lightning-solid
Berita :
PBT Terengganu Siap Sedia Hadapi Musim Tengkujuh
PBT Terengganu Siap Sedia Hadapi Musim Tengkujuh
Mastura Jamal Din
14 Oct 25
67

KUALA TERENGGANU, 14 Oktober– Semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di Terengganu kini berada dalam keadaan siap siaga sepenuhnya bagi menghadapi Musim Tengkujuh atau Musim Timur Laut (MTL) yang mula melanda negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, persiapan tersebut turut diperkukuh menerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri yang dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Dato' Nara Setia.

Menurutnya, jawatankuasa berkenaan turut dianggotai wakil Kerajaan negeri iaitu Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dato' Hanafiah Mat dan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim. 

"Jawatankuasa berkenaan telah mula bermesyuarat bagi menyelaras langkah-langkah awal serta memastikan segala keperluan di semua peringkat berada pada tahap optimum.

“Setiap tahun kita akan menambah baik aspek pengurusan dan kesiapsiagaan berdasarkan kelemahan yang dikenal pasti pada musim sebelumnya.

"Diharapkan tahun ini tidaklah seteruk tahun-tahun lepas,” katanya.

Beliau berkata, semua agensi terlibat termasuk jabatan teknikal dan pasukan penyelamat telah membuat persediaan rapi dari segi logistik, aset serta penempatan sementara sekiranya berlaku banjir.

Dalam masa sama, kerja-kerja pembersihan parit dan sungai kini giat dijalankan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bersama pejabat daerah di kawasan berisiko.

“Fokus utama kini ialah memastikan sistem saliran dan sungai berada dalam keadaan baik bagi melancarkan aliran air dan mengurangkan risiko banjir berulang,” jelasnya.

Kerajaan negeri turut berharap agar keadaan cuaca tahun ini lebih baik serta impak musim tengkujuh dapat diminimumkan demi kesejahteraan rakyat.

 


Tag :

Artikel Berkaitan