lightning-solid
Berita :
Perdagangan Terengganu Catat Lonjakan, Imbangan Dagangan Naik 60.1 Peratus
Perdagangan Terengganu Catat Lonjakan, Imbangan Dagangan Naik 60.1 Peratus
Amy Lyna
09 Jul 25
560

KUALA TERENGGANU, 9 Julai – Sektor perdagangan negeri Terengganu mencatat pencapaian memberangsangkan sepanjang tahun 2024, apabila jumlah perdagangan meningkat sebanyak 26.5 peratus, manakala imbangan dagangan melonjak 60.1 peratus.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, rekod baharu itu jauh mengatasi sasaran awal peningkatan lima peratus yang ditetapkan kerajaan negeri.

Katanya, kejayaan itu merupakan bukti jelas terhadap keberkesanan strategi perancangan ekonomi negeri serta kecekapan pelaksanaan oleh jentera pentadbiran.

“Kita sasarkan peningkatan sekitar lima peratus sahaja bagi jumlah dan imbangan perdagangan.

"Namun angka sebenar menunjukkan peningkatan yang jauh lebih besar iaitu jumlah perdagangan meningkat 26.5 peratus, manakala imbangan dagangan meningkat 60.1 peratus. Ini sangat signifikan,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Peringkat Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman semalam.

Beliau turut mengakui bahawa pencapaian ini adalah hasil usaha kolektif penjawat awam dan pelbagai agensi pelaksana yang telah merealisasikan dasar yang dirangka di peringkat dasar.

“Saya hanya merangka arah dan sasaran. Tetapi yang melaksana dan memastikan kejayaan ini berlaku adalah tuan-tuan dan puan-puan. Kadang-kadang kita tak sedar pun yang kita dah capai lebih daripada apa yang kita sasarkan,” katanya.

Tambah beliau, kejayaan melebihi sasaran dalam pelbagai sektor termasuk perdagangan membuktikan jentera pentadbiran negeri berjalan dengan cekap, walaupun secara ‘senyap’ atau seolah-olah bergerak secara automatik.

“Sedangkan realitinya, semua ini berlaku kerana adanya pasukan kerja yang komited dan berdisiplin di semua peringkat. Saya ucapkan terima kasih dan tahniah atas pencapaian luar biasa ini,” ujarnya.

Beliau turut menegaskan bahawa Terengganu berada di landasan yang kukuh untuk terus mara ke hadapan dan menjadi model pembangunan ekonomi negeri yang progresif dan mampan.


Tag :

Artikel Berkaitan