lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Terengganu Inc Agih 3,000 Bubur Lambuk Percuma
Terengganu Inc Agih 3,000 Bubur Lambuk Percuma
KUALA TERENGGANU, 14 April – Kumpulan Terengganu Inc meneruskan inisiatif tanggungjawab sosial (CSR) di bulan Ramadan dengan mengagihkan 3,000 bekas bubur lambuk di Masjid Negeri, Kuala Terengganu semalam. Presiden dan Pengarah Eksekutifnya, Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun berkata, agihan bubur lambuk menjadi salah satu aktiviti penghubung antara pihaknya bersama penduduk setempat sekaligus menjalinkan ikatan silaturahim secara terus bersama masyarakat. “Terengganu Inc dan anak-anak syarikat Kumpulan meneruskan CSR Ramadhan bagi agihan bubur pada tahun ini dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.  “Kami berharap, usaha ini dapat membantu mereka yang tiada juadah untuk berbuka atau bagi mereka yang tiada kesempatan untuk menyediakan juadah berbuka puasa menikmati keenakan bubur lambuk Terengganu," katanya dalam satu kenyataan, semalam. Turut hadir Yang Dipertua Maidam, Dato’ Hj Osman Muda dan Pengerusi Lembaga Pengurusan Masjid Abidin, YM Dato’ Dr Syed Mohammad Salleh bin Syed Yusof Al Zawawi dan Pengurusan Terengganu Inc. Tambah Burhanuddin, usaha itu diharap mampu mengekalkan tradisi pengagihan bubur lambuk di sekitar kawasan masjid, sekali gus dapat mengekalkan jalinan kerjasama antara kumpulan Terengganu Inc sendiri. Menurut beliau, program pengagihan makanan tradisi bulan Ramadan itu merupakan aktiviti tahunan Terengganu Inc dan anak-anak syarikat kumpulan bersama komuniti masjid dan sekitarnya.  "Agihan bubur lambuk bermula pada jam 2 petang sehingga selesai mulai 13 April sehingga 15 April 2021 bertempat di Masjid Negeri, Kuala Terengganu. Sebanyak 1,000 bekas diperuntukkan untuk agihan pada setiap hari. "Bubur lambuk merupakan makanan tradisi Terengganu yang biasanya disediakan pada bulan Ramadan untuk juadah berbuka puasa. Antara bahan asas yang digunakan termasuk beras, pucuk midin, pucuk paku, ikan, ubi keledek, lada hitam dan rempah ratus," jelasnya lagi.  
13 Apr 21
1552
'Larangan' Berbuka Di Masjid : Rakyat Jangan Keliru
'Larangan' Berbuka Di Masjid : Rakyat Jangan Keliru
KUALA TERENGGANU, 13 April - Orang ramai dinasihatkan agar tidak terkeliru dengan 'larangan' mengadakan majlis jamuan berbuka puasa, moreh serta sahur di masjid dan surau di negeri ini. Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Mat Azmi Arshad menegaskan, perkara yang tidak dibenarkan adalah jamuan berbuka, moreh dan sahur dengan cara hidangan seperti diamalkan sebelum-sebelum ini. Sebaliknya beliau menjelaskan, penyediaan makanan secara bungkusan untuk tiga aktiviti itu boleh dilakukan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP). "Ahli Jawatankuasa masjid dan surau atau orang perseorangan boleh sedia juadah untuk iftar, moreh dan sahur secara bungkus, yang pasti tidak boleh jamuan secara hidang. "Garis panduan pematuhan SOP aktiviti sepanjang bulan Ramadan termasuk majlis berbuka puasa sudah diedarkan kepada jawatankuasa masjid dan surau di seluruh negeri," katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) hari ini. Tambah Mat Azmi, jawatankuasa masjid dan surau diminta menyediakan kurma serta air mineral bagi membolehkan jemaah yang datang awal untuk menunaikan solat magrib berjemaah berbuka puasa.
