lightning-solid
Berita :
Sultan Mizan Berkenan Rasmi Kejohanan Lawn Bowls Kebangsaan 2025
Sultan Mizan Berkenan Rasmi Kejohanan Lawn Bowls Kebangsaan 2025
Muhamad Fazlee Aziz
28 Aug 25
135

KUALA TERENGGANU, 28 Ogos – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah, Sultan Terengganu, berkenan mencemar duli berangkat ke Majlis Perasmian Kejohanan Lawn Bowls Kebangsaan 2025, acara tahunan terbesar anjuran Persekutuan Lawn Bowls Malaysia (PLBM).

Keberangkatan baginda ke majlis tersebut menyerlahkan keprihatinan serta sokongan berterusan Seri Paduka terhadap pembangunan sukan, khususnya lawn bowls, yang semakin mendapat tempat dalam kalangan rakyat.

Majlis turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Adam Adli, Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Dato’ Nara Setia, Pegawai Kewangan Negeri Terengganu, Dato’ Mohd Azmi Mohamad Daham, serta Presiden PLBM, Datuk Awalan Abdul Aziz.

Kejohanan yang menghimpunkan atlet dari seluruh negara itu menjadi medan penting untuk mencungkil bakat baharu, selain menguji keupayaan atlet berpengalaman bagi menghadapi kejohanan di peringkat antarabangsa.

Ia juga diyakini mampu memperkukuh kedudukan Terengganu sebagai salah satu pusat pembangunan sukan lawn bowls yang aktif di Malaysia.

Penganjuran tahunan ini bukan sahaja menyerlahkan komitmen terhadap pembangunan sukan, bahkan turut memberi limpahan manfaat kepada sektor pelancongan dan ekonomi setempat melalui kehadiran kontinjen, pegawai serta penyokong dari seluruh negara.

KDYMM Tuanku Sultan turut berkenan mencuba sukan lawn bowls, memperlihatkan sokongan baginda terhadap pembangunan sukan tersebut di Malaysia. Sukan lawn bowls negara terus mencipta sejarah apabila Nor Farah Ain Abdullah dinobatkan sebagai Olahragawati Kebangsaan 2024, satu pencapaian sulung bagi atlet lawn bowls wanita.

Farah sebelum ini muncul Juara Dunia dalam World Bowls Indoor Championship 2024 di Guernsey, United Kingdom, dan pernah menduduki tangga No.1 Dunia dalam World Bowls Series Ranking, beliau turut dinobatkan sebagai Atlet Terbaik di Anugerah Sukan SAM 2024.

Tahun 2025 pula menyaksikan kejayaan berganda apabila pasukan negara muncul Juara Keseluruhan di Asia Lawn Bowls Championship di Clark, Filipina, dengan meraih 7 daripada 11 pingat emas.

Tiga daripada atlet yang menjulang kejayaan ini berasal dari Terengganu, iaitu Muhammad Idham Amin, Norzamziezah Ahmad dan Nurul Balqis Anisha.

Selain itu, Malaysia turut merangkul kejayaan di kejohanan antarabangsa lain seperti Lion City Cup 2025 di Singapura dan Australia Open 2025, di mana Pasangan Wanita Negara berjaya memenangi pingat perak.

Atlet wanita negara, Emma Firyana Saroji, juga menyumbang pencapaian dengan membawa pulang pingat gangsa dari World Bowls Indoor Championship 2025 di Aberdeen, Scotland.

Penganjuran kejohanan kali ini bukan sahaja menyerlahkan komitmen terhadap pembangunan sukan, malah diyakini mampu memperkukuh kedudukan Terengganu sebagai salah satu pusat pembangunan lawn bowls negara.

Dalam masa sama, limpahan manfaat turut dijangka kepada sektor pelancongan dan ekonomi setempat melalui kehadiran kontinjen, pegawai serta penyokong dari seluruh negara.

 


Tag :

Sukan

Artikel Berkaitan