lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Taska Permata WDI Kekal Operasi Di Premis Sama
Taska Permata WDI Kekal Operasi Di Premis Sama
KUALA TERENGGANU, 6 November- Kerajaan negeri menjelaskan bahawa Taska Permata Keluarga Wisma Darul Iman (WDI) kekal beroperasi di premis sama pada tahun hadapan. Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim berkata, langkah itu sebagai penyelesaian kepada isu sebilangan ibu bapa yang didakwa tidak menerima tawaran bagi penempatan anak masing-masing untuk kemasukan tahun 2024 di taska terbabit. “Operasi taska ini akan diteruskan macam biasa pada tahun hadapan di premis sedia ada, jadi bagi ibu bapa yang telah menghantar anak di sini dan mengisi borang permohonan pada Oktober lalu boleh menghantar anak mereka macam biasa. “Walaupun bangunan baru dalam proses pembinaan tetapi tahun depan memang kita tidak pindah lagi, diharap penjelasan ini melegakan ibu bapa yang selama ini ada tanda tanya berkenaan penempatan anak mereka dan operasi taska,” ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di Taska Permata Keluarga WDI, hari ini. Mengulas lanjut katanya, pihaknya akan mengkaji dan meneliti terlebih dahulu sebelum mengambil sebarang keputusan muktamad mengenai pemindahan taska ke premis baru memandangkan premis yang masih dalam pembinaan itu saiznya lebih kecil berbanding premis sedia ada. “Tempat baru (taska) bulan 5 atau 6 tahun hadapan baru siap fizikal. Jadi kemungkinan tahun 2025 baru boleh operasi. “Jumlah kanak-kanak di taska ini kini seramai 120 orang manakala premis baharu nanti hanya dapat menampung 70 orang kanak-kanak sahaja, jadi kita akan ambil perjalanan untuk selesaikan isu ini,” ujarnya. Dalam pada itu katanya, ibu bapa diharap dapat memberikan kerjasama kepada pihak taska bagi memastikan anak-anak mendapat penjagaan yang sempurna. “Pastikan anak-anak dihantar dalam keadaan yang bersih kerana ianya turut mempengaruhi emosi dan psikologi mereka, selain dapat ringankan tugas pengasuh. “Selain itu, luangkanlah masa untuk turut serta dalam setiap program yang dianjurkan oleh pihak pengurusan taska,” ujarnya. Katanya, taska ini diwujudkan oleh kerajaan negeri untuk mempermudahkan kakaitangan kerajaan yang bertugas di Wisma Darul Iman.
06 Dec 23
358
Jalan Tidak Rata Perlu Pembaikan Segera
Jalan Tidak Rata Perlu Pembaikan Segera
MARANG, 5 Disember - Kerosakan jalan di Kampung Sungai Serai di sini, yang mengganggu dan menjejaskan keselamatan pengguna memerlukan pembaikan segera. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong berkata, beliau bimbang keadaan jalan dan pembentung yang tertimbus boleh menjejaskan aktiviti harian penduduk. "Struktur jalan sekarang ini memang membahayakan orang ramai. Tindakan segera perlu diambil untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan para pengguna dan warga setempat," katanya. Beliau berkata demikian selepas mengadakan perbincangan dengan pegawai JKR di lokasi tersebut hari ini untuk mencari penyelesaian segera hari ini. Sementara,  Pengerusi JPKK Sungai Serai, Othman Said mengharapkan agar tindakan pembaikan dapat dilaksanakan secepat mungkin. "Keadaan jalan yang senget dan terjejas memerlukan perhatian serius untuk mengelak kemalangan yang tidak diingini," jelasnya. Mengulas mengenai jalan itu, Jurutera Awam JKR Marang, TS. Muhammad Nazrin Ruslan, memaklumkan bahawa surat berkait isu itu telah disampaikan kepada pihak swasta kira-kira sebulan yang lalu. Saat ini katanya, pihak JKR sedang menanti tindakan lanjut dari pihak berkenaan. "Pihak berkuasa setempat menjamin bahawa mereka akan memantau perkembangan dan mengambil langkah-langkah yang diperlukan untuk menyelesaikan isu tersebut demi kebaikan bersama. "Lokasi jalan yang merbahaya itu diberi perhatian ekstra yang rosak kerana faktor cuaca dan penambunan tanah oleh pihak swasta yang berhampiran," katanya. TS. Muhammad Nazrin Ruslan Juruter Awam Jalan JKR Marang    
05 Dec 23
283
Surau Berusia Lebih 100 Tahun Jadi Tarikan di Terengganu
Surau Berusia Lebih 100 Tahun Jadi Tarikan di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 4 Disember – Surau Tuan Guru Haji Wan Abdul Latif yang berusia lebih 100 tahun telah menjadi tarikan dan ikonik baharu di negeri ini. Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata sudah ramai rakyat Terengganu khususnya di Kuala Terengganu ini yang tahu akan surau tersebut yang tular kebelakangan ini.  “Surau tersebut telah dibaik pulih dengan masih mengekalkan bentuk asal serta konsep melayu tradisional yang telah memakan kos sebanyak RM1.3 juta.  “Surau yang sebelum ini yang telah kelihatan uzur telah dibuat penambah baikan dengan mengambil masa selama setahun setengah untuk disiapkan,” jelasnya. Beliau berkata demikian dalam hantaran di laman facebook rasmi miliknya pada hari ini. Tambah Wan Sukairi, semalam beliau berpeluang ke surau tersebut dan menyampaikan sedikit bicara sebagai peringatan semua jemaah.  “Memang comel sungguh surau ini serta terasa sangat nyaman dan tenang. “Yang mana berhajat nak mari, jemput datang ke Kampung Losong Haji Long ini,” ujarnya. Untuk rekod, Surau Haji Wan Abdul Latif dinamakan sempena nama pengasasnya, Tuan Guru Haji Wan Abdul Latif Haji Wan Endut iaitu seorang ilmuan dan tokoh agama terkenal suatu ketika dahulu.  
