Artikel "Semasa" Terkini
Terengganu Inc Penaja Terbesar TSG
Ustaz Wan Sukairi (tengah) bersama syarikat-syarikat penaja Terengganu Inc TSG. KUALA TERENGGANU, 31 Januari - Syarikat kerajaan negeri, Terengganu Incorporated Sdn Bhd (Terengganu Inc) memberi tajaan kepada Terengganu Cycling Team (TSG) sebanyak RM3 juta mendahului 22 penaja terkenal lain.Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, TSG menerima sejumlah RM8.03 juta penajaan berbentuk wang, barangan dan perkhidmatan daripada 23 penaja terkemuka dunia dan peringkat nasional termasuk Terengganu Inc.Katanya, penajaan berbentuk kewangan berjumlah RM5.15 juta manakala penajaan berbentuk barangan berjumlah RM2.56 juta di samping perkhidmatan, berjumlah RM315,000."Dengan kesudian Terengganu Inc menaja pasukan Terengganu Cycling Team sebagai penaja terbesar, bermulanya musim 2019, pasukan ini akan mempunyai nama rasmi baharu iaitu Terengganu Inc. TSG," jelas beliau.Dr Ahmad Samsuri berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah pada Majlis Pelancaran dan Memperkenalkan Pelumba Serta Barisan Penaja Pasukan Terengganu Inc TSG di Dewan Gemilan Primula Beach Hotel di sini semalam.Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Ustaz Hishamuddin Abdul Karim, Pengarah Eksekutif Pasukan Terengganu Inc TSG, Dato’ Tengku Farouk Husin Tengku Abdul Jalil, pegawai-pegawai tinggi kerajaan dan jurulatih pasukan tersebut.Ustaz Wan Sukairi (berdiri tengah) bersama pelapis muda Terengganu Inc TSG..Menurut Dr Ahmad Samsuri, Terengganu Inc TSG diwakili oleh sembilan anak Terengganu dan enam pelumba import termasuk dari Rusia, Australia, Singapura, Eritrea, Mongolia dan Algeria."Pelumba-pelumba import yang diambil adalah bagi memperkuatkan pasukan di samping berfungsi sebagai 'marketing tools' bagi mempromosikan Terengganu Inc TSG di negara masing-masing," jelasnya.Katanya, kemuncak kecemerlangan Terengganu Inc TSG adalah pada musim 2018, apabila pasukan itu mula diiktiraf oleh penganjur-penganjur di Eropah dengan jemputan-jemputan perlumbaan 'Union Cycliste Internationale' (UCI), diterima dari Perancis, Hungary, Croatia dan Azerbaijan."Ini merupakan satu pengiktirafan yang membanggakan apabila Terengganu Cycling Team yang ditubuhkan oleh pihak kerajaan pada tahun 2011 bertujuan mempromosi negeri kepada dunia luar," katanya lagi.Menurut beliau, bermula musim 2019 Terengganu Inc TSG telah mula mendapat jemputan siri-siri perlumbaan di Asia Tour, Europe Tour dan Afrika Tour.
