Artikel "Semasa" Terkini
25 Bom Asap Ditemukan Di Felda Kertih 3
DUNGUN, 18 Februari – Situasi cemas dilalui seorang pemandu lori apabila menemui satu kotak berisi 25 bom asap yang masih aktif di tempat pembuangan sampah Felda Kerteh 3, Ketengah Jaya, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Baharudin Abdullah berkata, objek menyerupai bom tangan tersebut dijumpai oleh pemandu tersebut kira-kira jam 4 petang pada 15 Februari.
"Susulan itu pemandu lori berkenaan telah memanggil beberapa rakan sebagai saksi ke lokasi pembuangan sampah itu kira-kira jam 10 malam, hari sama.
"Sepasukan anggota daripada bahagian persenjataan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun dikerahkan ke lokasi untuk tindakan, beserta arahan kepada anggota Balai Polis Ketengah agar memasang rintangan kuning di lokasi.
“Hasil pemeriksaan menemukan 24 bom asap bertulis DK manakala sebutir lagi bertulis 518 Riot CS dalam sebuah kotak berwarna coklat yang ditutupi dua beg galas kanak-kanak,” katanya dalam satu sidang media.
Tambahnya, semakan oleh pihaknya mendapati bom tersebut tidak mempunyai sebarang nombor siri dan dipercayai buatan Korea Selatan.
“Bom seumpama itu lazimnya digunakan ketika latihan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di samping Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan merupakan bahan terlarang yang tidak boleh disimpan mana-mana individu.
“Kesemua barangan tersebut akan dilupuskan Unit Persenjataan (AMRA) IPD Dungun di Lapang Sasar Lembah Bidong dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 8, Akta Bahan Letupan 1957,” jelasnya.
18 Feb 21
678
Pembantu Kedai Terharu Rumah Usang Dibaik Pulih
SETIU, 17 Februari - Perasaan ceria jelas terpancar pada wajah Mazuan Ahmad, 46, selepas rumahya dibaik pulih menerusi Projek Perumahan Terengganuku Sejahtera (PPTS) kelmarin.
Rumah Mazuan adalah antara ratusan kediaman yang dipilih untuk dibaik pulih di sekitar Batu Rakit di sini.
Ayah kepada dua anak itu berkata, kediaman yang mempunyai dapur bersekali dengan ruang tamu menjadi tempat berteduh untuk mereka sekeluarga lebih enam dekad.
"Ini peninggalan keluarga yang sudah berusia lebih 60 tahun.
"Apabila sudah berusia sudah pasti banyak masalah akan timbul seperti kebocoran dan keretakan di sana sini.
"Meskipun tidak sempurna seperti rumah keluarga lain tetapi inilah syurga untuk keluarga saya.
"Kami hanya mempunyai rumah ini untuk berteduh dan hari ini kami sudah dapat baik pulih rumah dengan segera," katanya kepada pemberita di rumahnya di Kampung Lingai semalam.
Jelasnya, kesusahan keluarga mereka mendapat perhatian Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Dewan Undangan Negeri (Batu Rakit) yang mengunjungi keluarganya baru-baru ini.
Sementara itu, Pegawai Penyelaras DUN Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail berkata bantuan tersebut diberikan kepada keluarga terbanit kerana bahagian lantai sudah runtuh dan bilik air rumahnya sangat usang.
"Mereka layak dapat bantuan PPTS bagi DUN Batu Rakit.
"Mazuan mempunyai dua orang anak dan anak sulungnya baru berusia 5 tahun, isterinya, Nor Azila Mohamad, 25, tidak bekerja kerana masih mempunyai anak kecil yang masih umur 1 tahun 7 bulan.
“Alhamdulillah, bilik air dan ruang tamu luar keluarga Mazuan sudah dirobohkan dan dibina semula di tapak yang sama," jelasnya.
Tambah Mohd Shafizi, inisiatif itu merupakan bantuan awal membaiki rumah penduduk yang mengalami kerosakan supaya mereka boleh terus tinggal di kediaman mereka.
“Ada puluhan buah rumah lagi yang perlu dibaiki segera. Ada yang rosak dinding, lantai dan atap serta beberapa bahagian lain,” ujarnya.
