lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Anak Terengganu Ukir Nama di Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan
Anak Terengganu Ukir Nama di Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan
KUALA TERENGGANU, 6 Julai – Peserta dari Terengganu sekali lagi mengharumkan nama negeri apabila berjaya mencatat pencapaian cemerlang dalam Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan yang berlangsung dari 27 April hingga 2 Mei 2025 di Perlis. Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, Wan Sofea Aini Wan Mohd Zahidi telah dinobatkan sebagai Johan Qariah Tilawah Al-Quran, manakala dua lagi wakil negeri dalam kategori hafazan turut mencatat kejayaan membanggakan. Menurutnya, Muhammad Adib Qayyum Mohd Zahari meraih tempat ketiga bagi kategori Hafazan Juzuk 1 hingga 20, manakala Solahuddin Al-Ayuubie bin Ab Rahman turut menduduki tempat ketiga dalam kategori Hafazan 1 hingga 30 Juzuk. "Kejayaan ini bukanlah pencapaian biasa kerana ia lahir daripada ketekunan, pengorbanan masa dan keikhlasan peserta dalam mendalami serta memperindah bacaan kalam Allah. “Ini adalah kebanggaan besar bukan sahaja buat diri peserta dan keluarga mereka, malah kepada seluruh rakyat Terengganu,” katanya ketika berucap dalam majlis penghargaan kepada anak-anak Terengganu terbabit. Majlis tersebut turut dihadiri Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) M Rozi Bidin. Dalam pada itu, Wan Sofea Aini juga akan bertanding ke pentas antarabangsa pada 2-9 Ogos ini. Dr. Khalil berharap Wan Sofea Aini dapat menunjukkan prestasi cemerlang serta dinobatkan sebagai Johan Antarabangsa dalam Majlis Tilawah Al-Quran yang akan datang. “Semoga kejayaan ini menjadi pemangkin kepada lebih banyak pencapaian terbaik negeri Terengganu pada masa akan datang. "Bukan sahaja dalam pertandingan, malah dalam usaha kita membina masyarakat berteraskan nilai-nilai Islam," ujarnya.
06 Jul 25
2503
Masyarakat Berperanan Mencegah Mungkar
Masyarakat Berperanan Mencegah Mungkar
DUNGUN, 6 Julai – Masyarakat sendiri merupakan entiti penting yang berperanan dalam mencegah kemungkaran dan maksiat yang berlaku di kalangan masyarakat. Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan Negeri, Dato’ Satiful Bahri Mamat berkata, semua orang ada peranan, bukan tunggu ada kad kuasa untuk mencegah perkara maksiat. "Kita semua ada peranan, bukan tunggu ada kad kuasa untuk mencegah perkara maksiat," katanya. Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Dialog Syariah Peringkat Daerah Dungun yang berlangsung di Dewan PLK Felda Kerteh 2/3, pagi tadi. Program Penguatkuasa Jabatan Hal Ehwan Agama Terengganu itu diadakan dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM) Terengganu dan Pejabat Daerah Dungun, melibatkan Pengerusi JPKK Daerah Dungun serta Imam Bilal Daerah Dungun dalam satu platform dialog terbuka membincangkan isu-isu berkaitan pelaksanaan syariah di peringkat bawah. Satiful juga menekankan bahawa usaha mencegah maksiat bukan hanya terletak di atas bahu jabatan agama atau pihak berkuasa semata-mata. “Dalam Islam, amar makruf nahi munkar adalah tanggungjawab bersama dan bukan hanya tugas jabatan agama atau pihak penguat kuasa sahaja. Sebagai jiran, ahli kariah, imam, guru, pemimpin komuniti kita semua adalah 'penguatkuasa' dalam ruang lingkup kita masing-masing. “Kadang-kadang teguran secara peribadi, nasihat yang ikhlas, atau sekadar menunjukkan ketegasan moral pun sudah menjadi satu bentuk pencegahan. Lebih baik kita cegah awal secara berjemaah, dari biar penyakit sosial ini merebak sehingga perlu campur tangan pihak berkuasa,” katanya lagi. Beliau turut mengajak masyarakat agar lebih cakna dan berani menegur kemungkaran dengan cara yang berhemah dan penuh hikmah, tanpa perlu menunggu kuasa rasmi untuk bertindak.   Menurut beliau, Program Dialog Syariah yang diadakan merupakan medan yang sangat bermanfaat untuk bertukar pandangan, menyelami cabaran semasa dan memperkukuh kerjasama antara masyarakat dan institusi agama. “Bila masyarakat sedar peranan mereka, kita bukan sahaja dapat mencegah kemungkaran, malah dapat membina komuniti yang lebih harmoni, berkat dan dirahmati,” tambahnya. Program itu turut menampilkan sesi perkongsian ilmu dan forum yang membincangkan peranan masjid dalam pembangunan komuniti serta pendekatan pendidikan dan dakwah bagi memperkasakan masyarakat muslim setempat.  
