Artikel "Semasa" Terkini
Persiapan Sederhana Akibat Kesan Banjir
BESUT, 20 Januari - Persiapan perayaan tahun baharu Cina dilakukan secara sederhana akibat penduduk masih keletihan mengemas rumah akibat banjir buruk yang berlaku sebulan lalu di Kampung Batu Balai, Jabi di sini.
Seorang penduduk, Boo Duaa Jeoten, 64, berkata, mereka sekeluarga masih belum mengalihkan barangan ke tempat asal kerana bimbang risiko banjir berulang kembali.
“Ianya kerana susulan amaran hujan berterusan antara 20 hingga 22 Jan (Jumaat hingga Ahad) yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia semalam.
“Peti ais dan mesin basuh pun rosak masih belum dibaiki sehingga jika ingin membeli bahan mentah seperti ayam dan ikan pun, kami perlu beli untuk kegunaan harian sahaja kerana tiada tempat nak simpan,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di rumahnya, semalam.
Sementara itu, Tian Chau Bulat, 71 berkata ini pertama Kali bagi komuniti Cina Siam di kampung itu menyambut Tahun Baru Cina selepas dilanda banjir besar dengan kerugian lebih teruk berbanding tahun-tahun sebelum ini.
Justeru, mereka membuat persiapan ala kadar sahaja untuk perayaan kali ini memandangkan banyak perabot dan barangan elektrik yang rosak akibat banjir terburuk dalam tempoh 40 tahun itu.
20 Jan 23
85
Ops Asap Hitam : Sembilan Pemilik Kenderaan Dikenakan Kompaun
KUALA TERENGGANU, 19 Januari - Tujuh Notis Arahan dan tiga kompaun dikenakan kepada sembilan pemilik kenderaan dalam dua operasi pelepasan asap hitam.
Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri Terengganu, Ramli Abd. Rahman berkata operasi pelepasan asap hitam berasingan diadakan di Setiu dan Dungun, semalam.
Katanya, kesalahan itu dikesan melalui hasil pemeriksaan yang dijalankan terhadap 370 kenderaan ketika dua operasi sedang dijalankan.
“Kesemua kenderaan itu telah diperiksa secara visual dan enam daripadanya telah menjalani ujian meter asap.
“Notis arahan dan kompaun dikeluarkan mengikut Seksyen 48A, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” jelasnya.
Beliau berkata demikian melalui satu kenyataan media pada hari ini.
Tambah Ramli, pelepasan asap hitam berlebihan berisiko memberi kesan buruk kepada kesihatan manusia serta alam sekitar udara dan kualiti udara sekeliling.
“pemilik kenderaan berenjin diesel diingatkan supaya memastikan kenderaan berada dalam keadaan yang baik.
“Di samping mematuhi Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kawalan Pelepasan Daripada Enjin Diesel) 1996, Akta Kualiti Alam Sekitar 1974,” katanya.
Jelasnya lagi, seramai 12 anggota penguatkuasa dari Unit Kenderaan Bermotor JAS negeri Terengganu dan 10 pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Setiu serta daerah Dungun terlibat dalam operasi tersebut.
19 Jan 23
771
Kuih Bakul Tradisional Lebih Digemari Masyarakat Cina
KUALA TERENGGANU, 19 Januari- Setiap kali menjelang Tahun Baharu Cina, kuih bakul sentiasa mendapat permintaan tinggi oleh masyarakat Tionghua terutama yang dibuat dengan kaedah tradisional.
Peniaga kuih bakul di Kampung Cina di sini, Benny Foo, 50, yang mewarisi kaedah tradisional membuat kuih bakul daripada nenek dan datuknya berkata, dia telah membuat hidangan yang sinonim dengan pelbagai pantang larang itu lebih kurang 35 tahun dan permintaan pada musim perayaan Tahun Baharu Cina kali ini amat tinggi.
Katanya, walaupun masyarakat Cina sudah melalui proses kemajuan, namun dalam menyediakan kuih bakul, masih ramai lebih mengutamakan yang dihasilkan secara tradisional untuk dihidangkan kepada keluarga dan tetamu.
“Kuih bakul yang diusahakan secara tradisional mengunakan tepung beras pulut yang dikisar sendiri dan dibungkus dengan daun pisang lebih diminati berbanding yang dibalut menggunakan plastik kerana aroma daun pisang lebih harum.
“Bagi mendapatkan kuih bakul yang berkilat dan berwarna keperangan, ia perlu dikukus lebih 10 jam dalam alat pengukus dengan kawalan api yang betul,” ujarnya ketika ditemui di kedainya, hari ini.
Menurutnya, harga kuih bakul yang dihasilkannya dijual pada harga RM23 sebiji untuk yang dibungkus menggunakan daun pisang dan yang dibalut plastik RM15 dan boleh disimpan selama beberapa bulan tanpa hilang keaslian rasanya.