17 Feb 21
533
Kerajaan Optimis Tiada Hotel 'Gulung Tikar'
KUALA TERENGGANU, 17 Februari – Kerajaan Terengganu optimis tiada hotel di negeri ini gulung tikar walaupun sedang terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) awal tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman memaklumkan, berbanding dengan negeri sebelah barat bisnes penginapan itu telah banyak ditutup.
“Di Terengganu hotel bajet hingga bertaraf tiga dan empat bintang, tiada yang tutup operasi atau dijual, ia adalah suatu tanda baik dalam menghadapi kemelesetan akibat pandemik.
“Ada juga pengusaha hotel kini mengambil inisiatif mengadakan jualan makanan pandu lalu, penghantaran makanan, hidangan bajet seperti diceburi oleh Duyong Marina & Resort, Grand Continental, Taman Tamadun Islam dan lain-lain lagi,” katanya ketika bersiaran langsung di TVDI.
Menjawab persoalan tentang langkah menjual makanan pandu lalu dan berkonsep nasi bajet bakal merugikan peniaga kecil, Ariffin berkata, ia tidak berbangkit.
"Ini kerana ia tidak menjurus kepada keuntungan tetapi memberi semangat kepada sektor perhotelan walaupun tidak mampu liputi kos tahunan.
“Contohnya seperti Primula Beach Hotel melalui Primula Barakah dengan menerima bantuan dana daripada sesiapa sahaja untuk pengagihan makanan bagi mereka yang memerlukan," katanya lagi.
Tambah Ariffin, kerajaan negeri turut memainkan peranan melalui insentif khas buat pengusaha hotel melalui Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Negeri Terengganu yang menerima pengecualian cukai taksiran bagi tahun 2020 yang terjejas akibat PKP.
“Buat masa sekarang, kita sedang dalam proses kajian bagi menyelesaikan beberapa isu dalam melancarkan pelaksanaan kerana ia tidak melibatkan keseluruhan sektor perhotelan dan penginapan dalam negeri.
“Setiap hotel juga berbeza dalam kiraan bayaran cukainya, ada yang RM10,000 dan ada sehingga RM1,000,000,” jelasnya.
17 Feb 21
626
Walaupun PKP, Sambutan Tetap Meriah
Oleh: Qatadah Zakaria/Shahida Mohd
KUALA NERUS, 17 Februari - Meskipun Tahun Baru Cina dilihat suram ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Dato Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berharap rakyat Malaysia tetap menyambut meriah setiap perayaan yang datang.
"Saya ucapkan Selamat Tahun Baru Cina kepada semua masyarakat Tionghua dan semoga perayaan kali ini memberi kebaikan dan kejayaan walaupun terpaksa disambut dalam keadaan sederhana.
"Ekoran prosedur operasi standard (SOP) yang ketat diperkenalkan sepanjang PKP, tiada sebarang majlis jamuan diadakan sempena Tahun Baru Cina. Namun, mudah-mudahan perayaan tetap dapat disambut meriah,' katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media sewaktu melawat ke sekitar 30 buah rumah warga Tionghua sempena sambutan perayaan itu di Taman Perumahan Wakaf Tembesu, baru-baru ini.
Turut hadir, Setiausaha Politiknya, Mohd Kamal Nazmi Kamaruddin serta Timbalan Ketua Sekretariat Parlimen Kuala Nerus, Mohd Harme Aman Razali.
Dalam kunjungan tersebut, Ahli Parlimen Kuala Nerus itu turut mengagihkan cenderahati berupa hamper dan makanan kepada penduduk terlibat.
"Apa yang penting, dalam keadaan pandemik ini kita perlu sama-sama menjaga SOP dan sentiasa mengamalkan norma baharu bagi mengelakkan penularan Covid-19 ini," katanya.
Sementara itu, menurut seorang penduduk, Khairi Khom berkata, program seperti ini wajar diadakan bagi mendekatkan komuniti Cina dengan para pimpinan negeri.
"Program seperti ini sangat baik dan saya mewakili penduduk kaum Cina di sini mengucapkan ribuan terima kasih atas keprihatinan Dr Khairuddin terhadap rakyatnya tanpa mengira bangsa dan agama," katanya ketika ditemubual.
Dalam pada itu, seramai 514 keluarga kaum Cina turut diraikan sempena Tahun Baru Cina di seluruh Kuala Nerus melibatkan pemimpin kawasan DUN masing-masing.
