Artikel "Semasa" Terkini
Hadiah Gambar Jadi Kenangan Abadi
MARANG, 28 September - "Ini bukan sekadar hadiah, tetapi merupakan tanda kenangan yang akan saya abadikan dan tidak akan saya lupakan sampai bila-bila.
"Terima kasih Menteri Besar Terengganu di atas hadiah yang sangat bermakna ini dan kunjungan yang dilakukan tempoh hari," ucap Mazlan @ Alias Salleh, 72, yang merupakan bekas Imam di Masjid Rhu Muda.
Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan Pegawai Khas Menteri Besar Terengganu, Sabri Zakaria di rumahnya untuk menyampaikan hadiah gambar berserta bingkai yang ditempah khas.
Sementara itu, Sabri berkata, gambar ini dipilih oleh Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai tanda kenang-kenangan yang dirakamkan ketika menziarahi bekas imam yang uzur itu di rumahnya beberapa bulan lalu.
"Gambar ini menggambarkan seribu makna buat dirinya dan beliau sendiri telah memilih gambar ini dengan menandatangani untuk diabadikan.
"Sebaik sahaja program ziarah Al-Mala' yang diadakan bagi menziarahi orang lama yang bertugas sebagai imam dan guru mengaji di sekitar Kampung Rhu Muda, salah satu gambar yang diambil ini telah menarik minatnya untuk dijadikan sebagai hadiah serta penghargaan kepada bekas imam ini," jelasnya.
Mazlan @ Alias Salleh telah berkhidmat sebagai Imam dan bilal di Masjid Rhu Muda selama hampir lebih 20 tahun dan merupakan orang lama di dalam Cawangan Pas Seberang Marang.
Terdahulu, Menteri Besar Terengganu telah menziarahinya yang kini uzur serta sakit tua di rumahnya bersama-sama isteri, To' Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab Rahman.
28 Sep 20
841
Kursus Pra Perkahwinan Perdana Manfaatkan Belia Dan Beliawanis
HULU TERENGGANU, 27 September - Seramai 131 peserta menghadiri Kursus Pra Perkahwinan Perdana peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir, semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manir, Ustaz Hilmi Harun berkata, program yang diadakan selama dua hari mampu memberi pendedahan terbaik kepada peserta sebelum melangkah ke alam perkahwinan.
Katanya lagi, peserta hanya perlu membayar yuran penyertaan berjumlah RM50, manakala lagi RM30 ditanggung penganjur yang mendapat kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Belia dan Beliawanis DUN bagi menjayakannya.
"Saya berpuas hati dengan sambutan yang diterima pada kursus kali ini, golongan belia di daerah ini ternyata bijak mengambil peluang disediakan.
"Tujuan utama juga ialah untuk memberi kemudahan dan meringankan beban golongan muda yang belum berkahwin mendapatkan sijil perkahwinan dengan hanya mengeluarkan sebahagian bayaran.
“Semoga dengan penganjuran ini mampu membimbing peserta bagi menempuh hidup cabaran berumah tangga dengan berpandukan ilmu dan panduan yang dicurahkan sepanjang kursus ini,"katanya pada Majlis Perasmian Penutup kursus tersebut di Dewan Tuan Guru Harun Taib (KUDQI) Kubang Lembek.
Tambah beliau lagi, golongan muda yang ingin mendirikan rumah tangga juga perlu mencari pengetahuan tambahan di majlis-majlis ilmu agama bagi memastikan mahligai dibina diberi keberkatan Allah SWT. dan mendapat keluarga ‘sakinah’, ‘mawaddah’, dan ‘rahmah’.
“Pihak kami akan merancang pelbagai penganjuran program bermanfaat seperti ini pada setiap tahun agar lebih banyak ilmu mampu dicapai oleh masyarakat kawasan ini,” ujarnya.
