KUALA LUMPUR, 15 Oktober – Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang membidas kerajaan Persekutuan kerana didakwa mengamalkan sikap pilih kasih dalam menyalurkan bantuan serta pembangunan, khususnya terhadap negeri dan kawasan yang diperintah oleh pembangkang.
Dalam perbahasan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat, beliau menyifatkan tindakan kerajaan yang melambatkan proses bantuan kepada negeri pembangkang dan kawasan Ahli Parlimen pembangkang sebagai satu bentuk birokrasi terancang yang membahayakan perpaduan negara.
“Sepatutnya tanggungjawab kerajaan ialah membantu semua rakyat dan semua negeri tanpa mengira siapa memerintah. Tapi sekarang berlaku pilih kasih. Negeri pembangkang, ahli parlimen pembangkang — bantuan dilambatkan, urusan disusahkan, ini bahaya,” tegas beliau.
Menurutnya, amalan sebegitu hanya akan merosakkan keyakinan rakyat terhadap keadilan kerajaan dan mencetuskan ketegangan politik yang tidak perlu.
“Ini termasuk dalam bahaya yang boleh merosakkan. Kita wajib selesaikan masalah ini demi rakyat, bukan demi parti,” katanya.
Beliau turut menyeru agar sistem penyampaian kerajaan diperbaiki agar tidak tunduk kepada kepentingan politik sempit, sebaliknya berpaksikan keadilan dan keikhlasan dalam membela seluruh rakyat Malaysia.