lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Tiada Lagi Majlis Keraian Khas Untuk Pelajar Cemerlang SPM 2024
Tiada Lagi Majlis Keraian Khas Untuk Pelajar Cemerlang SPM 2024
KUALA TERENGGANU, 24 April – Buat pertama kali dalam sejarah, tiada majlis keraian khas dianjurkan untuk meraikan pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024, selaras dengan arahan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang mahu semua calon diraikan secara menyeluruh tanpa mengangkat hanya segelintir individu. Timbalan Pengarah Pendidikan Terengganu, Rosli Chik menjelaskan, pendekatan ini diambil bagi mengelakkan diskriminasi terhadap calon yang tidak memperoleh keputusan cemerlang namun menunjukkan peningkatan ketara atau pencapaian peribadi yang membanggakan. “Pihak sekolah perlu meraikan kesemua calon, jadi kita tidak ‘highlight’ kan pelajar cemerlang. “Sekolah terbaik pun kita tidak isytihar di majlis ini,” katanya. Beliau berkata demikian dalam Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Tahun 2024, di Bilik Mesyuarat Alamanda, Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, di sini hari ini. Menurut beliau, budaya memfokuskan kepada kelompok pelajar elit semata-mata tidak lagi relevan dengan landskap pendidikan masa kini yang lebih mementingkan nilai usaha, semangat juang dan peningkatan berterusan setiap individu. “Mungkin pelajar itu tidak cemerlang dalam bidang akademik, mungkin masa peperiksaan percubaan dia banyak gagal, tiba peperiksaan sebenar berlaku banyak lonjakan,” jelasnya, memberi contoh pelajar yang sering terpinggir daripada radar kecemerlangan konvensional. Beliau turut menjelaskan, KPM tidak melarang sekolah mengadakan majlis penghargaan, namun ia mestilah merangkumi semua calon tanpa pengecualian, sebagai lambang pengiktirafan kepada pelbagai bentuk kejayaan. “Boleh sebenarnya, tapi sekolah mesti buat merangkumi kesemua kategori calon,” tegasnya.
24 Apr 25
10429
SPM 2024: 11 Calon Raih Gred A+ Semua Subjek
SPM 2024: 11 Calon Raih Gred A+ Semua Subjek
KUALA TERENGGANU, 24 April – Seramai 11 calon Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 di Terengganu berjaya meraih keputusan tertinggi, Gred A+ dalam semua mata pelajaran yang diambil, peningkatan cemerlang berbanding hanya 8 orang pada tahun sebelumnya. Timbalan Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, Rosli Chik berkata pencapaian ini menggambarkan keupayaan luar biasa calon tahun ini.  “Bilangan calon yang memperoleh keputusan cemerlang tertinggi (Gred A+) dalam semua mata pelajaran meningkat dari 8 calon pada tahun 2023 kepada 11 calon pada tahun 2024,” katanya. Beliau berkata demikian dalam Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2024, di Bilik Mesyuarat Alamanda, Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, di sini hari ini. Beliau turut menyatakan prestasi calon secara keseluruhan turut menunjukkan peningkatan.  “Nilai Gred Purata Negeri (GPN) pada tahun 2024 adalah 4.31 mata berbanding 4.41 mata pada tahun 2023,” katanya, merujuk kepada pengurangan sebanyak 0.10 mata yang menunjukkan pencapaian lebih baik. Menurut beliau, pencapaian Terengganu juga melepasi purata nasional.  “Gred Purata Negeri juga mengatasi Gred Purata Nasional dengan nilai 4.31 berbanding 4.49,” ujar beliau. Tambah Rosli, jumlah calon cemerlang yang meraih A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran juga bertambah.  “Bilangan calon yang memperoleh keputusan cemerlang meningkat dari 464 calon kepada 532 calon. “Peningkatan sebanyak 68 calon,” jelas Rosli Tambah beliau lagi, pencapaian calon di kawasan bandar dan luar bandar masing-masing menunjukkan peningkatan, namun jurang antara kedua-duanya turut melebar.  “Pencapaian calon di bandar meningkat sebanyak 0.10 mata manakala luar bandar meningkat sebanyak 0.08 mata.  “Jurang pencapaian melebar kepada 0.70 mata,” katanya. Rosli turut menyatakan sebahagian besar calon berjaya mendapat sekurang-kurangnya gred lulus dalam semua mata pelajaran.  “Seramai 11,087 calon (66.41%) memperoleh sekurang-kurangnya lulus atau gred E dalam semua mata pelajaran “Peningkatan berbanding 64.03 peratus tahun lalu," ujarnya.