27 Sep 20
748
Peruntukan RM1.1 Juta Untuk Pemantapan Pertubuhan Belia Negeri
KUALA TERENGGANU, 27 SEPTEMBER – Peruntukan sebanyak RM1.1 juta disalurkan kepada pertubuhan belia di negeri ini bagi merancakkan perkembangan golongan itu sebagai pelapis di masa depan.
Yang DiPertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Dato' Yahaya Ali berkata, usaha yang digerakkan Pejabat Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Jabatan Belia Dan Sukan Negeri Terengganu serta Majlis Belia Negeri Terengganu (MBNT) mampu membina anak muda berkualiti dengan lebih mampan.
"Saya berharap, melalui bantuan ini, pertubuhan-pertubuhan belia mampu merencana aktiviti-aktiviti sihat kepada golongan belia samada di peringkat kampung, daerah atau negeri.
"Semoga semangat dan mesej penting dalam sambutan hari belia negara pada tahun ini sentiasa dihayati dan diterjemahkan dalam setiap usaha kita selaras dengan tema ‘Dekad Ini Dekad Anda'," ujarnya yamg mewakili Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Beliau berkata demikian semasa ucapan perasmian Majlis Sambutan Hari Belia Negara Peringkat Negeri Terengganu Tahun 2020 di Dewan Duyong Convention Centre, Duyong Marina & Resort di sini, malam semalam.
Turut Hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO, Wan Sukairi Wan Abdullah, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan Dan NGO, Hishamuddin Abdul Karim, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu, Mohd Izwandy Ismail dan Pengerusi Majlis Belia Negeri Terengganu, Amirulllah Othman.
Sementara itu, Wan Sukairi memaklumkan, bantuan tersebut adalah kesinambungan daripada tahun lepas dan ia bergantung kepada peringkat persatuan mengikut status.
Dalam perkembangan lain, Wan Sukairi berkata kerajaan sedang merangka Pelan Pembangunan Generasi Muda Terengganu Sejahtera 10 Tahun (2020-2030).
"Pelan Pembangunan Generasi Al-Fateh Terengganu pula melibatkan penerapan modul seawal 11 tahun untuk membina asas kecemerlangan belia," jelasnya.
27 Sep 20
1031
TDM Berhad Berbasikal Rentasi Lokasi Bersejarah
KUALA TERENGGANU, 27 September – TDM Berhad meneruskan aktiviti berbasikal dengan menjelajah pelbagai tempat bersejarah dalam Program Gateh Jejak Sejarah siri kedua di Kuala Terengganu.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TDM Berhad, Zainal Abidin Shariff berkata, program itu merupakan kesinambungan daripada siri pertama di Kuala Berang dengan menggunakan format berbasikal sambil menjejaki lokasi dan bangunan yang mempunyai nilai tersendiri.
"Selain menumpukan kepada perniagaan teras di bahagian perladangan dan penjagaan kesihatan, TDM turut menitikberatkan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) berbentuk ilmiah dengan memberi fokus kepada tiga sudut iaitu sejarah, budaya dan bahasa dalam mengolah dan mempelbagaikan aktiviti untuk program CSR TDM.
“Program ini turut diadakan secara rombongan berbasikal kerana ia lebih praktikal untuk menjejaki kawasan bersejarah sepanjang laluan serta menggalakkan nilai riadah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita sebelum pelepasan Program Gateh Jejak Sejarah siri kedua sempena bulan Kemerdekaan di Taman Tamadun Islam (TTI), pagi semalam.
Turut hadir, Ahli Lembaga Pengarah TDM Berhad, Mohd Kamaruzaman A Wahab.
Acara itu bermula pada pukul 8.30 pagi di TTI melibatkan jarak 25 kilometer, melalui Masjid Tokku Paloh, Masjid Tokku Chabang Tiga, Masjid Hiliran, Masjid Abidin, Bukit Puteri, Bukit Keledang, Rumah Tele, Rumah Tengku Ngah Aisyah dan Rumah Berdinding.
Menurut Zainal Abidin, penyertaan dalam siri pertama mendapat sambutan yang tinggi seramai 100 orang staf TDM Berhad.