06 Jul 25
77
Bike Week Himpun 120,000 Pengunjung, Kukuh Rantaian Ekonomi Rakyat
Bike Week Himpun 120,000 Pengunjung, Kukuh Rantaian Ekonomi Rakyat
KUALA TERENGGANU, 6 Julai – Terengganu International Bike Week (TIBW) 2025 sekali lagi membuktikan impaknya apabila berjaya menghimpunkan lebih 120,000 pengunjung dan penunggang motosikal dari seluruh negara dan luar negara, sekali gus meningkatkan rantaian ekonomi rakyat negeri ini. Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, penganjuran acara tahunan itu menjadi pemangkin pelancongan domestik dan ekonomi tempatan, serta berjaya dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk penaja dan agensi yang terlibat. “Sebagaimana yang saya maklum, program malam ini ialah Terengganu International Bike Week yang kita adakan setiap tahun. "Saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada penganjur bersama seluruh pihak yang terlibat untuk menjayakan program ini. “Teristimewanya, terima kasih kepada semua 'riders' yang datang dari seluruh negara dan luar dari Malaysia. Program seperti ini tidak akan  berjaya tanpa penglibatan semua pihak, termasuk penaja-penaja dan syarikat-syarikat yang terlibat,” katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri TIBW, di Dataran Shah Bandar, di sini, semalam. Menurut Dr. Samsuri, kerajaan negeri akan terus bekerjasama bagi memastikan penganjuran TIBW akan dapat diteruskan pada tahun hadapan dengan lebih meriah serta penambahan aktiviti yang memberi manfaat kepada rakyat. “Insya-Allah, tahun hadapan kita percaya pihak penganjur bersama kerajaan negeri akan terus mengadakan program seperti ini dengan lebih meriah dan mungkin ada penambahan program,” ujarnya. Katanya lagi, kehadiran pengunjung yang ramai termasuk ahli keluarga dan pelancong luar turut menyumbang secara langsung kepada ekonomi penduduk setempat. “Saya percaya bukan sahaja riders yang datang, tetapi juga keluarga mereka dan pengunjung-pengunjung lain yang ingin menyaksikan apa yang berlaku di sini. “Secara tidak langsung, ini menyumbang kepada ekonomi tempatan dari segi perniagaan seperti kedai makan, penginapan, rumah inap, hotel dan sebagainya. Saya yakin ini meningkatkan rantaian ekonomi kepada rakyat negeri Terengganu secara khususnya," katanya. Pelbagai aktiviti menarik turut memeriahkan TIBW 2025, antaranya pameran agensi kerajaan seperti Rejimen 512 Askar Wataniah, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan lain-lain. Selain itu, program sepanjang 4 hari itu turut diserikan dengan ceramah agama khas oleh Ustaz Azhar Idrus bergandingan dengan pelawak terkenal Zizan Razak, serta program TIBW Berselawat yang dipimpin oleh Ustaz Mustafa Kamal. TIBW juga menampilkan pelbagai acara seperti pertunjukan motosikal berkuasa tinggi, pertandingan motor klasik, konvoi amal, serta reruai jualan tempatan yang disambut meriah oleh pengunjung dari pelbagai latar belakang. Dalam pada itu, Dr. Samsuri turut mengingatkan bahawa aspek keselamatan jalan raya sentiasa diberi penekanan dalam program seperti ini melalui penglibatan agensi-agensi berkaitan. “Kita selalu beri peringatan. Dalam program seperti ini juga ada ceramah daripada pihak berkuasa yang sentiasa mengingatkan kepada mereka supaya menjaga keselamatan. “Yang penting ialah datang dengan selamat dan kembali dengan selamat. Saya mewakili kerajaan negeri menggesa kepada semua penunggang dan pengguna jalan raya yang lain supaya menjaga keselamatan diri, jangan memandu secara cuai, dan pandulah dengan berhemah," jelasnya. Beliau menzahirkan harapan agar semua peserta dapat pulang dengan selamat ke destinasi masing-masing dan kembali lagi ke Terengganu pada edisi seterusnya.  
