KUALA TERENGGANU, 17 Julai – Dua syarikat yang telah diberikan kelulusan oleh Kerajaan Negeri Terengganu bagi menjalankan kajian awal skop perlombongan Unsur Nadir Bumi (REE) masih berada dalam tempoh yang ditetapkan untuk menyelesaikan kajian mereka.
Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi, Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, pihak kerajaan masih menantikan maklum balas lengkap hasil penerokaan yang telah dimulakan sejak Ogos tahun lalu.
“Tempoh kajian akan berakhir hujung September ini dan kita sedang menunggu hasil sepenuhnya sebelum memproses pemberian lesen perlombongan kepada mereka bagi membolehkan hasil dikeluarkan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pihak media selepas menghadiri Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) antara Terengganu Skills Development Centre (TESDEC), Malaysia Rail Development Corporation (MRDC) dan Sabasun HyperRuncit Sdn. Bhd di Wisma Darul Iman, hari ini.
Terdahulu, pada tahun 2024, Nurkhuzaini memaklumkan bahawa daripada lapan syarikat yang mengemukakan permohonan untuk terlibat dalam proses berkaitan REE, hanya dua syarikat diluluskan untuk menjalankan kajian mendalam, termasuk perincian teknikal bagi proses penggerudian kawasan perlombongan.
Menurut beliau, kerajaan negeri berhasrat untuk mempertimbangkan semula permohonan daripada semua syarikat yang pernah mengemukakan hasrat untuk terlibat, selepas kajian lengkap selesai dijalankan.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut memaklumkan bahawa Terengganu kini menjalin kerjasama dengan pemain industri bagi pengeluaran karbonat sebagai bahan asas untuk menghasilkan magnet berkuasa tinggi iaitu lebih 70 kali ganda kekuatan biasa yang akan digunakan dalam pembuatan kenderaan elektrik.