17 Feb 21
113
Primula Barakah Bantu Golongan Terkesan COVID-19
KUALA TERENGGANU, 16 Februari - Di saat negara berdepan dengan wabak koronavirus (Covid-19) ketika ini, Primula Beach Hotel tidak ketinggalan dalam menghulurkan bantuan melalui Primula Barakah kepada mereka yang terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Pengurus Besar Primula Beach Hotel, Suaibah Harun, berkata saat sekarang bukan masanya untuk mengira keuntungan, mengambil kesempatan daripada suasana gawat untuk meraih pendapatan tetapi ia perlu ditumpukan bagi membantu golongan yang berada dalam kesusahan sejak penularan wabak berbahaya COVID-19
Katanya, cetusan idea Primula Barakah ini bermula sejak bulan Mac 2020 ketika pelaksanaan PKP pertama oleh kerajaan pusat.
"Ramai yang ingin menderma tetapi tidak tahu bagaimana cara untuk sampai kepada mereka yang berhak jadi kami menawarkan diri untuk membantu.
"Primula Barakah ini beroperasi dengan menerima sejumlah dana dalam bentuk wang ringgit
daripada sesiapa sahaja yang ingin menghulurkan sedekah tanpa had.
"Seterusnya, pihak kami akan menyediakan makanan mengikut sumbangan yang dihulurkan oleh penderma dan mengagihkan makanan tersebut kepada mereka yang berkenaan pada waktu yang tertentu,"katanya kepada pemberita ketika ditemui, baru-baru ini.
Tambah beliau, sasaran utama penerima sumbangan adalah pekerja barisan hadapan, anak-anak yatim, pusat-pusat tahfiz, rumah-rumah orang tua, asnaf dan lain-lain yang terkesan dengan pandemik COVID-19.
Menurut Suaibah, sehingga hari ini, pihaknya mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada mereka yang prihatin.
"Sejak bermulanya program ini, kami mendapat sambutan yang cukup memuaskan dengan kadar purata RM2,500 sehari untuk disedekahkan oleh penderma-penderma yang prihatin.
"Selain daripada sumbangan kepada golongan yang memerlukan untuk kelangsungan hidup, ia juga memberi peluang kepada mereka yang kurang mampu untuk merasai hidangan yang disediakan oleh hotel bertaraf empat bintang ini," ujarnya.
16 Feb 21
290
Cuaca Panas Dijangka Berterusan Sehingga Mac
KUALA TERENGGANU, 16 Februari - Malaysia kini berada pada fasa akhir Monsun Timur Laut yang dijangka berterusan sehingga pertengahan Mac ini.
Pejabat Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) dalam satu kenyataan memaklumkan, dalam tempoh ini, taburan hujan adalah agak rendah di Semenanjung Malaysia terutamanya di utara Semenanjung.
Menurut kenyataan itu, walau bagaimanapun, MET Malaysia tidak menjangkakan keadaan cuaca panas luar biasa akan berlaku pada tahun ini.
“Taburan hujan yang rendah dalam tempoh yang lama boleh menyebabkan cuaca agak panas, terutamanya pada waktu malam apabila terdapatnya litupan awan.
“Cuaca panas yang dialami pada ketika ini adalah satu fenomena biasa sepanjang tempoh Februari hingga April setiap tahun,” ujarnya kenyataan tersebut.
Dalam kenyataan sama, MET Malaysia memaklumkan sehingga kini, suhu tertinggi bagi bulan Februari adalah lebih rendah berbanding tahun lalu.
“Suhu tertinggi pada Februari 2021 adalah 36.2°C manakala pada tahun 2020 adalah 37.4°C yang dicerap di Stesen Meteorologi Kuala Kangsar, Perak.
"Keadaan cuaca agak panas yang dialami di kebanyakan kawasan negara dalam tempoh ini dijangka beransur reda bermula pertengahan April 2021,” jelasnya.
Katanya, dalam keadaan cuaca panas, semua pihak dinasihatkan supaya mengambil langkah penjimatan dalam penggunaan air.
“Orang ramai juga dinasihatkan untuk mengelakkan aktiviti pembakaran terbuka, mengurangkan aktiviti-aktiviti di luar dan minum air secukupnya.
“MET Malaysia sentiasa memantau keadaan cuaca di seluruh negara. Orang ramai disarankan supaya sentiasa peka dengan perubahan cuaca serta mendapatkan maklumat dan amaran cuaca terkini melalui laman web rasmi, aplikasi myCuaca dan media sosial MET Malaysia,” ujar kenyataan tersebut.