Benny Foo berkata, baginya tidak lengkap sambutan Tahun Baharu Cina tanpa kuih bakul yang menjadi hidangan wajib setiap tahun, sepertimana masyarakat Melayu yang perlu ada rendang dan ketupat untuk hidangan di pagi Syawal.
19 Jan 23
1096
Rancang Perjalanan Pulang Kampung, Elak Terburu-Buru
KUALA TERENGGANU, 19 Januari - Warga perantau dinasihatkan agar merancang perjalanan terlebih dahulu dan mengelakkan terburu-terburu sebelum pulang ke kediaman masing-masing.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berharap agar semua dapat mengikut segala apa yang disarankan oleh pihak pengendali lebuh raya bagi mengelakkan insiden yang tidak diingini berlaku.
Katanya, sebelum pulang pastikan diri kita berada dalam keadaan baik serta sihat tubuh badan.
“Supaya dapat membawa kenderaan dalam keadaan yang lancar dan selamat untuk tiba ke destinasi yang ditujui.
“Diingatkan juga supaya memastikan rumah berada dalam keadaan baik, berkunci terlebih dahulu dan selamat untuk ditinggalkan,” jelasnya.
Beliau berkata demikian selepas Merasmikan Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena musim perayaan Tahun Baru Cina peringkat Negeri Terengganu bertempat di Jalan Pesisir Payang (Pulau Warisan), Kuala Terengganu di sini semalam.
Turut hadir, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superitenden Ismail Man.
Tambah Hanafiah, pengguna jalan raya disarankan agar mendapatkan maklumat keadaan trafik semasa sebelum pulang ke kediaman masing-masing.
Mengulas lanjut berkenaan kempen, pihaknya telah mengedarkan topi keledar kepada beberapa pengguna jalan raya terpilih dan risalah-risalah berkaitan dengan keselamatan jalan raya.
Di samping, beberapa hamper juga turut diberikan kepada pengunjung yang hadir bagi memeriahkan lagi kempen keselamatan jalan raya pada semalam.
19 Jan 23
160
40,000 Kenderaan Dijangka Masuk Terengganu
KUALA TERENGGANU, 19 Januari – 40,000 kenderaan dijangka memasuki Terengganu setiap hari pada musim perayaan Tahun Baharu Cina ini.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superitenden Ismail Man berkata dengan kemasukan kenderaan tersebut boleh menyebabkan kesesakan yang teruk.
Katanya, peningkatan kesesakan jalan raya sekali ganda berbanding hari biasa itu dijangka bermula esok secara berperingkat.
“Kemasukan kenderaan 40,000 sehari itu dijangka bermula 20, 21, 24 dan 25 Januari ini.
“Sebanyak 240,000 turut dianggarkan akan memasuki negeri ini sama ada pulang ke kampung atau bercuti bersempena musim perayaan Tahun Baharu Cina ini,” jelasnya.
Beliau berkata demikian selepas Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena musim perayaan Tahun Baru Cina peringkat Negeri Terengganu bertempat di Jalan Pesisir Payang (Pulau Warisan), Kuala Terengganu di sini semalam.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat.
Tambah Ismail, 17 pegawai dan 142 anggota ditugaskan bagi melancarkan trafik sepanjang Ops Selamat dengan mengadakan rondaan di kawasan tertentu bermula hari ini hingga 27 Januari.
Sementara itu, pihaknya juga telah mengenal pasti lima kawasan panas yang sering berlaku kesesakan dan perlu diberi tumpuan.
“Ia melibatkan empat daerah iaitu Marang, Kuala Terengganu, Setiu dan Besut manakala kawasan hitam adalah 20 kawasan,” katanya.
Sehubungan itu, kita akan menempatkan rondaan PDRM dan juga Ops Payung di kawasan tersebut.
19 Jan 23
463
Insiden Paip Putus Di Dungun, Tindakan Pantas SATU Jamin Tiada Gangguan
DUNGUN, 18 Januari - Beberapa kawasan di Dungun iaitu Bandar Paka, Ketengah Jaya, Felda Kerteh 2 dan 3 dijangka mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual selama seminggu, bermula petang tadi.
Syarikat Air Terengganu (SATU) dalam kenyataan berkata, keadaan itu berlaku berikutan dua paip utama berukuran 700 milimeter (mm) yang menyalurkan air dari Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Bauk ke Bandar Paka terputus semasa proses pembaikian struktur sokongan paip berkenaan.
"Dalam kejadian insiden ini, kedua-dua paip utama berukuran 700 mm yang menyalurkan air dari LRA Bukit Bauk ke Bandar Paka telah terputus semasa proses pembaikian struktur
sokongan paip tersebut.
