lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Padang Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin Antara Yang Terbaik
Padang Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin Antara Yang Terbaik
KUALA TERENGGANU, 14 Disember- Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Hishamuddin Abdul Karim menyifatkan Padang Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak antara yang agak baik dalam negara ini. Walaupun begitu katanya, masih banyak perkara yang perlu diperbaiki dalam memastikan padang tersebut dapat berfungsi ke tahap optimum untuk mana-mana perlawanan. “Buat masa ini, padang kita masih ada beberapa ‘hot spot’ yang memerlukan pemerhatian khusus pihak penyelenggaraan dalam musim-musim (suasana hujan lebat) seperti ini. “Saya berharap, satu penyelenggaraan menyeluruh akan dilaksanakan sementara tempoh rehat panjang sebelum bermula liga musim depan,” ujar beliau dalam satu hantaran di laman facebook. Katanya, berdasarkan laporan Bahagian Infrastruktur Dan Kemudahan, Majlis Sukan Negeri Terengganu memaklumkan, kerja-kerja pemulihan padang akan dilaksanakan segera selepas perlawanan akhir pada 17 Disember ini dan bergantung kepada perkembangan cuaca semasa.  “Antara perkara yang perlu dilaksanakan nanti ialah memasukkan benih baharu, memperbaiki kawasan air bertakung yang berpunca dari sistem pengairan di bawah padang, ‘topdressing’ atau hias permukaan dan juga pengudaraan (aeration),” jelasnya. Dalam pada itu, Hishamuddin turut merakamkan ucapan terima kasih kepada pengurusan Kompleks Sukan yang menjaga padang tersebut dengan sebaiknya.
14 Dec 23
226
Beberapa Daerah di Terengganu Berisiko Kembali Banjir
Beberapa Daerah di Terengganu Berisiko Kembali Banjir
KUALA TERENGGANU, 14 Disember - Beberapa daerah di Terengganu berisiko dilanda gelombang banjir kali kedua hari ini berdasarkan Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) . PRABN dalam kenyataan memaklumkan, ramalan itu dijangka bermula 8 pagi sehingga jam 2 petang hari ini. Menurut kenyataan itu, hasil simulasi model Ramalan Trend Aras Air yang meramalkan kejadian banjir akibat limpahan air sungai boleh berlaku di kawasan terbabit sekiranya hujan yang signifikan terus berlaku di Terengganu. Dua kawasan di daerah Besut yang diramalkan banjir adalah kawasan rendah dalam lingkungan 5 kilometer (km) di sekitar Stesen Sungai Besut di Jambatan Keruak dan di sekitar Kampung La. Selain itu, PRABN turut mengeluarkan amaran banjir di daerah Hulu Terengganu dengan kenaikan paras air di Sungai Berang berpotensi menyebabkan banjir di kawasan rendah dalam lingkungan 5km di sekitar Stesen Sungai Berang di Kampung Menerong. Di Kemaman, amaran sama turut dikeluarkan membabitkan kawasan rendah sekitar Stesen Sungai Tebak di Jambatan Tebak. Dalam pada itu, di Dungun, iaitu penduduk di sekitar kawasan rendah dalam lingkungan 5km di sekitar Stesen Sungai Dungun di Jambatan Jerangau turut diminta berwaspada dengan kemungkinan banjir berlaku jika paras air sungai meningkat. Kenyataan sama turut memaklumkan, banjir boleh berlaku lebih awal atau lewat dari masa yang dijangkakan. Amaran berkenaan dikeluarkan bagi membolehkan semua penduduk terutama di kawasan yang dijangka banjir berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa atau agensi pengurusan bencana banjir. Bagi mendapatkan maklumat lanjut, layari ayari laman sesawang https://publicinfobanjir.water.gov.my dan Facebook @PublicInfoBanjir.
