lightning-solid
Berita :
Kerja-Kerja Naik Taraf Pintu Kawalan Air Kuala Ibai Hampir Siap
Kerja-Kerja Naik Taraf Pintu Kawalan Air Kuala Ibai Hampir Siap
Mohamad Farhan Anam
16 Oct 25
23

KUALA TERENGGANU, 19 Oktober – Kerja-kerja menaik taraf pintu kawalan air Kuala Ibai yang menjadi antara benteng utama mengawal aliran air ke Sungai Ibai kini hampir siap.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Md Noor berkata, projek berkenaan melibatkan penambahan mesin pam baharu serta peninggian struktur pintu kawalan air bagi membolehkan sistem berfungsi dengan lebih efisien ketika berlakunya hujan lebat atau air pasang besar.

“Kita nak pastikan sistem pintu kawalan air ini berfungsi dengan baik, lebih-lebih lagi bila musim Monsun Timur Laut tiba nanti. Dengan naik taraf ini, diharap risiko banjir di kawasan sekitar dapat dikurangkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau operasi serta mendengar taklimat daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) berkaitan projek berkenaan, baru-baru ini.

Katanya, lawatan tersebut diadakan bagi melihat sendiri fungsi sistem kawalan air serta memastikan kerja-kerja naik taraf berjalan lancar demi kepentingan penduduk setempat.

“Hasil taklimat daripada pihak JPS mendapati kerja-kerja naik taraf pintu kawalan air Kuala Ibai kini hampir siap sepenuhnya dan dijangka memberi impak besar terhadap kecekapan pengaliran air.

“Pegawai JPS menjelaskan bahawa operasi pembukaan pintu dan pam air dilaksanakan berdasarkan beberapa faktor termasuk pasang surut air laut, taburan hujan serta kesan terhadap tanaman padi di kawasan berhampiran,” ujarnya.

Dalam lawatan tersebut, beliau turut menyaksikan simulasi pembukaan pintu kawalan air dan proses pam keluar air ke Sungai Ibai, yang menurutnya memberi pengalaman berguna dalam memahami mekanisme sebenar sistem berkenaan.

“Saya ucapkan terima kasih kepada pihak JPS atas penerangan yang sangat jelas dan usaha mereka yang berterusan menjaga kesejahteraan rakyat.

"Kerajaan negeri akan terus memberi perhatian terhadap projek-projek seumpama ini demi memastikan keselamatan dan kesejahteraan penduduk terus terjamin," ujarnya.


Tag :

Artikel Berkaitan