Artikel "agama" Terkini
Munajat Rakyat Kembali, Penyucian Jiwa Hadapi Musibah
KUALA TERENGGANU, 15 Julai - Seluruh umat Islam dalam negeri Terengganu khususnya diajak untuk sama-sama menghidup dan menghayati program Munajat Rakyat 6.0 sebagai ikhtiar mengharungi musibah pandemik COVID-19.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah menyeru masyarakat untuk sama-sama beribadat, berselawat dan mengambil ingatan daripada al-Quran dan hadis disampaikan ustaz-ustaz dan tuan guru menerusi program atas talian itu.
Menurutnya, acara anjuran Yayasan Islam Terengganu bermula hari ini sehingga esok akan menampilkan selebriti dakwah seperti Ustaz Don Daniyal Don Biyajid dan Ustazah Asma’ Harun.
“Saya mengharapkan siapa yang belum pernah mengikuti, harap dapat meluangkan masa berkunjung dan sama-sama mengimarahkan wadah ini, panjangkan juga kepada mereka yang belum pernah mendengarnya.
“Jangan lupa dan usah segan, ayuh sama-sama kita hayati dan semoga ia membersihkan hati dan jiwa kita semua,” katanya semasa ucapan perasmian Munajat Rakyat 6.0 di TVDI, pagi tadi.
Sementara itu, Mohd Nor turut mengisytiharkan acara Munajat Rakyat pada 9 Zulhijah, juga lebih dikenali sebagai Hari Arafah yang akan digerakkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT).
“Walaupun kita tidak dapat berwukuf di Padang Arafah dan menunaikan haji di Tanah Suci pada tahun ini, namun ia bukan penghalang bagi menadah tangan, bertafakur kepada Allah SWT,” jelasnya.
Beliau turut berterima kasih kepada para penaja seperti Syarikat Air Terengganu (SATU), Kumpulan EPIC Berhad, Terengganu Inc dalam memberikan sumbagan saguhati kepada ahli panel, ustaz dan ustazah sebelum ini.
“Kerajaan negeri turut mengalukan jika ada mana-mana syarikat bersedia untuk menyampaikan penghargaan kepada para dai yang terlibat dalam pelaksanaan ini,” katanya lagi.
15 Jul 21
656
SSPN-i RM1,000 Buat Hafiz, Hafizah Di Wakaf Mempelam
Oleh : Khairul Faez Rosdi
KUALA TERENGGANU, 11 Julai – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam, Wan Sukairi Wan Abdullah telah menyediakan satu inisiatif sebagai suntikan semangat kepada para hafiz dan hafizah yang berjaya menamatkan hafazan al-Quran sebanyak 30 juzuk.
Wan Sukairi berkata, pihaknya menawarkan hadiah berupa RM1,000 melalui simpanan dalam akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i).
"Ini sebagai pembakar semangat dan memudahkan urusan mereka untuk terus menimba ilmu di masa-masa mendatang," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan hadiah kecemerlangan sempena tamat 30 juzuk Al-Quran kepada Siti Nur Damiatul Husna Abdul Salam daripada Maahad Tahfiz As-Sabiqun hari ini.
Wan Sukairi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sukan, Belia dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri turut mengucapkan tahniah buat adik Nurul Damiatul atas kejayaan tersebut.
“Syabas juga buat guru didiknya Ustaz Sabri Khadir serta yang paling bermakna ialah buat ibu bapa yang sentiasa memberi sokongan.
“Antara syarat kelayakan bagi memohon insentif ini adalah ibu bapa merupakan warga dan pengundi di DUN Wakaf Mempelam.
"Jika ada yang berjaya menghafal 30 juzuk, boleh maklumkan pada Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Wakaf Mempelam di nombor telefon 06-6226958 untuk dibuat tapisan dan pendaftaran," jelasnya.
Dalam pada itu, menurut Nur Damiatul, 15, yang mula menghafal pada tahun 2019, menceritakan antara tips kejayaannya adalah membaca dan menghafal ayat suci al-Quran selepas setiap kali solat subuh.
“Selain bangun awal pada waktu pagi untuk menghafal, saya turut amalkan Teknik sama selepas solat Maghrib,” katanya yang berasal dari Kampung Losong Haji Mat Shafie.
11 Jul 21
302
Teori Konspirasi, Apa Kata UAI?
KUALA TERENGGANU, 25 Jun - Seluruh masyarakat dinasihatkan agar tidak mudah percaya dan menyebarkan maklumat tidak sahih seperti teori konspirasi yang sengaja ditularkan di media sosial pada masa kini.
Saranan tersebut disuarakan pendakwah bebas, Ustaz Azhar Idrus yang menjelaskan orang ramai perlu memahami konsep bagi informasi tersebut.
“Pertama adalah teori, bermaksud cerita atau bagaimana kisah tersebut didapatkan, ia bukan praktikal.
