lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Kes Nik Elin : Kerajaan Terengganu Seru Semua Pihak Bersatu
Kes Nik Elin : Kerajaan Terengganu Seru Semua Pihak Bersatu
KUALA TERENGGANU, 18 Ogos – Kerajaan Terengganu menyeru semua pihak bersatu memartabatkan undang-undang syariah Islam berikutan terhadap pihak tertentu yang mencabar undang-undang tersebut. Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata beliau menyambut baik kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar terhadap kes Nik Elin Zurina yang melawan enakmen Kerajaan Negeri Kelantan. Katanya, beliau menyatakan usaha untuk memartabatkan undang-undang syariah sebagai tanggungjawab bersama semua pihak. "Untuk makluman, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) sebagai salah satu badan berkaitan agama Islam di negeri Terengganu telah diterima untuk menjadi peguam pemerhati atau ‘watching brief’ kepada prosiding kes ini. “Kerajaan Negeri Terengganu mengambil berat akan kes ini, memandangkan keputusan mahkamah akan turut memberi kesan domino kepada Enakmen-enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Terengganu. “Iaitu yang turut mengandungi kesalahan-kesalahan yang sama seperti yang dicabar oleh pihak pemohon,” jelasnya. Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media pada hari ini. Tambah Dr Khalil, beliau melihat bahawa implikasi kes ini bukan semata-mata akan menjejaskan keabsahan EKJS, tetapi akan turut menyentuh isu kedaulatan agama Islam di negara ini. “Islam telah lama diamalkan di Tanah Melayu termasuklah pemakaiannya di dalam undang-undang jenayah. “Keterangan dalam Batu Bersurat mengenai hukuman bagi kesalahan zina misalnya membuktikan bahawa negeri Terengganu telah mengamalkan ajaran Islam secara menyeluruh berabad lamanya. “Hal ini jelas membuktikan bahawa perundangan Islam adalah sebahagian daripada perundangan di Malaysia. “Kedudukan ini telah diiktiraf dan termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan ketika mana ia digubal di mana Islam telah diangkat menjadi agama persekutuan dan bidang kuasa bagi hukum syarak dikekalkan kepada sultan dan raja pemerintah di negeri-negeri," katanya. Beliau berkata, selama 66 tahun negara kita merdeka, struktur dalam Perlembagaan ini telah diterima dan diguna pakai, malah turut ditambah baik dengan memasukkan Perkara 121(1A) yang mengangkat kedudukan Mahkamah Syariah.   Namun begitu, semua yang telah kita bina ini, akan runtuh satu persatu sekiranya trend kes mahkamah yang mencabar bidang kuasa negeri ini dibiarkan berterusan tanpa apa-apa tindakan daripada pihak yang mempunyai kuasa. “Di peringkat kerajaan negeri, kami bersedia memainkan peranan untuk melindungi kedudukan dan martabat perundangan Islam yang telah dipertahankan oleh pejuang kemerdekaan sejak dahulu lagi. “Pada masa yang sama, saya mengharapkan adanya perancangan segera di pihak kerajaan persekutuan bagi mengemukakan penyelesaian terhadap situasi yang semakin meruncing ini sebelum keadaan menjadi semakin rumit dan tidak lagi boleh dibaiki. “Saya juga berharap agar panel hakim di Mahkamah Persekutuan kali ini dapat mengambil peluang ini untuk melihat dan menyemak kembali keputusan-keputusan mahkamah terdahulu yang tidak mengangkat kedudukan Islam dalam sistem perundangan negara kepada martabat yang sepatutnya,” ujarnya.
