lightning-solid
Berita :
Persekutuan Tidak Boleh Pinggirkan Negeri Terengganu Dalam Belanjawan 2026
Persekutuan Tidak Boleh Pinggirkan Negeri Terengganu Dalam Belanjawan 2026
Rohayati Ripin
13 Oct 25
159

KUALA NERUS, 13 Oktober – Kerajaan negeri Terengganu berharap agar kerajaan Persekutuan tidak meminggirkan negeri itu dalam pelaksanaan Belanjawan 2026, khususnya dalam aspek pembangunan dan penyediaan kemudahan asas yang amat diperlukan rakyat.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah, berkata jumlah peruntukan besar yang dibentangkan dalam Belanjawan 2026 diharap dapat dimanfaatkan dengan sebaik mungkin oleh semua negeri, termasuk Terengganu.

“Belanjawan yang dibentangkan dengan jumlah yang begitu besar itu memberikan harapan besar kepada kita di peringkat negeri. Kita sangat berharap agar semua peruntukan dan cadangan perbelanjaan, khususnya yang melibatkan negeri-negeri, dapat dimanfaatkan sebaik mungkin demi kepentingan rakyat. 

“Saya melihat masih banyak ruang yang sepatutnya diberi perhatian serius dan peruntukan segera untuk melengkapkan keperluan penting di negeri ini,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai Belanjawan 2026 selepas program Hari Sayyidatina Aisyah di  Dewan Jubli Perak, Kompleks Pentadbiran  Bandar Al Wathiqu Billah, di sini, semalam.

Wan Sukairi turut berharap agar Ahli Parlimen dari Terengganu dapat memainkan peranan aktif dalam sesi perbahasan di Parlimen bagi menyuarakan cadangan baharu demi kepentingan rakyat negeri itu.

“Harapan saya agar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan Persekutuan benar-benar mendengar serta memberi perhatian terhadap apa yang dibangkitkan oleh wakil rakyat Terengganu,” ujarnya.

Justeru itu, beliau menggesa PM tidak meminggirkan Terengganu dalam agihan peruntukan pembangunan negara.


Tag :

Artikel Berkaitan