30 Jan 19
334
Hampir Setiap Hari Terengganu Terima Kunjungan Pelabur
KUALA TERENGGANU, 30 Januari- Kehadiran seramai 40 pelabur ke negeri ini menunjukkan keyakinan tinggi diberikan terhadap potensi pelaburan di Terengganu. Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri, Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar berkata, sejak menggalas portfolio itu, beliau menerima kunjungan pelabur hampir setiap hari. “Saya menerima banyak kunjungan daripada rakan-rakan pelabur yang menyatakan bersetuju untuk melabur di Terengganu. Ada yang datang berkunjung berkali-kali ke sini (Terengganu)."Bagaimanapun, kerajaan negeri sedang meneliti permohonan dan cadangan daripada pelabur yang menyatakan persetujuan untuk melabur di negeri ini," katanya ketika ditemu bual menerusi Sinar Live bagi membicarakan topik ‘Terengganu kurang pelabur?’hari ini.Tengku Hassan berkata, penelitian perlu dibuat supaya pelaburan yang dijalankan akan memberi kesan positif kepada rakyat.“Kita perlu berhati-hati dalam meneliti setiap permohonan dan cadangan supaya ia memberi impak yang maksimum kepada rakyat Terengganu.“Kita juga perlu menjadi fasilitator kepada pelabur ini bagi membantu mempercepatkan pelaburan setelah permohonan diluluskan kerajaan negeri,” katanya.Ditanya mengenai industri yang menjadi tumpuan pelabur, katanya, industri pasir silika kini mendapat tumpuan pelabur asing.“Industri pasir silika mendapat perhatian pelabur sama ada di peringkat upstream atau downstream selain sektor minyak dan gas serta bioteknologi,” katanya.Mengulas mengenai perkembangan terkini industri itu, katanya, Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) yang dilantik sebagai pemaju induk Lembah Silika Terengganu telah menyiapkan pelan Pembangunan Lembah Silika Terengganu.“Pelan utama ini akan dibentangkan untuk penerimaan dan persetujuan kerajaan negeri sebelum akhir Mac 2019.“Dalam masa yang sama, Petronas sedang membuat kajian terperinci berhubung teknikal dan komersial pembinaan talian paip gas ke tapak Lembah Silika ini dan kita sedang menyusun program-program bagi mempromosikan Lembah Silika ini,” katanya.Mengulas lanjut mengenai industri itu, Tengku Hassan berkata, keutamaan diberikan ialah aktiviti pemprosesan akhir daripada silika dan bukan pasir silika.“Pemprosesan akhir produk ini akan menawarkan peluang pekerjaan yang lebih ramai dan meningkatkan rantaian ekonomi di Terengganu.“Saya harap ia dapat membantu kita menyediakan sebanyak 20,000 peluang pekerjaan sebagaimana yang disasarkan kerajaan negeri,” katanya- Sinar Harian
30 Jan 19
200
TUGAS Terengganu : Pinjam RM10,000, Bayar RM10,000
KUALA TERENGGANU, 30 Januari - Tabung Usahawan Sejahtera (TUGAS) yang telah dilancarkan oleh Kerajaan Terengganu semalam merupakan tabung patuh syariah.Pengerusi Jawatankuasa Keusahawan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Abd Rahman berkata, TUGAS yang dikelolakan oleh Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu akan memberi pinjaman kepada usahawan tanpa mengenakan sebarang caj dan faedah.Jelasnya, pinjaman yang diberikan kepada semua peringkat usahawan yang layak itu bermula daripada usahawan kecil sehinggalah usahawan skala besar tidak akan membebankan peminjam seperti pinjaman lain yang mempunyai caj atau kadar faedah.“Kita memberi pinjaman (kepada usahawan) yang berbentuk patuh syariah.“Kita tidak mengenakan sebarang kadar faedah kepada mereka ini (usahawan), pinjam RM10,000, bayar RM10,000, pinjam RM30,000, bayar RM30,000,” jelasnya.Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Tabung Usahawan Sejahtera di Dewan Konvensyen Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU), Pusat Dagangan Terengganu (TTC), Padang Hiliran, Kuala Terengganu semalam.Mohd Nurkhuzaini Ab. Rahman (tengah) menyampaikan replika cek kepada usahawan.Hadir sama dalam majlis itu ialah Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa merangkap Timbalan Pengerusi Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu, Hilmi Harun, serta Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU), Anuar Awang.Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah YPU turut menyampaikan replika cek kepada usahawan-usahawan yang berjaya memohon Skim Pinjaman Peningkatan Perniagaan Terengganu (SP3T) dan Skim Pinjaman Bisnes Online (SPBOL).Inisiatif di bawah kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu itu akan memberi manfaat kepada usahawan-usahawan dengan bantuan pinjaman bermula RM1,000 sehingga RM30,000.Dana daripada kerajaan negeri sebanyak RM 15 juta itu merupakan yang tertinggi berbanding tahun-tahun sebelumnya yang dianggarkan sekitar RM5 juta diberikan kepada YPU.Golongan OKU juga turut menerima manfaat daripada TUGAS.Penubuhan sebanyak 32 cawangan YPU di setiap Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) pula akan memudahkan para usahawan supaya tidak ketinggalan untuk mendapatkan maklumat terus berkaitan perniagaan.TUGAS merupakan salah satu daripada 20 manifesto yang dijanjikan oleh PAS Terengganu pada Pilihanraya Umum (PRU) yang lalu, dalam usaha merealisasikan hasrat untuk mencapai negeri Maju, Berkat dan Sejahtera.
