lightning-solid
Berita :
MoU TESDEC-MRDC-Sabasun Wujudkan 3,000 Peluang Pekerjaan
MoU TESDEC-MRDC-Sabasun Wujudkan 3,000 Peluang Pekerjaan
Adli Mohamad
16 Jul 25
1157

KUALA TERENGGANU, 16 Julai – Kerajaan Negeri Terengganu terus proaktif memperkasa tenaga kerja tempatan apabila satu Memorandum Persefahaman (MoU) dimeterai antara Terengganu Skills Development Center Berhad (TESDEC), Malaysia Rail Development Corporation (MRDC) dan Sabasun HyperRuncit Sdn Bhd hari ini.

Kerjasama strategik itu dijangka membuka laluan kepada penciptaan hampir 3,000 peluang pekerjaan bagi rakyat Terengganu, khususnya dalam menyokong pelaksanaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang kini rancak berjalan di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi, Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, pemeteraian MoU tersebut merupakan langkah penting dalam menyediakan tenaga kerja mahir tempatan yang mampu memenuhi keperluan industri yang dijangka berkembang pesat hasil pelaksanaan projek mega itu.

“MoU ini amat signifikan dalam konteks pembangunan semasa negeri, lebih-lebih lagi dengan kehadiran projek ECRL yang akan memerlukan tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam pelbagai bidang.

“Kita sasarkan penyediaan tenaga kerja sekitar 1,000 orang sebagai permulaan, dan jumlah ini akan terus ditingkatkan secara berperingkat mengikut keperluan,” katanya pada sidang media selepas majlis menandatangani MoU yang berlangsung di Wisma Darul Iman, hari ini.

Tambah beliau, usaha tersebut juga diharap dapat memastikan lebih ramai anak tempatan dapat menikmati limpahan ekonomi daripada pelaksanaan projek infrastruktur berskala besar seperti ECRL.

“Dengan kerjasama seperti ini, kita bukan sahaja menjana peluang pekerjaan, malah membentuk ekosistem pembangunan modal insan yang mampan dan berdaya saing,” ujarnya lagi.

Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Pengerusi Kumpulan TESDEC Berhad, Sulaiman Sulong; Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Dato' Ab. Rashid Jusoh, Ketua Pegawai Eksekutif TESDEC, Mohd Rashdan Muda, serta Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MRDC, Nurul Adillah Abdul Wahid.

Hadir sama, Pengurus Kanan Pembangunan Perniagaan dan Pengurusan Fasiliti Sabasun HyperRuncit Sdn. Bhd, Abdul Basir Embong.

Dalam pada itu, Nurkhuzaini turut merakamkan ucapan tahniah kepada semua pihak terlibat atas kejayaan menjayakan pemeteraian MoU yang bakal membawa manfaat besar kepada rakyat Terengganu, khususnya melalui pelaksanaan projek ECRL yang dijangka memulakan operasinya pada awal tahun 2027.

“Saya ucapkan terima kasih kepada TESDEC, MRDC dan Sabasun HyperRuncit Sdn. Bhd atas persefahaman yang baru sahaja dimeterai sebentar tadi,” katanya.

 


Tag :

Artikel Berkaitan