13 Apr 21
4281
Manfaatkan Peluang Bulan Ramadan - Titah Sultan Mizan
Manfaatkan Peluang Bulan Ramadan - Titah Sultan Mizan
KUALA TERENGGANU, 13 April - Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin menyeru masyarakat Islam agar memperbanyakkan amal dan mengoptimumkan peluang dalam bulan Ramadan walaupun dalam kekangan perintah pergerakan. Baginda bertitah, kesempatan untuk menghayati bulan Ramadan adalah kurniaan besar kepada seluruh umat dengan 1,000 rahmat dan keberkatan. "Ramadan adalah bulan yang penuh dengan sejarah kemenangan bagi perjuangan umat Islam, di dalamnya tercatat sejarah hebat perjuangan Islam bermula dengan kemenangan di medan peperangan Badar sehingga kepada pembukaan Kota Mekah yang dipimpin oleh Nabi Muhammad SAW. “Kemenangan umat Islam terhasil daripada jati diri yang teguh berpegang kuat dengan agama allah dan perpaduan yang sangat kukuh. “Oleh itu, beta menyeru marilah kita sama sama memperkukuhkan perpaduan dan kesatuan umat Islam agar segala cabaran dan dugaan yang kita hadapi akan dapat diatasi dengan jayanya titah baginda dalam perutusan menyambut ketibaan Ramadan,” titah Baginda dalam perutusan menyambut ketibaan Ramadan Al-Mubarak Tahun 1442 Hijrah kelmarin. Sultan Mizan turut menyarankan supaya perpaduan dan kesatuan dibentuk melalui niat yang betul, serta mendidik diri merasai kesusahan saudara yang memerlukan. “Ambil kesempatan bulan ini untuk membina ikatan silaturahim melalui medium solat berjemaah di masjid dan surau, sama ada solat fardhu, solat sunat tarawikh dan lain-lain lagi. “Sebagai tanda keprihatinan terhadap golongan ini, mari kita terjemahkan melalui ibadah berzakat, menerusi Malis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM). “Bayar zakat menerusi amil-amil zakat yang telah dilantik oleh MAIDAM, mudah-mudahan zakat yang kita keluarkan dapat disalurkan sebaik mungkin kepada golongan asnaf yang berhak menerimanya,” titah Baginda.
13 Apr 21
493
Terengganu Benar Aktiviti Qiamullail, Tadarus Di Masjid
Terengganu Benar Aktiviti Qiamullail, Tadarus Di Masjid
KUALA TERENGGANU, 13 April - Terengganu membenarkan aktiviti qiamullail dan tadarus al-Quran diadakan di masjid serta surau sepanjang bulan Ramadan ini. Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Mat Azmi Arshad berkata, ia selaras dengan ketetapan yang telah dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) berkaitan pelaksanaan aktiviti ibadat di masjid dan surau dalam negeri ini. "Kebenaran ini terpakai dan berkuat kuasa pada 12 April 2021 mulai Solat Sunat Tarawih sehingga satu ketetapan baharu yang akan dikeluarkan oleh jabatan ini secara rasmi dari masa ke masa," katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini. Menurut Mat Azmi, kebenaran itu diberikan bagi memastikan institusi masjid dan surau terus diimarahkan sepanjang bulan Ramadan. Namun katanya, ia perlu tertakluk kepada pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat. "Masjid dan surau hendaklah mewujudkan pasukan petugas yang terdiri daripada lelaki dan wanita untuk mengawal jemaah sepanjang keberadaan mereka di masjid dan surau. "Jawatankuasa masjid dan surau hendaklah sentiasa mematuhi SOP Kesihatan dan Keselamatan yang berkuatkuasa sepanjang aktiviti ibadat di bulan Ramadan dilaksanakan," katanya.    