18 Aug 23
14364
Kes Cabar Undang-undang Syariah : Seruan Untuk Semua Pihak Daulatkan Islam
Kes Cabar Undang-undang Syariah : Seruan Untuk Semua Pihak Daulatkan Islam
Merujuk kepada kes Nik Elin Zurina melawan Kerajaan Negeri Kelantan, saya menyambut baik kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar yang menyatakan bahawa usaha untuk memartabatkan undang-undang syariah sebagai tanggungjawab bersama semua pihak.  Untuk makluman, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) sebagai salah satu badan berkaitan agama Islam di negeri Terengganu telah diterima untuk menjadi peguam pemerhati atau ‘watching brief’ kepada prosiding kes ini. Kerajaan Negeri Terengganu mengambil berat akan kes ini, memandangkan keputusan mahkamah akan turut memberi kesan domino kepada Enakmen-enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Terengganu yang turut mengandungi kesalahan-kesalahan yang sama seperti yang dicabar oleh pihak pemohon. Dalam pada itu, saya melihat bahawa implikasi kes ini bukan semata-mata akan menjejaskan keabsahan EKJS, tetapi akan turut menyentuh isu kedaulatan agama Islam di negara ini. Islam telah lama diamalkan di Tanah Melayu termasuklah pemakaiannya di dalam undang-undang jenayah. Keterangan dalam Batu Bersurat mengenai hukuman bagi kesalahan zina misalnya membuktikan bahawa negeri Terengganu telah mengamalkan ajaran Islam secara menyeluruh berabad lamanya. Hal ini jelas membuktikan bahawa perundangan Islam adalah sebahagian daripada perundangan di Malaysia. Kedudukan ini telah diiktiraf dan termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan ketika mana ia digubal di mana Islam telah diangkat menjadi agama persekutuan dan bidang kuasa bagi hukum syarak dikekalkan kepada sultan dan raja pemerintah di negeri-negeri.  Selama 66 tahun negara kita merdeka, struktur dalam Perlembagaan ini telah diterima dan diguna pakai, malah turut ditambah baik dengan memasukkan Perkara 121(1A) yang mengangkat kedudukan Mahkamah Syariah.  Namun begitu, semua yang telah kita bina ini, akan runtuh satu persatu sekiranya trend kes mahkamah yang mencabar bidang kuasa negeri ini dibiarkan berterusan tanpa apa-apa tindakan daripada pihak yang mempunyai kuasa. Di peringkat kerajaan negeri, kami bersedia memainkan peranan untuk melindungi kedudukan dan martabat perundangan Islam yang telah dipertahankan oleh pejuang kemerdekaan sejak dahulu lagi. Pada masa yang sama, saya mengharapkan adanya perancangan segera di pihak kerajaan persekutuan bagi mengemukakan penyelesaian terhadap situasi yang semakin meruncing ini sebelum keadaan menjadi semakin rumit dan tidak lagi boleh dibaiki.  Saya juga berharap agar panel hakim di Mahkamah Persekutuan kali ini dapat mengambil peluang ini untuk melihat dan menyemak kembali keputusan-keputusan mahkamah terdahulu yang tidak mengangkat kedudukan Islam dalam sistem perundangan negara kepada martabat yang sepatutnya.  YB Dr. Muhammad Khalil bin Abdul Hadi, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Kerajaan Negeri Terengganu. 18 Ogos 2023 | 2 Safar 1445 H
18 Aug 23
1039
Kerajaan Terengganu Fokus Tingkat Hasil Pendapatan Negeri
Kerajaan Terengganu Fokus Tingkat Hasil Pendapatan Negeri
KUALA TERENGGANU, 17 Ogos – Kerajaan Negeri memberi fokus dalam usaha meningkatkan hasil pendapatan negeri bagi mengurangkan kebergantungan kepada petroleum. Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata sepanjang tempoh penggal yang lepas kerajaan negeri telah berjaya membuktikan pengurangan kebergantungan royalti tersebut. Katanya, iaitu dengan berjaya mengurangkan sebanyak empat peratus. “Pada kali ini kita akan mengurangkan dengan jumlah yang besar kebergantungan royalti. "Iaitu dengan mengambil pelbagai pendekatan antaranya mewujudkan kawasan industri baharu dengan mengambil kira kewujudan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL)," jelasnya. Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas selesai mesyuarat pertama Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri bertempat di U2, Wisma Darul Iman di sini semalam. Turut hadir, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja dan pegawai-pegawai tinggi kerajaan negeri. Tambah Ahmad Samsuri, pembangunan pusat perindustrian baharu terutama di utara Terengganu iaitu Besut dan Setiu secara tidak langsung dapat merancakkan lagi perkhidmatan kargo. "Susulan itu, ia dapat mengubah wajah pembangunan ekonomi di dua daerah tersebut. “Kita akan mengerahkan seluruh jentera supaya bergerak ke arah mewujudkan kawasan industri yang baharu untuk mengambil manfaat daripada kewujudan ECRL. “Terutama di kawasan yang kurang diberi fokus sebelum ini seperti kawasan utara Terengganu iaitu Besut dan Setiu,” ujarnya.  
