KUALA NERUS, 13 Oktober – Di sebalik setiap helaian batik Noor Arfa, tersimpan kisah tangan seorang wanita yang menjadikan seni sebagai ibadah dan perniagaan sebagai jalan keberkatan.
Dialah Noor Hijerah Hanafiah, atau lebih mesra disapa Kak Noor, wanita tabah berusia 68 tahun yang hari ini dinobatkan sebagai Tokoh Sayyidatina Aisyah 2025, satu pengiktirafan buat perjuangan lebih empat dekad dalam dunia keusahawanan dan kebajikan masyarakat.
Bermula dari kecil minat dalam dunia lukisan, hanya dengan kertas dan pensel di bilik tidur, minatnya melukis corak batik.
Pada tahun 1976, beliau mengikuti kursus pembuatan batik di Pusat Kraftangan Malaysia, Kota Bharu dan selepas berkahwin dengan Wan Mohd Ariffin Wan Long pada tahun 1980, beliau menubuhkan Noor Arfa Holdings Sdn. Bhd.
“Selepas enam bulan kursus, saya dapat sijil dan elaun RM60 sebulan. Masa tu kecil saja, tapi semangat saya besar. Saya suka seni sebab ia beri ketenangan,” katanya tersenyum mengenang perjalanan lalu.
Dari ruang sempit di belakang rumah di Jalan Sultan Zainal Abidin, mereka menapak perlahan dengan menghasilkan kaftan batik tangan dan kain sarung. Siapa sangka, usaha kecil itu berkembang menjadi Noor Arfa Holdings Sdn. Bhd., satu jenama batik yang kini sinonim dengan kehalusan seni Melayu dan keanggunan Muslimah.

“Alhamdulillah, saya tak sangka dapat anugerah ini. Saya sangka mungkin Tokoh Usahawan, rupanya Tokoh Sayyidatina Aisyah. Saya memang nak jadikan isteri-isteri Nabi sebagai contoh hidup saya,” ujarnya penuh syukur selepas program Hari Sayyidatina Aisyah 2025 di Dewan Jubli Perak, Kompleks Pentadbiran Al-Wathiqu Billah, semalam.
Inspirasi Kak Noor sejak awal perkahwinan tidak lain daripada Sayyidatina Khadijah r.a., tokoh usahawan Muslimah unggul yang menyeimbangkan kekayaan dengan kebajikan.
“Dari dulu saya niat berniaga sambil buat kebajikan. Rezeki datang dengan keberkatan bila kita kongsi dengan orang lain,” katanya lembut.
Di sebalik kejayaan perniagaan yang pernah mempunyai 12 cawangan di seluruh negara sebelum pandemik COVID-19, namun kini beroperasi empat cawangan, dua di Kuala Lumpur dan dua di Terengganu.
Kak Noor tidak pernah meninggalkan sisi rohani. Di kompleks Noor Arfa Craft Complex (NACC) Chendering, beliau turut mengadakan kelas agama mingguan untuk warga emas setiap Khamis dan kelas malam untuk kanak-kanak serta menjemput ustaz dan ustazah memberi kuliah kepada staf.
“Ini salah satu bentuk kebajikan kami. Saya juga jemput ustaz dan ustazah untuk beri kuliah bulanan kepada staf. Dalam kesibukan berniaga, kita tak boleh lupa ilmu dan rohani,” tambahnya.
“Inilah cara saya seimbangkan dunia dan akhirat. Dalam sibuk berniaga, kita jangan lupa ilmu dan rohani.
“Dari dulu saya niat berniaga sambil berbuat kebajikan. Saya percaya rezeki datang bersama keberkatan apabila kita berkongsi dengan orang lain,” ujarnya.
Selain perniagaan, beliau aktif dalam kerja-kerja kebajikan termasuk menyalurkan sumbangan kepada madrasah dan pusat tahfiz di sekitar Kuala Terengganu. Bagi Kak Noor, kejayaan bukan diukur dengan angka jualan, tetapi pada nilai kemanusiaan dan keikhlasan hati.
“Kita layan staf sama rata, ada caruman EPF, cuti bersalin, makan malam tahunan. Saya nak semua rasa dihargai. Kita berniaga bukan semata nak untung, tapi untuk keberkatan,” ujarnya penuh keibuan.
Hari ini, tiga anaknya turut mengikut jejak langkah dalam dunia perniagaan, satu warisan bukan sekadar harta, tetapi semangat perjuangan dan nilai ihsan.
Di usia 68 tahun, Kak Noor bukan sekadar usahawan berjaya, tetapi juga simbol wanita solehah yang memadukan seni, iman dan kasih sayang dalam setiap helaian batik ciptaannya.
Batiknya mungkin sekadar kain di mata dunia, namun pada jiwa seorang Noor Hijerah setiap corak adalah doa, setiap warna adalah syukur.
“Kepada wanita, tidak kira muda atau tua, berniatlah untuk berbuat kebajikan. Sedekah bukan hanya dengan duit, tapi juga dengan tenaga. Taat kepada suami, adil dan ikhlas, itulah kunci kejayaan sebenar,” pesannya.