16 Feb 21
238
PdPR : Ibu Bapa Jambatan Antara Guru Dan Pelajar
KUALA TERENGGANU, 16 Februari – Cabaran sektor pendidikan terutamanya dalam Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) perlu dilihat dari sudut positif oleh semua pihak terutamanya ibu bapa agar ilmu dapat disampaikan secara berkesan dengan berkat.
Seorang guru Sekolah Menengah Sains Pasir Puteh, Dr. Salbiah Mohamad Salleh berkata, disebabkan penularan COVID-19, situasi PdPR sedang dialami di seluruh dunia perlu dilihat sebagai suatu peluang.
“Bagi ibu bapa, mereka boleh memantau dan melihat sendiri proses pembelajaran anak-anak mereka yang mungkin jarang diperhatikan sebelum musim pandemik.
“Para pelajar juga berpotensi untuk membina kemahiran aplikasi digital serta belajar menggunakan pelbagai bahan online yang telah dibikin oleh pihak guru dan sekolah.
“Oleh itu, corak pemikiran ibu bapa perlu bersikap terbuka dalam memastikan PdPR berjalan lancar di rumah, jika ada sebarang masalah boleh rujuk kepada guru dan tidak perlu ‘complain’ secara terbuka dalam kumpulan ‘Whatsapp’,” katanya ketika bersiaran langsung di TVDI, baru-baru ini.
Sementara itu, Guru Matematik Viral, Fadli Salleh menyuarakan pendapat sama mengenai PdPR sebagai tanda pendidikan tidak akan berhenti dengan fokus kepada ibu bapa sebagai jambatan kepada ilmu antara pelajar dan pengajar.
“Rintihan dan komen ibu bapa sentiasa diteliti kerana mereka juga terlibat sebagai penyambung antara pelajar dan guru dalam memastikan pembelajaran berjalan lancar.
“Hasilnya, adaptasi dan penambahbaikan sentiasa dibuat oleh para guru terhadap PdPR berbanding dengan awal tahun lepas dimana berlaku sedikit kekalutan.
“Sedikit demi sedikit kerjasama antara dua pihak dapat mengatasi kekangan yang ada, contohnya kebanyakan anak murid telah memiliki gajet, bantuan daripada kerajaan negeri juga mendorong kepada penambahbaikan PdPR,” katanya.
Tambahnya, pendapat ibu bapa masa kini juga semakin positif dan ada di kalangan pelajar sudah mahir untuk menganjurkan ‘Google Meet’ dengan sendiri.
Menjawab tentang dakwaan kontroversi ‘cikgu makan gaji buta’, Fadli menjawab, sangkaan tersebut tidak betul dan perlu difahami situasi guru juga, ramai yang pertama kali atau belum bersedia untuk menghadapi pembelajaran online.
“Kebanyakan guru yang bagus dan ‘otai’ dalam pengajaran fizikal tetapi mengalami sedikit kejutan budaya dengan kaedah norma baharu, namun begitu, hikmah sekarangnya adalah cikgu-cikgu sekarang sudah mula kuasai teknologi dari masa ke semasa
"Tarikh menghantar kerja sekolah kini sesetengah sudah fleksibel dan guru juga perlu memainkan peranan dalam menilai faktor geografi dan kedudukan sosial pelajar dalam membentuk bahan pelajaran sama ada guna Live atau video,” tambahnya.
16 Feb 21
1093
Abdul Hadi Dalam Keadaan Stabil
KUALA TERENGGANU, 16 Februari - Ahli Parlimen Marang, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang kini berada dalam keadaan stabil dan sedang berehat selepas dilapor mengalami sesak nafas malam tadi.
Perkara tersebut disahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi yang juga anaknya melalui ciapan di laman facebook.
“Saya baru bercakap dengan ayahanda Tuan Guru sebentar tadi. Keadaan beliau stabil dan perlukan rehat. Mungkin kepenatan kerana jadual yang padat.
“Mohon doa daripada semua semoga beliau terus sihat untuk berkhidmat kepada ummah,” katanya.
Terdahulu, Presiden PAS itu dimasukkan ke Hospital Putrajaya malam tadi selepas dilapor mengalami sesak nafas.