17 Aug 23
763
Maritim Terengganu Tenggelamkan Empat Bot Nelayan Vietnam
Maritim Terengganu Tenggelamkan Empat Bot Nelayan Vietnam
KUALA TERENGGANU, 17 Ogos - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Terengganu hari ini, melupuskan empat bot nelayan Vietnam yang dilucut hak Pulau Susu Dara, Besut hari ini. Kepten Maritim Khairulanuar Abd Majid berkata, empat bot itu ditenggelamkan untuk dijadikan tukun tiruan di Pulau tersebut. Katanya, empat bot ini menggunakan kaedah tukun merupakan satu inisiatif dalam memulihara dan menggalakkan biodiversiti marin. “Simbolik kepada keseriusan Maritim Malaysia mengekang kemasukan nelayan asing ke perairan negara secara haram. “Kesemua bot tersebut adalah bot nelayan asing Vietnam yang ditahan serta dilucut hak oleh mahkamah sepanjang tahun 2022 atas kesalahan menceroboh dan menangkap ikan di perairan negara,” jelasnya. Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media pada hari ini. Tambah Khairulanuar, keempat-empat bot ini ditahan melalui Op Naga Barat dan Op Kuda Laut yang dilaksanakan sepanjang tahun lepas. Menurutnya, proses menenggelamkan kesemua bot ini agak mencabar kerana cuaca yang tidak menentu, hujan lebat dan ombak bergelora selain angin bertiup kencang. “Ini merupakan pelupusan ke-16 dalam tahun ini oleh Maritim Negeri Terengganu dan dijangkakan sebanyak 20 bot lagi bakal ditenggelamkan setelah mendapat pelucutan hak daripada mahkamah pada tahun ini,” katanya. Sehingga kini, sejumlah 165 bot telah dilupuskan melalui kaedah ditenggelamkan sebagai tukun di sepanjang perairan Terengganu atau hancur musnah oleh Maritim Negeri Terengganu. “Program pelupusan bot ini turut mendapat kerjasama Jabatan Perikanan Malaysia, Jabatan Laut Malaysia serta Institut Sumber Marin Asia Tenggara (ISMAT). “Maritim Malaysia akan terus melaksanakan rondaan untuk mengesan kegiatan pencerobohan nelayan asing dan juga aktiviti-aktiviti yang melanggar undang- undang di sekitar perairan Terengganu,” ujarnya.    