29 Jan 19
559
Landskap Pembangunan Bandar Baru Kijal Terengganu Bakal Berubah
Ustaz Hazri Jusoh.Oleh: Alfian MamadKEMAMAN, 30 Januari - Landskap pembangunan Bandar Baru Kijal bakal berubah apabila beberapa cadangan projek pembangunan daripada Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) itu didirikan di sini.Ini termasuk masing-masing sebuah universiti, kolej petroleum, Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI) dan beberapa ratus buah Rumah Mampu Milik (RMM).Pegawai Penyelaras DUN Kijal, Ustaz Hazri Jusoh berkata, cadangan itu dibuat memandangkan Kemaman adalah daerah pengeluar minyak maka amat sesuai projek berkenaan dilaksanakan di sini.Beliau berkata demikian ketika berucap di Pentas Bicara Kerajaan Sejahtera sempena Karnival Kijal Sejahtera, di Bandar Baru Kijal di sini baru-baru ini.Katanya, beliau terkilan kerana bangunan yang tersergam indah dan dibina kerajaan dahulu tidak dimanfaatkan."Kerajaan baharu yang dipimpin oleh Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar akan memikirkan bagaimana cara untuk menghidupkan Bandar Baru Kijal," katanya.Karnival yang diadakan selama tiga hari tiga malam itu padat dengan berbagai aktiviti termasuk acara berbasikal 31 kilometer (Fun Ride), Konvoi ARC, cabaran kenderaan pacuan empat roda, futsal, booth pameran, bicara murabbi, Motor Show dan malam kesenian dan mendapat sambutan yang menggalakkan dari masyarakat setempat dan masyarakat luar daripada DUN berkenaan.
29 Jan 19
339
Hanya Bongkar Jersi Baru Terengganu FC Selepas Empat Bulan
Jersi baru TFC cantik dan menarik.KUALA TERENGGANU, 30 Januari - Penciptaan jersi baharu Kelab Bolasepak Terengganu (TFC) hanya dibongkar setelah disimpan selama empat bulan oleh empat individu.Penyimpan rahsia itu termasuk Timbalan Pengerusi Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Hishamuddin Abdul Karim dan tiga individu lain yang tidak ingin didedahkan namanya. "Semasa saya dibentangkan beberapa 'sample design' (contoh reka bentuk) cadangan untuk jersi TFC, hanya empat orang sahaja yang melihat dan mengetahui reka bentuk tersebut. "Lama rahsia ini tersimpan. Tidak bocor dan tidak dapat dikesan. Memang jaga sungguh maklumat ini. Tahniah buat anak buah kami yang bekerja dengan bersungguh-sungguh. Saya percaya, empat bulan yang cukup terseksa untuk simpan rahsia jersi ini," jelas Hishamuddin. Beliau berkata demikian ketika memuat naik kenyataan itu di status Facebooknya semalam. Katanya, reka bentuk jersi itu dari sudut pandangnya sangat subjektif. "Lawa di mata kita, belum tentu lawa di mata orang lain. Hodoh di mata kita, belum tentu hodoh di mata orang lain," ujarnya, mengulas lanjut reka bentuk jersi tersebut. Bagaimanapun katanya, sebaik mungkin ia dilakar reka bentuk yang lebih sesuai, berbeza dengan tahun sebelumnya dan membawa identiti sendiri. Kini ia telah dijual di pasaran. "Kami minta jasa baik sebuah syarikat perniagaan pakaian sukan (yang menjual jersi tersebut) agar harganya ditetapkan jangan lebih dari RM100, supaya ia mampu dibeli semua pihak," katanya. Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh berkata, berbaki hanya dua hari sahaja lagi (sehari lagi) untuk sepak mula Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah menentang PKNS FC.Justeru katanya, beliau mengharapkan TFC bersaing dengan sengit dan mencapai kemenangan. Dijangkakan semua pasukan Liga Super 2019 mantap dan sangat berkualiti."Banyak pasukan memiliki pemain naturalisasi yang menambah resepi kekuatan jumlah pemain import masing-masing. "TFC mempertaruhkan anak tempatan sepenuhnya. Hanya berbekalkan lima tonggak pemain import. Tiada pemain naturalisasi," jelasnya lagi. Katanya, semangat dan jati diri mereka semua dalam perlawanan menentang Vietnam tempoh hari perlu dicontohi. "Beraksi dengan titik peluh anak tempatan yang gigih. Good luck! Jangan wat barrang awok kiter. "Saya sudah beli jersi 'home' dan 'away'. Kali ini dua versi ada belaka. 'Support' (sokong) pasukan yang disayangi. Anda sudah (beli)?" soalnya menyudahi kenyataannya di media sosial itu.
