lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Terengganu Agih RM4.188 Juta Kepada MPKK
Terengganu Agih RM4.188 Juta Kepada MPKK
KUALA TERENGGANU, 9 September -  Kerajaan Terengganu bersetuju untuk menyalurkan bantuan geran bernilai  RM4.188 juta kepada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di seluruh negeri. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata sebanyak 1,047 MPKK akan memperolehi bantuan itu dengan setiap entiti menerima RM4,000. Katanya, ia diberikan secara 'one-off' dan dijamin tiada MPKK yang tercicir. "Penyaluran geran ini adalah bantuan jangka pendek bagi tahun 2020 dalam rangka keprihatinan kerajaan negeri. "Ia bagi merangsang perancangan serta pelaksanaan aktiviti kemasyarakatan di peringkat kampung dalam melalui fasa PKPP sekarang ini. "Kerajaan negeri komited untuk mempastikan pengurusan MPKK Terengganu sentiasa berada pada tahap terbaik dalam memberikan khidmat bakti kepada rakyat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
09 Sep 20
2270
Pulau Bidong Lokasi Pelancongan Bersejarah
Pulau Bidong Lokasi Pelancongan Bersejarah
  SETIU, 9 September - KerajaanTerengganu komited untuk memulihara dan membangunkan Pulau Bidong sebagai lokasi pelancongan bersejarah di negeri itu. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklukmat negeri, Ariffin Deraman berkata, Pusat Informasi Maklumat (TIC) berkait dengan pulau itu juga akan dibina sebagai tarikan tambahan kepada pelancong.  Katanya, beberapa kerosakan infrastruktur di pulau terbabit pula akan dibaik pulih dalam masa terdekat. "Kemudahan seperti jeti, laluan pejalan kaki dan menjaga kebersihan di sekitar pulau itu demi keselesaan pengunjung. "Kita juga melihat jeti ini adalah jeti yang terbaik antara pulau-pulau yang terdapat di Terengganu, namun terdapat sedikit hakisan berhampiran jeti yang membimbangkan," ujarnya semasa melakukan lawatan ke Pulau Bidong baru-baru ini. Hadir sama dalam lawatan itu, Pengarah Lembaga Muzium Negeri Terengganu, Che Muhamad Azmi Ngah. Mengulas lanjut, beliau berkata setakat ini Pulau Bidong masih lagi terpelihara termasuk memiliki coral-coral yang menarik. "Pulau ini juga sesuai untuk ‘daytrippers’ yang datang ke sini walaupun sebahagian mereka pergi ke Pulau Kapas, Pulau Redang tetapi kalau pihak kami akan menyediakan infrastruktur yang secukupnya. "Kami yakin dengan kedatangan pelancong ia akan menghidupkan lagi suasana Pulau Bidong," jelasnya. Dalam kunjungan tersebut, Ariffin turut melawat ladang ternakan batu karang yang diusahakan Yayasan Coral Malaysia, kawasan perkuburan Vietnam, Pantai Pasir Tenggara dan monumen peringatan orang Vietnam.