"Tetapi pada siri kedua hanya 50 orang yang terlibat di mana pergerakan adalah mengikut pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP).
“Untuk siri seterusnya, lokasi pilihan seperti Dungun, Setiu dan Kemaman akan dikaji untuk kesesuaian supaya tempat-tempat bersejarah yang kurang diketahui umum dapat dikunjungi dan dipelajari," tambah beliau.
26 Sep 20
586
Terengganu Mara Ke Final
KUALA LUMPUR, 24 September - Pasukan Terengganu melangkah ke perlawanan akhir Kejohanan Hoki Piala Tun Abdul Razak selepas menewaskan Pahang 4-3 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil sebentar tadi.
Masih segar dengan kemenangan ke atas Sabah tempoh hari, Terengganu bermula garang dengan melancarkan serangan pantas.
Walau bagaimanapun Terengganu dikejutkan dengan jaringan awal Pahang menerusi Muhammad Noor Firdaus Rosdi pada minit ke-3 selepas bola pukulan percuma gagal dikeluarkan penjaga gol.
Tersentak dengan jaringan itu, Terengganu menambah variasi serangan melalui kiri dan kanan padang.
Foto ihsan - Hokita.
Hasilnya, dua gol berselang satu minit diledak ketua pasukan Terengganu, Fitri Saari masing-masing di minit ke-5 dan 6.
Perlawanan terus rancak berlangsung apabila kedua-dua pasukan saling bertukar-tukar serangan sehinggalah pada minit ke-20 Terengganu memperoleh pukulan sudut penalti.
Peluang tersebut tidak disia-siakan Faizal Saari apabila dia bijak meletakkan bola ke penjuru kanan gol Pahang untuk kedudukan 3-1, keputusan itu kekal hingga tamat separuh masa pertama.
Bersambung babak kedua, Terengganu terus menguasai perlawanan namun jentera hadapan gagal memanfaatkan peluang terhidang.
Pahang yang menerapkan corak serangan balas turut mencemaskan penjaga gol Terengganu dengan beberapa pukulan merbahaya.
Hasilnya pertahanan Terengganu melakukan pada minit ke-57 sekali gus memberikan pukulan sudut penalti kepada Pahang.
Foto ihsan - Hokita.
Muhammad Idris Samad menggunakan kesempatan itu dengan baik apabila menjaringkan gol kedua Pahang sekaligus merapatkan kedudukan 3-2.
Namun, Terengganu memberi tindak balas segera, dua minit kemudian serangan balas mereka sekali lagi menerusi Faizal Saari memerangkap penjaga gol Pahang.
Pahang cuba bangkit, namun masa tidak mencukupi dan hanya sekadar berjaya menambah satu lagi gol seminit sebelum perlawanan tamat
Gol pukulan sudut penalti menerusi Muhammad Idris Samad melengkapkan keputusan 4-3 memihak Terengganu dan kekal hingga wisel penamat.
24 Sep 20
4513
Rakyat Terengganu Diseru Isi PRT20
KUALA TERENGGANU, 25 September – Semua warga Terengganu diseru untuk mengisi dan melengkapkan data Profil Rakyat Terengganu (PRT20) bagi mengelakkan sebarang keciciran dalam pelbagai sektor di masa depan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, PRT20 telah diwujudkan pihaknya bagi mengumpul data penduduk supaya pentadbiran kerajaan dan kebajikan masyarakat dapat diperkasa.
Katanya, PRT20 adalah rujukan kerajaan dan ‘platform’ untuk menyusun strategi yang berkait sosioekonomi, pendidikan, perkhidmatan kesihatan, aktiviti-aktiviti pelancongan serta penyelidikan dan pembangunan (R&D).
“Sistem ini turut berperanan untuk memastikan rakyat tidak tercicir dalam menerima bantuan disebabkan tiada data penduduk.
