MARANG, 29 September – Aktiviti bersarapan di warung merupakan masa paling efektif untuk mendekati masyarakat serta memahami permasalahan yang dihadapi mereka.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong berkata, pendekatan santai ini bukan sahaja memberi ruang untuk beramah mesra dengan penduduk setempat, malah membolehkan beliau mendengar sendiri aduan dan pandangan masyarakat secara terbuka.

“Pada pendapat saya, waktu paling ramai orang berada di warung adalah awal pagi, sebelum mereka ke tempat kerja atau selepas menghantar anak ke sekolah.
Jika datang lewat, sekitar jam 9 hingga 12 tengah hari, kebanyakan sudah masuk kerja. Jadi, waktu sarapan inilah masa paling sesuai untuk bertemu masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Program YB Cakna Komuniti Sejahtera peringkat Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Jambu Bongkok, yang diadakan di Kedai Makan Bonda, pagi tadi.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, turut menyatakan komitmennya untuk terus turun padang secara berkala sebagai usaha memperkukuhkan hubungan antara pemimpin dan rakyat.
Tambah beliau, inisiatif seumpama ini membolehkan pemimpin memahami kehendak serta keperluan komuniti secara lebih mendalam, seterusnya membantu menyelesaikan isu-isu setempat dengan lebih berkesan dan menyeluruh.