lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Payang Walk Bakal Jadi Tumpuan Utama Pelancongan Terengganu
Payang Walk Bakal Jadi Tumpuan Utama Pelancongan Terengganu
KUALA TERENGGANU, 22 Julai - Payang Walk dan Operasi Beca Warisan dijangka menjadi tumpuan utama dalam meningkatkan lagi industri pelancongan di negeri Terengganu. Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata inisiatif itu merupakan salah satu usaha untuk memperkasa Pasar Kedai Payang yang juga merupakan aset pelancongan utama negeri ini. Katanya, secara tidak langsung ia juga akan menjadi tarikan baharu Pasar Kedai Payang yang telah sedia terkenal sebagai salah satu tempat pelancongan yang popular. “Antara strategi yang telah dirangka adalah melalui inisiatif pembangunan produk-produk pelancongan baharu selain memberi nilai tambah pada kawasan pelancongan sedia ada. “Payang Walk ini diwujudkan bertujuan untuk memperkasakan imej Kuala Terengganu sebagai Bandaraya Warisan Pesisir Air,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika Menyempurnakan Majlis Perasmian Payang Walk dan Operasi Beca Warisan bertempat di Pesisir Payang, Kuala Terengganu di sini semalam. Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman dan Datuk Bandar dan Datuk Bandar Kuala Terengganu, Rosli Latif. Tambah Ahmad Samsuri, dengan adanya payang walk dan laluan khas beca ini, dijangka akan meningkatkan kedatangan pelancong dan pengunjung ke kawasan ini. “Sekali gus, meningkatkan populariti beca kepada mereka. “Selaras dengan tagline 'Bandar Raya Warisan Pesisir Air', cadangan payang walk dan laluan beca warisan di sekitar Pasar Kedai Payang ini akan dapat menarik lebih ramai lagi pelancong untuk datang ke Terengganu,” ujarnya.  
22 Jul 23
519
Fiesta Candat Sotong Marang Tarik Lebih 300 Peserta
Fiesta Candat Sotong Marang Tarik Lebih 300 Peserta
MARANG, 22 Julai – Seramai lebih 300 peserta menyertai Fiesta Candat Sotong 2023 Marang yang merupakan aktiviti tahunan di sini. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata apabila tiba musim mencandat, orang ramai akan membuat tempahan bot untuk merasai sendiri pengalaman mencandat sotong di tengah laut. Katanya, sebanyak 33 bot berdaftar yang terdiri daripada Jabatan-Jabatan, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan sebagainya. “Marang sekali lagi menjadi tuan rumah pada tahun ini kerana mempunyai daya tarikan tersendiri sebagai tempat ikonik aktiviti itu. “Acara tahunan ini juga secara tidak langsung mempromosikan negeri Terengganu sebagai destinasi tumpuan pelancong bagi merasai pengalaman mencandat sotong,” jelasnya. Beliau berkata demikian selepas Menyempurnakan Majlis Pelepasan Fiesta Candat Sotong 2023 bertempat di Jeti LKIM Marang di sini semalam. Turut hadir Pengarah Pelancongan Negeri Terengganu, Fadli Yusof Zakaria dan Pegawai Daerah Marang, Lizan Che Mat. Program ini anjuran bersama Kerajaan Negeri, Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Pejabat Daerah Marang serta beberapa lagi agensi dan NGO terlibat. Tambah Ariffin Deraman, program ini berlangsung selama dua hari iaitu bermula 21 dan 22 Julai 2023. “Pada hari terakhir akan diadakan sesi penyampaian hadiah kepada para pemenang dari pelbagai kategori yang dipertandingkan seperti sotong terberat, terpanjang dan sebagainya. “Hadiah bernilai lebih RM10,000 ditawarkan kepada para pemenang dalam fiesta kali ini. “Program ini juga secara tidak langsung dapat menyumbang kepada peningkatan ekonomi penduduk tempatan menerusi aktiviti rantaian pelancongan. “Untuk rekod, Program candat sotong Terengganu pernah diiktiraf sebagai Program Pelancongan Terbaik pada tahun 2019 daripada Majlis Pelancongan Malaysia,” ujarnya.  