“Kedua adalah konspirasi, bermaksud pakatan atau tindakan hasil daripada sebuah pakatan yang besar, bertujuan tidak baik dengan kesan skala besar seperti plot berbentuk rahsia,” katanya ketika bersiaran langsung di TVDI bersempena Munajat Rakyat 3.0 hari ini.
Menurut beliau, tindakan pertama adalah orang ramai boleh mendengar, tapi siasatan lanjut perlu dilakukan bagi mengesahkan jika ia ada dalil yang kuat.
"Jika kita ingin sembahyang atau sembelih korban, kita juga perlu ada ayat yang menyebutnya.
“Jadi pentingnya kita bertindak melalui siasat terlebih dahulu sesuatu maklumat diperloleh, kemungkinan perkara yang dikatakan itu sebenar berlaku atau cakap kosong semata-mata," jelasnya.
Ustaz Azhar menceritakan, Nabi Muhammad SAW berkata ‘jangan buang semua dan jangan ambil semua' bagi menekankan bahawa informasi mengikuti syarak boleh diambil manakala yang melanggarnya perlu dibuang.
“Kalau kita nak kongsi atau ‘share’ di Facebook, sebar perkara baik, kalau ia berunsur haram, maksiat atau aib hindarilah kerana kita akan mendapat dosa sama.
“Oleh itu, tanyalah ibu bapa, ustaz, para ilmuwan atau pegawai atasan berkenaan maklumat yang didapati, terutamanya dalam zaman masalah internet ini,” katanya lagi.
25 Jun 21
864
Munajat Rakyat Harungi Musibah COVID-19
KUALA TERENGGANU, 18 Jun – Pelaksanaan program Munajat Rakyat Terengganu oleh Kerajaan Negeri adalah sebagai salah satu usaha meningkatkan semangat rakyat dalam mengharungi musibah pandemik COVID-19.
Pendakwah bebas, Ustaz Azhar Idrus menyifatkan, antara dua syarat untuk Allah SWT mengampunkan dosa umat-Nya ketika menghadapi malapetaka adalah dengan mengamalkan sifat redha dan berusaha untuk bermunajat.
“Allah SWT ingin mengajar kita dengan musibah, ini kerana apabila manusia melaluinya, kita akan kembali untuk beribadat kepada-Nya.
“Antara hikmah berlakunya sesuatu kejadian yang tidak baik, pertama Nabi Muhammad SAW berkata tuhan memberikan kita susah begini, dengan sebab itu dosa kita sebesar gunung Allah ampunkan,” katanya ketika bersiaran langsung sempena Kuliah Dhuha Munajat Rakyat, pagi tadi.
Dalam bual bicara yang dipengerusikan oleh Pengarah Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS), Kamaruzzaman Abdullah itu, Ustaz Azhar turut berkata, musibah bermakna perkara atau kejadian tidak baik menimpa ke atas manusia.
“Persoalannya jika penularan virus ini musibah atau tidak, jawapannya semua yang tidak baik tidak disukai manusia dipanggil musibah, apatah lagi keadaan semasa dengan kes kematian yang meningkat,” katanya lagi.
Sementara itu, Pendakwah Selebriti, Ustaz Syed Mohd Norhisyam berkata, dalam menghadapi masalah seperti kesihatan, kewangan dan sebagainya, Islam mengajar umatnya untuk berikhtiar.
“Khususnya apabila dilanda wabak, antara ikhtiar yang boleh diambil seperti mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP), mengambil vaksin, pemakanan sihat dan lain-lain lagi.
“Hanya istimewa untuk orang Islam sahaja, munajat sebenarnya juga adalah bentuk yang paling utama sekali, kerana Allah SWT adalah maha berkuasa untuk mencipta dan menghapuskannya (virus), alhamdullilah Munajat rakyat yang diadakan ini juga adalah di antaranya,” jelasnya.
18 Jun 21
385
Kempen #Aid4Palestine Target Bantuan RM1 Juta Untuk Palestin
KUALA TERENGGANU, 13 Mei - Kerajaan Malaysia menubuhkan sekretariat #Aid4Palestine bagi menyelaras bantuan kewangan untuk Palestin melalui kaedah ‘crowdfunding’ dan menyasarkan kutipan sebanyak RM1 juta.
Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang menegaskan, perkembangan terkini yang berlaku di Palestin dengan serangan berterusan oleh regim Zionis Israel terhadap rakyat Palestin adalah suatu tindakan zalim dan wajib dikecam.
"Justeru itu, kami telah mengadakan perbincangan khas pada petang 30 Ramadhan, melibatkan beberapa tokoh masyarakat dan pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO), untuk mengambil tindakan proaktif dan segera bagi membantu perjuangan Palestin.
"Kami dengan penubuhan 'Sekretariat #Aid4Palestine' yang akan dipengerusikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi dengan kerjasama lebih 40 buah NGO yang akan bersama menggerakkan misi ini.
"Sekretariat ini turut akan berfungsi sebagai koordinator jaringan NGO dan masyarakat sivil bagi menggerakkan kempen kesedaran rakyat Malaysia terhadap perjuangan Palestin," katanya dalam satu kenyataan akhbar, semalam.