24 Apr 25
1018
Pensijilan SPM Bertaraf Antarabangsa
Pensijilan SPM Bertaraf Antarabangsa
KUALA TERENGGANU, 24 April – Pensijilan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kini setanding dengan sistem pendidikan antarabangsa apabila ia turut mendapat pengiktirafan dan kerjasama daripada institusi penilaian terkemuka luar negara seperti Cambridge dan IAB United Kingdom. Timbalan Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, Rosli Chik berkata, langkah ini bertujuan memastikan mutu dan standard SPM berada pada tahap global.  “Sukacita saya ingin memaklumkan bahawa bagi tujuan penandaarasan dan penjaminan kualiti di peringkat antarabangsa, pakar pentaksiran dari luar negara terlibat sama untuk memberikan khidmat kepakaran dalam pembinaan item dan penetapan standard pensijilan SPM Tahun 2024,” katanya. Beliau berkata demikian dalam Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2024, di Bilik Mesyuarat Alamanda, Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, di sini hari ini. Menurut beliau, kerjasama melibatkan dua institusi profesional dari United Kingdom.  “Pakar-pakar pentaksiran luar negara yang terlibat dalam peperiksaan SPM Tahun 2024 adalah dari Cambridge University Press and Assessment, United Kingdom dan Institute of Accountant and Bookkeepers (IAB), United Kingdom,” tambah beliau. Rosli turut memaklumkan bahawa calon mata pelajaran Prinsip Perakaunan turut menerima manfaat tambahan berbentuk pensijilan profesional.  “Calon yang menduduki mata pelajaran Prinsip Perakaunan peperiksaan SPM Tahun 2024 juga berpeluang memperoleh sijil IAB LCCI Level 2 Certificate In Book-keeping and Accounts daripada London Chamber of Commerce and Industry,” katanya. Beliau menambah, pencapaian tersebut turut membuka laluan kepada pengiktirafan dalam bidang profesional antarabangsa.  “Calon-calon juga layak mendapat pengecualian ACCA-FIA-FA1 oleh The Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) sekiranya memenuhi syarat yang telah ditetapkan,” jelasnya. Di samping itu, pelajar tahfiz turut diberi perhatian dengan peluang memperoleh sijil khas sekiranya memenuhi kriteria hafazan.  “Lembaga Peperiksaan juga bekerjasama dengan Darul Quran, JAKIM bagi penganugerahan Sijil Tahfiz KPM kepada calon yang khatam hafazan 30 juzuk al-Quran,” katanya.
24 Apr 25
143
Keputusan SPM 2024 Kini Boleh Disemak
Keputusan SPM 2024 Kini Boleh Disemak
KUALA TERENGGANU, 24 April – Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2024 kini boleh menyemak keputusan peperiksaan masing-masing bermula pukul 10.00 pagi hari ini. Timbalan Pengarah Pendidikan Terengganu, Rosli Chik berkata, calon sekolah boleh mendapatkan keputusan di sekolah masing-masing manakala calon persendirian boleh berbuat demikian di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN). “Sukacita dimaklumkan bahawa calon sekolah boleh memperoleh keputusan peperiksaan SPM Tahun 2024 mulai pukul 10.00 pagi hari ini di sekolah masing-masing. “Bagi calon persendirian pula, mereka boleh menyemak dan mendapatkan keputusan peperiksaan di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN),” kata beliau. Beliau berkata demikian dalam Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Tahun 2024, di Bilik Mesyuarat Alamanda, Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, di sini hari ini. Menurut Rosli, calon juga diberi pilihan untuk menyemak keputusan secara dalam talian melalui pautan rasmi myresultspm.moe.gov.my atau menggunakan sistem pesanan ringkas (SMS). “Calon juga boleh menyemak keputusan secara dalam talian di pautan myresultspm.moe.gov.my. “Semakan melalui sistem SMS juga boleh dibuat untuk mendapatkan ringkasan keputusan peperiksaan SPM Tahun 2024,” jelas beliau. Tambah beliau, kemudahan semakan keputusan SPM 2024 disediakan sehingga 30 April 2025 bagi memastikan semua calon mempunyai tempoh yang mencukupi untuk mendapatkan maklumat keputusan mereka. “Calon boleh menyemak keputusan sehingga 30 April 2025, jam 6.00 petang. “Bagi calon yang tidak mempunyai capaian internet, mereka boleh mendapatkan keputusan secara fizikal di sekolah atau hadir ke JPN,” jelasnya.