06 Jul 25
1518
Abdul Hadi Kembali Ke Mimbar Kuliah Dhuha
Abdul Hadi Kembali Ke Mimbar Kuliah Dhuha
Foto : Amirul Aizab MARANG, 4 Julai – Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang hari ini kembali menyampaikan kuliah dhuha mingguan di Masjid Rusila setelah berehat sementara atas faktor kesihatan.  Menurut Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, disiplin dan komitmen Tuan Guru dalam menyebarkan ilmu berpunca daripada kefahaman mendalam terhadap tanggungjawab sebagai khalifah di muka bumi. "Bagi Tuan Guru, menyampaikan ilmu adalah satu amanah yang berterusan. Ia bukan hanya tugas harian, tetapi ibadah yang berpanjangan hingga ke akhir hayat,” katanya ketika mengulas berkenaan kehadiran semula Tuan Guru ke rutin mingguan beliau.  Tambah beliau, kecekalan Presiden PAS itu untuk terus menulis, menuntut dan menyebarkan ilmu bukan kerana keperluan semasa, tetapi kerana keyakinan bahawa setiap ilmu yang bermanfaat adalah sedekah jariah yang akan berterusan pahalanya. "Itulah yang menjadi kekuatan dan motivasi beliau selama ini, bahawa ilmu itu jalan menuju keredhaan Allah," jelas beliau. Kepulangan Abdul Hadi ke kuliah pagi Jumaat disambut penuh rasa syukur oleh masyarakat setempat dan ribuan anak murid yang hadir. Ia turut memberi mesej yang kuat bahawa peranan ulama dalam masyarakat perlu terus hidup dan berfungsi. Ahmad Samsuri turut mendoakan agar Abdul Hadi dikurniakan kesihatan yang baik untuk terus membimbing dan mendidik umat dengan ilmu dan hikmah. Abdul Hadi terpaksa berehat daripada menyampaikan kuliah dan beberapa tugasan sebelum ini kerana menjalani pembedahan di Institut Jantung Negara (IJN). 
04 Jul 25
323
Sokong Pemulihan Mental dan Fizikal Mangsa Kemalangan UPSI
Sokong Pemulihan Mental dan Fizikal Mangsa Kemalangan UPSI
Oleh: Muhammad Safwan Sukeri BESUT, 3 Julai – Urus Setia Wanita Terengganu (USWa) mengambil langkah proaktif dalam menyokong proses pemulihan mental dan fizikal pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terlibat dalam kemalangan bas baru-baru ini, khususnya mangsa dari sekitar Besut dan Setiu. Pengarahnya, Tuan Roslina Tuan Sulaiman berkata, pihaknya amat prihatin terhadap keadaan pelajar yang terkesan dalam tragedi menyayat hati itu, dan memberikan tumpuan serius terhadap aspek emosi dan psikologi mereka pasca kejadian. “Hasil ziarah kami, didapati UPSI telah menyediakan perkhidmatan kaunseling kepada semua mangsa.  "Ini satu usaha yang sangat baik dan wajar diberikan penghargaan,” katanya ketika ditemui selepas Program Ziarah Prihatin UPSI di daerah Besut, semalam. Beliau turut menyeru masyarakat agar memberikan ruang peribadi dan masa secukupnya kepada para pelajar untuk menjalani proses pemulihan dengan tenang. “Kita faham ramai yang bersimpati dan ingin menziarahi, namun kunjungan yang terlalu kerap dan di luar waktu sesuai boleh menjejaskan rehat dan kestabilan emosi mereka.  "Berilah ruang secukupnya,” ujarnya. Menurutnya lagi, program ziarah ini bukan sekadar lawatan biasa, sebaliknya menekankan aspek pemulihan menyeluruh, fizikal, emosi dan mental. Pasukan ziarah turut disertai kaunselor dari Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) bagi menilai keperluan sokongan psikologi pelajar-pelajar yang terkesan. Antara pelajar yang diziarahi ialah Rohadatul Aisy binti Mohd Zaki, 20, dari Kampung Gong Badang yang mengalami patah tulang pinggul, dan Wan Nor Masyitah binti Wan Hussin, 21, yang mengalami kecederaan pada tulang belakang. Penolong Pegawai Tadbir USWa, Nor Hidayah Abdul Razak berkata, kedua-dua pelajar tersebut menunjukkan perkembangan positif dan kelihatan ceria ketika diziarahi. Sementara itu, Kaunselor YPKT, Muhamad Shamin Adli Rukman berkata, pihaknya sentiasa bersedia memberikan sokongan psikologi dan bimbingan emosi mengikut keperluan semasa. "Usaha ini mencerminkan komitmen USWa dan YPKT dalam memastikan pemulihan pelajar bersifat menyeluruh merangkumi aspek jasmani, rohani dan emosi agar mereka mampu bangkit dan meneruskan kehidupan serta pengajian," katanya.
