosial satu hantaran oleh kenalan ahli keluarga mangsa yang dikenali sebagai Ahmad Nazrul, yang meluahkan rasa kecewa dan terkilan apabila segelintir individu mengambil kesempatan melakukan amalan khurafat ketika menziarahi kubur arwah Nurly. Antara perbuatan yang dikesali termasuk tindakan individu tertentu yang mengambil tanah dari kubur arwah, kononnya untuk membantu menyelesaikan urusan kehidupan mereka. Dalam satu hantaran berasingan, Ahmad Nazrul memaklumkan bahawa tali penghadang telah dipasang mengelilingi kubur arwah sebagai inisiatif ahli keluarga bagi mengelakkan kawasan tersebut dicemari dengan unsur syirik dan khurafat. Dalam pada itu, wakil keluarga Allahyarhamah Nurly memaklumkan bahawa mereka hanya menerima kunjungan tetamu dari jam 9 pagi hingga 6 petang setiap hari, dan tidak akan menerima sebarang kunjungan pada 2 hingga 5 Julai atas sebab-sebab tertentu.
29 Jun 25
234
Penghijrahan Rasulullah Asas Tamadun Gemilang – MB Terengganu
Penghijrahan Rasulullah Asas Tamadun Gemilang – MB Terengganu
KUALA TERENGGANU, 27 Jun – Sambutan Maal Hijrah setiap tahun mengangkat sebuah peristiwa agung dalam sejarah Islam yang wajar dihayati secara menyeluruh oleh umat Islam. Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, penghijrahan Rasulullah SAW bukan sekadar peristiwa fizikal semata-mata, tetapi membawa misi besar dalam membina tamadun yang gemilang berasaskan syiar Islam. “Peristiwa hijrah mengajar kita bahawa perubahan besar tidak berlaku dengan kekuatan fizikal sahaja, tetapi menuntut kesabaran, strategi, kebijaksanaan serta keimanan yang mendalam. “Rasulullah SAW dan para sahabat berhijrah bukan kerana kelemahan, tetapi kerana visi yang jelas untuk membina tamadun yang berteraskan tauhid dan keadilan,” ujarnya. Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Terengganu 1447H yang berlangsung di Wisma Darul Iman, di sini hari ini. Majlis tersebut telah disempurnakan perasmiannya oleh Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin yang berkenan mencemar duli berangkat ke majlis berkenaan. Keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Muda Terengganu itu turut diiringi Yang Amat Mulia Tengku Seri Setia Mahkota Raja dan Yang Amat Mulia Tengku Puteri Daulath Raja. Yang di-Pertuan Muda Terengganu turut berkenan mengurniakan hadiah dan anugerah kepada pemenang-pemenang dan tokoh-tokoh sempena Maal Hijrah bagi tahun ini.  
27 Jun 25
202
Ceramah Ustaz Abdul Somad Gamit Kehadiran Lautan Manusia
Ceramah Ustaz Abdul Somad Gamit Kehadiran Lautan Manusia
BESUT, 27 Jun — Sambutan ambang Maal Hijrah 1447H di Dataran Tapak Pasir Tani Kuala Besut malam tadi mencatat sejarah tersendiri apabila lautan manusia membanjiri kawasan tersebut untuk menghadiri ceramah istimewa oleh Tokoh Dakwah Nusantara, Prof. Dr. Ustaz Abdul Somad Batubara sekali gus mencipta Fenomena yang tersendiri.  Kehadiran beliau bukan sahaja menyerlahkan aura keilmuan dan semangat perjuangan Islam, malah menghidupkan kembali roh penghijrahan Rasulullah SAW dalam konteks masa kini. Ribuan hadirin dari segenap pelusuk negeri, terdiri daripada pelbagai lapisan umur dan latar belakang telah berkumpul bagi menyelami hikmah dakwah dan pesanan rohani yang disampaikan dengan gaya penyampaian yang menyentuh hati. Majlis dimulakan dengan bacaan doa awal tahun yang dipimpin oleh pendakwah terkemuka, Ustaz Mokhtar Yacoob, sebagai simbolik memohon keberkatan Ilahi dan petunjuk dalam melangkah ke tahun Hijrah yang baharu. Dalam ucapan yang penuh keinsafan dan harapan, Ustaz Abdul Somad menyatakan rasa takjubnya terhadap ketentuan Ilahi yang mempertemukan beliau dengan masyarakat Terengganu pada detik penting ini "Semasa kami menyusun jadual ini, tidak terlintas di fikiran saya, kita akan menyambut malam tahun baharu Hijrah di Terengganu. "Rupa-rupanya sudah tertulis di Luh Mahfuz, tahun baharu ini berjumpa dengan orang-orang baik, di negeri yang baik, mempunyai kerajaan yang baik. Maka saya optimis, saya semangat, tahun ke hadapan ini kita semua lebih baik," ujarnya.  Program rohani ini turut mendapat sokongan penuh daripada pimpinan negeri dan daerah yang hadir bagi meraikan kebangkitan semangat ummah, antaranya,  Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi merangkap Dato' Dr Azman Ibrahim, Ahli Parlimen Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh, serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) setempat.  