12 Apr 21
889
Food Bank Ringankan Beban Rakyat Setiu
Food Bank Ringankan Beban Rakyat Setiu
Oleh : Faris Ameir Ibrahim SETIU, 12 April - Program Food Bank di Parlimen Setiu memberi banyak manfaat kepada penduduk setempat termasuk  meringankan kos sara hidup golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40). Program bantuan tersebut berbentuk bakul makanan yang menggabungkan keperluan dan makanan asas. Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir berkata, pihaknya mengambil langkah melaksanakan inisiatif itu selepas menyedari kesusahan rakyat terutama di waktu pandemik. Katanya, program itu telah dilancarkan pada awal Mac lalu dan pelbagai cara dibuat untuk mempromosikan bantuan tersebut kepada rakyat Setiu yang memerlukan. "Kita telah meletakkan kain rentang di tempat-tempat yang strategik dan kita juga mengiklankan bantuan ini di facebook. "Bagi yang memerlukan, bolehlah hubungi nombor telefon yang tertera pada kain rentang mengikut kawasan masing-masing yang dibahagikan mengikut Dewan Undangan Negeri (DUN). "Pegawai Ahli Parlimen di setiap DUN akan membantu dalam menyampaikan bantuan berupa bakul makanan ini," katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) kelmarin. Kata Shaharizukirnain, setakat ini ratusan keluarga telah menerima manfaat daripada program tersebut. "Alhamdullilah, setakat ini sudah lebih ratusan isi rumah telah menjadi penerima Food Bank ini di seluruh Setiu. "Program ini akan terus berlanjutan sehingga ke satu masa yang akan diberitahu. "Bagi menyelaraskan urusan program ini, kita mewujudkan satu tempat yang memudahkan penerima untuk menerima bantuan ‘Food Bank’ ini, contohnya di DUN Batu Rakit, pusat pengagihan program ini terletak di Kedai Runcit Stemza (Kedai Pok Malik)," tambah beliau.  
12 Apr 21
363
Pelajar Politeknik Dungun Harumkan Negara
Pelajar Politeknik Dungun Harumkan Negara
DUNGUN, 12 April - Pelajar Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA), Dungun berjaya mengharumkan nama negara di persada Asia selepas menduduki tempat ketiga dalam pertandingan kemahiran yang diadakan di Centre For Instructor & Advanced Skill Training (CIAST), Shah Alam.  Mohd Harith Aman daripada PSMZA tidak keseorangan apabila dia bersama rakannya Tan Khia Wen daripada Politeknik Kota Bharu (PKB) manakala jurulatih mereka ialah pensyarah Mekatronik PSMZA, Mohd Fadrul Rizal Ab Rahim dan Masrul Nizam Mahmod dalam Politeknik Malaysia. Menurut Fadrul, dua pelajar politeknik itu terpilih untuk ke Aseanskills Singapore 2020, namun disebabkan pandemik COVID-19, tuan rumah Singapura membatalkan penganjuran  pertandingan tersebut.  "Oleh itu, Festo Asia telah mengambil inisiatif untuk menganjurkan pertandingan yang melibatkan bidang 'mechatronics' sahaja. "Dalam  pertandingan tersebut mereka dikehendaki memasang beberapa Modular Production System Station (MPS) mengikut tugasan yang diberikan dan membuat sistem program untuk gerakan 'station' tersebut berdasarkan soalan yang diberi," jelasnya ketika dihubungi pemberita kelmarin. Katanya, pertandingan tersebut telah disertai oleh institusi pendidikan dari pelbagai negara seperti Vietnam, Singapura, Indonesia, Korea dan Jepun secara atas talian yang berlangsung pada 7 hingga 8 April lalu. "Sekian lama diberi tunjuk ajar dan latihan keras, akhirnya berjaya juga mereka. "Walaupun gagal mempamerkan kebolehan mereka di Asean Skills, sekurang-kurangnya pertandingan ini mampu membuktikan keupayaan kita dalam bidang Mechatronics terutama bagi pasukan Politeknik Malaysia," katanya  Dalam pada itu, Pengarah PSMZA, Mohd Fikri Ismail mengucapkan tahniah di atas kejayaan pelajar daripada Jabatan Kejuruteraan Mekanikal (JKM), PSMZA ini yang dapat menempa nama di peringkat Asia.  "Pihak Pengurusan PSMZA akan sentiasa memberi sokongan kepada program-program pembangunan akademik pelajar seperti ini," ujarnya.