03 Jul 25
94
INSTEP Buka Peluang Belia Terengganu Teroka Kerjaya Tenaga Bernilai Tinggi
INSTEP Buka Peluang Belia Terengganu Teroka Kerjaya Tenaga Bernilai Tinggi
KUALA TERENGGANU, 3 Julai – Institut Teknologi Petroleum PETRONAS (INSTEP) terus memperkukuh peranannya sebagai institusi latihan berimpak tinggi dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi dan perancang strategik yang bakal membentuk masa depan industri tenaga negara. Dengan keluasan kampus hampir 81 hektar serta kemudahan loji latihan bertaraf industri, INSTEP menyediakan silibus latihan komprehensif yang dikendalikan oleh tenaga pengajar berpengalaman luas dalam sektor minyak dan gas. Sebagai komitmen berterusan dalam pembangunan modal insan, INSTEP memperkenalkan Technical Energy Enrichment Programme (TEP) pada tahun 2021, khusus untuk memberi pendedahan awal kepada lepasan diploma terhadap dunia sebenar industri minyak dan gas. Program ini telah membuka ruang dan peluang kepada ramai belia, khususnya dari negeri Terengganu, untuk menceburi bidang kerjaya dalam sektor tenaga yang bernilai tinggi dan menjanjikan masa depan yang cerah. Dengan pendekatan hands-on dan latihan simulasi dunia sebenar, INSTEP dilihat bukan sekadar pusat latihan, tetapi institusi transformatif dalam membentuk bakat tenaga kerja masa depan negara.. Haizlin Sulaiman Kisah kejayaan Haizlin Sulaiman, 52, membuktikan bahawa pendidikan vokasional yang terstruktur mampu melahirkan bukan sahaja tenaga kerja mahir, malah pemimpin industri yang berdaya saing. Beliau yang kini mengetuai Jabatan Pengeluaran di Malaysian Refining Company Sdn Bhd (MRCSB), memulakan perjalanan kerjayanya sebagai pelatih Skim Latihan Perantis PETRONAS di Institut Teknologi Petroleum PETRONAS (INSTEP) lebih tiga dekad lalu. "Mula-mula saya masuk sebagai juruteknik, tangan berlumur minyak, pakai baju coverall, bergelut dengan mesin di tengah syif malam. Tapi segalanya bermula di INSTEP," katanya ketika berkongsi pengalaman. Menurut Haizlin, INSTEP bukan sahaja memberi latihan teknikal, malah membentuk nilai disiplin dan kepimpinan yang menjadi asas penting dalam dunia kerjaya. “Dulu saya sama seperti pelatih hari ini, terpesona dengan bunyi jentera loji simulasi, terpaku di depan papan putih bilik kuliah dan dibimbing oleh mentor yang berpengalaman,” ujarnya. Tambah beliau, perjalanan dari bengkel latihan ke bilik mesyuarat pengurusan memberinya satu pengajaran penting, setiap peranan mempunyai nilai, dan setiap cabaran adalah peluang untuk berkembang, bukan hanya sebagai pekerja, tetapi sebagai insan yang menyumbang kepada kemajuan industri. Kisah Haizlin menjadi inspirasi kepada ramai anak tempatan di Terengganu dan seluruh negara, khususnya dalam melihat bagaimana pendidikan teknikal dan vokasional mampu membuka laluan kerjaya yang cemerlang dalam sektor tenaga. Kamarul Ariffin Tajul A’mar