Dalam pada itu, ADUN Kuala Besut Azbi Salleh, menyampaikan penghargaan dan kesyukuran atas kehadiran ribuan masyarakat yang menjadikan sambutan ini suatu kejayaan luar biasa. “Setinggi-tinggi kesyukuran kita panjatkan ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan kurnia-Nya kita dapat berkumpul sempena sambutan Maal Hijrah pada hari yang penuh barakah ini," katanya.  Beliau juga turut menyeru semua agar menjadikan hijrah bukan hanya sekadar sejarah, tetapi sebagai agenda perubahan. “Maal Hijrah bukan sekadar mengingati peristiwa hijrah Rasulullah SAW dari Mekah ke Madinah, tetapi membawa maksud yang jauh lebih mendalam  agar kita melakukan penghijrahan dalam diri daripada kegelapan kepada cahaya, keinsafan daripada kelalaian, menuju ke arah ketakwaan yang sejati. "Jutaan terima kasih diucapkan kepada Jabatan Amal Malaysia dan barisan anggota polis yang telah memainkan peranan penting melancarkan pergerakan dan kawalan trafik bagi memastikan kelancaran, keselamatan dan keselesaan semua yang hadir. "Majlis ini bukan sahaja membuktikan kebangkitan roh ukhuwah dalam kalangan rakyat Besut, bahkan menjadi simbol perpaduan dan keazaman masyarakat menuju kehidupan yang lebih diberkati, berlandaskan iman dan taqwa dalam melangkah ke tahun baharu Hijrah," ujar beliau. 
27 Jun 25
26708
Pakar Nefrologi Tokoh Maal Hijrah Terengganu
Pakar Nefrologi Tokoh Maal Hijrah Terengganu
KUALA TERENGGANU, 27 Jun – Pakar Perunding Nefrologi dan Ketua Jabatan IDMD Institut Jantung Negara (IJN), Datuk Dr. Ghazali Ahmad diumumkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah 1447H sempena Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Terengganu 2025 yang berlangsung di Wisma Darul Iman, hari ini. Beliau yang memiliki pengalaman hampir empat dekad dalam bidang perubatan, khususnya dalam Nefrologi dan Transplantasi, merupakan antara tokoh penting dalam landskap kesihatan Malaysia dan rantau Asia Pasifik. Dr. Ghazali juga merupakan antara pakar yang terlibat dalam merawat Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Abdul Hadi Awang ketika menerima rawatan di IJN baru-baru ini, selain pernah memberikan khidmat perubatan kepada tokoh-tokoh besar negara seperti mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad serta beberapa menteri kanan yang lain. “Pada tahap apa sekalipun, apabila seseorang datang mendapatkan rawatan, dan kita pula memiliki kepakaran serta kemahiran, maka itu adalah ruang untuk kita menyumbang kepada negara. “Ramai pemimpin negara dari pelbagai peringkat telah saya rawat. Ia satu pengalaman sangat berharga kerana dalam masa yang sama saya memainkan peranan sebagai rakyat Malaysia yang ingin berbakti kepada tanah air,” jelas beliau. Tambahnya lagi, adalah sangat penting bagi negara untuk memiliki kepakaran dalam bidang kritikal seperti perubatan, bagi mengelak kebergantungan kepada negara luar yang mungkin mempunyai kepentingan tersendiri. “Bayangkan jika pemimpin atau Raja-raja kita mengalami masalah kesihatan dan kita terpaksa bergantung kepada negara luar untuk rawatan. Dalam situasi tertentu, kuasa asing boleh menekan kita dan menyebabkan kita tunduk demi mendapatkan rawatan yang sepatutnya kita sendiri mampu sediakan jika memiliki kepakaran,” katanya. Mengenai anugerah yang diterima, beliau merasakan bahawa penghargaan itu sangat berharga dan sangat menghargainya. "Sebenarnya berat nak terima anugerah ini sebab saya rasa sumbangan saya tidaklah seberapa dan saya rasa lebih ramai warga negeri Terengganu yang telah berbakti dengan lebih cemerlang bukan sahaja di peringkat negeri tetapi di peringkat nasional dan antarabangsa. "Bagaimanapun, saya bersyukur insya-Allah dengan anugera ini akan meningkatkan lagi azam dan usaha saya untuk memperkasa ummah di saat kita tahu umat Islam diganyang di peringkat antarabangsa jadi kita mesti sama-sama memperkuatkan di antara satu sama lain dengan mengabungkan pelbagai kepakaran," ujarnya yang merupakan anak jati Kijal. Sepanjang empat dekad terlibat dalam dunia perubatan beliau telah menyandang beberapa jawatan antaranya menjadi Ahli Jawatankuasa Eksekutif, Persatauan Trasplantasi Asia (2017-2025), Ahli Lembaga Penasihat, Doctor Against Forced Organ Harvesting (DAFOM) (2011-2025) Selain itu belia juga merupakan Ahli Jawatankuasa Penasihat Korean Vitalink International (2024-2025), Penasihat Nefrologi, Yayasan Buah Pinggang Papua New Guinea (2021-2025), Ahli Jawatankuasa Penasihat Perubatan, Lembaga Zakat Selangor.  Antara anugerah tertinggi yang  diperolehi ialah Anugerah Chugh-kirpal- Persatuan Nefrologi Asia Pasifik (2021), Anugerah Tan Sri Abu Bakar-Persatuan Nefrologi Malaysia (2019).  