22 Jul 23
301
Maritim Terengganu Lupus Dua Bot Nelayan Vietnam
Maritim Terengganu Lupus Dua Bot Nelayan Vietnam
KUALA TERENGGANU, 21 Julai – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Terengganu melupuskan dua buah bot nelayan Vietnam yang telah dilucut hak, semalam. Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid berkata, kaedah hancur musnah dilaksanakan ke atas bot yang bawah 70 GRT (gross register tonnage). Katanya, Pelupusan kali ini adalah merupakan siri yang kelima pada tahun 2023 membabitkan 12 buah bot. “Bot yang dihancur musnah kali ini merupakan bot yang telah ditahan bersama 12 kru termasuk tekong pada tahun lalu di sekitar kedudukan 102 batu nautika dari Kuala Terengganu kerana didapati menceroboh perairan dan melakukan aktiviti perikanan tanpa kebenaran. “Tindakan pelupusan itu diambil kepada mereka yang menceroboh perairan negara melalui kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan Malaysia,” jelasnya. Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media pada hari ini. Maritim Malaysia Negeri Terengganu sentiasa tegas dalam melaksanakan Undang-undang di perairan negeri Terengganu. Khususnya demi memastikan sumber perikanan negara dapat dilindungi dan kedaulatan negara terpelihara. Maritim Malaysia turut memohon kerjasama daripada masyarakat terutama komuniti maritim untuk melaporkan sebarang maklumat perlakuan yang melanggar undang-undang dan kejadian kecemasan yang berlaku di perairan negara ke talian MERS 999.  
21 Jul 23
127
Isu 3R : Tidak Adil Hanya PN Dikenakan Tindakan
Isu 3R : Tidak Adil Hanya PN Dikenakan Tindakan
SETIU, 21 Julai - Tidak adil jika undang-undang berkait isu 3R iaitu bangsa, agama, dan raja hanya dikenakan terhadap Perikatan Nasional (PN) sedangkan jelas ada pemimpin parti pihak kerajaan melanggar tiga perkara itu. Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, sebelum ini maestro DAP ada membuat perjanjian antara semua parti politik supaya isu 3R tidak dibangkitkan dalam Pilihan Raya. "Saya kata apa jua undang-undang yang ada haruslah sama rata bukan (dikenakan) kepada pihak pembangkang sahaja. "Kalau tidak ia menyebabkan ketidakadilan berlaku, kalau kita hendak berlawan dalam pilihan raya tentukan perlu berlawan dalam padang yang sama rata. "Tapi apabila merasa tertekan maka dia (PHBN) mengenakan syarat untuk menekan pihak lawan, tidak bolehlah macam tu,"ujarnya. Beliau berkata demikian pada sidang medianya selepas menyempurnakan Majlis Perasmian dan Penyerahan Kunci Rumah Pekerja, di Ladang Jaya Sungai Tong, di sini semalam. Dalam pada itu ketika diajukan soalan adakah pendakwaan yang berlaku ke atas Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Sanusi Mohd Nor merupakan usaha pihak tertentu membunuh karakternya, Ahmad Samsuri berkata apa yang tular dalam di media sosial sudah menjawab persoalan itu. "Saya tak nak komen, tetapi para anggota masyarakat di luar sana terutamanya netizen boleh mendengar sendiri apa yang disebut oleh salah seorang menteri di peringkat pusat yang menyebut mereka telah ada perancang untuk buat itu dan ini sehingga 'viral' dalam TikTok. "Jadi apa sebenarnya ini? kita sedang berhadapan Pilihan Raya atau sebaliknya, kalau hadap Pilihan Raya kena buat cara hadap Pilihan Raya," katanya. Menjawab sama ada Sanusi masih boleh terlibat dengan kempen PRN, ujarnya tidak ada sebarang halangan untuk terus berkempen sebagaimana calon-calon yang lain mengikut garis panduan yang telah ditetapkan. "Sentiasa ada perbincangan untuk meningkatkan keberkesanan komunikasi di kalangan peimpinan dan penceramah, memang kita sentiasa mengkaji dari semasa ke semasa," ujarnya.