Menurut beliau yang juga Presiden PAS, hasil kutipan fasa pertama berjumlah RM350 ribu akan disalurkan pada 10 Syawal.
"Hasil kutipan terkumpul melalui NGO PAS Relief, Yayasan Amal Malaysia, Muslim Care Malaysia Society dan Cakna Palestin Malaysia.
"Manakala kutipan fasa kedua minima RM650 ribu akan dibuka sehingga 30 Syawal.
"Mudah-mudahan segala usaha yang dilakukan ini menjadi ganjaran dan pahala yang besar di sisi Allah sebagai tanda keimanan dan kasih sayang umat Islam kepada Palestin.
"Intifadhah di bumi Palestin adalah lambang kesatuan dan kebangkitan umat Islam seluruhnya melangkaui batas sempadan negara dan perbezaan mazhab, demi membela keadilan dan hak rakyat Palestin," jelasnya lagi.
Tambah Abdul Hadi, infak dan sumbangan setiap umat Islam bagi membantu perjuangan rakyat Palestin perlu diteruskan, sebagai tanda pengorbanan dan kasih kepada Masjid al-Aqsa dan bumi Palestin yang dimuliakan oleh Allah.
13 May 21
886
Baca, Fahami Dan Aplikasi Al-Quran Dalam Kehidupan
KUALA TERENGGANU, 8 Mei - Program World #QuranHour yang diadakan serentak seluruh negara pada tahun ini dengan bertemakan surah Al-Mulk harus disambut baik semua pihak demi memartabatkan al-Quran tercapai.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Ridzuan Hashim berkata, supaya masyarakat sedar akan kepentingan menjadikan ia sebagai panduan utama dalam aktiviti seharian.
"Dalam erti kata yang lain boleh diibaratkan satu pekeliling dari langit yang membawa arahan daripada Allah SWT demi memastikan kehidupan kita ini terarah sebagaimana yang dikehendaki.
"Supaya kita tidak tersesat dan menyimpang daripada tujuan sebenar kehidupan di dunia ini. Jika kita tidak fahami dan hayati maka kita tidak akan selamat.
"Oleh kerana itu saya menasihati diri saya dan juga seluruh masyarakat agar mendampingi al-Quran dengan mengamalkannya melalui tuntutan sebenar yang terkandung di dalamnya," ujar beliau.
Beliau yang juga merupakan Pengerusi Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT) berkata demikian kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas merasmikan program World #QuranHour, di Dewan Teater, Perpustakaan Awam negeri baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Ridzuan berkata program yang bertemakan 'Dunia Berbudi dan Penyayang' tersebut diharap mampu memberi galakkan dan didikan kepada rakyat untuk mengamalkan nilai-nilai positif.
"Juga berupaya memupuk budaya kerja yang cemerlang serta melakukan yang terbaik dalam apa jua bidang dilakukan.
"Melalui peringatan bahawa setiap apa yang dilakukan di dunia ini semuanya akan dihisab dan dibawa ke hadapan pengadilan Allah untuk menerima balasan yang setimpal.
"Dengan semangat itu mudah-mudahan akan menjadikan seluruh masyarakat adalah manusia yang terbaik dalam semua perkara," katanya.
Dalam pada itu Pengarah PPAT, Norliza Ismail berkata penyertaan rakyat negeri ini dalam menjayakan program berkenaan saban tahun berlaku peningkatan yang tinggi.
"Terdiri daripada segenap lapisan masyarakat daripada pegawai, kakitangan pelbagai agensi kerajaan dan institusi pengajian.
"Telah meletakkan negeri ini kekal mengungguli tempat pertama dalam menyertai program ini,"ujarnya.
08 May 21
238
Modul Itqan Insani Medium Pembangunan Sahsiah Rakyat
Pembangunan modul Itqan Insani menjadi usaha terbaru Kerajaan Terengganu dalam melengkapkan proses pendidikan, pentarbiahan dan pembangunan modal insan yang mencakupi pelbagai segmen masyarakat rakyat di negeri ini.
06 May 21
256
Lebarkan Syukur, Sulam Intipati Al-Quran Dalam Diri
Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar mengajak rakyat negeri ini menyatakan kesyukuran kerana dapat bersama dalam memperingati peristiwa yang amat besar ertinya kepada umat Islam iaitu peristiwa Nuzul Al-Quran.
05 May 21
127
Terengganu Manfaat Kepakaran Ulama Bangunkan Negeri
Kerajaan Terengganu terus komited memanfaatkan ilmu dan kepakaran golongan ulama dalam membangunkan negeri mengikut landasan yang dihasratkan demi kepentingan rakyat.
28 Apr 21
89
Genap Enam Dekad Bangunkan Ummah Rabbani
Genap 64 tahun Majlis Tilawah Al-Quran diadakan di peringkat negeri dan ia selari dengan hasrat kerajaan Terengganu dalam meletakkan prinsip Islam selari dengan pembangunan semasa.
27 Apr 21
39