Tenaga pengajar terlatih, Kamarul Ariffin Tajul A’mar yang mempunyai tiga dekad pengalaman dalam bidang operasi termasuk persekitaran luar pesisir dan penempatan antarabangsa turut berkongsi cerita tentang INSTEP. Menurutnya, di INSTEP, mereka tidak hanya mengajar berdasarkan buku teks tetapi juga menyampaikan pengalaman sebenar. “Saya amat faham cabaran dan piawaian tinggi yang diperlukan dalam industri minyak dan gas. “Selain daripada kemahiran mengendalikan peralatan, pelatih juga diterapkan amalan secara profesional yang berintegriti menyelesaikan masalah di bawah tekanan, dan mengutamakan keselamatan," ujarnya. Kamarul berkata dia mendapat satu kepuasan yang tidak ternilai apabila melihat perubahan mereka daripada individu yang kurang yakin kepada tenaga kerja yang bersedia. Kisah Haizlin yang menjadi antara lebih 300 alumni TEP dan Kamarul Ariffin sebagai tenaga pengajar profesional adalah bukti bahawa pendidikan vokasional bukan sekadar laluan alternatif, tetapi satu pelaburan strategik demi menjana masa depan negara yang berdaya saing dan meningkatkan taraf kehidupan.
03 Jul 25
3721
Raja Muda Berkenan Lawat Kilang PERTIMA
Raja Muda Berkenan Lawat Kilang PERTIMA
KUALA TERENGGANU, 2 Julai– Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail telah berkenan mencemar duli mengadakan lawatan ke Kilang Pertima Terengganu yang terletak di Kawasan Perindustrian Chendering, Kuala Terengganu. Ketibaan baginda disambut oleh  Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT), Dato’ Wan Adnan Wan Derahman, Timbalan Pengarah (Makro), Wan Muhd Masyhum, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Terengganu, Fazrul Isham, Ketua Pegawai Korporat dan wakil Pengurusan PMINT. Dalam lawatan tersebut baginda mendengar sembah taklimat secara terus tentang pengoperasian kilang daripada Pengurus Besar PERTIMA, Tuan Syed Mohd Asdi Tuan Ngah. Selepas selesai sesi taklimat, baginda turut berkenan berangkat bercemar duli melawat ke bahagian pengeluaran bagi meninjau secara dekat proses penuh pengeluaran produk syarikat. PERTIMA merupakan syarikat milik penuh Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) iaitu agensi pembangunan kerajaan Negeri Terengganu menjadi pengeluar produk makanan dalam tin berkualiti tinggi yang telah menembusi pasaran antarabangsa serta memainkan peranan penting dalam merancakkan industri pengeksportan makanan negara yang berinovatif dan berdaya saing. Sehingga kini PERTIMA telah berjaya mengekalkan kedudukannya sebagai satu-satunya kilang pengeluar sardin di Malaysia yang 100% milik dan pekerjanya melayu bumiputra semenjak penubuhannya pada tahun 1972. Selain sardin, Syed Mohd Asdi berkata, syarikatnya turut mengeluarkan lapan jenis produk makanan dalam tin seperti kari ayam, kuah laksa, kuah sate, sambal bilis, kaya dan sapuan sardin yang turut mendapat permintaan tinggi.  