21 Jul 23
435
Malam Cinta Rasul Disambut Meriah, 15 Ribu Hadir
Malam Cinta Rasul Disambut Meriah, 15 Ribu Hadir
KUALA NERUS, 21 Julai - Program Malam Terengganu Cinta Rasul telah mencipta sejarah tersendiri apabila seramai 15,000 rakyat hadir memeriahkan program berkenaan. Lebih menarik program tersebut telah mendapat sambutan yang mengalakkan daripada kalangan anak muda. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Dato' Mohd Nor Hamzah berkata, dengan sambutan ramai itu menunjukkan usaha kerajaan negeri selama ini untuk memperhebatkan program keagamaan mencapai matlamat. "Komitmen kerajaan negeri selama ini adalah untuk mengajak masyarakat agar sentiasa bersama dengan Islam, mencintai Rasulullah dan mengikuti segala sunnah baginda. "Dalam masa yang sama kerajaan negeri berusaha mendekatkan rakyat dengan golongan agamawan terdiri daripada para alim ulama, tuan guru dan para guru-guru agama yang merupakan pewaris para nabi dan para rasul," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada Malam Terengganu Cinta Rasul yang didakan di Stadium Tertutup Kompleks Sukan, di sini, semalam. Antara Tuan Guru (TG) serta pendakwah yang hadir bagi mengisi program bersempena dengan Sambutan Semarak Dakwah itu ialah Ustaz Azhar Idrus, Habib Nael Thohir, TG Habib Syed Suhaimi, TG Babas Suplar, TG Ustaz Raqim Annuria dan Pencetus Ummah (PU) Syed. Selain itu turut menampilan kumpulan nasyid In-Team, Qasidah Shoutul Muhibbin serta Ustaz Ahmad Muzani Dalam pada itu Mohd Nor turut mengharapkan agar usaha berterusan kerajaan negeri selama ini mengadakan program-program keagamaan akan berupaya mendidik rakyat serta menyuntik jiwa rakyat agar meletakkan Islam di kedudukan yang tertinggi serta mencapai reda Allah. "Saya mewakili kerajaan negeri memohon agar tuan guru, ustaz-ustaz dan seluruh yang hadir pada malam ini dengan perasaan rendah diri memohon mendoakan agar Allah SWT mengampunkan dosa kami selaku pemimpin negeri yang sudah tentu banyak kelemahan. "Serta mendoakan agar Allah mendatangkan keberkatan pada kerjaan negeri ini," ujarnya.  
21 Jul 23
365
Ahmad Samsuri, Annuar Musa Calon PN Parlimen KT?
Ahmad Samsuri, Annuar Musa Calon PN Parlimen KT?
