KUALA TERENGGANU, 7 Julai – Mercu tanda ikonik ‘Allah Peliharakan Terengganu’ yang terletak di Bukit Besar berada dalam keadaan struktur kritikal dan tidak lagi selamat, menyebabkan kerajaan negeri mengambil keputusan membina semula keseluruhan struktur dengan anggaran kos mencecah RM5 juta termasuk operasi perobohan.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Negeri, Dato’ Hanafiah Mat berkata, kerosakan serius itu melibatkan pengaratan kerangka keluli, kegagalan komponen sendi, sambungan dan perembat, serta lapisan perlindungan keluli yang telah melepasi jangka hayatnya.
“JKR Negeri dalam laporan forensik dan nasihat teknikalnya mendapati struktur ini mengalami pengaratan sangat kritikal. Beberapa komponen utama gagal secara setempat dan struktur tidak lagi selamat,” katanya ketika menjawab soalan ADUN Manir, Hilmi Harun dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri, hari ini.
Menurut beliau, kerja-kerja perobohan struktur lama telah selesai pada 13 Mei lalu, dikendalikan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dengan kos sebanyak RM250,000.
Katanya, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) telah meluluskan reka bentuk baru yang dikemukakan oleh JKR, dengan kos pembinaan semula dianggarkan sebanyak RM4.75 juta.
Hanafiah turut memaklumkan, mercu tanda tersebut dibina pada tahun 1991 dengan kos sekitar RM1.3 juta, menggunakan struktur kerangka keluli yang terdedah kepada kesan angin laut dan pengaratan akibat tidak melalui proses penyelenggaraan struktur secara berkala.
“Selain itu, tindak balas pengoksidaan keluli telah tidak dilindungi dalam jangka masa panjang termasuk kegagalan lapisan yang telah melepasi jangka hayat reka bentuknya.
“Kerja-kerja penyelenggaran berkala hanya mula dibuat sejak 2018, kerajaan negeri telah membelanjakan RM1.57 juta bagi kerja-kerja itu. Namun, penyelenggaraan kemudiannya terpaksa dihentikan atas faktor keselamatan,” katanya.