KUALA LUMPUR, 14 Oktober – Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Dato' Rosol Wahid, menggesa kerajaan menilai semula pelaksanaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang didakwanya memberi kesan negatif kepada penerima dan peniaga kecil tempatan.
Beliau berkata, sistem semasa yang mengehadkan jenis barangan dan lokasi pembelian bukan sahaja menekan rakyat miskin, malah menguntungkan syarikat besar yang diberikan tender penebusan bantuan tersebut.
“SARA ini bukan sahaja menganiaya penerima, tetapi juga peniaga kecil. Hanya pasar raya besar yang dapat manfaat, sedangkan peniaga kecil terus tertindas,” tegasnya ketika berbahas di Dewan Rakyat.
Rosol menambah, matlamat asal SARA untuk membantu rakyat kini tersasar apabila manfaatnya hanya berlegar dalam kalangan peruncit besar. Beliau menyifatkan pendekatan ini tidak seimbang dan melemahkan ekonomi tempatan, khususnya di kawasan luar bandar.
“Kerajaan perlu kembalikan hak rakyat untuk memilih di mana mereka mahu berbelanja, bukan mengikat mereka dengan sistem yang hanya menguntungkan segelintir pihak,” ujarnya.
Rosol turut menegaskan bahawa bantuan seperti SARA harus dilaksanakan secara lebih inklusif dan adil, dengan membuka peluang kepada peniaga kecil, koperasi dan pasar tempatan bagi memastikan manfaat ekonomi diagih secara menyeluruh.