24 Apr 25
112
UCTATI, KYT dan KQT: Terengganu Sedia Laluan Pendidikan Lanjutan
UCTATI, KYT dan KQT: Terengganu Sedia Laluan Pendidikan Lanjutan
KUALA NERUS, 24 April – Kerajaan negeri terus memperluas akses pendidikan tinggi kepada anak-anak negeri dengan membuka peluang melanjutkan pengajian di institusi milik kerajaan negeri seperti Universiti Kolej TATI (UCTATI), Kolej Yayasan Terengganu (KYT), Kolej Yayasan Islam Terengganu (KYIT) dan Kolej al-Quran Terengganu (KQT). Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato’ Satiful Bahari Mamat berkata, institusi-institusi ini diwujudkan bagi memastikan pelajar mempunyai pilihan lanjutan pendidikan yang berkualiti tanpa perlu keluar dari negeri sendiri. "Kita buka ruang seluas-luasnya untuk pelajar menyambung pengajian dan kerjaya mereka, sama ada dalam bidang Islamik, kemahiran, atau teknologi," katanya dalam ucapannya di Majlis Graduasi dan Anugerah Hafazan al-Quran Imtiaz ke-15, di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri Terengganu, di sini baru-baru ini. Beliau menekankan bahawa institusi milik kerajaan negeri bukan sahaja menawarkan yuran yang berpatutan, malah turut menyediakan suasana pembelajaran yang kondusif dan berteraskan nilai-nilai Islam. "Pelajar boleh memilih untuk menyambung pelajaran di mana-mana institusi ini sebelum melangkah ke peringkat yang lebih tinggi, sama ada dalam negara atau luar negara," ujarnya. Tambah beliau, usaha ini adalah kesinambungan kepada dasar pendidikan negeri yang komited membina generasi berilmu, beriman dan berdaya saing. "Kita tak mahu ada pelajar cemerlang yang tercicir hanya kerana tiada tempat atau kos terlalu tinggi di luar," jelasnya. Beliau turut menyatakan bahawa kerajaan negeri akan terus menambah baik kemudahan serta memperluas kerjasama dengan institusi-institusi pendidikan tinggi lain bagi meningkatkan kapasiti penerimaan pelajar. "Hasrat kita adalah supaya setiap anak Terengganu, tanpa mengira latar belakang, mampu memperoleh pendidikan terbaik dan menyumbang kembali kepada negeri serta negara," ujarnya.
24 Apr 25
450
100 Pelajar Diraikan Wisma Darul Iman
100 Pelajar Diraikan Wisma Darul Iman
KUALA TERENGGANU, 23 April - Seramai 100 pelajar-pelajar fakir miskin dan anak yatim diraikan dalam majlis Sambutan Hari Raya anjuran Kelab Wisma Darul Iman (KWDI), hari ini. Pada sambutan yang berlangsung di Dewan Besar Wisma Darul Iman itu, pelajar terpilih dari lima sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Pusat Cabang Tiga, SK Losong, SK Bukit Losong, SK Kompleks Seberang Takir dan SK Seberang Takir menikmati sajian disediakan ahli-ahli kelab gabungan, selain turut menerima sumbangan duit raya. Sumbangan disampaikan oleh Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan isteri, To' Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab Rahman pada sesi majlis perhimpunan bulanan Wisma Darul Iman. Pemberian sumbangan itu disaksikan Setiausaha Kerajaan Negeri yang juga merupakan Yang di-Pertua KWDI, Dato' Nara Setia dan isteri, To' Puan Wan Radziah Wan Mokhtar. Majlis yang berlangsung sehingga jam 2.00 petang itu dihadiri sekitar 1,000 warga Wisma Darul Iman dan kakitangan anak-anak syarikat kerajaan negeri.              