09 Sep 20
360
Sukarelawan Syariah Kuala Nerus Tumpu Kawasan Panas
Sukarelawan Syariah Kuala Nerus Tumpu Kawasan Panas
KUALA NERUS, 9 September - Kawasan pesisir pantai di daerah ini yang kerap menjadi sasaran segelintir individu untuk melakukan perbuatan tidak bermoral akan diberi tumpuan oleh skuad sukarelawan syariah Kuala Nerus dalam usaha membanteras perbuatan maksiat di negeri ini. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal Dr Alias Razak berkata, antara yang menjadi lokasi panas adalah kawasan Pantai Hulu Takir, yang terletak di sepanjang laluan menghala ke jambatan angkat (drawbridge).  Katanya, seramai 120 anggota sukarelawan dilantik sentiasa bersedia membantu Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) melaporkan sebarang kesalahan di bawah enakmen kesalahan jenayah syariah yang berlaku di daerah ini. “Sukarelawan syariah adalah orang awam yang dilantik oleh kerajaan negeri diletakkan dibawah pemantauan JHEAT, tidak diberi kuasa menangkap dan menyiasat oleh Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM). “Bagaimanapun mereka ini sedia tampil memberi maklumat dan bersedia untuk bekerjasama dan menjadi saksi dalam sesuatu kes terutamanya melibatkan kes jenayah syariah,” ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Seminar Pemantapan Sukarelawan Syariah Daerah Kuala Nerus anjuran Bahagian Penguatkuasaan JHEAT di Kompleks Tarbiyyah At-Taqwa, hari ini. Turut hadir, Timbalan Pesuruhjaya (Hal Ehwal Islam) JHEAT, Zulkefli Othman, Penolong Kanan Pesuruhjaya (Pencegahan) JHEAT, Kamal Bin Mamat dan Ketua Sukarelawan Syariah Kuala Nerus, Harun Salleh. Katanya, inisiatif Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri itu telah membuka peluang kepada mana-mana rakyat Terengganu atau NGO untuk turut serta membantu JHEAT mendidik dan memberi kefahaman kepada orang ramai akan kesalahan syariah yang berkuatkuasa di negeri ini. “Dengan kekuatan anggota penguatkuasa JHEAT yang kurang daripada 10 orang di setiap daerah sudah pasti tidak mampu untuk menjaga penduduk negeri ini, justeru dengan adanya sukarelawan syariah di setiap daerah ini sedikit sebanyak dapat meluaskan pemantauan,” ujarnya. Dr Alias berkata, tujuan pencegahan dilakukan bukan semata-mata untuk menangkap mereka yang melakukan kesalahan syariah tetapi lebih kepada mendidik dan memupuk kesedaran masyarakat agar sama-sama bertanggungjawab mencegahnya.  
09 Sep 20
580
Jabatan Kesihatan Serbu 54 Premis Makanan
Jabatan Kesihatan Serbu 54 Premis Makanan
KUALA TERENGGANU, 9 September - Sebanyak 54 premis makanan di Setiu dan Besut diserbu Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) dalam Operasi Bersepadu Premis Makanan Bersih pada 7 dan 8 September lalu. Pengarah JKNT, Dr Nor Azimi Yunus berkata, hasil operasi itu tiga premis telah diberikan arahan penutupan selama tempoh tidak melebihi 14 hari di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983 kerana gagal mencapai tahap minimum piawaian. “Ia meliputi 34 buah restoran dan 20 buah gerai makanan telah diperiksa sepanjang dua hari operasi diadakan di dua daerah tersebut. “Sebanyak 62 notis memerintahkan kehadiran di mahkamah bagi kesalahan yang boleh dikompaun di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 dikeluarkan dengan nilai kompaun sebanyak RM16,350,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. Katanya, operasi yang dijalankan bersama Penguatkuasa Kementerian Kesihatan Malaysia, Majlis Daerah Setiu dan Majlis Daerah Besut itu memberi fokus kepada premis yang menjadi tumpuan ramai. “Ia penting bagi memastikan premis berkenaan beroperasi dalam keadaan bersih, terkawal dan mematuhi peraturan yang telah ditetapkan sekali gus menjamin kualiti makanan. Menurut Nor Azimi lagi, pemantauan akan dijalankan secara berterusan supaya pengusaha dan pengendali makanan serius dalam mematuhi keperluan yang telah ditetapkan di bawah Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan dibawahnya. “Adalah menjadi tanggungjawab pemilik dan pengusaha premis makanan untuk memastikan premis makanan dan pekerja mereka berada dalam bersih pada setiap masa sewaktu operasi perniagaan dijalankan,” tambah beliau.  
