lightning-solid
Berita :
Sekolah Gagal Jadi Benteng Keselamatan, Insiden Rogol Cerminan Krisis Sistem Pendidikan
Sekolah Gagal Jadi Benteng Keselamatan, Insiden Rogol Cerminan Krisis Sistem Pendidikan
Rohayati Ripin
12 Oct 25
93

KUALA NERUS, 12 Oktober – Sekolah kini tidak lagi boleh dianggap sebagai tempat selamat untuk anak-anak susulan insiden rogol bergilir-gilir melibatkan pelajar baru-baru ini.

Kejadian itu disifatkan sebagai krisis keselamatan serius serta bukti jelas kegagalan sistem pendidikan dalam melindungi pelajar daripada jenayah seksual.

Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Simposium Suri Sejahtera (3S), Zuraida Mohd Noor, menegaskan bahawa insiden terbabit mencerminkan kelemahan besar sistem pendidikan negara dalam memastikan sekolah benar-benar menjadi tempat perlindungan dan pembentukan sahsiah pelajar bukan sebaliknya.

“Saya amat terkejut perkara sebegini berlaku di Malaysia. Walaupun bukan di Terengganu, ia tetap melibatkan anak Melayu kita, anak Islam kita.

“Ini mencerminkan kegagalan sistem sekolah hari ini sebagai tempat perlindungan. Sekolah gagal melindungi mereka,” katanya dalam sidang media selepas program 3S yang diadakan di Kuala Nerus, semalam.

Zuraida menggesa Kementerian Pendidikan dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) menubuhkan satu pasukan khas (task force) bagi menilai semula tahap keselamatan di semua sekolah, termasuk memperkemas sistem pemantauan serta kawalan keselamatan.

“Sekolah sepatutnya menjadi tempat paling selamat selepas rumah. Bila kes rogol boleh berlaku dalam bilik darjah, jelas sistem keselamatan di sekolah sangat lemah. Pihak berwajib mesti menyelesaikan masalah ini dan mengambil tanggungjawab sepenuhnya, bukan sekadar menumpukan kepada bilik darjah atau silibus,” tegasnya.

Beliau turut mencadangkan pemasangan CCTV di kawasan strategik, peningkatan rondaan, serta memastikan setiap kawasan sekolah berada dalam pemantauan rapi.

Zuraida menegaskan, punca utama keruntuhan moral pelajar berpunca daripada kegagalan sistem pendidikan menanam nilai agama dan akhlak Islam dalam kalangan generasi muda.

“Kita perlu kembali kepada asas ajar anak-anak tentang dosa dan pahala, halal dan haram, serta rasa takut kepada Allah. Jika tiada kefahaman agama, mereka tidak akan mengenal batas dosa dan pahala,” ujarnya.

Beliau juga menekankan bahawa pembangunan moral dan sahsiah antara lelaki dan wanita mesti bergerak seiring, kerana remaja lelaki juga memerlukan bimbingan dan perhatian yang serius.

“Selalu kita bercakap tentang pembangunan wanita, tapi siapa yang cakna tentang pembangunan lelaki? Anak lelaki yang tidak dibimbing hari ini mungkin menjadi pemangsa esok,” tambahnya.

Zuraida turut menyeru agar ibu bapa, guru dan masyarakat memainkan peranan secara bersama dalam memastikan keselamatan anak-anak. Tanggungjawab ini, katanya, tidak boleh diletakkan sepenuhnya di bahu pihak sekolah.

“Rumah ialah madrasah pertama, tapi sekolah mesti jadi benteng kedua. Jangan kita biarkan sekolah bertukar menjadi tempat bahaya untuk anak-anak kita,” katanya dengan nada kesal.

Beliau menegaskan bahawa kerajaan perlu melaksanakan reformasi sistem keselamatan sekolah dan memperkukuh pendidikan agama serta akhlak sebagai langkah memulihkan keyakinan masyarakat terhadap sistem pendidikan negara.

“Saya menyeru agar semua pihak memainkan peranan. Kes ini bukan hanya tentang seorang mangsa, tetapi tentang sistem yang longgar. Setiap sekolah mesti menjadi benteng pertama, bukan ruang bahaya tersembunyi.

“Keselamatan pelajar perlu dijadikan agenda utama negara. Kita perlu hentikan normalisasi keganasan bukan sahaja di rumah dan di sekolah, tetapi di seluruh masyarakat,” tegasnya.


Tag :

Artikel Berkaitan