lightning-solid
Berita :
Pra Pelancaran IGMRR 2025 Meriah, Angkat Tema 'Be The Change, To New Beginning'
Pra Pelancaran IGMRR 2025 Meriah, Angkat Tema 'Be The Change, To New Beginning'
Muhamad Fazlee Aziz
18 Aug 25
55

KUALA TERENGGANU, 18 Ogos – Majlis Pra Pelancaran International Golden Monsoon Ride & Run (IGMRR) 2025 berlangsung meriah di Taman Panoramik, Pesisir Payang, Sabtu lalu sebagai acara pembuka tirai kepada Terengganu Inc Challenge Series.

Acara utama dijadualkan berlangsung pada 19 hingga 20 Disember 2025 di sekitar bandar raya Kuala Terengganu dengan pengisian pelbagai kategori berbasikal dan larian.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, IGMRR 2025 tampil dengan nafas baharu melalui tema 'Be The Change, To New Beginning' yang menekankan semangat perubahan serta permulaan baharu.

“Selain mengekalkan acara tradisi, penganjur turut memperkenalkan kepelbagaian acara seperti Race on Road, Cabaran Duathlon, Fun Ride dan Fun Run yang bakal menjadi tarikan utama di bandar Kuala Terengganu,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut.

Majlis perasmian pra pelancaran turut dihadiri Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Fadhlirahmi Zulkifli; Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Inc, Dato’ Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun; Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu, Ahmad Syahrizal Yahaya; Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri, Hilman Hajijan; Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri, Asmadi Mohamad serta Ketua Pegawai Eksekutif TSG, Che Ku Izmuddin Che Ku Mahmood.

Turut hadir ialah ketua-ketua syarikat di bawah Kumpulan Terengganu Inc.
 

Beliau berkata, pemilihan penganjur utama bagi setiap edisi ditentukan melalui sistem penggiliran yang dilaksanakan oleh Terengganu Inc Challenge Series.

“Untuk edisi kali ini, Syarikat Air Terengganu (SATU) dipilih sebagai penganjur utama. Sistem penggiliran ini memberi peluang sama rata kepada syarikat-syarikat utama di bawah Kumpulan Terengganu Inc untuk menonjolkan peranan masing-masing,” jelasnya.

Selain itu, penganjur menyediakan hadiah utama berupa sebuah kereta Proton S70 Eksekutif kepada peserta bertuah, di samping pelbagai hadiah sampingan lain bagi memeriahkan acara.

Orang ramai dijemput hadir memeriahkan program hujung tahun ini yang dijangka menjadi antara acara sukan dan rekreasi terbesar di Terengganu.

 

 

 


Tag :

Sukan

Artikel Berkaitan