09 Sep 20
1327
Terengganu Masih Tidak Benarkan Warga Asing Solat Jemaah Di Masjid, Surau
Terengganu Masih Tidak Benarkan Warga Asing Solat Jemaah Di Masjid, Surau
  KUALA TERENGGANU, 9 September – Warga asing yang berada di Terengganu masih belum dibenarkan untuk solat berjemaah di masjid dan surau negeri ini. Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Mat Azmi Arshad berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM). “Setakat ini kita masih belum membenarkan mereka (warga asing) untuk solat berjemaah di masjid atau surau. “Walau bagaimanapun, kita akan pertimbangkan bagi mereka yang berkhidmat dengan kerajaan seperti di institusi pengajian awam (IPT) serta yang memohon kebenaran solat Jumaat," katanya ketika ditemui media baru-baru ini. Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya mengetatkan SOP itu memandangkan tiada jaminan terhadap tahap kesihatan warga asing yang tidak terlibat dengan aktiviti atau kerja di peringkat kerajaan. "Setakat ini, MAIDAM yang membenarkan semua aktiviti agama dilaksanakan di masjid dengan syarat mematuhi SOP yang ditetapkan MKN dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). "Ia juga perlu bersesuaian dengan kapasiti jemaah masjid yang dijarakkan serta mereka boleh solat di luar bangunan masjid jika ada keperluan dan dibenarkan," katanya lagi.
09 Sep 20
1060
TEKUN Anjur Konvoi Hayati Erti Kemerdekaan
TEKUN Anjur Konvoi Hayati Erti Kemerdekaan
KUALA NERUS, 9 September - Bagi menghayati dan mensyukuri nikmat kemerdekaan, TEKUN Negeri Terengganu mengadakan konvoi bermotosikal dari Kuala Nerus ke Hulu Terengganu. Pengurus TEKUN Nasional Negeri Terengganu, Ghazali Husain berkata, program Jalinan Kasih Semarak Merdeka TEKUN Nasional Peringkat Negeri Terengganu itu melibatkan seramai 15 orang warga kerja mereka. "Flag-off yang diadakan pagi ini adalah simbolik bagi konvoi yang akan diadakan. Mereka akan ke Hulu Terengganu dan menyampaikan sumbangan kepada kakitangan atau ahli keluarga kakitangan yang memerlukan. "Ini bagi menyedarkan kita bahawa erti kemerdekaan yang kita kecapi ini haruslah dinikmati dan juga dikongsi kepada mereka yang kurang bernasib baik," ujar beliau ketika ditemuramah melakukan 'flag-off' di sini hari ini Tambah beliau, program itu dilancarkan serentak di pejabat TEKUN Nasional seluruh negara dengan objektif yang sama. "Kami amat bersyukur Pengerusi TEKUN Nasional kali ini dari Negeri Terengganu dan sudi bersama-sama kami dalam sesi pagi ini," jelasnya.
09 Sep 20
88
Satu Kampung Satu Padang Bola
Satu Kampung Satu Padang Bola
Oleh : Amiirullah Mansor DUNGUN, 8 September- Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka, Satiful Bahri Mamat berhasrat untuk mewujudkan satu padang bola di setiap kampung dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan. Katanya, padang bola yang akan diwujudkan itu akan mengikut kesesuaian kawasan masing-masing selain menambahbaik padang bola yang sedia ada sebagai pusat komuniti orang muda. “Kita sudah perhatikan beberapa kawasan yang tiada padang bola dan sesuai untuk dibangunkan kemudahan terbabit.  “Terdapat juga beberapa buah padang bola yang sedang dibaikpulih seperti di Felda Kerteh 1, Tebing Tembah, Kampung Nyior, dan beberapa kampung lagi,” katanya. Beliau berkata demikian ketika merasmikan Liga 5 Sebelah Penalti di Padang Kampung Santong, baru-baru ini. Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri berkata, pihaknya juga akan mewujudkan perlawanan bola sepak secara liga setelah isu padang ini selesai.  “Dengan wujud kemudahan padang ini, kita boleh mengajurkan perlawanan bola sepak antara kampung di peringkat DUN, Parlimen seterusnya ke peringkat negeri," ujarnya.