03 Jul 25
1960
Bangkit Selepas Tragedi Bas UPSI
Bangkit Selepas Tragedi Bas UPSI
Oleh : Nor Amira Amijudin BESUT, 3 Julai – Tragedi yang menimpa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) baru-baru ini di Gerik tidak memadamkan semangat mereka untuk terus menuntut ilmu.  Salah seorang mangsa, Nik Khairulnisa Ruzmi, kini telah bersedia untuk kembali ke kampus meneruskan pengajian selepas melalui fasa pemulihan yang mencabar. Menurut kakitangan Urus Setia Wanita Terengganu (USWa), Nor Asiah Adni Adnan berkata, para pelajar yang diziarahi menunjukkan semangat yang semakin pulih meskipun ada dalam kalangan mereka masih menggunakan kerusi roda, terlantar sakit, dan mengalami kecederaan anggota. “Alhamdulillah, masing-masing kelihatan semakin ceria dan bersemangat.  Walaupun melalui detik yang sukar, mereka tetap tabah dan kuat menghadapi ujian ini,” jelasnya. Beliau berkata demikian selepas program ziarah Prihatin UPSI di daerah Besut, pada semalam. Menurutnya,  seramai 13 pelajar UPSI yang terlibat dalam tragedi disantuni. Tambah Asiah lagi, tiga kumpulan digerakkan serentak bersama seorang kaunselor, bertujuan menyampaikan bantuan fizikal dan memberikan sokongan psikososial secara langsung kepada pelajar serta keluarga. "Ziarah ini bukan sekadar membawa barangan keperluan. "Malah menjadi simbol sokongan moral dan keprihatinan kerajaan negeri terhadap anak-anak Terengganu yang menuntut ilmu di perantauan," tambah beliau. Kata Asiah, kisah Nik Khairulnisa kini siap siaga kembali ke UPSI menjadi lambang kekuatan jiwa dan semangat kebangkitan selepas melalui tragedi.  Beliau merupakan antara pelajar yang terkesan, namun telah menunjukkan kesungguhan luar biasa untuk tidak menjadikan peristiwa hitam itu sebagai penghalang kepada cita-cita. Selain itu, program ini juga memberi mesej penting bahawa dalam setiap ujian, sentiasa ada tangan yang menghulur bantuan, dan dalam setiap luka, ada ruang untuk bangkit dan terus melangkah ke hadapan. Program Ziarah Prihatin UPSI merupakan anjuran Urus Setia Wanita Terengganu (USWa) dengan kerjasama Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) dan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI).
03 Jul 25
273
Dakwah Turun Padang Tarik Perhatian Orang Ramai
Dakwah Turun Padang Tarik Perhatian Orang Ramai
Oleh : Mohd Safwan BESUT, 3 Julai– Program Street Dakwah Awal Muharam-Hijratul Rasul SAW dan Soal Jawab Agama mencetuskan perhatian ramai apabila pendekatan dakwah terbuka itu berjaya menarik minat masyarakat untuk mendekati ilmu agama. Menurut Duat DUN Jerteh, Ustaz Adib Abdul Aziz, program sebegini telah dilaksanakan secara berkala bersempena dengan pelbagai peristiwa besar Islam seperti Ramadan, Aidiladha dan Israk Mikraj. Jelas beliau, objektif utama ialah menyemarakkan kefahaman Islam dalam kalangan masyarakat umum secara santai tetapi berkesan. “Dengan kehadiran orang ramai di pasar, kita ambil peluang ini untuk menyampaikan mesej Islam dan menjawab persoalan mereka secara terus melalui sesi bersama pengkuliah jemputan,” katanya di Pasar Tani Alor Lintah baru-baru ini. Program kali ini menampilkan Ustaz Adam Said, Mudir Pusat Tarbiyyah Nurul Iman Besut, yang menjawab pelbagai persoalan agama daripada orang awam, termasuk isu-isu ibadah, kekeluargaan dan kekeliruan berkaitan hukum. Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jerteh, Dr Riduan Mohamad Noor menyifatkan pendekatan dakwah di tempat awam sebagai satu keperluan mendesak dalam mendekati golongan yang jarang hadir ke masjid atau surau. “Kita tidak boleh hanya tunggu orang datang ke surau, sebaliknya kita perlu bawa dakwah ke tempat mereka berada pasar, taman, medan selera. "Inilah bentuk dakwah Rahmatan Lil ‘Alamin yang merakyat,” jelasnya. Salah seorang pengunjung, Muhammad Mushairi Muslim, 31, menyifatkan program ini sangat bermanfaat kerana para pengunjung dan peniaga dapat terus bertanya kepada ustaz berautoriti tentang kemusykilan agama mereka. “Ini cara dakwah yang mesra dan berkesan, patut diteruskan di lebih banyak lokasi,” ujarnya. Program ini mencerminkan usaha berterusan pihak DUN Jerteh dan institusi agama tempatan dalam memastikan dakwah Islam dapat diakses oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang atau lokasi.