“Bagi fasa pertama, sasaran 30 peratus jumlah penduduk di seluruh Terengganu melibatkan lebih 1,000 Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dalam tempoh September hingga Disember 2020, pengumpulan data kaedah manual secara rumah ke rumah memerlukan penduduk mengisi borang iaitu jenis pertama PRT20A (kad maklumat keluarga) dan PRT20B (borang individu).
“Fasa kedua pula dijangka pada Januari hingga 2021 sasarkan 50 peratus jumlah penduduk, dan Fasa ketiga pada tahun 2022 dalam 20 peratus.
“Proses pengumpulan data dijalankan oleh MPKK seluruh Terengganu, kemudian 16 orang petugas di pejabat pusat khidmat masyarakat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di 32 DUN terus ‘key in’ dalam sistem PRT20," katanya ketika bersiaran di Studio TVDI semalam.
Tambah beliau, PRT20 menjadikan Terengganu sebagai negeri yang pertama mempunyai sistem dan data profil secara berpusat di dalam satu pangkalan data.
Katanya, maklumat itu hanya boleh diguna dan diakses oleh kerajaan negeri untuk perangkaan strategi dan bantuan secara lebih terperinci tanpa penglibatan pihak ketiga.
“Buat masa sekarang, pihak kerajaan masih melihat keperluan bagi 300 hingga 400 ribu rakyat Terengganu di luar atau perantau dan kaedah pengisian borang secara online melalui aplikasi seperti Telegram.
“Saya berharap agar semua rakyat negeri Terengganu memberi kerjasama dengan mengisi borang yang disediakan pihak MPKK demi membantu kerajaan negeri dalam menguruskan program berbentuk kebajikan dan bantuan kepada rakyat Terengganu," tambah beliau.
24 Sep 20
36389
Skuad Amar 'Buru' Remaja Lepak
KUALA TERENGGANU, 24 September - Pertubuhan Amar Maaruf Nahi Mungkar (Skuad Amar) Marang secara berterusan meningkatkan rondaan di daerah ini bagi mendidik dan menasihati remaja lepak di tengah malam.
Ketua Skuad Amar, Nasaruddin Samsudeng berkata, dalam tinjauan di beberapa lokasi gelap yang dilakukan, pihaknya mendapati ada remaja yang meluangkan masa dengan melepak walaupun masih perlu ke sekolah pada keesokan hari.
Katanya, dia berharap, ibu bapa lebih tegas dalam memantau anak-anak, lebih-lebih lagi berkaitan keberadaan mereka apabila melebihi jam 12 malam kerana ada diantara mereka hanya menghabiskan waktu tanpa perkara faedah.
"Pada mulanya, tinjuan ini adalah bagi menyiasat lokasi panas yang dikatakan menjadi tempat meneguk minuman keras serta tempat tumpuan bagi pasangan melakukan aktiviti tidak sopan
“Oleh kerana tempat tersebut gelap dan tiada lampu, ramai diantara mereka mengambil kesempatan bagi melakukan perkara-perkara tidak berfaedah dan sebagainya,”katanya.
Menurutnya, larangan dan didikan secara berterusan sangat wajar dilakukan bagi menjaga kesejahteraan negeri kita terutamanya berkaitan masalah kerosakan akhlak dan moral generasi muda.
“Tinjauan yang bermula pada jam 11 malam tersebut dilakukan dengan kerjasama, Sukarelawan Amar Kuala Nerus dan Kuala Terengganu,”katanya..
Turut hadir adalah Ketua Skuad Amar Negeri, Yusuf Abdul Hadi.
24 Sep 20
392
Masyarakat Tionghua Dungun Dapat Kuih Bulan Percuma
DUNGUN, 23 September - Masyarakat Tionghua di sekitar bandar Dungun menerima kuih bulan secara percuma daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Wan Hapandi Wan Nik.
Wan Hapandi Wan Nik berkata, edaran kepada masyarakat Cina itu merupakan simbolik bagi meraikan perpaduan antara kaum yang wujud di Terengganu
Katanya, ia juga bagi menyambut perayaan kuih bulan yang berlangsung pada bulan ini.