04 Dec 23
7159
Taska Permata WDI Akan Berpindah April Ini
Taska Permata WDI Akan Berpindah April Ini
HULU TERENGGANU, 4 Disember - Kerajaan negeri bakal memindahkan operasi Taska Permata Wisma Darul Iman (WDI) ke premis baharu April ini. Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim berkata premis berkenaan berhampiran dengan premis sedia ada tetapi saiz premis tersebut lebih kecil berbanding premis tersebut. Katanya, jumlah kanak-kanak di taska itu kini seramai 120 orang manakala premis baharu nanti hanya dapat menampung 70 orang kanak-kanak sahaja. "Ibu bapa berkenaan diminta bertenang dan beri kepercayaan kepada kerajaan untuk cuba membantu untuk menyelesaikan masalah berkaitan ," katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Majlis Graduasi Taska Permata Keluarga Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPK) Peringkat Parlimen Hulu Terengganu di Dewan Yayasan Salim, Taman Hadhari Tok Randok di sini hari ini. Turut hadir Pengarah YPK Ahmad Faris Abdul Razak, Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Perkembangan Awal Kanak-kanak YPK, Siti Khatijah Sapei dan Pegawai YPK Hulu Terengganu Faizal Haron. Maliaman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil berkata kerajaan sedang mengumpul maklumat berkaitan permasalahan di Taska terbabit dan kesulitan ibu bapa kepada kanak-kanak berkenaan akan diperhalusi dan diselesaikan secepat mungkin. "Saya sedang mengumpul maklumat dari pegawai saya dan meneliti segala maklumat tersebut sedikit masa lagi," ujarnya. Menurutnya taska terbabit telah beroperasi selama dua tahun dan mendapat sambutan mengalakkan dari kakitangan pejabat kerajaan negeri itu.
04 Dec 23
522
Dr Sam Saksi Epic, Lima Syarikat Meterai MOU Bangunkan Kemaman
Dr Sam Saksi Epic, Lima Syarikat Meterai MOU Bangunkan Kemaman
KEMAMAN, 4 Disember - Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar memulakan tugas sebagai Ahli Parlimen Kemaman dengan menyaksikan anak syarikat kerajaan negeri, EPIC Berhad memeterai perjanjian persefahaman (MOU) dengan lima rakan industri bagi membangunkan Pelabuhan Kemaman. Menteri Besar Terengganu itu berkata, kerjasama dengan BOID Global Sdn Bhd, GSPARX Sdn Bhd (GSPARX), Eastern Steel Material Handling Sdn Bhd (ESMH), JXR Manufacturing Sdn Bhd (JXR) dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) bakal merancakkan Pelabuhan Kemaman.  Katanya, jalinan kolaborasi antara organisasi-organisasi yang terlibat meliputi aspek advokasi, pembangunan kapasiti, pembekalan dan penyenggaraan serta perkhidmatan media. "Tahniah atas jalinan kerjasama strategik antara semua pihak selain perkembangan operasi di Kumpulan EPIC dengan kehadiran dua kren gantri di Dermaga Timur (yang dijangka memulakan operasi selewat-lewatnya bulan Mac tahun hadapan). "Operasi kren gantri tambahan ini akan menambah lagi kecekapan Pelabuhan Kemaman kepada sekali ganda sekali gus membawa limpahan ekonomi kepada penduduk daerah ini. "Kekerapan kapal-kapal (kargo) masuk ke sini akan bertambah sekali gus memberi kelebihan kepada pemain-pemain industri di kawasan," katanya ketika ditemui di Dermaga Timur, Pelabuhan Kemaman di sini hari ini. Ahmad Samsuri berharap perkembangan Pelabuhan Kemaman dapat mendorong lebih banyak syarikat untuk melabur dan melebarkan operasi mereka di Kemaman. "Ia membolehkan lebih banyak peluang pekerjaan dapat ditawarkan kepada warga tempatan," tambah beliau.    