02 Jul 25
47
Insiden Letupan Putra Heights: Ahmad Amzad Gesa Tubuh Suruhanjaya Siasatan Bebas
Insiden Letupan Putra Heights: Ahmad Amzad Gesa Tubuh Suruhanjaya Siasatan Bebas
KUALA TERENGGANU, 2 Julai – Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Dato' Ahmad Amzad Hashim menggesa penubuhan segera Suruhanjaya Siasatan Bebas bagi menyiasat insiden letupan paip gas di Putra Heights yang berlaku pada 1 April lalu. Gesaan tersebut dibuat susulan laporan siasatan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) yang menyimpulkan bahawa tiada unsur kecuaian atau pelanggaran teknikal dikenal pasti. Laporan itu menyatakan punca utama letupan adalah disebabkan oleh faktor geoteknikal seperti tanah lembut, sekali gus menolak kemungkinan berlakunya sabotaj atau kecuaian manusia. Namun menurut beliau, maklumat awal daripada pihak polis mendedahkan bahawa terdapat kerja pengorekan paip kumbahan hanya 30 meter dari lokasi kejadian. "Kerja tersebut melibatkan jentera berat termasuk sebuah excavator yang turut terbenam dalam letupan. Lebih membimbangkan, kawasan tersebut berada dalam zon larangan saluran paip gas, menjadikan aktiviti tersebut satu pelanggaran nyata terhadap peraturan keselamatan. “Anehnya, laporan JKKP langsung tidak menyentuh aspek ini. Malah, identiti pemaju dan kontraktor yang terlibat juga masih belum didedahkan secara rasmi. Ini hanya menimbulkan persoalan sama ada wujud usaha menyembunyikan pihak yang bertanggungjawab,” ujar beliau dalam satu kenyataan, hari ini. Ahmad Amzad turut mempersoalkan ketelusan dan ketelitian siasatan JKKP yang seolah-olah mengabaikan faktor gangguan luaran, sedangkan pemasangan saluran paip gas bertekanan tinggi sepatutnya melalui kajian geoteknikal menyeluruh dan mematuhi spesifikasi teknikal ketat. “Saluran paip ini diselenggara secara berkala dan dipantau berterusan. Teknologi yang digunakan bahkan telah diuji di kawasan yang jauh lebih mencabar seperti dasar laut Terengganu, namun tidak pernah berlaku insiden seumpamanya. Maka, dakwaan bahawa tanah lembut adalah satu-satunya punca kejadian adalah sangat meragukan,” jelasnya. Beliau turut menyifatkan letupan tersebut bukan semata-mata insiden teknikal tetapi satu pelanggaran serius terhadap undang-undang dan keselamatan awam. Katanya, pemaju dan kontraktor yang menandatangani perjanjian pembangunan wajib tampil memberi penjelasan kepada rakyat. "Tindakan mengalihkan kesalahan kepada pihak lain termasuk PETRONAS adalah sangat tidak wajar," ujarnya. Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan sikap membisu Kerajaan Negeri Selangor yang sepatutnya memainkan peranan dalam melulus dan memantau sebarang pembangunan di kawasan sensitif seperti itu. "Kelemahan dalam aspek kelulusan permit, penguatkuasaan zon larangan dan pengesanan aktiviti pengorekan hanya menyerlahkan kelemahan kawal selia negeri. “Tiada maklumat rasmi dikeluarkan berhubung identiti pihak terlibat atau perkembangan siasatan. Sikap berdiam diri ini menggambarkan kegagalan prinsip kebertanggungjawaban dan ketelusan pentadbiran negeri,” katanya lagi. Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan menubuhkan segera Suruhanjaya Siasatan Bebas yang melibatkan pakar kejuruteraan, geoteknik dan perundangan yang berkecuali bagi menyiasat insiden ini secara menyeluruh dan telus. “Rakyat berhak mengetahui kebenaran dan memastikan setiap pihak yang bersalah dipertanggungjawabkan tanpa pengecualian. Laporan penuh JKKP dan maklumat berkaitan perlu didedahkan kepada umum. Kegagalan berbuat demikian hanya akan menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap institusi kerajaan,” tegas beliau. 
02 Jul 25
152