17 Aug 23
344
Penganjuran Gamelan Terengganu Terima Pengiktirafan Malaysia Books Of Record
Penganjuran Gamelan Terengganu Terima Pengiktirafan Malaysia Books Of Record
KUALA TERENGGANU, 18 Ogos- Pengiktirafan Sijil Malaysia Books Of Record yang diterima Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu hari ini retetan kejayaan penganjurkan Mini Konsert Gamelan Cilik 2023 (Most Students In A Gamelan Performance Total, 90 Students). Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Fadli Yusof Zakaria berkata program yang berlangsung pada 11 Februari lalu bertempat di Kampung Budaya Terengganu. Katanya, program tersebut menampilkan 80 jenis alatan muzik gamelan dalam satu masa antaranya Kromong, Gambang, Saron Pekin, Saron Baron, Saron Demong, Kenong, Gong Agong, Suwukan, Gong Ibu Anak, Saron Demun. “Program kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu itu melibatkan 90 pelajar sekolah rendah dan menengah dari daerah Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Marang dan Hulu Terengganu telah terlibat secara langsung. “Hari ini dianggap sebagai hari paling bersejarah dan kejayaan yang patut dibanggakan oleh semua pihak terutamanya kakitangan jabatan yang terlibat, pengiat dan pencinta seni gamelan,” jelasnya. Beliau berkata demikian dalam satu satu kenyataan media pada semalam. Tambah Fadli Yusof, demi memastikan kesinambungan serta kelestarian kesenian ini sentiasa terpelihara SUKTRA Terengganu telah menghantar jurulatih muzik dan tari atau lebih dikenali sebagai ‘Adiguru’. Beliau berkata, Adiguru tersebut dihantar ke sekolah-sekolah yang terpilih dan berbakat serta mempunyai alatan set muzik gamelan yang lengkap bagi program Tunas SUKTRA. “Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu menjadi perantara diatara kerajaan negeri dan penggiat seni dan budaya bagi menyedia dan menyalurkan kemudahan-kemudahan. “Serta bantuan kerja-kerja pemuliharaan, pengembangan dan pemerkasaan seni budaya negeri Terengganu. “Terima kasih kepada To’ Puan Seri Norzaini Abd Latif tercetusnya idea bagi program pengembangan seni muzik dan tari cilik disekolah-sekolah,” ujarnya.              
16 Aug 23
439
Mula Kerja Terus Masuk Gear Tiga – MB Terengganu
Mula Kerja Terus Masuk Gear Tiga – MB Terengganu
KUALA TERENGGANU, 16 Ogos – Kerajaan Negeri bertekad untuk bergerak pantas dan lebih agresif pada penggal kedua mentadbir kerajaan Terengganu. Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata jika pada penggal pertama kerajaan negeri bergerak gear satu namun pada penggal kali ini pihaknya bergerak dengan gear tiga. Katanya, ia bagi menjalankan aktiviti terhadap rakyat serta pemerkasaan negeri ini. “Saya akan bersama Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) akan bertemu dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta pegawai-pegawai kerajaan negeri bagi merangka lebih jelas lagi halatuju penggal ini. "Saya mengarahkan serta bersetuju untuk memastikan Exco yang memegang portfolio masing-masing untuk merangka gerak kerja yang berkesan pada tempoh empat bulan ini," jelasnya. Beliau berkata demikian ketika Sidang Media selepas Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) bertempat di U2, Wisma Darul Iman di sini hari ini. Turut hadir, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja dan pegawai-pegawai tinggi kerajaan negeri. Tambah Ahmad Samsuri, setiap zaman dan masa mempunyai cabaran berbeza. “Walaupun, pada penggal ini tiada covid namun dari sudut menaikkan ekonomi negeri masih lagi mempunyai cabaran tertentu. “Kita akan bersama dengan semua pihak bagi mengatasi pelbagai cabaran termasuk bekerjasama dengan kerajaan pusat,” katanya. Oleh itu, saya sentiasa menekankan kepada kepimpinan Putrajaya serta saya sebut secara terbuka dalam ucapan ketika Perdana Menteri Malaysia hadir di Terengganu. “Bahawa kita sangat terbuka untuk mencari jalan bagaimana untuk membantu mengurangkan tekanan ekonomi bagi membantu negara dan rakyat. “Ini tidak boleh dicapai dengan sebelah pihak sahaja bahkan melalui pelbagai pihak,” ujarnya.      