14 Dec 23
435
Air Naik Mendadak, Pindah Demi Keselamatan
Air Naik Mendadak, Pindah Demi Keselamatan
HULU TERENGGANU, 14 Disember - "Air naik terlalu cepat dan saya sekeluarga segera pindah ke balai raya demi keselamatan tambahan pula keadaan hujan yang semakin lebat ketika itu," kata Razali Mat Rani, 44, mengenai kejadian banjir  yang melanda Kampung Peneh, Ajil, di sini, hari ini. Dalam kejadian jam 12 tengah malam itu, hujan lebat sejak petang kelmarin menyebabkan hampir sebilangan besar rumah di kampung terbabit ditenggelami air sedalam 0.5 hingga satu meter akibat limpahan sungai Peneh. "Kebiasaannya kami memang dah 'standby' berdasarkan pengalaman lepas tapi tak sangka pula air naik dengan cepat. "Bila tengok keadaan dah lain macam, terus ajak ayah, isteri dan dua anak saya berpindah ke balairaya malam tu juga...takut sejarah berulang apabila rumah saya ditenggelami air sehingga tiga meter pada Februari 2022 dulu," ujarnya kepada pemberita. Tambahnya, walaupun air dah mula surut pada awal pagi tetapi berdasarkan cuaca ianya tidak mustahil kembali banjir jika hujan masih lebat. Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kg Peneh, Che Khalid Jusoh, 57, berkata susulan banjir tersebut, seramai 57 mangsa melibatkan 19 keluarga terpaksa dipindahkan ke balairaya secara tidak rasmi. "Mangsa mula berpindah sejak jam 11.30 malam apabila air naik semakin tinggi di kawasan rumah mereka susulan hujan lebat dan limpahan sungai Peneh dan sungai Berang. "Pada pagi ini air mula surut tapi kami tetap dalam mood berjaga-jaga sebab hujan masih lagi lebat ketika ini, "ujarnya.  
14 Dec 23
240
TFC Dijangka Kurangkan Pemain Import
TFC Dijangka Kurangkan Pemain Import
KUALA NERUS, 14 Disember - Pasukan Terengganu FC (TFC) mahu mengurangkan pengambilan pemain import dalam mengharungi kancah bola sepak musim hadapan. Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Hishamuddin Abdul Karim berkata, perkara itu diputuskan sebagai langkah penjimatan. "Tahun ini sembilan, tahun hadapan kita jangka lima (pemain import) sahaja bergantung kepada pandangan jurulatih dan bajet. "(Mengenai) berapa ramai (pemain) yang akan dikekalkan (nanti). kita tidak boleh memberikan maklum balas lagi untuk masa ini. Insya-Allah kita akan maklum dari semasa ke semasa mengenai pelepasan dan kemasukan pemain," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Exclusive Meet and Greet With World Championship FIM Mini GP 2023, di Litar Permotorang Gong Badak, di sini, semalam. Dalam pada itu, Hishamuddin berkata tiada rombakan besar akan dilakukan TFC kerana telah memiliki asas yang kukuh. "Hanya perlu masukkan beberapa pemain import, insya-Allah progresnya sedang berjalan," ujarnya. Mengenai jurulatih pula katanya, keputusan telah dibuat oleh Ahli Lembaga Pengarah TFC pada 14 November yang lalu bagi mengekalkan Tomislav Steinbruckner sebagai pengendali skuad penyu. Manakala desas desus mengenai kemasukan Safawi Rashid ke pasukan Terengganu pula, Hishamuddin berkata perkara itu akan terjawab apabila kenyataan rasmi dikeluarkan nanti.      