04 Dec 23
2492
Terengganu Kekal Tak Kutip Cukai Pintu Rumah Kediaman
Terengganu Kekal Tak Kutip Cukai Pintu Rumah Kediaman
KUALA TERENGGANU, 4 Disember - Pengecualian cukai pintu rumah kediaman di Terengganu tetap diteruskan walaupun negeri kehilangan hasil sebanyak RM82.5 juta daripada kutipannya bagi tempoh 2018 hingga 2023. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, pengecualian itu adalah antara manifesto PAS yang ditawarkan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada tahun 2018. Justeru itu katanya, sebaik PAS memenangi Terengganu pada PRU14, pihaknya telah menghapuskan cukai pintu rumah kediaman bagi melaksanakan janji berkenaan. “Kita perlu mengambil kira pelbagai faktor yang memberikan ‘win-win situation’ untuk kebaikan rakyat dan juga negeri.  “Walau kelihatan seperti kehilangan pendapatan buat negeri, namun langkah itu juga  antara usaha kerajaan negeri meringankan beban hidup rakyat,”katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman(UPDI) ketika dihubungi. Beliau berkata demikian ketika  diminta mengulas mengenai dakwaan bahawa Kerajaan Terengganu sedang mempertimbangkan cadangan untuk kembali melaksanakan kutipan cukai pintu kediaman secara bersasar yang tular di media sosial. Jelasnya, isu tersebut timbul ketika Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Bajet baru-baru ini apabila terdapat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) negeri yang mencadangkan perkara itu bagi mengatasi masalah kekurangan hasil yang agak besar. “Ia disebabkan tindakan Kerajaan Persekutuan yang belum menjelaskan baki pembayaran royalti hak rakyat kepada negeri. “Setiap cadangan yang diterima, pihak kami akan kaji dan pertimbang dengan teliti sebelum mengambil keputusan muktamad,” ujarnya lagi. Mengikut data, pada tahun 2018, kutipan cukai pintu rumah kediaman yang sepatutnya dikutip ialah RM9.7 juta, tahun 2019 (RM12.73 juta), 2020 (RM13.87 juta) dan tahun 2021 (RM14.56 juta). Pada tahun 2022 pula, hasil yang sepatutnya dikutip meningkat kepada RM15.27 juta dan tahun 2023 sebanyak RM16.38 juta.
04 Dec 23
2173
Dr Sam 'Suara Baru' Rakyat Terengganu Ke Parlimen
Dr Sam 'Suara Baru' Rakyat Terengganu Ke Parlimen
KUALA TERENGGANU, 4 Disember – Ahli Parlimen Kemaman, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar merupakan wakil terbaharu rakyat Terengganu ke Parlimen Malaysia. Ahmad Samsuri berkata kejayaan semalam adalah sebuah kemenangan yang diimpikan kerana ianya antara jambatan untuk terus teguh menyampaikan suara rakyat. Katanya, sesungguhnya amanah ini berat dan takkan mampu dilakukan seorang diri tanpa kalian.  “Saya anggap semua yang hadir semalam adalah mereka yang akan sentiasa sokong dan merealisasikan hasrat bersama. “Nasihat dan tegurlah saya sekiranya diri ini lari dari landasan dan buat kesilapan,” katanya dalam hantaran di laman facebook rasmi miliknya pada hari ini. Tambah Ahmad Samsuri, mempertahankan kemenangan ada liku-likunya, mengisi kemenangan pasti lebih mencabar. “Minta maaf dan terima kasih, daripada saya Ahmad Samsuri wakil Kemaman yang baharu, insya-Allah. “Kepada para perantau yang dalam perjalanan pulang, semoga selamat sampai ke destinasi,” ujarnya. Ahmad Samsuri yang juga merupakan Menteri Besar Terengganu berjaya memperoleh undian sebanyak 64,968 melalui 249 jumlah peti yang diterima mengatasi pencabarnya sekali gus majoriti sebanyak 37,220. Calon Barisan Nasional, Bekas Panglima Angkatan Tentera Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Nor hanya mendapat undi 27,778.                    