SETIU, 20 Julai - Nama Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Pengerusi Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar musa terus berlegar di media sosial sebagai calon yang akan mewakili PAS untuk Parlimen Kuala Terengganu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) nanti. Menurut Ahmad Samsuri, beliau menyifatkan perkara itu hanya khabar angin yang disensasikan oleh pelbagai pihak menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (Negeri) dan PRK Kuala Terengganu. "Saya dengar macam-macam, bukan Tan Sri Annuar Musa sahaja, ada nama-nama lain turut disebut, spekulasi yang berlegar di media sosial serta yang berlegar dalam mesyuarat itu cerita lain. "Jadi kita tidak boleh menghalang mana-mana pihak untuk membuat sebarang spekulasi di media sosial, Setakat ini saya tidak mempunyai maklumat (mengenai calon yang akan dipertaruhkan)," ujarnya. Beliau berkata demikian pada sidang akhbarnya selepas menyempurnakan Majlis Perasmian dan Penyerahan Kunci Rumah Pekerja, di Ladang Jaya Sungai Tong, di sini, hari ini. Mengulas lanjut beliau yang juga merupakan Naib Presiden PAS itu berkata, Perikatan Nasional (PN) membuka peluang sama ada calon import atau tempatan sebelum dimuktamadkan. "Terbuka, yang penting pada data dan analisa kita dan gerak kerja pilihan raya menunjukkan dia boleh menang, sesuai untuk jadi wakil kepada rakyat bagi menyampaikan suara kepada pihak atasan," katanya.
20 Jul 23
641
GLC Terengganu Bina 712 Rumah Untuk Pekerja
GLC Terengganu Bina 712 Rumah Untuk Pekerja
SETIU, 20 Julai - Sarikat berkaitan kerajaan negeri, TDM Berhad melalui TDM Plantation Sdn. Bhd. (TDMP) membina 712 unit rumah bagi menggantikan kediaman yang telah usang dan memastikan kebajikan staf terbela. Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, projek yang menelan kos sebanyak RM70 juta itu disasarkan siap sepenuhnya dalam tempoh lima tahun bermula 20 Oktober 2021. "Hari ini telah diserahkan dulu sebanyak 56 unit rumah yang telah siap kepada penerima, manakala 24 unit lagi kini dalam pembinaan dan 200 unit lagi dijangka akan mula dibina pada tahun ini. "Kita memulakan projek pembinaan rumah bagi menggantikan rumah lama ini dijalankan secara berperingkat melibatkan empat fasa. "Tujuannya adalah untuk menambahkan keselesaan, daripada rumah kayu yang tidak selesa kepada rumah yang lebih kondusif untuk memberikan keselesaan kepada pekerja bersama anak dan keluarga," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian dan Penyerahan Kunci Rumah Pekerja, di Ladang jaya Sungai Tong, di sini hari ini. Sementara itu, salah seorang penerima, Yusri Afindi Abd Rahman, 48, tidak menyangka rumah yang diterima sangat baik dan selesa serta dilengkapi tiga bilik tidur, dua bilik air dan satu bilik utiliti dengan keluasan 1,000 kaki persegi. "Alhamdulillah ahirnya hajat saya tercapai, dengan pendapatan saya sebagai pekerja ladang walaupun telah berkerja selama 23 tahun rasanya saya tidak berkeupayaan untuk memiliki rumah seumpama ini. "Pada awalnya menyangkakan hanya akan dibina rumah biasa-biasa sahaja, saya sangat gembira dan terasa kebajikan setelah sekian lama bekerja di sini terbela," katanya. Seorang lagi penerima Rosliza Mohd, 32, juga turut menzahirkan perasaan teruja dengan apa yang telah diperolehi. "Gembira, kerana inilah yang telah dinantikan sejak sekian lama. Saya sebelum ini telah dimaklumkan oleh pihak majikan bahawa rumah sebelum ini akan diganti kepada rumah baru, cuma tidak menyangka rumah yang akan diberikan begitu selesa untuk kami bersama dua anak. "Saya memang tinggal di sini sekian lama, dilahirkan di sini kerana sebelum ini orang tua saya bekerja di ladang ini, kini saya dan suami. Mohd Hafizzal Salleh juga turut berkerja di sini, Alhamdulillah dengan rezeki yang diperolehi ini, rumah yang lama telah pun berganti baru," ujarnya.  