16 Aug 23
552
Sedia Kerjasama Dengan Semua Pihak Demi Rakyat - MB
Sedia Kerjasama Dengan Semua Pihak Demi Rakyat - MB
KUALA TERENGGANU, 16 Ogos – Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bersikap terbuka dan bersedia bekerjasama dengan semua pihak termasuk kerajaan Persekutuan demi rakyat. Ahmad Samsuri berkata, pendekatan itu perlulah diambil oleh semua pihak bagi memastikan rakyat di seluruh negara mendapat manfaat. Katanya, pemberi dan penerima perlulah bersikap matang dan jujur dalam menyelesaikan sesuatu perkara. “Saya selalu tegaskan bahawa kita mengamalkan politik matang dan sejahtera kerana akhirnya yang menjadi kesan bukan kepada kerajaan semata-mata bahkan kepada rakyat. “Jadi dengan pendekatan ini kami sentiasa bersikap terbuka untuk berunding dengan semua pihak demi rakyat,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika Sidang Media selepas selesai mesyuarat pertama Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) bertempat di U2, Wisma Darul Iman di sini hari ini. Terdahulu pada selasa Ahmad Samsuri berkata, beliau dan pimpinan kerajaan negeri akan mengamalkan pendekatan sama iaitu politik harmoni, matang dan sejahtera termasuklah apabila berhubung dan berkopmunikasi dengan kerajaan persekutuan. “Setelah berakhir pilihan raya, malam itu saya menerima beberapa mesej daripada rakan-rakan Yang Berhormat (YB) Menteri di peringkat persekutuan yang menyatakan kesediaan untuk bertemu dan meneruskan hubungan baik antara kedua-dua kerajaan. “Jadi saya rasa tiada masalah dan kita di kerajaan negeri akan terus mengusahakan hubungan yang baik dengan persekutuan," katanya. Beliau berkata, itulah realiti yang ada dalam perlembagaan negara kita, jadual 9 memperuntukkan kuasa bersama, kuasa kerajaan pusat dan kuasa negeri. “Apabila sebut kuasa bersama, bagaimana hendak bersama jika tiada perbincangan? “Jadi mestilah wujud perbincangan -perbincangan dan hubungan rapat antara kerajaan negeri dan pusat. “Saya harap selepas pru ini semua pihak dapat kembali kepada 'common sense' dan melaksanakan tanggungjawab di peringkat negeri dan persekutuan,” ujarnya.  
16 Aug 23
214
Dr Sam Mula Tugas Menteri Besar Terengganu
Dr Sam Mula Tugas Menteri Besar Terengganu
KUALA TERENGGANU, 16 Ogos - Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar kembali memulakan tugas secara rasmi sebagai Menteri Besar Terengganu. Ahmad Samsuri tiba di Bangunan Wisma Darul Iman pada jam 8.45 pagi tadi dan mengetip kad perakam waktu pada jam 9.07 pagi. Beliau sempat meluangkan masa beramah mesra dengan kakitangan pejabat Menteri Besar sebelum memulakan tugas. Ahmad Samsuri mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Terengganu ke-15 di hadapan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin pada selasa lalu. Sultan Mizan berkenan melantik Ahmad Samsuri sebagai menteri besar selepas beliau mendapat kepercayaan keseluruhan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN). Beliau yang juga merupakan Naib Presiden Parti Islam Se-malaysia (PAS) berjaya mempertahankan kerusi Dun Rhu Rendang apabila memperoleh majoriti 17,286.  Ahmad Samsuri memperoleh 20,927 undi menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Suhaimi Sulaiman yang memungut 3,641 undi.        