29 Jan 19
819
Tilawah Al-Quran Medium Martabat Syiar Islam - MB Terengganu
Kerajaan negeri berusaha mendidik masyarakat mencintai al-Quran. Foto - Solahuddin Al-IdrusKEMAMAN, 29 Januari - Penganjuran Majlis Tilawah Al-Quran merupakan salah satu usaha serius Kerajaan Terengganu dalam memartabatkan syiar Islam dan mendaulatkan al-Quran dalam kehidupan rakyatnya.Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri berkata, selain sebagai pendekatan dakwah, program tersebut dapat membantu meningkatkan cara tarannum di samping membantu penguasaan tajwid dalam masyarakat."Sebagai pihak yang memerintah, adalah menjadi tanggungjawab saya sebagai pemimpin untuk mendidik masyarakat agar mencintai al-Quran."Kerajaan sangat komited memupuk minat rakyat beragama Islam dalam membudayakan al-Quran sebagai rujukan utama kehidupan," katanya ketika merasmikan Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Terengganu di Dewan Berlian, Majlis Perbandaran Kemaman, hari ini.Program berkenaan berlangsung selama tiga hari bermula hari ini melibatkan 16 peserta dari seluruh daerah.Dr. Samsuri dalam ucapannya turut memaklumkan, kerajaan negeri melalui Bajet 2019 yang dibentangkan November lalu meneruskan program Skim Hafaz Al-Quran bagi peringkat sekolah dan terbuka dewasa dalam usaha memupuk minat masyarakat kepada kitab suci itu."Selain itu, kerajaan juga memperuntukkan RM5 juta dalam program Mus'ab Umair untuk mendidik masyarakat tentang kefahaman al-Quran."Sebanyak RM3 juta juga dilaburkan dalam Program Pengajian Braille untuk membantu orang kurang upaya (OKU) mengenali al-Quran," katanya.
