lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

RM10 Juta Fokus Pelancongan Berasaskan Ekonomi Rakyat
RM10 Juta Fokus Pelancongan Berasaskan Ekonomi Rakyat
KUALA TERENGGANU, 20 April – Peruntukan sebanyak RM10 juta disalurkan bagi membangunkan fasiliti, infrastruktur serta mempromosikan destinasi pelancongan berasaskan komuniti Community-Based Tourism, (CBT) di seluruh negeri. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, pendekatan diambil kerajaan negeri adalah untuk memastikan setiap projek yang dilaksanakan benar-benar memberi pulangan ekonomi dan sosial kepada rakyat. Menurutnya, sebahagian daripada dana ini telah disalurkan ke Hulu Terengganu bagi melaksanakan beberapa projek infrastruktur berskala kecil tetapi memberi impak besar kepada pelancong dan penduduk setempat. "Beberapa inisiatif telah dan sedang dilaksanakan untuk menyokong penggiat CBT di kawasan ini, antaranya bantuan kewangan dan insentif. "Antara projek yang telah diluluskan termasuk pembinaan kemudahan tandas, wakaf dan pencahayaan di CBT Kalang Rengas dengan peruntukan sebanyak RM50,000, manakala CBT Lubuk Bayas (Little Amazon, Kampung Menerong Ajil) dan CBT Bukit Jalin, Kampung Lebok Kuala masing-masing menerima RM20,000 bagi kerja-kerja pembinaan tandas. "Di Kampung Jenagor Seberang, sebuah dewan terbuka bagi persembahan budaya turut dibangunkan dengan kos RM20,000, bagi menyokong aktiviti pelancongan budaya dan warisan tempatan," jelas beliau. Beliau berkata demikian semasa sesi soalan lisan di Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelima Belas di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini. Razali turut menambah bahawa kerajaan negeri turut melaksanakan latihan berkaitan hospitaliti, pemasaran digital dan pengurusan eko pelancongan kepada penggiat CBT agar mereka lebih bersedia bersaing dan menarik minat pelancong tempatan serta antarabangsa.
20 Apr 25
100
Fokus Bangunkan Zon PKS Baharu
Fokus Bangunkan Zon PKS Baharu
KUALA TERENGGANU, 20 April  – Kerajaan Negeri Terengganu komited memperkasakan pembangunan kawasan Perindustrian Kecil dan Sederhana (PKS) dengan menumpukan kepada pelaksanaan zon perindustrian baharu. Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman berkata, ia akan dibangunkan melalui perancangan teratur dan kerjasama strategik antara sektor awam dan swasta. "Antara langkah utama ialah penetapan kawasan berpotensi sebagai pusat PKS menerusi Rancangan Tempatan Daerah yang dirancang bersama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan agensi berkaitan.  "Pembangunan kawasan Perindustrian Kecil dan Sederhana (PKS) adalah secara 'Public Private Pannership' (PPP) yang melibatkan pembangunan secara kebaikan bersama," jelasnya. Beliau berkata demikian semasa sesi soalan lisan di Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelima Belas di Wisma Darul Iman, di sini baru-baru ini. Menurutnya, antara keutamaan lain ialah usaha memperkukuh kemudahan infrastruktur seperti jalan raya, bekalan elektrik, air dan jalur lebar bagi menarik lebih ramai usahawan muda untuk terlibat secara aktif dalam sektor ini. "Setakat Mac 2025, sebanyak 145 unit premis telah disediakan oleh Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) yang meliputi kilang Industri Kecil dan Sederhana (IKS), Inkubator Industri Desa (IID) serta ruang niaga, melibatkan seramai 126 usahawan PKS di seluruh negeri," ujarnya. Beliau menambah, YPU juga menyediakan kemudahan pembiayaan mesra usahawan melalui Skim Pembiayaan Tanpa Riba (TUGAS), yang memberikan keutamaan kepada penyewa premis YPU, khususnya golongan muda.  "Antara skim yang ditawarkan termasuk Skim Peningkatan Perniagaan Terengganu (SP3T), Tabung Siti Khadijah (TSK), Skim Pembiayaan Atas Talian Terengganu (SPINT) dan Program Peningkatan Kapasiti Perniagaan Terengganu (T'CAP)," tambah beliau lagi.
