KUALA LUMPUR, 20 Ogos – Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13) menekankan pembangunan modal insan sebagai agenda utama negara, namun realiti di lapangan memperlihatkan infrastruktur sekolah, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman termasuk Sabah dan Sarawak, masih berada pada tahap yang daif.
Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli, berkata masih terdapat sekolah beroperasi dalam keadaan serba kekurangan dengan kemudahan asas yang jauh daripada keperluan pendidikan abad ke-21.
Katanya, situasi itu jelas menunjukkan jurang kualiti prasarana pendidikan antara bandar dan luar bandar masih belum dirapatkan, meskipun isu tersebut berulang kali dibangkitkan dalam rancangan pembangunan negara terdahulu.
"Selain kelemahan prasarana, cabaran lain yang membimbangkan adalah aspek keselamatan dan akhlak di sekolah.
"Kes buli yang berlaku terhadap adik Zara Qairina baru-baru ini dilihat sebagai tamparan hebat kepada sistem pendidikan negara, yang sepatutnya menjadi medan selamat untuk anak-anak menimba ilmu," ujarnya.
Sehubungan itu, katanya, setiap kesalahan mesti dikenakan tindakan tegas tanpa mengira pangkat atau kedudukan.
Tegas beliau, prinsip keadilan perlu ditegakkan bagi membendung gejala negatif yang mampu merosakkan masa depan generasi muda.
“Zaman sulit melahirkan generasi yang kuat, generasi kuat melahirkan zaman yang selesa, zaman selesa melahirkan generasi yang lemah, dan generasi lemah melahirkan kembali zaman sulit,” tegasnya, sambil mengingatkan bahawa kitaran kelemahan masyarakat akan membuka ruang kepada budaya buli untuk kembali berulang.
Menurut beliau, apabila wujud generasi yang lemah, kecenderungan untuk menunjukkan kekuatan sering dizahirkan melalui perbuatan buli terutama di alam persekolahan.
Ujarnya, jika kelemahan sistem pendidikan tidak diperbaiki dan nilai murni tidak diperkukuhkan, negara berisiko terjebak dalam kitaran kemerosotan berulang.
Sehubungan dengan itu, beliau menyarankan dua langkah utama bagi menangani isu tersebut.
"Pertama, penyelesaian segera terhadap masalah infrastruktur sekolah di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.
"Kedua, penambahbaikan dalam sistem penyampaian pendidikan agar selari dengan tuntutan semasa," katanya.