KUALA TERENGGANU, 7 Julai - Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Kemaman dengan peruntukan RM300 juta kini diperingkat pra pelaksanaan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Malaysia.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Negeri, Dato’ Hanafiah Mat berkata projek tersebut adalah bagi mengurangkan kawasan banjir dan melindungi nyawa serta mengelakkan kerosakan harta benda.
“Projek ini akan dilaksanakan secara reka dan dibina dan ianya diperingkat penilaian kontraktor oleh JPS Malaysia.
“Surat setuju terima kepada kontraktor yang berjaya dijadualkan akan dikeluarkan pada Disember 2025.
“Tempoh pelaksanaan projek ini adalah lima tahun di mana ianya dijangka akan siap sepenuhnya pada tahun 2031,”ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan negeri (DUN) Air Putih, Mohd Hafiz Adam yang ingin mengetahui sejauh mana kemajuan projek tersebut dan tahap guna sedia ada serta jangkaan operasi bermula di Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Kelima Belas di sini hari ini.
Tambah Hanafiah, projek pembinaan sungai tiruan tersebut dapat meminimumkan pertembungan Sungai Air Putih dan Sungai Cerul yang terletak di Hulu Kemaman yang mana keadaan lebih buruk jika berlaku fenomena air pasang besar dan hujan lebat.