20 Apr 25
76
Pesta Moreh, Pelita Raya Perlu Kekal dalam Landasan Syariat
Pesta Moreh, Pelita Raya Perlu Kekal dalam Landasan Syariat
KUALA TERENGGANU, 20 April — Dalam mengejar arus pembangunan yang pesat, aspek pemerkasaan syariat Islam tidak boleh diketepikan, tegas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Md Noor. Beliau merujuk kepada isu pesta moreh dan pelita raya yang tular baru-baru ini dan mendapat perhatian masyarakat. Menurutnya, fenomena itu menjadi semakin ketara apabila ramai rakyat mengambil peluang berniaga pelbagai juadah popular sepanjang Ramadan lalu, menarik kehadiran pengunjung dari dalam dan luar Terengganu. “Tidak dinafikan aktiviti ini membantu ekonomi rakyat, namun ia perlu dipastikan kekal dalam landasan syariat,” kata Zuraida dalam sidang DUN semalam. Beliau memuji langkah proaktif Kerajaan Negeri Terengganu yang memperketat peraturan, khususnya melibatkan larangan aktiviti hiburan dalam bulan Ramadan, sebagai usaha menjaga adab dan kesucian bulan tersebut. “Sebarang bentuk persembahan seperti nyanyian, tarian, penggunaan sistem audio kuat serta muzik kontemporari yang mencetuskan suasana lalai adalah tidak dibenarkan. Kita perlu menjaga adab, bukan menyekat kegembiraan,” ujarnya. Jelas beliau, larangan ini adalah sebahagian daripada gagasan 'Indahnya Hidup Bersyariat' yang diperjuangkan oleh kerajaan negeri, menekankan keseimbangan antara budaya dan ibadah dalam masyarakat. Zuraida turut menyeru agar semua penganjur pesta moreh dan pelita raya mematuhi garis panduan yang ditetapkan pihak berkuasa agama, termasuk menjaga adab pergaulan, mengelakkan percampuran bebas lelaki dan wanita serta memberi ruang kepada pengisian rohani seperti tazkirah dan doa. “Tahniah kepada semua pihak yang berusaha mengawal keadaan ini. Ia mencerminkan kesungguhan kerajaan dalam membentuk masyarakat yang berbudaya tinggi dan berlandaskan syariat,” katanya.
20 Apr 25
83
Jangan Manipulasi Sistem Federalisme Demi Kepentingan Politik Sempit
Jangan Manipulasi Sistem Federalisme Demi Kepentingan Politik Sempit
KUALA TERENGGANU, 20 April - Terengganu memberi peringatan kepada mana-mana pihak agar tidak memanipulasikan sistem federalisme demi kepentingan politik sempit yang akan menghakis keyakinan rakyat terhadap struktur negara. Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, sistem federalisme yang menjadi asas hubungan antara negeri dan Persekutuan harus dikembalikan ke atas neraca keadilan sebenar. Tegasnya, saranan Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar tentang penubuhan suruhanjaya ke arah reformasi federalisme amat wajar. "Negara ini dibina atas asas perkongsian kuasa, bukan pemusatan kuasa mutlak. "Maka adalah menjadi kewajipan untuk memastikan tiada satu pihak pun ditindas atau dinafikan hak (royalti petroleum) hanya kerana perbezaan pentadbiran atau prinsip perjuangan," ujarnya melalui satu kenyataan semalam. Mengulas lebih lanjut, Khalil berkata umat Islam tidak pernah diajar untuk tunduk kepada kezaliman dan penindasan. "Kita diajar untuk menegakkan kebenaran dan memperjuangkan hak dengan hujah yang jelas, fakta yang kukuh dan tawakal yang penuh kepada Allah," ujarnya.