27 Jun 25
2470
Kematian Nurly Hidupkan Jiwa Dekati Al-Quran
Kematian Nurly Hidupkan Jiwa Dekati Al-Quran
KUALA TERENGGANU, 23 Jun – Tiga minggu telah berlalu tragedi melibatkan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), namun kisah Allahyarhamah Nurly Shahirah Azman masih tular di media sosial dan terus menjadi bualan ramai kerana memberi kesan yang mendalam serta menghidupkan jiwa masyarakat untuk mendekati al-Quran. Sehingga kini, rumah Allahyarhamah masih dikunjungi orang ramai dan yang menariknya, para penziarah turut berpeluang melihat tulisan tangan beliau yang menyalin semula al-Quran, dikatakan sebagai kaedah beliau untuk menghafal mukjizat suci itu. Pengarah Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS), Kamaruzaman Abdullah berkata, kematian Nurly menjadi bukti betapa hebatnya darjat seorang penghafal al-Quran yang bukan sahaja mulia di sisi Allah, bahkan turut disebut-sebut serta dimuliakan oleh manusia ketika masih di dunia. “Kami sendiri telah menziarahi rumah Allahyarhamah Hafizah Nurly dan kami mendapati memang benarlah seperti yang disebut-sebut orang selama ini beliau benar-benar pencinta al-Quran. “Ini dapat dilihat melalui tulisan tangan beliau sendiri, di mana setiap kalimah yang ditulis sangat tepat dan menepati mashaf al-Quran Uthmani. Bertuahlah dirinya, ibu bapanya serta para guru yang pernah membimbingnya,” katanya. Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan video yang dimuat naik di Facebook rasmi i-MiTS, semalam. Mengulas lebih lanjut, Kamaruzaman berkata banyak pengajaran yang boleh diambil daripada pemergian Allahyarhamah Nurly Shahirah, hingga Allah memilih untuk menyedarkan orang ramai tentang kelebihan membaca al-Quran melalui kisah hidupnya. “Bacalah al-Quran secara konsisten kerana ia mampu memberi syafaat kepada yang membacanya. Datanglah menziarahi rumah arwah Nurly ini, mudah-mudahan ada sesuatu yang Allah SWT kurniakan kepada kita, insya-Allah,” ujarnya. Terdahulu, tular di media sosial bahawa ketika jenazah Allahyarhamah ditemui pasukan penyelamat, beliau berada dalam keadaan memeluk al-Quran. Turut ditularkan ialah satu rakaman video yang mendakwa lokasi kemalangan itu dihiasi dengan bau wangi yang luar biasa.  