"Pihak SATU telah mengambil langkah segera untuk mengurangkan impak gangguan bekalan dengan menampung keperluan Bandar Paka dengan bekalan dari Loji Rawatan Air (LRA) Kemudi.
"Sementara itu, keperluan ke kawasan Ketengah Jaya dan Felda Kerteh 2 dan 3 akan dibantu dengan bantuan alternatif lori tangki," kata kenyataan itu.
SATU turut memaklumkan
kerja pembaikan paip dijangka mengambil masa selama tujuh hari.
Bantuan alternatif menerusi lori tangki dan tangki statik telah digerakkan ke kawasan yang dijangka terlibat dengan memberi keutamaan kepada premis-premis kritikal.
Pengguna yang ingin mendapatkan bantuan bekalan boleh menghubungi Careline di 1300-88-2111.
18 Jan 23
277
Tongkang Terlanggar Paip SATU, Ribuan Pengguna Di Paka Terjejas
DUNGUN, 18 Januari - Ribuan akaun pengguna air di kawasan Paka dan Kerteh dijangka terjejas susulan insiden paip Syarikat Air Terengganu (SATU) di Jambatan Paka, di sini dilanggar tongkang dalam kejadian petang ini.
Perkara itu dimaklumkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka, Datuk Satiful Bahri Mamat menerusi hantaran di laman Facebooknya kira-kira jam 4 petang Rabu.
Menurut hantaran itu, Satiful berkata, sewaktu kejadian tongkang milik kontraktor tersebut difahamkan sedang menjalankan kerja-kerja pembaikian paip berkenaan yang hampir patah akibat dilanggar sebuah bot sebelum itu
Tambah beliau, sebagai penyelesaian sementara, sumber air alternatif akan diambil dari Loji Rawatan Air (LRA) Kemudi, Serdang.
"Untuk pengguna Felda Kerteh 2 dan Felda Kerteh 3 serta Ketengah Jaya yang terjejas, pihak Satu akan menghantar bekalan air dengan lori tangki,” ujarnya.
Justeru itu katanya, pengguna disarankan membuat persiapan seperti menadah dan menyimpan air terlebih dahulu kerana dikhuatiri berlaku gangguan bekalan air.
18 Jan 23
554
RM14.5 Juta Bagi Projek Rumah PPTS Marang
MARANG, 17 Januari- Kerajaan negeri telah membelanjakan RM14.5 juta sejak tahun 2018 sehingga 2022 bagi pembinaan Projek Perumahan Terengganu Sejahtera (PPTS) dan baik pulih rumah di daerah Marang.
Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, jumlah tersebut melibatkan sebanyak 67 buah rumah PPTS dibina baharu di empat Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam parlimen Marang.
"Selain daripada Rumah Mampu Milik (RMM) yang telah dibina kerajaan negeri, PPTS ini juga sebenarnya termasuk sebahagian daripada manifesto yang dijanjikan dan ia telah dibina di seluruh DUN di Negeri Terengganu.
Ahmad Samsuri menandatangani plak penyerahan di rumah yang diterima Nurhayana Ismail (kiri).
"Pada kerajaan dan saya sendiri, saya merasakan ini adalah antara usaha kita memastikan bahawa rakyat yang memerlukan dapat memiliki rumah sebagai tempat mereka berteduh bersama anggota keluarga masing-masing," katanya.
Beliau berkata demikian kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas menyampaikan PPTS kepada lapan penerima di Kampung Alur Tuman, di sini hari ini.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang itu turut memberi jaminan bahawa usaha tersebut akan dilakukan secara berterusan.
"Kita juga sentiasa perhatikan dari masa ke masa kepada mereka yang memerlukan dan insya-Allah, PPTS ini akan terus dilaksanakan untuk keperluan rakyat seluruhnya," katanya.
Berdasarkan rekod, sebanyak 15 buah rumah PPTS telah dibina di DUN Rhu Rendang dengan kos sebuah rumah sebanyak RM56,000. Selain itu, DUN Bukit Payung merekodkan pembinaan 19 buah PPTS, Alor Limbat sebanyak tujuh buah dan 26 buah di DUN Pengkalan Berangan.
17 Jan 23
1036
Sihir, Pukau Masih Wujud Dalam Masyarakat
KUALA TERENGGANU, 17 Januari – Kes sihir dan pukau masih wujud dalam masyarakat menurut laporan yang diterima di Bahagian Unit Undang-Undang Keluarga, JHEAT di sini.
Ketua Penolong Pesuruhjaya Kanan Bahagian Undang-Undang Keluarga JHEAT, Moktar Salleh berkata keadaan iti adalah realiti yang berlaku di dalam masyarakat.