20 Apr 25
84
Hulu Terengganu Terima RM16.1 Juta Menuju Gedung Makanan Kedua
Hulu Terengganu Terima RM16.1 Juta Menuju Gedung Makanan Kedua
KUALA TERENGGANU, 20 April – Komitmen kerajaan negeri terhadap kemajuan sektor makanan negeri semakin terbukti apabila Hulu Terengganu menerima peruntukan keseluruhan sebanyak RM16.1 juta sejak 2018, sekaligus meletakkan daerah itu dalam radar sebagai Gedung Pengeluaran Makanan Terengganu (GPMT) kedua selepas Setiu. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dr. Azman Ibrahim menegaskan bahawa kerajaan negeri tidak pernah mengabaikan Hulu Terengganu dalam dasar dan pelaksanaan pembangunan sektor pertanian. "Pelbagai isu pertanian di Hulu Terengganu dibangkitkan oleh ADUN Telemong. "Peruntukan yang kita salurkan kepada Hulu Terengganu sentiasa meningkat daripada setahun ke setahun, dalam pelbagai sektor, sama ada sektor pertanian, penternakan, perikanan dan pengairan dan saliran Daerah Hulu Terengganu, dan yang paling besar dapat manfaat ialah sektor akuakultur," katanya. Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong, Mohd Zawawi Ismail, dalam sesi penggulungan Usul Menjunjung Kasih sempena Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Kelima Belas yang berlangsung di Wisma Darul Iman, baru-baru ini. Beliau menjelaskan secara terperinci bahawa pada tahun 2018 sebanyak RM433 ribu telah disalurkan, diikuti RM530 ribu pada 2019, RM1.04 juta pada 2020, RM2.14 juta pada 2021, RM1.3 juta pada 2022, RM2.18 juta pada 2023, dan RM5.4 juta pada tahun 2024. "Jika campur jumlah keseluruhan termasuk dengan bantuan akuakultur dalam tempoh 2018 sehingga 2024, kita telah salurkan jumlah keseluruhan RM16.1 juta kepada daerah Hulu Terengganu," jelasnya. Beliau tidak menolak kemungkinan Hulu Terengganu akan diangkat sebagai daerah Gedung Pengeluaran Makanan Terengganu yang kedua selepas Setiu, berdasarkan keupayaan serta pelaburan berterusan yang diterima. "Saya tak menolak kemungkinan untuk Daerah Hulu Terengganu bakal diwartakan sebagai GPMT yang kedua selepas Daerah Setiu," kata beliau. Beliau turut menyeru penduduk daerah itu agar bersedia menyahut cabaran dan bekerjasama dengan kerajaan dalam menjayakan misi keterjaminan makanan negeri. "Jadi orang Hulu Terengganu perlu bersedia untuk bekerja kuat bagi sama-sama kita berkolaborasi memajukan sektor keterjaminan makanan negeri kita," ujarnya.
20 Apr 25
2227
Terengganu Jana Hasil Secara Progresif
Terengganu Jana Hasil Secara Progresif
KUALA TERENGGANU, 20 April - Kerajaan Terengganu telah membuktikan keupayaan menjana hasil secara progresif tanpa bergantung sepenuhnya kepada petroleum melalui usaha berani meneroka sektor-sektor baharu seperti mineral nadir bumi (REE), tenaga hijau serta pelaburan berasaskan kelestarian. Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, melalui usaha terbabit dapat dilihat kesungguhan sebuah pentadbiran yang memilih jalan mencabar demi kepentingan jangka panjang rakyat dan negeri. "Berdasarkan data rasmi, purata hasil negeri menunjukkan peningkatan ketara berbanding kerajaan terdahulu iaitu RM189.1 juta bagi tempoh 2008-2013, RM234.9 juta (2014-2017) dan RM256 juta bagi tempoh 2018-2024. "Namun begitu, dalam kesungguhan menjana pendapatan baharu, Negeri Terengganu tidak sesekali melupakan haknya yang masih belum dikembalikan sepenuhnya iaitu royalti petroleum. "Perkara ini telah ditegaskan oleh Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dalam persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu yang berakhir (minggu lalu) bahawa kerajaan negeri akan tetap menuntut kepunyaan rakyat Terengganu itu," ujarnya. Beliau berkata demikian melalui kenyataan medianya, 'Terengganu Tidak Tunggu Disuap, Tapi Tidak Reda Hak Diragut, di sini, semalam. Mengulas lebih lanjut isu berkait tuntutan royalti ini bukan baharu namun ia juga bukan satu permintaan tetapi hak yang telah termaktub dan dijamin. "Selagi mana hak ini belum dilunaskan, selagi itu suara dan tuntutan akan terus disuarakan dengan tegas, konsisten dan tanpa kompromi," tegasnya. Jelas beliau, Terengganu tidak pernah dibina atas dasar kebergantungan. "Sejak dahulu, asas pembinaan negeri ini berpaksikan kedaulatan, maruah dan daya tahan. "Menjadi amanah dan tanggungjawab kerajaan yang diberi mandat untuk memastikan hasil negeri bukan sahaja dipelihara, malah terus diperkasa secara bermaruah," ujar beliau.  