23 Jun 25
178
Fatwa SIS : Semua Negeri Mesti Bersatu – Dr. Khalil
Fatwa SIS : Semua Negeri Mesti Bersatu – Dr. Khalil
KUALA TERENGGANU, 22 Jun – Kerajaan Terengganu menggesa semua negeri di Malaysia bersatu mempertahankan akidah umat Islam susulan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Sisters In Islam (SIS) Forum Malaysia yang dilihat membuka ruang kepada penyebaran fahaman sesat melalui institusi yang berselindung atas nama Islam.  Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi menyifatkan keputusan tersebut sebagai cabaran besar kepada usaha negeri dalam mengekang ideologi liberalisme dan pluralisme agama. Beliau turut menyambut baik keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan fatwa terhadap fahaman liberalisme dan pluralisme agama.  "Kami menyambut baik keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan status fatwa bahawa fahaman liberalisme dan pluralisme agama adalah sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam. "Ia juga mengesahkan bahawa ia sah dari sudut perlembagaan dalam konteks kuasa negeri seperti termaktub dalam Senarai II Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan,” kata beliau dalam satu kenyataan media di laman sosial rasmi beliau hari ini. Namun, beliau turut menzahirkan kebimbangan apabila mahkamah memutuskan bahawa fatwa itu hanya terpakai ke atas individu dan bukan terhadap pertubuhan seperti SIS Forum Malaysia.  "Kerajaan Negeri Terengganu berkongsi rasa dukacita sebagaimana dizahirkan oleh DYMM Sultan Selangor dan Majlis Agama Islam Selangor. "Keputusan ini boleh mengundang kekeliruan kepada masyarakat awam terhadap apa yang dikira sebagai benar dan sah menurut ajaran Islam," ujarnya. Tambah beliau, penyebaran fahaman songsang melalui pertubuhan berdaftar yang membawa nama Islam amat berbahaya dan mesti ditangani dengan tegas.  "Perkataan ‘Islam’ tidak wajar disalah guna dalam nama syarikat atau pertubuhan yang membawa agenda bertentangan dengan prinsip syariah. "Sebarang entiti sama ada individu, pertubuhan mahupun syarikat yang mengangkat fahaman ini perlu dihadapkan tindakan," tambah beliau lagi. Dr. Khalil turut menyokong pandangan penghakiman bertentangan (dissenting judgment) oleh YA Hakim Dato’ Abu Bakar Jais.  "Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa untuk menilai dan memutuskan isu sebegini. "Pertubuhan yang ditadbir oleh individu Muslim tidak boleh dikecualikan daripada fatwa berkaitan," jelasnya. Beliau menyeru Majlis Agama Islam Negeri-Negeri, Kerajaan Persekutuan dan semua pihak berkepentingan untuk memperkukuh undang-undang serta mekanisme penguatkuasaan.  "Ini penting untuk membanteras penyebaran fahaman sesat melalui medium bukan individu. "Kerajaan Terengganu komited memartabatkan syariah Islam serta mengukuhkan dakwah dan pendidikan akidah kepada masyarakat,” tegasnya.
22 Jun 25
81
Serangan Israel Terhadap Iran Agenda Lemahkan Palestin
Serangan Israel Terhadap Iran Agenda Lemahkan Palestin
KUALA TERENGGANU, 16 Jun – Dakwaan bahawa Iran membina bom nuklear hanyalah alasan rekaan Israel untuk menyerang negara itu, sedangkan hakikat sebenar adalah usaha tersirat bagi melemahkan satu-satunya negara yang lantang mempertahankan Palestin. Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri Terengganu, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, naratif yang digembar-gemburkan oleh media barat tidak mencerminkan realiti sebenar situasi geopolitik di Asia Barat. Menurut beliau, Iran sejak awal Revolusi 1979 lagi telah menjadikan pembebasan Palestin sebagai antara agenda utama yang menjadi tunjang kepada pembentukan Republik Islam Iran. “Setiap tahun, Iran secara konsisten memperuntukkan dana tanpa had bagi menyokong perjuangan rakyat Palestin. Ini adalah komitmen dasar yang tidak pernah berubah,” katanya dalam satu kenyataan menerusi laman Facebook beliau, semalam. Jelas beliau lagi, kekuatan sokongan Iran terhadap Palestin itulah yang menjadikan negara itu sasaran berterusan kuasa Barat dan Israel melalui pelbagai bentuk tekanan termasuk perang Iraq-Iran serta sekatan ekonomi berpanjangan. “Namun segala usaha untuk menjatuhkan Iran gagal, malah negara itu kekal menjadi benteng utama dalam menentang penjajahan rejim zionis,” tambah beliau. Katanya, antara kejayaan terbesar Iran dalam membina kekuatan sendiri tanpa bergantung kepada mana-mana pihak adalah pembangunan teknologi roket yang tidak mempunyai had jangkauan, di mana hanya beberapa negara sahaja di dunia memiliki teknologi seumpama itu, iaitu Amerika Syarikat, Rusia dan China. Mengulas mengenai realiti yang berlaku ketika ini, beliau yang juga merupakan Pengerusi Lajnah Hubungan Antarabangsa dan Hal Ehwal Luar PAS Pusat menjelaskan bahawa Barat sebenarnya mahu Iran tunduk kepada kehendak mereka agar tidak menjadi ancaman dan menggugat keselamatan negara haram Israel. “Namun Iran kekal dengan prinsip pembebasan Baitulmaqdis dan menamatkan penjajahan rejim zionis Israel ke atas bumi Palestin. “Jika Iran menurut kehendak Barat, maka nasibnya akan menjadi sama seperti negara-negara Arab lain yang hanya menjadi 'pak turut' dan tidak mempunyai jati diri,” tegasnya. Tambah beliau, Israel merasakan masa yang sesuai untuk menentang Iran adalah apabila dua tahun konflik berlaku di Gaza, yang telah melemahkan Hamas dan Hizbullah, selain kerajaan Basyar al-Assad dijatuhkan dan Yaman terus diserang. “Itulah hakikat sebenarnya. Adapun alasan-alasan lain hanyalah untuk mengaburi mata semata-mata. Bebaskan Masjid Al-Aqsa, merdekakan Palestin,” ujar beliau dengan penuh pengharapan.