04 Dec 23
186
Kebajikan Imam Dan Bilal Terus Dijaga
Kebajikan Imam Dan Bilal Terus Dijaga
KUALA TERENGGANU, 30 November - Kerajaan negeri akan terus memastikan kebajikan imam dan bilal di negeri ini terjaga. Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, kerajaan negeri juga dalam usaha bagi memberikan peruntukan 'one off' kepada imam ke-3 memandangkan peruntukan daripada JAKIM hanyalah kepada  imam 1 dan imam 2 sahaja. "Kita juga sedang mengkaji untuk memberikan kenaikan imbuhan dan elaun imam bilal yang tiada pendapatan tetap dan juga kemudahan-kemudahan lain yang boleh dipertimbangkan.  "Di samping itu, turut dilaksanakan juga program Tahsin Pegawai Masjid bagi memastikan imam dan bilal dapat menambahbaik mutu bacaan dan tugas masing-masing, " ujarnya. Beliau berkata demikian ketika membuat penggulungan Belanjawan Terengganu 2024 pada Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-15 (Bajet) di Wisma Darul Iman, di sini, baru-baru ini. Tambah beliau, kerajaan negeri juga akan meneruskan kerja-kerja menyelenggara dan menaik taraf masjid-masjid sedia ada di seluruh negeri.  "Pembinaan masjid negeri yang baharu berkonsepkan 'smart township mosque' juga akan dilaksanakan kerja-kerja awal pembinaan dan bakal menjadi pusat bagi Bandar Baru Bukit Besar," ujarnya.
04 Dec 23
815
Polis Terengganu Tumpas Sindiket Dadah, Rampas Pil Yaba
Polis Terengganu Tumpas Sindiket Dadah, Rampas Pil Yaba
KUALA TERENGGANU, 4 Disember- Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu berjaya menumpaskan sindiket dadah dalam dua serbuan berasingan di sekitar Jerteh, Besut, Rabu lalu. Ketua Polis Terengganu, Dato’ Mazli Mazlan berkata, ia susulan penahanan dua lelaki tempatan berusia 19 dan 31 tahun oleh sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik IPK Terengganu. “Pihak polis telah melancarkan dua serbuan di lokasi sama iaitu di tepi jalan Kampung Kubang Depu, Jerteh. "Pada serbuan pertama, sebanyak 1,760 gram pil yaba bernilai RM93,500 berjaya dirampas, manakala pada serbuan kedua sebanyak 5,335 gram pil sama dirampas berjumlah RM291,500. "Sebuah kenderaan jenis Honda City turut dirampas dan motosikal jenis Yamaha Y15ZR berjaya disita dari salah seorang suspek," katanya pada sidang media di sini, semalam. Mazli berkata, kedua-dua suspek direman selama tujuh hari bermula 30 November lalu bagi membolehkan siasatan dilakukan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952. “Dipercayai dadah yang dirampas ini adalah untuk kegunaan sehingga 58,000 individu tempatan yang terlibat dalam penyalahgunaan bahan terlarang itu,” ujarnya. Menurut beliau, polis Terengganu berjaya melumpuhkan tujuh sindiket pengedaran dadah di seluruh Terengganu dan telah menangkap 18 ahli sindiket termasuk dengan tangkapan terbaru itu bermula Januari hingga November tahun ini.  
04 Dec 23
776
Tindakan Pantas Amzad Selesai Rungutan Penduduk
Tindakan Pantas Amzad Selesai Rungutan Penduduk
KUALA TERENGGANU, 3 Disamber - Tindakan pantas Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim berjaya menyelesaikan rungutun penduduk di Jalan Merpati 2, Durian Burong di sini. Menurut Ahmad Amzad, hujan yang tidak berhenti telah menyebabkan jalan di kawasan itu rosak dan menyulitkan penduduk yang menggunakan jalan terbabit. "Jalan becak sejauh 100 meter telah menyebabkan tiga buah kenderaan tersangkut dan terpaksa ditolak oleh penduduk sekitar. "Pada awalnya saya telah memaklumkan keepada pihak MBKT, namun saya diberitahu bantuan sudah habis. "Jadi saya mengambil keputusan  untuk mengeluarkan modal sendiri bagi menyelesaikan masalah tersebut," katanya kepada media. Jelas Ahmad Amzad, sebanyak tiga buah lori berisi batu kerikil dan sebuah jentera jentolak telah melakukan kerja-kerja penurapan jalan becak tersebut. Pengerusi JPKK Kg. Durian Burung, Wan Kamaruddin Wan Ngah ketika ditemui menzahirkan rasa terima kasih di atas kecaknaan Ahli Parlimen tersebut. "YB Kuala Terengganu memang seorang yang sangat mudah apabila berurusan dengannya, tidak berkira-kira dengan sesiapa pun," katanya.  
03 Dec 23
283