09 Sep 20
727
Dua Isteri Arwah Khairul Terima Faedah PERKESO
Dua Isteri Arwah Khairul Terima Faedah PERKESO
DUNGUN, 8 September- Nasib kedua-dua isteri arwah Khairul Aswad Ismail, 42, yang meninggal dunia 4 September lalu kerana keracunan darah terbela apabila menerima Faedah Pengurusan Jenazah dan Faedah Pencen Penakat Pertubuhan Keselamatan Sosial Pekerja (PERKESO) Terengganu.  Pengurus PERKESO Dungun, Nor Afizah Aziz berkata, Suraya Mamat , 43, dan Rosliza Abdullah, 43, layak menerima Faedah Pengurusan Jenazah berjumlah RM 2,000 dan Faedah Pencen Penakat kerana suami mereka adalah pencarum aktif. "Hasil daripada semakan PERKESO mendapati arwah Khairul Aswad merupakan pekerja di Syarikat Kilang Papan PESAKA Terengganu Berhad (PTB) dan mencarum selama 180 bulan tanpa gagal. "Faedah Pencen Penakat yang layak diterima kedua-dua orang balu berkenaan adalah sepanjang hayat mereka dan bagi enam anak bersama arwah sehingga berumur 21 tahun." ujarnya. Beliau berkata demikian selepas  menyerahkan faedah berkenaan kepada keduanya dalam satu pertemuan ringkas di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Bukit Besi, semalam. Turut hadir, Pegawai Penyelaras DUN Bukit Besi, Ghazali Sulaiman dan Pengurus Besar PTB, Hilmi Awang. Nor Alfizah berkata, maklumat mengenai kematian Khairul telah disampaikan oleh Ghazali dan tindakan segera telah diambil PERKESO bagi menyantuni keluarga arwah. "Semoga mereka redha dengan pemergian arwah dan sentiasa tabah untuk meneruskan kehidupan mendatang. "PERKESO Dungun juga mengambil kesempatan mengucapkan ribuan terima kasih kepada Pejabat Penyelaras DUN Bukit Besi serta pihak pengurusan PTB atas kerjasama diberikan,"  ujarnya Sementara itu Ghazali berkata, pihaknya sangat berterima kasih atas tindakan segera yang dilaksankan pertubuhan berkenaan. "Alhamdulillah di dalam membantu masyarakat, terutamanya bagi membela nasib-nasib mereka terutama yang kehilangan ketua keluarga sangat kita titikberatkan. "Kerana itu seringkali kita menghantar maklumat kepada PERKESO sehingga telah membawa kepada terjalinnya hubungan sebagai rakan strategi untuk Program 'Social Synergy PERKESO' . Semoga kedua-dua balu diberi kekuatan oleh Allah untuk meneruskan kehidupan dengan baik," ujarnya.
