DUNGUN, 15 Julai – Pembangunan infrastruktur di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau Abang giat berjalan dengan pelbagai projek sedang dilaksanakan bagi memastikan keselesaan dan kebajikan masyarakat terus terjamin.
Projek-projek berkenaan meliputi pembaikan jalan kampung, laluan utama, saluran longkang dan pembinaan jalan baharu yang akan memudahkan urusan harian penduduk setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli berkata, kerja-kerja baik pulih rumah penduduk yang memerlukan juga sedang berjalan bagi memastikan rakyat dapat tinggal dalam keadaan selesa dan selamat.
“Kita sentiasa komited untuk terus berusaha demi membangunkan DUN Rantau Abang. Segala perancangan dibuat berdasarkan keperluan masyarakat, agar manfaatnya dapat dirasai oleh semua.
“Namun, mungkin ada lagi permohonan atau projek yang belum dapat dilaksanakan buat masa ini, tetapi semuanya berada dalam makluman dan akan dilihat keutamaannya secara berperingkat.
“Insya-Allah, setiap usaha ini adalah untuk kesejahteraan masyarakat DUN Rantau Abang dan kita akan terus berjuang memastikan pembangunan yang menyeluruh dapat dinikmati bersama," katanya.