KEMAMAN, 11 Oktober - Suasana di Dataran Ayah Sor, Bukit Mentok bertukar meriah dengan ribuan pengunjung apabila Pesta Gagar Udang Kemaman 2025 kembali berlangsung, mengukuhkan statusnya sebagai acara ikonik yang dinanti-nantikan oleh masyarakat setempat.
Program selama dua hari bermula Jumaat itu bukan sahaja meraikan tradisi menangkap udang, malah menjadi platform untuk mengeratkan hubungan komuniti serta memartabatkan keunikan warisan dan budaya tempatan.
Dalam ucapan , Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Mohd Hafiz Adam berkata, Pesta Gagar Udang membawa makna yang lebih besar daripada sekadar sebuah acara hiburan.
Menurutnya, penganjuran pesta itu adalah manifestasi semangat kebersamaan, keprihatinan, dan gotong-royong yang utuh dalam kalangan masyarakat di daerah ini.
“Pesta Gagar Udang bukan sekadar acara hiburan, sukan air atau jualan semata-mata, tetapi ia merupakan manifestasi semangat kebersamaan masyarakat setempat.
“Program seperti ini menjadi platform penting untuk kita menggilap bakat anak muda, mengangkat produk tempatan, serta memperkukuh jalinan ukhuwah antara pemimpin dan rakyat,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut.
Beliau turut merakamkan setinggi penghargaan kepada kerajaan negeri, khususnya Exco Pelancongan, kerana telah memasukkan Pesta Gagar Udang ke dalam kalendar pelancongan rasmi Negeri Terengganu, satu pengiktirafan yang membuktikan kepentingan acara itu kepada industri pelancongan negeri.
Bertemakan ‘Tradisional Melayu’, pesta kali ini sarat dengan pelbagai aktiviti menarik yang menggamit penyertaan segenap lapisan masyarakat.
Antara yang menjadi tumpuan ialah Pertandingan Memasak Udang, Pertunjukan Silat, Demonstrasi Permainan dan Makanan Tradisional seperti anyaman ketupat dan cucuk atap nipah, selain acara kemuncak iaitu pelepasan peserta gagar udang.
Tidak ketinggalan, aktiviti sampingan seperti pertandingan memancing udang, pertandingan udang cantik, sukan air, dan gerai jualan usahawan tempatan turut memeriahkan suasana, memberi peluang kepada peniaga kecil untuk menjana pendapatan.
Pada sebelah malam pula, orang ramai dihiburkan dengan program ‘Malam Bual Kampung’ yang menampilkan penceramah jemputan serta Persembahan Dikir Lama yang mengembalikan nostalgia warisan seni Terengganu.
Mohd Hafiz berharap agar semangat dan nilai murni yang ditonjolkan sepanjang pesta ini, seperti kerjasama dan cinta terhadap warisan bangsa, akan terus disemai dan diwarisi oleh generasi muda.