Beliau kemudiannya dipindahkan ke Institut Jantung Negara (IJN) untuk rawatan lanjut.
16 Feb 21
922
Seru Warga Terengganu Rai Hari Radio
KUALA TERENGGANU, 13 Februari- Selaras tema Hari Radio Sedunia yang disambut hari ini, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Kebudayaan dan Teknologi Digital Negeri, ustaz Ariffin Deraman menyeru warga Terengganu mempromosi kepelbagaian serta membantu negara yang lebih aman dan inklusif.
Katanya, evolusi inovasi kesaling hubunga radio dilihat kekal relevan walaupun percambahan pelbagai medium penyiaran.
"Radio RTM lebih – lebih lagi sentiasa dekat dihati menjadi wardah penyampai maklumat yang sahih .
"Radio RTM bergerak mengikut dimensi, contoh jelas boleh diikuti melalui Facebook radio penstriman langsung atau (live streaming),RTM MYKLIK, ini juga menonjolkan radio itu dari semasa ke semasa semakin mempunyai kelainan daripada mula-mula diperkenalkan," katanya.
Katanya, walaupun kini dunia penyiaran berganjak ke era digital, katanya radio masih kekal menjadi medium mudah diterima ramai, selain paling pantas dalam menyebarkan maklumat berbanding medium lain.
"Sejarah, ianya ditetapkan sebagai World Radio Day pada 13 Februari ini kerana bertepatan dengan berdirinya Radio PBB (United Nation Radio) pada tahun 1946. Idea mengadakan sambutan ini datangnya dari Spanish Academy of Radio yang merupakan delegasi tetap. UNESCO yang beranggapan bahawa radio sebagai salah satu instrumen yang penting dalam perubahan sosial dunia dan berharap dengan adanya peringatan Hari Radio Sedunia ini akan dapat memberi peningkatan titik berat masyarakat mengenai informasi di sekeliling mereka,"katanya.
13 Feb 21
287
Tukang Gunting Dibantu Pihak Berkemampuan
MARANG, 12 Februari - Nasib tukang gunting di daerah ini yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dibantu pihak berkemampuan.
Penasihat Unit Belia Dun Rhu Rendang, Ziyad Zakaria berkata, perkhidmatan kedai gunting rambut antara sektor yang terjejas teruk kerana dilarang beroperasi sepanjang tempoh kuatkuasa
"Oleh itu, kami sebagai belia mengambil berat kesukaran yang dialami mereka dalam mencari rezeki apatah lagi ramai daripada tukang gunting adalah golongan belia dan pemuda," katanya.
Menurutnya lagi, dengan kerjasama daripada Syarikat Norlan United, usaha ini mampu meringankan sedikit beban mereka di samping menyantuni keadaan mereka.
"Ada juga penerima yang terdiri tukan gunting perempuan, dan mereka juga tidak ketinggalan menerima bantuan daripada kami yang berbentuk sumbangan kewangan dan juga keperluan asas" katanya.
Salah seorang penerima daripada Tukang Gunting perempuan
Beliau yang juga Ketua Pemuda Pas Dun Rhu Rendang berkata ketika, menyerahkan sumbangan tersebut ke kedai tukang gunting di seluruh DUN Rhu Rendang.
Turut hadir adalah Pengurus Kawasan, Konsesi Selenggara Jalan Negeri Terengganu (Norlan United), Azmi Ahmad, petugas Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) Dun Rhu Rendang dan Penyelaras Pemuda Pas Dun Rhu Rendang.
Sementara itu, Pegawai Khas Pusat Khidmat Masyarakat Dun Rhu Rendang berkata, bantuan ini adalah usaha di antara belia dan syarikat Norlan United, dan PKM berfungsi sebagai pemudah cara dan orang tengah bagi membantu salah satu golongan terjejas ini.
"PKM juga sangat mengalu-alukan jika agensi atau badan bukan kerajaan (NGO) untuk turut menyumbang sama ada dari segi tanggungjawab sosial korperat (CSR) atau sebagainya,
"Ini juga selaras dengan usaha kerajaan negeri Terengganu yang berusaha membantu rakyat terjejas melalui bantuan BERKAT 2021," tambahnya lagi.
Kepada yang belum mendapat bantuan ini atas sebab ketiadaan maklumat atau tercicir, mereka boleh merujuk kepada PKM Dun Rhu Rendang untuk sebarang urusan.
12 Feb 21
184