20 Apr 25
264
Tambah Baik Pasar Bukit Besar Perlu Disegerakan Demi Peniaga- Zuraida
Tambah Baik Pasar Bukit Besar Perlu Disegerakan Demi Peniaga- Zuraida
KUALA TERENGGANU, 20 April — Pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu mengambil tindakan segera untuk melakukan kerja-kerja baik pulih dan memperketatkan pemantauan di kawasan pasar Bukit Besar yang semakin suram ketika ini. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Md Noor berkata terdapat 73 peniaga berdaftar di pasar berkenaan, namun daripada 97 premis yang disediakan, sebanyak 24 premis masih belum beroperasi. “Pasar Bukit Besar pernah dikenali sebagai ‘Pasor Garib’ yang cukup terkenal dan menjadi pilihan utama masyarakat. "Saya yakin, dengan sedikit usaha penambahbaikan, pasar ini boleh dikembalikan kepada kegemilangannya dengan keadaan lebih menarik, selesa dan selamat untuk semua,” katanya di persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu baru-baru ini. Beliau berkata suasana pasar tersebut  kelihatan semakin lesu dan kurang dikunjungi pengunjung walaupun ia merupakan nadi ekonomi penting bagi masyarakat setempat. Zuraida turut menyenaraikan dua isu utama yang perlu diberi perhatian segera oleh pihak berkuasa tempatan iaitu isu penyelenggaraan dan isu persaingan yang tidak seimbang.  Tegasnya, pemulihan Pasar Bukit Besar bukan sekadar soal fizikal, tetapi turut melibatkan soal maruah dan semangat ekonomi rakyat setempat, khususnya peniaga kecil yang menjadi tulang belakang ekonomi tempatan.
20 Apr 25
1051
Kerajaan Negeri Perlu Rangka Pendekatan Holistik Tangani Jenayah Siber
Kerajaan Negeri Perlu Rangka Pendekatan Holistik Tangani Jenayah Siber
KUALA TERENGGANU, 19 April — Kerajaan negeri digesa mengambil pendekatan lebih menyeluruh bagi menangani kes jenayah siber yang semakin meningkat di Terengganu. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Md Noor, berkata satu pelan tindakan holistik dirangka segera oleh kerajaan negeri bagi membanteras jenayah siber dan memperkukuh literasi digital dalam kalangan rakyat Terengganu. “Saya ingin menarik perhatian Dewan yang mulia ini kepada satu isu yang semakin meruncing, iaitu peningkatan kes jenayah siber di negeri kita, "Menurut statistik Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu, sebanyak 1,330 kes jenayah siber direkodkan sepanjang tahun 2024, dengan kerugian melebihi RM42 juta serta peningkatan 93 kes berbanding tahun sebelumnya. “Jumlah ini sangat membimbangkan kerana ia melibatkan rakyat daripada pelbagai latar belakang dan memberi kesan langsung kepada kesejahteraan mereka,” ujar beliau ketika membahaskan isu keselamatan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri baru-baru ini. Tambahnya, antara bentuk penipuan yang paling kerap berlaku ialah pembelian dalam talian palsu, skim pelaburan tidak sah, penyamaran sebagai pegawai kerajaan serta pencurian data peribadi. Dalam masa sama, beliau menyambut baik inisiatif kerajaan persekutuan seperti kempen kesedaran siber, talian aduan 997 oleh CyberSecurity Malaysia dan portal SemakMule oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), namun menekankan perlunya tindakan tambahan di peringkat negeri. “Saya menggesa Kerajaan Negeri Terengganu agar memperluaskan program kesedaran keselamatan siber ke segenap lapisan masyarakat, termasuk di kawasan luar bandar serta dalam kalangan warga emas dan pelajar,” katanya. Zuraida turut mencadangkan agar Pusat Khidmat Masyarakat, masjid, surau serta pihak berkuasa tempatan digerakkan sebagai pusat penyebaran maklumat dan pendidikan digital. Selain itu, beliau berkata penyediaan geran kecil dan sokongan logistik kepada NGO dan komuniti yang aktif sangat perlu bagi mendidik masyarakat tentang keselamatan siber. “Kita tidak boleh membiarkan rakyat terus menjadi mangsa jenayah moden ini. "Teknologi bukan sahaja membawa kemudahan, tetapi juga cabaran baharu yang perlu dihadapi dengan pendekatan baharu,” tegas Zuraida.  
