KUALA LUMPUR, 19 Oktober – Keputusan Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM17 bilion bagi pembinaan projek Transit Aliran Ringan (LRT) Mutiara Line di Pulau Pinang dalam Belanjawan 2026 menimbulkan tanda tanya besar mengenai keutamaan pembangunan negara serta keadilan agihan dana antara negeri.
Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Dr. Alias Razak, berkata perbandingan itu menzahirkan ketidakadilan yang ketara terhadap negeri-negeri Pantai Timur yang masih bergelut dengan jurang pembangunan dan kadar kemiskinan yang tinggi.
Menurut beliau, projek Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3) yang menghubungkan Terengganu dan Kelantan masih tergantung sejak diumumkan pada 2006, walaupun kajian awalnya telah disiapkan pada Ogos 2022.
“Kos asal LPT3 dianggarkan RM2.8 bilion, namun kini melonjak hampir empat kali ganda kepada RM9.8 bilion akibat penangguhan berlarutan. Sedangkan projek LRT bernilai RM17 bilion di negeri maju seperti Pulau Pinang diluluskan segera. Di mana keutamaan kerajaan?,” tegasnya di Dewan Rakyat.
Beliau menjelaskan, pelaksanaan LPT3 amat penting kerana ia bakal melengkapkan rangkaian lebuh raya dari Kuala Lumpur hingga ke sempadan Thailand, sekali gus menjadi pemangkin utama kepada pembangunan sosioekonomi di negeri-negeri Pantai Timur.
Dr. Alias turut mempersoalkan mengapa LPT3 tidak dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12) mahupun Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13), sedangkan projek besar di negeri sekutu politik kerajaan diluluskan dengan cepat dan bernilai berbilion ringgit.
“Mengapa projek di negeri sekutu politik diluluskan segera sedangkan projek untuk manfaat rakyat Pantai Timur terus ditangguhkan? Ini menimbulkan persepsi bahawa pertimbangan politik lebih diutamakan berbanding keseimbangan pembangunan negara,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap penyaluran dana besar ke Pulau Pinang tanpa penelitian mendalam, terutama selepas beberapa projek negeri itu sebelum ini terpalit dengan isu integriti.
Sehubungan itu, Dr. Alias menyokong cadangan Ahli Parlimen Hulu Terengganu agar peruntukan LRT Mutiara Line sebanyak RM17 bilion dialihkan kepada projek LPT3.
Cadangan tersebut, katanya, adalah langkah lebih wajar bagi memastikan pembangunan negara berjalan seimbang dan jurang ekonomi antara wilayah dapat dikurangkan, khususnya demi kemajuan rakyat Pantai Timur.