Oleh: Nooreni Abu Bakar
KUALA TERENGGANU, 27 September – Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBR) bagi kategori “Largest Turn Out in TVET Fair” menerusi Mega Fiesta TVET POLYCC 2025.
Unit Komunikasi dan Korporat PSMZA dalam satu kenyataan memaklumkan, program anjuran PSMZA dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) yang diadakan sejak 15 Julai lalu berjaya menarik 149,633 pengunjung, jauh melepasi sasaran awal 30,000 orang.
"Sepanjang lebih dua bulan, pelbagai aktiviti berimpak tinggi dianjurkan termasuk Kayuhan Bersama Lagenda, Career Fest, Persidangan Antarabangsa dan Kayak Merdeka, menjadikan program ini wadah penting mengukuhkan ekosistem TVET negara," jelasnya.
Majlis pengiktirafan dan penutupnya telah diadakan di Dewan Perdana, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan disempurnakan oleh Pengarah Kanan (Akademik) JPPKK, Dr. Mohd Daud Isa.
Dalam ucapannya, Dr. Mohd Daud menegaskan bahawa penganjuran Mega Fiesta TVET POLYCC 2025 adalah manifestasi Dasar TVET Negara 2030, yang mensasarkan sekurang-kurangnya 60 peratus tenaga kerja negara berkemahiran tinggi menjelang tahun 2030.
"Kejayaan mencatat rekod ini membuktikan TVET kini bukan lagi pilihan kedua, malah menjadi arus perdana pembangunan modal insan negara, seiring Dasar TVET Negara 2030, " ujarnya.
Sementara itu, Pengarahnya, Zamra Derahman pula menyifatkan pencapaian itu sebagai bukti keyakinan masyarakat terhadap laluan TVET yang mampu melahirkan modal insan berkualiti tinggi.
Menurutnya, kejayaan ini bukan sekadar mencatat rekod, tetapi bukti bahawa TVET semakin diyakini sebagai laluan masa depan yang mampu melahirkan modal insan berkualiti tinggi.
"Kejayaan ini membuktikan kekuatan jaringan kolaborasi yang menjadi tunjang kepada kemajuan TVET negara, bukti kejayaan kolektif, 28 penerima yang terdiri daripada pelbagai institusi, agensi dan rakan industri turut menerima sijil Malaysia Book of Records pada majlis ini.
"Dengan pencapaian ini, PSMZA mengekalkan rekod cemerlang sebagai tiga tahun berturut-turut penerima Malaysia Book of Records, selepas kejayaan “First Polytechnic with Sundial” (2023) dan “The Longest Jalur Gemilang Human Trail @Bukit Bauk” (2024)," jelasnya.