08 Sep 20
1396
JHEAT Siasat Penyebaran Fahaman Liberal
JHEAT Siasat Penyebaran Fahaman Liberal
KUALA TERENGGANU, 7 September - Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) sedang giat menyiasat dan memantau aktiviti pihak tertentu yang disyaki menyebarkan fahaman liberal di negeri ini.   Pesuruhjaya JHEAT, Mat Azmi Arshad menegaskan bahawa pihaknya mengenalpasti satu kes di Terengganu berkaitan dengan penyebaran fahaman tersebut.   "Kita menyiasat kes seperti berikut dengan kerjasama dan kepakaran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) supaya ia dapat ditangani dengan segera.   "Maklumat diperoleh melalui siasatan tertentu mendapati taktik golongan ini lebih cerdik dan licik dalam menggunakan kitab-kitab berkaitan Ahli Sunnah Wal-Jamaah dan tidak memaparkan fahaman batiniyah.   “Mereka turut mengelak siasatan dengan tidak hadir program yang dianjurkan, kerjasama JHEAT bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus mengawasi ancaman serius ini," katanya.   Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Hafl El-Takrim Pelajar Cemerlang SPM, STAM dan STPM 2019 di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam di sini hari ini.   Mengulas lanjut, beliau berkata hasil kerjasama dengan penyelidikan JAKIM pihaknya berjaya membongkar maklumat tentang penyebar atau 'tenaga pengajar' fahaman tersebut di Terengganu.   "Kita turut mengawasi penularan liberal di media sosial," jelasnya.   Susulan itu, Mat Azmi memaklumkan, langkah pendidikan terhadap masyarakat untuk mengatasi masalah penyebaran fahaman liberal di Terengganu secara bersepadu akan dilakukan.   “Dengan Kerjasama JAKIM, Jawatankuasa Fatwa Negeri dan Institut Pengajian Tinggi, kita merancang satu garis panduan sebagai langkah pendidikan masyarakat setempat tentang isu fahaman liberal.   “Pendekatan pendidikan bagi pelajar-pelajar turut dirancang sebagai latihan menghadapi masyarakat. Buat masa sekarang modul tersebut sedang dalam proses kertas konsep dan akan dilaksanakan di sekolah-sekolah negeri," tambah beliau.  
07 Sep 20
1075
Amzad Pelawa Badan Korporat Bantu Sukarelawan PTCM
Amzad Pelawa Badan Korporat Bantu Sukarelawan PTCM
KUALA TERENGGANU: Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim mempelawa badan-badan korporat membantu sukarelawan Pasukan Tindakan Cemas Malaysia (PTCM) mewujudkan sebuah pejabat pengurusan. Jelasnya, PTCM Cawangan Terengganu yang merupakan antara cawangan paling aktif di seluruh negara itu kini memiliki 200 orang anggota yang menjalankan kerja-kerja sukarelawan. “Saya ingin mengambil kesempatan menjelaskan bahawa ini kerja sukarela yang tidak ramai orang boleh buat. Jadi, saya amat berharap badan-badan korporat di negeri ini dapat sama membantu melengkapkan usaha mereka dari sudut dan keperluan lain.  “Seramai 200 orang ahli (anggota) sukarelawan PTCM ini benar-benar buat kerja kerana Allah SWT. Mereka ini banyak memberi imej yang baik sebenarnya kepada pengunjung di Batu Burok, Kuala Terengganu ini,” ujarnya. Beliau berkata demikian kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas meninjau lokasi baharu bagi menempatkan sebuah bangunan pejabat pengurusan PTCM, di Pantai Batu Burok, semalam. Hadir sama, Ketua Turus PTCM negeri, Mohd Rezal Abu Bakar dan Naib Ketua, Wan Hanafiah Wan Husin. Tambahnya, pasukan itu mempunyai banyak aset seperti pasukan kuda, motor pantai ATV, kereta peronda pantai untuk pelaksanaan tugas dan kini mereka juga diberi hak menguruskan dua buah Menara Anjung Peninjau yang rosak dan tidak terurus. Menurut Amzad, beliau turut memperuntukkan sejumlah sumbangan peribadinya untuk bagi melancarkan hasrat PTCM Terengganu memulakan pembinaan. “Saya diminta untuk membantu sama PTCM bagi meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan. Jadi, saya guna peruntukan peribadi kerana bajet di bawah Ahli Parlimen (Kuala Terengganu) telah kita habiskan.  “Saya beri sumbangan peribadi ini untuk membolehkan bangunan pejabat PTCM dapat dibina di sini, sebagai pejabat operasinya,” katanya yang memaklumkan, anggarannya antara RM20,000 hingga RM30,000 bagi bangunan pejabat asas yang perlu disiapkan bulan Oktober depan. Justeru, beliau memohon badan-badan korporat tampil membantu mencukupkan keperluan itu.    
07 Sep 20
1072