20 Jul 23
465
Banyak Lagi Projek 'Sakit' Zaman UMNO Akan Dibaik Pulih
Banyak Lagi Projek 'Sakit' Zaman UMNO Akan Dibaik Pulih
MARANG, 19 Julai – Kerajaan Negeri sedang meneliti beberapa lagi projek terbengkalai di zaman UMNO untuk dibaik pulih. Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerajaan negeri sedang mengkaji terlebih dahulu mengenai projek tersebut sebelum mengambil tindakan sepatutnya. “Hal ini kerana, disebabkan oleh pelbagai faktor seperti kekangan perundangan dan sebagainya. “Insya-Allah senarai itu akan diketahui umum yang mana kita akan fokus selepas daripada ini,” jelasnya. Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu bertempat di Tapak SMIYT Marang, Kampung Tok Muchong, Marang di sini semalam. Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Dato’ Satiful Bahri Mamat dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Penerangan dan Dakwah Negeri, Dato’ Mohd Nor Hamzah. Dalam perkembangan lain, Ahmad Samsuri menyambut baik keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang mengumumkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Terengganu diadakan serentak dengan PRN membabitkan enam negeri. “Keputusan itu menjimatkan kos di pihak SPR kerana pilihan raya memerlukan kos besar. “Jadi, bila buat serentak ini, dapat jimat duit SPR dan kerajaan pusat,” ujarnya. Terdahulu, Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani yang mengumumkan PRK Kuala Terengganu diadakan serentak dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos depan.    
19 Jul 23
427
Bakal Cetus Fenomena, Ribuan Rakyat Berhimpun
Bakal Cetus Fenomena, Ribuan Rakyat Berhimpun
KUALA TERENGGANU, 18 Julai - Ribuan rakyat bakal berhimpun di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Terengganu Gong Badak Khamis ini bagi memeriahkan program Malam Terengganu Cinta Rasul yang akan mencetuskan fenomenanya yang tersendiri. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Dato' Mohd Nor Hamzah berkata, program itu bersempena dengan Sambutan Semarak Dakwah di Awal Muharram. "Ini merupakan satu program kerajaan negeri yang dianjurkan melalui Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT) dengan kerjasama institusi pondok, maahad tahfiz dan juga sekolah-sekolah agama. "Semua rakyat dijemput untuk hadir ke program ini untuk bersama-sama mengalunkan selawat juga bagi membangitkan perasaan rindu serta menanamkan perasaan cinta kepada Rasulullah SAW di mana inilah menjadi rahsia kehebatan orang yang ada di zaman dahulu. "Juga melahirkan semangat bagi menjadi mata rantai bagi meneruskan perjuangan Rasul di malam cinta rasul itu nanti," ujarnya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) baru-baru ini. Program berkenaan akan turut disusuli munajat bagi memohon keberkatan dari Allah SWT agar terus memberkati negeri ini dan rakyatnya. Pelbagai aktiviti menarik diadakan khusus sepanjang program tersebut bermula jam 8.00 pagi sehingga 12.00 malam yang dimulakan dengan Bacaan Surah Yasin Perdana yang akan dipimpin oleh Qari negeri Terengganu, Abdul Hadi Che Abd Halim. Kemudian akan disusuli dengan seminar penghayatan Hijrah oleh Pendakwah Selebriti, Ustazah Asmak Hussin, Ustazah Muzayyamah Abdulllah dan Motivator Terkenal, Bro Shah Kirit. Pada sebelah petang pula pengunjung berpeluang untuk bersama-sama menadah kitab denan Pengerusi Persatuan Guru-Guru Pondok Terengganu, Tuan Guru Ustaz Raqim Annuria dan slot Daurah Kitab Bersama Daie. Sebelah malanya seusai Program maal Hijrah Bersama Daie bersama Ustaz Haji Mat Esa Deraman 'Tokku Pasir Gudang', dan Solat Hajat Perdana majlis tersebut pada cara kemuncak akan berlangsung majlis perasmiannya yang akan disempurnakan oleh Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. Kemuncak acara Malam Terengganu Cinta Rasul akan menampilkan Ustaz Azhar Idrus sebagai pentausiah bersama Habib Naerl Thohir, Tuan Guru Habib Syed Suhaimi, Tuan Guru Suplar, Tuan Guru Ustaz Raqim Annuria dan Pencetus Ummah (PU) Syed. Manakala alunan selawat dan nasyid akan menampilkan kumpulan InTeam, Ustaz Ahmad Muzani (UAM) dan Qasidah Shoutul Muhibbin. Orang ramai yang akan hadir diminta mengenakan tema pakaian pada malam tersbeut iaitu berjubah putih atau mengenakan pakaian yang bersesuain bagi memeriahkan malam berkenaan.