Katanya, sihir merupakan perbuatan meminta pertolongan jin dan syaitan bagi mendapatkan sesuatu dengan jalan yang mudah.
“Lazimnya ia bertujuan untuk mendapatkan wang dan juga memudaratkan orang lain akibat hasad dan dengki daripada pelaku.
“Di JHEAT turut menerima aduan berhubung dengan sihir, pukau dan sebagainya yang merosakkan sesuatu hubungan dalam rumah tangga,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemubual oleh Urus Setia Penerangan Darul Iman bertempat di Tingkat 1, Bahagian Undang-Undang Keluarga, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) di sini baru-baru ini.
Tambah Moktar, beberapa hari lepas juga turut dilaporkan seorang perempuan yang telah ditipu oleh beberapa orang lelaki yang dipercayai mempunyai unsur sihir dan pukau sehingga menyebabkan kerugian sebanyak RM70,000.
Justeru, menyebabkan berlaku konflik dalam rumah tangga mereka sehingga berlaku tuntutan cerai.
"Oleh sebab itu, pelbagai usaha yang telah dilakukan oleh Kerajaan Negeri dan JHEAT dalam membendung masalah ini daripada terus berlaku.
“Antaranya dengan melaksanakan enakmen sihir dan bomoh bagi mendidik rakyat agar tidak terlibat dengan unsur-unsur yang bercanggah dengan syarak dan juga menggunakan kaedah yang betul selari dengan syariah Islam dalam mendapatkan rawatan,” katanya.
Sementara itu, tambah beliau, JHEAT juga akan mengeluarkan senarai rasmi Pengamal Rasmi Pengubatan Islam yang telah diiktiraf serta mendapat lesen daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di bawah Unit Perubatan Tradisional & Komplimentari.
“Pengamal Rasmi pengubatan Islam itu akan melalui pelbagai tapisan oleh KKM dengan Kerjasama JHEAT sebelum mendapat kelulusan bagi merawat pesakit,” ujarnya.
17 Jan 23
625
Terengganu Sambut Baik Saranan Wartakan Habitat Bunga Pakma
KUALA TERENGGANU, 17 Januari- Kerajaan negeri menyambut baik saranan aktivis alam sekitar supaya mewartakan kawasan hutan di negeri ini yang mempunyai habitat bunga pakma atau nama saintifiknya Raflesia sebagai kawasan nilai pemeliharaan yang tinggi (HCVF).
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Negeri, Ariffin Deraman berkata, pihaknya akan melihat perkara itu dengan lebih terperinci sebelum sebarang keputusan dibuat dalam usaha melindungi spesies bunga terbesar di dunia itu.
“Kalau kawasan hutan ini diwartakan untuk kebaikan dan dapat menjamin daripada pencerobohan dan sebagainya, baguslah.
“Kita akan lihat cadangan ini (diwartakan) untuk kebaikan,” ujarnya ketika dihubungi pemberita, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan penemuan bunga pakma atau popular dengan nama Rafflesia di Hutan Simpan Tembat, Jenagor, Hulu Terengganu baru-baru ini telah menjadikan hutan berkenaan antara lokasi pilihan pencinta alam dan penggiat aktiviti pendakian.
Sementara Pegawai Hutan Daerah Terengganu Barat, Jabatan Perhutanan Terengganu, Mohd Shahril Nizam Mat Ali seperti dipetik dalam laporan Harian Metro memaklumkan, sejak penemuan pertama pada 2019, Hutan Simpan Tembat terus dikunjungi orang ramai yang masuk untuk melihat dan merakam gambar tumbuhan berkenaan.
Beliau berkata, orang ramai yang melihat dan merakam gambar tumbuhan berkenaan dinasihat supaya tidak terlalu ghairah mendekati tumbuhan itu kerana ia sejenis tumbuhan yang sensitif.
"Rafflesia tidak boleh disentuh sesuka hati dan ia boleh menyebabkan tumbuhan itu mati.
"Orang ramai juga dinasihatkan agar tidak berada terlalu dekat dengan bunga berkenaan dalam kumpulan yang ramai kerana ia boleh menyebabkan akar tumbuhan rosak.
"Rafflesia yang ada di sini (Hutan Simpan Tembat) adalah dari spesis "Cantleyi" dan sekarang ia dalam tempoh mengembang.
"Jadi, orang ramai khususnya penggiat aktiviti lasak dan mendaki yang datang ke sini untuk melihat bunga berkenaan dinasihatkan tidak terlalu ghairah menghampiri tumbuhan berkenaan.
"Perkara paling penting sebelum memasuki kawasan hutan simpan, orang ramai perlu mendapatkan permit Jabatan Perhutanan Hulu Terengganu dahulu untuk melihat bunga berkenaan dengan permohonan perlu dibuat awal," katanya.
17 Jan 23
227