16 Jun 25
86
246 Jemaah Cilik PASTI Sertai Simulasi Haji
246 Jemaah Cilik PASTI Sertai Simulasi Haji
HULU TERENGGANU, 12 Jun – Seramai 246 orang murid daripada empat buah Pusat Asuhan Tunas Islam(PASTI) dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Ajil telah menyertai Program Simulasi Haji Cilik yang diadakan secara tahunan. Program yang bermula seawal jam 7.30 pagi itu menyaksikan semua peserta menaiki bas dari PASTI masing-masing sebelum tiba di tapak program sekitar jam 8.30 pagi. Simulasi ibadah haji itu berjalan lancar dan berakhir pada jam 10.30 pagi. Acara itu dikendalikan oleh mutawif berpengalaman, Muhammad Hamdi Abbas, yang membimbing para peserta melalui proses-proses utama dalam ibadah haji seperti tawaf, saie, melontar jamrah dan wukuf di Arafah dalam bentuk yang mudah difahami oleh kanak-kanak. Program tahunan ini bertujuan memberikan pendedahan awal kepada anak-anak mengenai rukun Islam kelima serta menyemai kecintaan mereka terhadap ibadah haji. Majlis perasmian disempurnakan oleh Ketua Penyelaras Pusat Khidmat Masyarakat DUN Ajil, Yusof Sudin, yang turut menyampaikan ucapan penghargaan kepada pihak penganjur, guru-guru dan ibu bapa yang memberi sokongan padu terhadap program tersebut. ”Tahniah saya ucapkan kepada semua pelajar yang berjaya melengkapkan simulasi haji pada hari ini. “Simulasi seperti ini sangat penting untuk membina kefahaman asas tentang ibadah haji di peringkat awal usia.Semoga pengalaman ini menerbitkan rasa cinta dalam diri anak-anak untuk terus berusaha agar dapat melaksanakan rukun islam yang kelima apabila merewa dewasa nanti,"katanya dalam ucapan perasmian. Program tersebut mendapat sambutan hangat daripada murid, ibu bapa dan warga PASTI, dan turut diwarnai dengan gelak tawa serta semangat para peserta kecil yang berpakaian ihram seperti jemaah haji sebenar.
12 Jun 25
425
Terengganu Ajak Rakyat Hayati Kebesaran Hari Arafah
Terengganu Ajak Rakyat Hayati Kebesaran Hari Arafah
Kerajaan negeri komited mengajak rakyat menghayati kebesaran Hari Arafah dengan terus menganjurkan Program Malam Lambaian Arafah yang diadakan setiap tahun menjelang hari yang penuh makna bagi umat Islam di seluruh dunia.
11 Jun 25
59
Raja Muda, MB Solat Aidiladha Bersama Rakyat
Raja Muda, MB Solat Aidiladha Bersama Rakyat
KUALA TERENGGANU, 7 Jun – Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail berkenan mencemar duli menunaikan solat sunat Aidiladha bersama-sama rakyat jelata di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Ladang, pagi ini. Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar bersama Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Nara Setia serta beberapa pegawai kanan kerajaan. Solat sunat Aidiladha tersebut diimamkan oleh Mufti Terengganu, Dato’ Dr Mohamad Sabri Haron dan  turut menyampaikan khutbah khas bertemakan Aidiladha menyemarakkan semangat pengorbanan. Selesai solat, baginda berkenan menziarahi Makam Diraja yang terletak bersebelahan masjid, sebagai mengenang jasa dan sejarah keluarga diraja negeri ini. Turut kelihatan jemaah memenuhi ruang masjid sejak awal pagi untuk menyambut Aidiladha dalam suasana aman dan tertib.  
07 Jun 25
66