19 Jul 23
890
Ustaz Wan Junaidi Diumum Tokoh Dakwah Negeri
Ustaz Wan Junaidi Diumum Tokoh Dakwah Negeri
KUALA TERENGGANU,19 Julai- Tenaga pengajar kitab Turath bertauliah Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu, Ustaz Wan Junaidi Wan Jaafar diumumkan sebagai Tokoh Dakwah Peringkat Negeri Terengganu tahun ini. Pengumuman itu dibuat pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Terengganu Tahun 1445H/2023M di Wisma Darul Iman di sini, hari ini. Kriteria tokoh yang dipilih adalah berdasarkan kepada sumbangan besar dalam pembangunan dakwah dan perkembangan syiar Islam selain memiliki pengetahuan, pengalaman luas serta mempunyai sifat dan keperibadian unggul. Wan Junaidi, 54, dari Kampung Kubang Bujuk, Kuala Terengganu mengabdikan diri selama 12 tahun bagi mengikuti pengajian pondok bermula dari usia 14 tahun. Antaranya, Pondok Tok Guru Haji Abas, Tok Jiring; Pondok  Pasir Tumbuh, Kelantan; Pondok Tuan Guru Baba Ismail Sepanjang, Thailand serta Pondok Al- Falahiyyah, Pondok Paku, Kerandang, Besut (Pondok Tuan Guru Baba Najmuddin, Kerandang). Wan Junaidi berkata, penganugerahan tersebut memberi semangat kepada diri beliau untuk terus meningkatkan usaha dalam memperjuangkan agama Islam. "Alhamdulillah atas anugerah ini, ianya merupakan suatu pengiktirafan daripada pihak berkuasa agama terhadap usaha saya untuk mengembangkan pengajian Kitab Turath yang banyak diguna pakai di institusi pondok dengan memberi penekanan terhadap ilmu fardu ain, tauhid, fekah dan tasawwuf. "Mudah-mudahan dengan anugerah ini akan membuka lagi minat umat Islam di negeri Terengganu khususnya dan Malaysia amnya dalam mendalami Kitab Turath. "Saya juga berharap dengan anugerah ini akan meningkatkan semangat saya untuk menyampaikan ilmu agama kepada umat Islam di Negeri Terengganu khasnya dan dapat mengajak asatizah-asatizah yang lain bersama-sama menabur bakti untuk mengembangkan dan memperluaskan ilmu agama Islam, " ujarnya. Bapa kepada sembilan cahaya mata itu turut mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada kerajaan negeri kerana memilih beliau sebagai Tokoh Dakwah tahun ini. Kini, beliau aktif mengajar kitab-kitab Turath di masjid-masjid sekitar Kuala Terengganu termasuk Masjid Negeri (Masjid Abidin) "Saya lebih kepada memberi penekanan terhadap ilmu berkaitan fardu ain, tauhid, feqah dan juga tasawwuf . "Setiap tiga kali dalam seminggu, saya akan bersiaran di Radio Terengganu FM dan bagi memberi kemudahan kepada penuntut-penuntut ilmu, mereka juga boleh mengikuti kuliah Fardhu Ain secara live menerusi FB Live: Ustaz Wan Junaidi- Original, " ujarnya.
18 Jul 23
2194