16 Aug 23
818
Perubahan Portfolio Suntik Momentum Pentadbiran Terengganu
Perubahan Portfolio Suntik Momentum Pentadbiran Terengganu
KUALA TERENGGANU, 16 Ogos- Beberapa perubahan besar dalam portfolio pentadbiran Kerajaan Negeri Terengganu dilakukan bagi menambah baik tugas dan pelaksanaannya oleh ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN). Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, beliau meluangkan masa semalam, meneliti portfolio sedia ada dan menyelesaikan beberapa perubahan sebelum dipersembahkan kepada Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin awal pagi ini. "Beberapa perubahan dengan mengambil kira kewajarannya, termasuklah supaya ada keselarasan dengan kedudukan badan-badan dan agensi di peringkat kementerian untuk memudahkan pelaksanaan program kerajaan supaya tidak bertembung antara ahli-ahli MMKN. "Ini adalah mesyuarat pertama di mana semua exco-exco yang mengangkat sumpah semalam, dimaklumkan tentang porfolio masing-masing untuk membolehkan mereka terus bergerak menjalankan tugas masing-masing. "Saya rasakan ini mesyuarat MMKN yang paling cepat diadakan bagi enam negeri yang di mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN), baru-baru ini," katanya. Dalam MMKN yang berlangsung pagi tadi, Dato' Satiful Bahri Mamat kekal memegang portfolio melibatkan pendidikan apabila dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan. Begitu juga dengan ADUN Jabi, Dr. Azman Ibrahim yang kekal menerajui Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi. Selain itu, berlaku perubahan pada lapan portfolio lain di mana, Wan Sukairi Wan Abdullah kini menyandang Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, portfolio yang pernah dipegang ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato' Dr Alias Razak. Manakala mantan timbalannya di Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Hishamuddin Abdul Karim kini dilantik menguruskan portfolio berkenaan. ADUN Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi menjadi 'muka baharu' yang mengetuai Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah. Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman pula kini memegang amanah mengurus Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau.  Ariffin Deraman memegang peranan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna, dan Hanafiah Mat mengetuai portfolio Infrstruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar serta diberi kepercayaan mengetuai Pengurusan Bencana. Dua lagi 'muka baharu' iaitu Maliman Kassim dan Datuk Razali Idris, masing-masing mengetuai Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita Keluarga dan Perpaduan Nasional serta Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim. 
16 Aug 23
612
Kubu Umno DUN Langkap Kini Milik PAS
Kubu Umno DUN Langkap Kini Milik PAS
KUALA TERENGGANU, 16 Ogos -  DUN Langkap sebelum daripada ini merupakan kubu kuat Umno kini menjadi milik PAS apabila menang dalam Pilihan Raya Umum (PRU) DUN Terengganu ke-15 pada 12 Ogos baru ini. Calon PAS/ PN DUN Langkap yang menang dalam PRN 12 Ogos, Azmi Maarof berkata, antara faktor yang menyumbang kepada peningkatan undi PAS adalah orang Umno meluat dengan pimpinan mereka. “seorang pemimpin perlu bercakap jujur kepada rakyat tetapi ahli dan penyokong Umno peringkat bawah ada yang tak terima pemimpin tertinggi Umno. “tindakan kerjasama Umno dan DAP menyebabkan para pengundi mengalih sokongan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) DUN Terengganu ke-15 Sabtu lalu,” jelasnya ketika dihubungi pada hari ini. Katanya, beliau berjanji akan menyelesaikan masalah rakyat di DUN ini  yang belum selesai antaranya adalah berkenaan dengan permohonan tanah haram masih banyak belum selesai. "Buka rancangan tanah berkelompok tapak rumah dan pertanian serta menyelesai rumah mampu milik (RMM) untuk generasi ke 2 Felda Chalok Barat. "Bina Rumah Mampu Milik (RMM) tapak yang telah kenal pasti untuk warga Langkap dan membina sebuah sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI) DUN Langkap," ujarnya. Menurutnya, kebajikan rakyat DUN Langkap sentiasa terjaga, semenjak tahun 2018 selepas PAS memerintah negeri Terengganu, antara faktor yang menyumbang kepada kemenangan. “Selama lima tahun PAS memerintah kita bergerak aktif dan cakna serta kebajikan rakyat diutamakan,"katanya. Beliau akan menjaga kebajikan rakyat miskin dan membantu para penjaga kecil di kawasan ini. Justeru itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada para pengundi yang mengundi parti PAS sehingga mendapat kemenangan besar pada kali ini. "Ini adalah satu amanah besar dari parti dan pengundi DUN Langkap dan insya Allah akan pikul amanah ini sebaik mungkin. "Mohon kerjasama semua pihak dan saya sedia terima teguran sekiranya ada perkara yang salah," tambah Azmi. Beliau turut mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada jentera parti di semua peringkat yang bertungkus- lumus bertugas sepanjang kempen pilihan raya ini. Keputusan rasmi yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi DUN Langkap, PAS memperoleh 9,553 menewaskan pencabarnya calon BN yang mendapat 6,819 undi.
15 Aug 23
486