11 Apr 21
4168
"Dulu 'Lecoh', 'Lening' Beres Dah"
"Dulu 'Lecoh', 'Lening' Beres Dah"
KEMAMAN, 12 April - "Alhamdulillah lening (sekarang), dulu tapak pasar malam ini memang lecoh (berselut) kalau hujan, orang nak membeli memang tak boleh nak masuk," luah Salehuddin. Salehuddin Abdul Halim, 34, peniaga selipar di Pasar Malam Kampung Bukit Kuang, Kijal berkongsi rasa syukur apabila ditanya tentang keadaan sekarang di pasar malam tersebut yang telah dinaiktaraf. Salehuddin yang hampir 20 tahun berniaga di sini setelah mewarisi perniagaan ayahnya berterima kasih kepada pihak pengurusan pasar malam serta kerajaan setelah apa yang dilakukan sekarang. Haji Zilani Awang. Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK) Rumah Awam Kos Rendah (RAKR) di Bukit Kuang, Haji Zilani Awang yang ditemui di tapak tersebut tempoh hari menyatakan, ia telah dinaiktarafkan oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB). "KPLB telah membelanjakan sebahagian peruntukannya bagi membina dataran kejat ini melalui pelaksanaan Program Ameniti Sosial kementerian tersebut. "Sepatutnya ia telah disiapkan pada penghujung tahun lepas tetapi tertangguh akibat musim tengkujuh," katanya. "Sebelum ini, tapak pasar malam ini berlantaikan batu kerikir besar yang tidak diturap menyebabkan para pengunjung sukar untuk berjalan dengan batu yang berselerak. Tapak pasar malam setelah dinaiktarafkan. "Tapi sekarang alhamdulillah ia telah kemas diturap dan tiada lagi lopak-lopak air seperti sebelumnya," jelasnya. JPKK RAKR Bukit Kuang menguruskan pasar malam tersebut dengan mengutip yuran daripada setiap peniaga sebanyak RM3 sebagai kos pengurusan.
11 Apr 21
2434
Terengganu Rekod Kadar Kebolehjangkitan COVID-19 Tertinggi
Terengganu Rekod Kadar Kebolehjangkitan COVID-19 Tertinggi
KUALA TERENGGANU, 11 April - Kadar kebolehjangkitan COVID-19 atau Ro/Rt  di Terengganu berada di tahap membimbangkan apabila merekodkan nilai tertinggi di Malaysia. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkata, Ro/Rt tertinggi adalah di Terengganu 1.53 dan Putrajaya 1.32 "Manakala, pada jangkaan mengikut kes seharian pada 10 April untuk seluruh Malaysia turun sedikit kepada 1.03. "Namun, Ro/Rt masih tinggi dan tersasar berbanding sasaran 1.0 hingga 0.8," kata KKM di facebook rasminya hari ini. Dalam perkembangan sama, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) melaporkan, negeri ini mencatatkan 34 kes positif hari ini menjadikan 153 kes aktif keseluruhan. "Pecahan kes baharu adalah import C empat kes dan penularan tempatan sebanyak 30 kes. "Sembilan daripada kontak kes Kluster Kampung Tanjung iaitu enam kes daerah di Kuala Nerus, tiga kes daerah Kuala Terengganu manakala 1 kontak kes tempatan dari Kuala Terengganu. "Selain 23 kes dari saringan ACD PKPD Kamounh Belaoh (Kluster Belaoh) dan  saringan individu bergejala 1 kes di Kuala Nerus)," tambah JKNT.