14 Dec 23
1006
Terengganu Salur Insentif Khas RM15,000 Kepada Juara Dunia
Terengganu Salur Insentif Khas RM15,000 Kepada Juara Dunia
KUALA NERUS, 13 Disember - Kerajaan negeri menyerahkan insentif khas wang tunai RM15,000 kepada Qabil Irfan Azlan yang muncul juara dunia MiniGP 2023 di Valencia, Sepanyol baru-baru ini. Dalam usia 11 tahun, Qabil telah mengecapi kejayaan yang cukup membanggakan apabila melakar kemenangan hatrik pada ketiga-tiga siri perlumbaan yang berlangsung di Litar Kart Ricardo Tarmo baru-baru ini sekali gus menobatkannya sebagai juara keseluruhan perlumbaan 160cc. Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, insentif itu adalah galakan kepada pelumba cilik berkenaan supaya terus bersemangat untuk mencapai kejayaan. "Saya berharap kerja keras dan usaha yang dipamerkan oleh adik Qabil dan pelumba cilik lain menjadi insiprasi kepada anak-anak remaja dan rakyat Terengganu untuk terus mengejar impian dan cita-cita masing-masing. "Saya juga merasakan anak remaja dan rakyat Terengganu perlu mempunyai minda kelas dunia dalam setiap perkara yang dilakukan. "Apa yang kita lakukan jangan diletakkan had sekadar dalam kampung kita sahaja, atau sekadar dalam negeri sahaja, sasarlah ia hingga ke peringkat antrabangsa. Sebuah kejayaan besar bermula daripada sekilas angan-angan dan cita-cita," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Exclusive Meet And Greet With World Champions FIM Mini GP 2023 (Inisiatif Qabil Irfan), di Litar Permotoran, Gong Badak, di sini, hari ini. Mengulas lebih lanjut katanya, meraikan kejayaan Qabil Irfan serta Muhammad Airel Ahmad Marzuki amatlah bermakna dan disambut dengan penuh kesyukuran kerana terpilih mewakili Malaysia ke Kejohanan FIM MiniGP World Series. Dalam masa yang sama katanya, kerajaan negeri akan sentiasa menyediakan inisiatif khas bagi membantu pelumba-pelumba cilik yang lain untuk turut mengembangkan bakat sehingga ke peringkat antarabangsa. "Untuk rekod kerajaan negeri membantu membiayai yuran penyertaan mereka di peringkat kebangsaan (RM4 ribu hingga RM5 ribu), kemudian apabila terpilih ke peringkat antarabangsa mereka juga akan dibantu sama ada melalui kerajaan negeri secara terus atau anak syarikat milik kerajaan negeri. "Kerajaan negeri pada tahun lalu juga telah menyediakan sebuah motosikal dengan harga mencecah RM40 ribu kepada Qabil Irfan sebagai usaha dan persediaan beliau untuk melakukan latihan serta perlumbaan," katanya. Pada tahun ini pula katanya, kerajaan negeri melalui Terengganu Incorporated Sdn.Bhd. juga telah bersetuju untuk menaja Hakim Danish Ramli yang telah mengharumkan nama Malaysia dan Terengganu khususnya setelah menjadi pelumba Malaysia pertama yang berjaya menjuarai Asia Talent Cup 2022. "Insya-Allah kerajaan negeri akan terus memberi perhatian dan bantuan kepada pelumba negeri ini untuk terus bersinar di peringkat antrabangsa," katanya.    
13 Dec 23
849
Rombongan TFC Jumpa TMJ
Rombongan TFC Jumpa TMJ
KUALA TERENGGANU, 13 Disember – Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Hishamuddin Abdul Karim mengadakan kunjungan ke atas pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim baru-baru ini. Hishamuddin yang juga merupakan Presiden Bola Sepak Terengganu berkata pertemuan tersebut bertujuan bagi mendengar pandangan dan saranan untuk mengangkat industri bola sepak di tanahair. Katanya, di luar padang, Terengganu Football Club (TFC) tetap memburu bimbingan daripada pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor untuk terus memperkasakan pasukan.  “Baginda sentiasa bersikap terbuka dan sangat berbesar hati untuk melihat pasukan TFC menjadi pasukan yang perlu digilap untuk masa depan yang lebih baik dalam kancah bola sepak negara. “Sedar dengan keadaan semasa, tentunya TFC sentiasa mengukur baju di badan sendiri dan memperkasakan pembentukan bakat-bakat baru Terengganu yang lebih berprestij,” jelasnya. Beliau berkata demikian dalam hantaran di laman facebook rasmi miliknya pada hari ini. Tambah Hishamuddin, sekalipun tewas dalam perlawanan akhir Piala Malaysia di tangan pasukan JDT namun TFC akan terus berusaha untuk bangkit walau dalam serba kekurangan.  Tambahnya, musim depan akan menjadi sangat mencabar dalam aspek kewangan kelab menyebabkan TFC akan berusaha berbelanja dengan sederhana. Beliau berkata, pasukan JDT yang serba lengkap dan menjadi model buat pasukan bola sepak lain di tanah air akan terus dijadikan model buat TFC. “Saat bersaing di padang, TFC pasti akan memberikan saingan yang paling kompetatif menentang JDT. “Terima kasih Tunku Mahkota Johor dan pemilik kelab bola sepak JDT atas perkenan menerima rombongan patik tempoh hari,” ujarnya.                      