20 Apr 25
92
Zuraida Sambut Baik Langkah Tegas Terengganu Haramkan Vape
Zuraida Sambut Baik Langkah Tegas Terengganu Haramkan Vape
KUALA TERENGGANU, 19 April — Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Md Noor merakamkan ucapan tahniah kepada Kerajaan Negeri Terengganu atas tindakan tegas dan berpandangan jauh mengharamkan penjualan serta penggunaan rokok elektronik (vape) di negeri ini. “Dengan penuh rasa penghargaan dan kesyukuran, saya merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Kerajaan Negeri atas langkah berani ini,” katanya dalam satu kenyataan. Menurut beliau, isu vape ini pernah dibangkitkan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri sebelum ini dan kini menjadi kenyataan hasil komitmen bersama semua pihak demi menjaga kesejahteraan rakyat. “Keputusan ini amat dialu-alukan, khususnya dalam usaha menjaga kesihatan dan kebajikan rakyat, terutamanya golongan muda yang semakin terdedah kepada bahaya vape,” ujar Zuraida. Beliau turut menyatakan bahawa langkah ini selari dengan maqasid syariah yang mengutamakan penjagaan nyawa dan kesihatan serta mencerminkan keprihatinan kerajaan negeri terhadap gejala sosial yang semakin membimbangkan. “Saya percaya, dengan kerjasama semua pihak, langkah ini akan memberi kesan positif kepada masa depan anak-anak Terengganu,” tambah beliau lagi.
19 Apr 25
3797
'Tiada Pemimpin Kekal Kuasa Selama-Lamanya' - Dr. Sam
'Tiada Pemimpin Kekal Kuasa Selama-Lamanya' - Dr. Sam
KUALA TERENGGANU, 19 April – Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menyampaikan peringatan penuh makna bahawa kuasa politik adalah sesuatu yang bersifat sementara, manakala sistem pentadbiran adalah warisan yang wajib dijaga daripada dicemari kepentingan peribadi. Menurut beliau, sejarah membuktikan bahawa tiada seorang pun pemimpin mampu terus menongkat langit dan kekal berkuasa selama-lamanya. "Ada ketika kita berkuasa dan ada ketika kuasa hilang dari tangan kita," katanya dalam sesi penggulungan DUN, di Wisma Darul Iman, kelmarin.  Beliau menegaskan bahawa struktur kerajaan tidak boleh sekali-kali dipaksa untuk tunduk kepada kehendak politikus yang ingin mengekalkan kekuasaan mereka. "Sistem ini tidak boleh dipaksa-rela digunakan oleh political masters untuk tujuan politik kepartian," ujar beliau. Samsuri turut menempelak cubaan segelintir pihak yang menyerangnya dengan memutarbelit isu dan fakta, seolah-olah beliau baru memegang kuasa dan tidak memahami selok-belok pentadbiran. "Saya mula menggalas jawatan ini sejak 2018 lagi.  "Tapi isu ini hanya timbul enam bulan kebelakangan ini sahaja," ujarnya. Mengulas lebih lanjut, beliau menyatakan dirinya tidak naif dalam isu pentadbiran dan tahu dengan jelas apa itu Travel Control Order (TCO) dan kesan status sebagai VIP. "Saya agak segan menyebut terma VIP, tapi saya gagahkan juga, supaya masing-masing tahu pandangan saya tidak sama dengan pandangan mainstream," katanya.
19 Apr 25
221