23 Apr 25
104
Lebih 5,000 Meriahkan Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Kijal
Lebih 5,000 Meriahkan Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Kijal
KEMAMAN, 23 April - Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal yang berlangsung di Kompleks Paya Lasir semalam mendapat sambutan luar biasa apabila lebih 5,000 orang hadir memeriahkan suasana. Pengarah Program, Aliy Zainal Abidin Hazri berkata, orang ramai mula hadir seawal jam 8.30 pagi bagi menikmati pelbagai juadah yang disediakan. Menurutnya, turut diadakan ialah agihan duit raya kepada kanak-kanak dari Sekolah Rendah dan PASTI sekitar DUN Kijal. “Petugas terdiri daripada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Unit Dewan Mengundi (UDM) setiap kawasan DUN Kijal, warga kerja Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) serta para sukarelawan yang bertungkus-lumus menjayakan program ini. “Terima kasih kepada semua yang hadir. Sambutan sangat hangat dan meriah. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar,” katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas program berkenaan. Majlis turut diserikan dengan kehadiran ADUN Kijal merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri Terengganu, Datuk Razali Idris selaku tuan rumah. Turut hadir memeriahkan majlis wakil Ahli Parlimen Kemaman, Hazri Jusoh, Senator, Che Alias Hamid, ADUN Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong, ADUN Kemasik, Ir. Saiful Azmi Suhaili serta ramai lagi. Aliy berkata, ‘Photobooth Teratak Kijal’ juga menjadi tarikan utama, merakam detik-detik ceria pengunjung yang tidak melepaskan peluang bergambar dalam suasana Aidilfitri yang penuh meriah dan mesra rakyat. “Alhamdulillah, majlis yang berlangsung seawal jam 10.30 pagi itu berakhir kira-kira jam 3 petang dengan penuh kemeriahan. Jumpa lagi tahun depan, insya-Allah,” ujarnya.  
23 Apr 25
167
PMINT Diberi Kepercayaan Sempurnakan CCC Tertangguh
PMINT Diberi Kepercayaan Sempurnakan CCC Tertangguh
KUALA TERENGGANU, 23 April - Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) telah diberi kepercayaan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sebagai badan pelaksana bagi projek-projek pemulihan perumahan. Juga diberikan kepercayaan untuk penyempurnaan dokumen perundangan seperti Certificate Of Fitness For Occupation (CFO) atau Certificate OF Completion and Compliance (CCC) yang tertangguh dengan peruntukan sebanyak RM3.3 juta. Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PMINT, Dato' Wan Adnan Wan Derahman berkata, inisiatif itu bukan sahaja akan menyelamatkan projek terbengkalai tetapi juga memberi sinar harapan kepada pembeli dan menyokong aspirasi kerajaan untuk menyediakan perumahan yang selamat dan berkualiti kepada rakyat. "Skop kerja utama PMINT sebagai badan pelaksana merangkumi membuat semakan awal dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berkaitan status semasa projek serta syarat-syarat teknikal yang diperlukan bagi memperolehi CFO/CCC. "Menyemak status semasa perunding atau syarikat perunding (PSP)atau arkitek asal serta mendapatkan 'release letter' sekiranya diperlukan juga melantik PSP atau arkitek baharu bagi penyediaan pelan dan dokumen teknikal untuk kelulusan PBT. "Melaksanakan proses perolehan melalui sebut harga, inden kerja atau tender bagi pelaksanaan kerja-kerja fizikal di tapak mengikut keperluan atau komen teknikal PBT,"ujarnya semasa sidang medianya di Majlis Pelancaran Logo 60 tahun PMINT Bertemakan Membina Masa Hadapan, di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam, di sini, kelmarin. Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar juga merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah PMINT. Menurut Wan Adnan antara projek yang sedang dalam pelaksanaan pihaknya sebagai badan pelaksana membabitkan Taman Semarak (Kuala Nerus), Ibai Golf Home Resort (Kuala Terengganu), 31 unit teres setingkat Taman Mega 1 (Kertih, Kemaman).Taman Dato' Ibrahim (Marang) dan Projek Sungai Kerak ( Marang).  