29 Jan 19
316
Terengganu Lancar RM15 Juta Tabung Usahawan Sejahtera
Haji Mohd Nurkhuzaini Ab. Rahman (kiri) menyampaikan replika cek TUGAS kepada Anuar Awang (kanan).KUALA TERENGGANU, 29 Januari - Kerajaan Terengganu secara rasminya melancarkan Tabung Usahawan Sejahtera (TUGAS) hari ini menyaksikan satu lagi manifesto PAS berjaya ditunaikan.Pengerusi Jawatankuasa Keusahawan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab. Rahman berkata, manifesto tersebut secara rasminya telah dilaksanakan sebagaimana yang dijanjikan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) yang lepas.Ujarnya lagi, pelancaran TUGAS adalah siri menunaikan tanggungjawab yang telah diamanahkan dan janji yang telah ditawarkan kepada rakyat sehingga diberi mandat oleh rakyat untuk memerintah negeri Terengganu.“Kita nak laksanakan janji kita kepada rakyat. Antara lain yang sedang berjalan dalam seminggu dua ini mengenai lesen (bantuan) sebanyak RM300."Insya-Allah akan berjalan melibatkan 25,000 peserta, dan itu bukanlah permulaan kepada pelaksanaan manifesto, itu adalah siri-siri menunaikan tanggungjawab (janji) yang telah kita janjikan pada rakyat,” jelasnya.Haji Mohd NurKhuzaini Ab.Rahman berucap ketika merasmikan TUGAS di hadapan usahawan-usahawan.Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pelancaran Tabung Usahawan Sejahtera di Dewan Konvensyen Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU), Pusat Dagangan Terengganu (TTC), Padang Hiliran, Kuala Terengganu hari ini.Hadir sama dalam majlis itu ialah Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa merangkap Timbalan Pengerusi Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu, Hilmi Harun dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU), Anuar Awang.Beliau yang juga merupakan Pengerusi Lembaga Pengarah YPU turut menyampaikan replika cek kepada usahawan-usahawan yang berjaya memohon Skim Pinjaman Peningkatan Perniagaan Terengganu (SP3T) dan Skim Pinjaman Bisnes Online (SPBOL).Inisiatif di bawah kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu itu akan memberi manfaat kepada usahawan-usahawan dengan bantuan pinjaman sehingga RM30,000.Golongan OKU tidak ketinggalan untuk menerima manfaat TUGAS.TUGAS yang berjumlah RM15 juta akan meringankan beban buat para usahawan di Terengganu untuk memulakan perniagaan baharu atau mengembangkan perniagaan yang sedia ada.Pelaksanaan manifesto yang terbaru itu menjadikan Terengganu antara negeri yang terawal telah melaksanakan separuh manifestonya ke arah menjadikan negeri itu Maju, Berkat dan Sejahtera.
29 Jan 19
80
Terengganu Sedia Dana Pendidikan Untuk Mahasiswa
Kerajaan negeri prihatin akan permasalahan kewangan pendidikan tinggi.Oleh: Amiirullah MansorDUNGUN, 29 Januari - Kerajaan Negeri Terengganu menyediakan biasiswa dan pinjaman kepada mahasiswa anak negeri tersebut untuk menyambung pengajian mereka ke tahap yang lebih tinggi.Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat berkata, kerajaan juga membuka kembali pinjaman yuran kepada pelajar yang telah mendapat tawaran daripada Institut Pengajian Tinggi (IPT) sekiranya memenuhi syarat-syarat pemohonan. "Walaupun ada pelajar yang kurang cemerlang tetapi mendapat tawaran daripada universiti untuk menyambung pengajian, maka mereka berhak mendapat pinjaman.“Bagi golongan asnaf pula, Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) turut menyediakan sumber kewangan Bahagian Pendidikan dalam bentuk biasiswa yang boleh dipohon daripada masa ke masa.Satiful Bahri giat wujudkan mekanisma membantu kewangan pendidikan tinggi."Manakala, peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) yang tidak cukup pinjaman kerana kos yurannya yang tinggi, mereka boleh buat pemohonan pinjaman dengan Yayasan Terengganu," katanya ketika berucap pada Majlis Dialog Mahasiswa Mahasiswi Dungun Bersama Exco Pengajian Tinggi dan Ahli Parlimen Dungun di Dewan Sivik Batu 48, semalam.Beliau yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka memaklumkan, sebahagian hasil perolehan negeri akan dibahagikan untuk kepentingan pendidikan mahasiswa. "Kita telah merancang bajet-bajet kewangan untuk pendidikan setelah selesai membentangkan Bajet 2019 dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini.“Sebahagian pendapatan kerajaan negeri akan digunakan untuk keselesaan mahasiswa belajar tanpa dibelenggu masalah kewangan dan sebagainya,” katanya.Satiful Bahri turut berharap mahasiswa yang mendapat peluang tersebut menggunakan sumber pinjaman itu dengan perkara berfaedah dan seterusnya dapat menjadi pemimpin masa depan negara yang lebih baik.Turut hadir, ADUN Rantau Abang, Alias Harun, ADUN Sura, Wan Hapandi Wan Nik dan Pegawai Penyelidik Menteri Besar Terengganu, Azman Shapawi Abd Rani.