“Kita tidak jumud. Kita meraikan kepelbagaian budaya termasuk masyarakat Cina yang memang rapat dengan orang Melayu sejak dahulu lagi.
"Rata rata masyarakat menerima dan menyambut baik pemberian ini dan turut memuji serta mengucapkan terima kasih,” katanya selepas mengagihkan kuih tersebut di sini hari ini.
Menurut beliau, program berkenaan adalah aktiviti tahunan pihaknya yang turut mendapat kerjasama sepenuhnya daripada Lajnah Perpaduan Nasional PAS Kawasan Dungun.
"Kita akan meneruskan program ini pada masa akan datang kerana ia terbukti dapat mengeratkan hubungan kami dengan masyarakat Tionghua," tambah beliau.
Sementara itu, Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Kawasan Dungun berkata, perayaan Kuih Bulan itu disambut pada hari ke-15 pada bulan kelapan mengikut kalendar Cina iaitu pada akhir bulan Ogos hingga akhir bulan September.
“Kami sentiasa mendekati masyarakat pelbagai kaum tanpa mengira bangsa dan agama untuk terus memberi sumbangan kebajikan kepada mereka,” ujarnya.
23 Sep 20
650
Jambatan Alternatif Taman Indah Sari Ke Masjid, Sekolah Siap Dibaiki
DUNGUN, 24 September - Jambatan altenatif yang menghubungkan Taman Indah Sari ke Masjid Batu 7 dan Sekolah Rendah Kebangsaan Batu 7 dapat digunakan semula setelah operasi membaik pulih siap sepenuhnya.
Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Batu 7, Suhaimi Mohammad berkata, laluan yang sering digunakan penduduk taman berkenaan kini selamat digunakkan dan orang ramai tidak perlu risau akan keselamatannya.
"Biasanya penduduk sekitar akan menggunakan jalan itu untuk menuju ke masjid dan sekolah.
"Ia sesuai kepada perjalan kaki dan yang menunggang motosikal," katanya.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi pihak media Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) semalam.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka, Satiful Bahri Mamat menjelaskan, peruntukan bagi membuat jalan terus dari taman itu ke masjid dan sekolah telah diluluskan di peringkat atasan.
"Kita sedang dalam proses untuk menunggu kerja-kerja pelaksanaan dimulakan," jelasnya.
Beliau juga turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada tenaga-tenaga masyarakat yang bergotong-royong membaiki jambatan berkenaan sebelum jalan utama siap dibina.
"Semoga mereka yang menyumbangkan tenaganya mendapat balasan kebaikan setiap insan yang melaluinya," ujarnya.
23 Sep 20
330
Terengganu Lulus Pelantikan 104 Imam, 121 Bilal Baharu
KUALA TERENGGANU, 23 September - Kerajaan negeri meluluskan pelantikan 104 imam ketiga dan 121 bilal baharu bagi memenuhi keperluan di negeri itu.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, kelulusan itu membabitkan peruntukan kewangan sebanyak RM2,139,600 untuk kesemua imam dan bilal.
"Pelantikan dibuat di bawah Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) bersesuaian dengan peranan dan keperluan dalam institusi agama di negeri ini.
"Imam dan bilal yang baharu dilantik ini pastinya akan dapat membantu imam dan bilal sedia ada, secara tidak langsung tugasan sedia ada dapat dikurangkan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman selepas Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri Terengganu hari ini.
Mengulas lanjut, beliau juga berharap agar pelantikan baharu itu akan merancakkan lagi perkembangan dakwah di Terengganu.
"Mereka boleh merancang bersama, idea-idea baharu dan segar untuk aktiviti agama akan bertambah.
"Pada akhirnya, semua ini akan memanfaatkan rakyat Terengganu selari dengan hasrat kerajaan negeri," tambah beliau.
23 Sep 20
2889