11 Apr 21
4138
Jangkitan Harian COVID-19 Di Terengganu Melonjak
Jangkitan Harian COVID-19 Di Terengganu Melonjak
KUALA TERENGGANU, 10 April - Angka kes COVID-19 di Terengganu semakin meningkat apabila 44 kes baharu direkodkan sehingga jam 12 tengah hari tadi. Pertambahan itu menjadikan jumlah keseluruhan kes di Terengganu melonjak kepada 3,723 orang dengan 126 pesakit masih dalam rawatan. Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr Nur Azimi Yunus berkata, 24 kes yang dilaporkan hari ini adalah daripada Kluster Belaoh. "Ini menjadikan jumlah kes COVID-19 daripada Kluster Belaoh adalah seramai 49 orang. Sekelip mata daerah Besut bertukar menjadi zon merah," katanya dalam satu kenyataan di facebook rasminya. Mengulas lanjut beliau memberitahu, kes dijangka lebih teruk sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) tidak dilaksanakan di kawasan terbabit. "Bayangkan jika kita tidak laksanakan PKPD di kawasan tersebut. Kemungkinan akan berlaku kluster yang besar di daerah Besut akibat pergerakan bebas kes positif yang ramai itu. "Pergerakan rentas negeri dari Besut ke Kelantan pun sangat rutin disebabkan pergerakan penduduk yang keluar masuk kerana urusan kerja.  "Kluster Tanjung yang baru didaftarkan pun juga akibat rentas negeri," jelasnya
10 Apr 21
2207
Kuasai Teknologi Maklumat, Kunci Pemahaman Masyarakat
Kuasai Teknologi Maklumat, Kunci Pemahaman Masyarakat
Oleh : Rohayati Ripin KUALA TERENGGANU, 10 April - Kepentingan dalam menguasai bidang teknologi maklumat (ICT) semasa era digital kini adalah kritikal dalam memberi penerangan dan pemahaman mendalam kepada masyarakat. Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato’ Yahaya Ali berkata, impaknya turut besar dalam mengukuhkan sesebuah kerajaan negeri ini. "Kita berada pada zaman teknologi digital yang menuntut kakitangan kerajaan seperti pegawai media untuk melaporkan berita yang tepat dan jitu berkenaan perkembangan komuniti sekeliling dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mereka. "Saya berharap kepada semua pegawai media berkebolehan dan berkemahiran tinggi tahu memilih teknik penyampaian terbaik,tahu menyampaikan informasi itu dan mendapat liputan yang seberapa luas serta menyeluruh," jelasnya. Beliau berkata demikian ketika berucap ketika merasmikan program Pemantapan Pegawai Khas dan Pemerkasaan Pegawai Media Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Terengganu di Paya Bunga Hotel, baru-baru ini. Menurutnya, walaupun pegawai media merupakan ‘wira yang tidak didendang’ dan kerjayanya hanya disebalik tabir tetapi peranan mereka sangat penting. Tambah Yahaya, kesannya cukup besar dalam meningkatkan kredibiliti dan reputasi seseorang Yang Berhormat (YB) melalui hasil mereka. “Unit media perlu mainkan peranan penting sebagai platform untuk mempromosikan secara langsung aktiviti yang boleh mempengaruhi kesejahteraan rakyat.  “Mereka tidak hanya tertakluk seperti penyediaan grafik, gambar dan sebagainya untuk tujuan pengisian semata-mata tapi ianya lebih dari itu,” ujarnya. Beliau menambah, kakitangan media dan pegawai khas (PA) sebenarnya berperanan untuk menjadikan pemimpin itu hebat daripada semasa ke semasa. "Mereka ini hendaklah sentiasa bersedia untuk membantu Yang Berhormat (YB) agar segala persiapan berjalan lancar supaya YB tiada masalah bila berhadapan dengan rakyat," katanya lagi.
10 Apr 21
135