23 Apr 25
1908
PMINT Peroleh Peruntukan RM82.1 Juta
PMINT Peroleh Peruntukan RM82.1 Juta
KUALA TERENGGANU, 23 April - Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) telah berjaya mendapatkan peruntukan berjumlah RM82.1 juta daripada Kementerian Ekonomi melalui pelbagai program pembangunan. Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PMINT, Dato' Wan Adnan Wan Derahman berkata, ia juga termasuk melalui 'Rolling Plan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), Projek 'People-Centric, inisiatif kemudahan rakyat dan projek khas. Ujarnya, antara cadangan pembangunan baharu pula membabitkan Kubang Parit (KP) Perdana fasa 8, dijangka dilancarkan pada suku ketiga 2025 merangkumi 140 unit kediaman dengan reka bentuk moden kotemporari. "Dalan pengurusan Perindustrian PMINT pula terlah berjaya memeterai 13 perjanjian pajakan tanah industri dan sedang berunding dengan pelabur berpotensi untuk pelaburan baharu bernilai RM6 bilion. "Antara pelabur termasuk Nova RE Suria (Hydrogen Plant), Eastern Steel (Hot Rod Coil0 dan JXR Manufacturing (Alumina)," ujarnya ketika ditemui pemberita semasa sidang medianya selepas menghadiri Majlis Pelancaran Logo 60 Tahun bertemakan Membina Masa Hadapan yang dirasmikan oleh Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ir. Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. Majlis berkenaan telah diadakan di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam. Dalam pada itu, Wan Adnan turut memaklumkan sebanyak RM46 juta dana pembangunan juga telah diluluskan melalui peruntukan Kerajaan Persekutuan dan negeri bagi kerja-kerja infrastruktur. "Bagi kerja-kerja infrastruktur di kawasan industri seperti Gong Medang, Bukit Labohan, Gong Badak, Kertih dan Dungun. "PMINT turut mengemudi pelaksanaan Dasar Pembangunan Pelaburan Perindustrian Negeri Terengganu 2023-2030 bertujuan menjadikan negeri ini sebagai hab pelaburan terkemuka menjelang 2030,"jelas beliau.  
23 Apr 25
701
“Mak Lebih Penting” – Nor Ain Pulang Tinggal Kerjaya Jaga Ibu
“Mak Lebih Penting” – Nor Ain Pulang Tinggal Kerjaya Jaga Ibu
KEMAMAN, 23 April – Dua beradik di Kampung Lubuk Lesung, Kijal sanggup berhenti kerja demi menjaga ibu mereka, Rosila Noor, 54, yang menghidap penyakit buah pinggang tahap lima. Rosila yang juga seorang ibu tunggal, kini bergantung sepenuhnya kepada anak-anak untuk urusan harian selepas disahkan menghidap penyakit kronik itu. Anak ketiganya, Nor Ain Natasha Maae, 24, berhenti kerja sebagai pengasuh di sebuah taska di Seksyen 16, Shah Alam untuk pulang ke kampung menjaga ibunya, terutamanya semasa sesi rawatan cuci darah di hospital. “Saya tak sanggup tengok mak tanggung semua ini seorang diri. Saya ambil keputusan berhenti kerja walaupun kami tak ada pendapatan tetap,” kata Nor Ain Natasha. “Oleh kerana, hanya anak perempuan dibenarkan menemani ibu semasa rawatan, sebab itu dia pulang dan ambil tanggungjawab jaga ibunya," katanya.  Dia berkata demikian kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman semasa program Ziarah Prihatin oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal semalam. Anak sulung, Ikram Nizam Maae 29, turut berhenti kerja sebagai pekerja pasar raya di Kemaman untuk membantu menjaga ibu mereka di rumah. Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Mohd Amirudin Zakaria, mereka ada tanggungan tiga lagi adik beradik mereka yang masih belajar. “Dua orang di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dan seorang lagi di tahun lima Sekolah Kebangsaan Kampung Baru Kijal. “Pihak JPKK Lubuk Lesung akan terus memantau keadaan keluarga ini dan akan menyalurkan bantuan yang sewajarnya dari semasa ke semasa,” ujarnya.
23 Apr 25
137