29 Jan 19
46
Buku Orang Terengganu Jadi Sumber Rujukan Sejarah
Oleh: NajibKUALA TERENGGANU, 29 Januari - Buku 'Orang Terengganu' mampu menjadi panduan dan rujukan kepada mereka yang berhasrat mengenali negeri itu lebih mendalam, bukan sahaja warga tempatan bahkan di seluruh pelusuk dunia yang mahu mengenali negeri Terengganu.Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Yahaya Ali berkata, rakyat Terengganu seharusnya berbangga dengan keunikan negeri mereka yang cantik, berbudi bahasa yang baik serta kaya dengan sejarah dan peradaban Melayu yang diwarisi turun-temurun.“Sebagaimana kita maklum, Terengganu mempunyai sejarah yang panjang di wilayah Semenanjung yang membentuk identiti kebudayaan dan bahasa pertuturan yang unik berbanding negeri-negeri di Malaysia.“Kerajaan negeri juga sentiasa komited dalam penghasilan dan penerbitan buku berkaitan negeri Terengganu kerana ia bukan sahaja bahan pembacaan dan penyelidikan malah sumber warisan intelek yang tiada galang gantinya,” katanya.Beliau yang mewakili Menteri Besar Terengganu, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata demikian ketika merasmikan pelancaran buku “Orang Terengganu” di Dewan Serbaguna Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT), di sini, hari ini.Turut hadir, Pengarah PPAT, Marzialina Mohamed, Penyunting Buku Orang Terengganu, Prof. Dato’ Muhammad Abu Bakar dan Presiden Persatuan Anak Terengganu di Perantauan (PERANTAU), Prof. Kamaruzaman Yusof.Tambahnya, melalui buku ini, generasi baharu akan lebih mengenali asal usul jurai keturunan Melayu Terengganu sekali gus mampu menjadi cerminan dan membentuk jati diri.Sementara itu, Pengerusi PPAT, Ustaz Ridzuan Hashim mencadangkan agar buku ini menjadi cenderahati kerajaan negeri dalam program-program agar ia menjadi ikon sejarah hidup orang Terengganu.Katanya, ianya secara tidak langsung akan membantu mempromosikan keunikan yang terdapat di Terengganu untuk diketengahkan di peringkat kebangsaan dan juga antarabangsa.
29 Jan 19
816
Pendidikan Seks; Jasnita Sedia Beri Pandangan Kepada Kerajaan Pusat - Nuridah Salleh
KUALA TERENGGANU, 29 Januari - Jaringan Badan Bukan Kerajaan Wanita atau ringkasannya Jasnita bersedia untuk duduk semeja bagi membincangkan soal pendidikan seks yang akan dilaksanakan oleh Kerajaan Pakatan Harapan (PH).Penasihatnya, Nuridah Mohd Salleh berkata, beliau berbesar hati memberi pandangan berkenaan perkara tersebut sebelum kerajaan mengambil sesuatu tindakan.“Kita mengikuti isu ini terutama yang melibatkan remaja kita dalam masalah gejala sosial sekarang. Ada antaranya yang menyebabkan kepada perzinaan,” jelasnya.Beliau yang juga Ahli Dewan Negara berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Majlis Hi-Tea dan Pelancaran Gabungan NGO Wanita di Permai Hotel kelmarin.Sehubungan itu, katanya, Kementerian Pendidikan sepatutnya memasukkan mata pelajaran Pendidikan Islam di semua peringkat sekolah.“Kita nak tahulah dari sudut pandangan Kementerian Pendidikan sendiri macam mana dia nak masukkan pendidikan Islam ini. Kadang-kadang ada orang pertikaikan ini bukan sekolah agama.“Sebenarnya pendidikan Islam itulah yang sepatutnya menjadi benteng (cegah zina) sama ada anak remaja ataupun orang dewasa,” ujarnya.
28 Jan 19
218