13 Dec 23
789
Jambatan, Pembetung Atasi Banjir Teluk Kalong Siap 54 Peratus
Jambatan, Pembetung Atasi Banjir Teluk Kalong Siap 54 Peratus
KEMAMAN, 13 Disember – Projek melibatkan pembinaan jambatan baharu dan pembentung bagi mengatasi masalah banjir di Teluk Kalong mencapai kemajuan 54 peratus. Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata projek di kawasan Rumah Mampu Milik Teluk Kalong dan sekitarnya itu mempunyai nilai sebanyak RM12 juta yang diluluskan pada Disember 2020. “Setakat ini, projek itu telah siap 54 peratus dan kita doakan kerja-kerja yang masih berbaki berjalan lancar dan siap dengan sempurna, Insya-Allah,” jelasnya. Beliau berkata demikian dalam hantaran di laman facebook rasmi miliknya pada semalam. Terdahulu, Ahmad Samsuri melakukan tinjauan projek yang menggantikan jambatan Teluk kalong itu bagi melihat perkembangan terkini. Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri (Pengurusan Bencana), Hanafiah Mat, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Mohd Hafiz Adam. Untuk rekod, projek itu bertujuan bagi mengatasi masalah banjir yang telah berlarutan sejak sekian lama. Projek dijangka dapat mengurangkan kesan banjir di kawasan sekitar Rumah Mampu Milik (RMM) Teluk Kalong kerana saliran sedia ada tidak mampu lagi menampung jika berlaku hujan lebat.      
13 Dec 23
313
Sultan Mizan Berkenan Saksi MOU Projek Kelestarian Ekosistem Terengganu
Sultan Mizan Berkenan Saksi MOU Projek Kelestarian Ekosistem Terengganu
KUALA TERENGGANU, 12 Disember – Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi Projek Penanaman Pokok Gelam, Taman Negeri Setiu Wetlands bertempat di Westin Hotel, Bukit Bintang di sini. Terdahulu, ketibaan tiba baginda disambut Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bersama barisan kepimpinan pentadbiran Kerajaan Negeri Terengganu. MOU tersebut terjalin antara Majlis Pengurusan Taman Negeri Terengganu (MPTN) bersama Benua Hijau Sdn Bhd dan Pejabat Tanah Setiu dalam usaha untuk kelestarian ekosistem di kawasan tersebut. Jurucakap Taman Negeri Terengganu berkata Pemeteraian MoU itu untuk menjalankan Projek Penanaman Pokok Gelam bagi tempoh 10 tahun di kawasan Tasik Berombak. Di samping jelasnya, bertujuan pemuliharaan kembali kawasan yang telah mengalami kerosakan seluas 200 ekar dalam usaha untuk kelestarian ekosistem di kawasan tersebut. "Projek itu dilihat akan memberi manfaat dan kelebihan kepada kedua-dua pihak dalam usaha perkongsian tanggungjawab antara pihak Kerajaan dan Korporat. “Bagi pemeliharaan dan pemuliharaan alam semulajadi terutamanya di Taman Negeri Setiu Wetlands,” katanya dalam kenyataan media pada hari ini. Mewakili MPTN, MoU ditandatangani oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja merangkap Pengerusi MPTN. Manakala, pihak Benua Hijau Sdn Bhd diwakili oleh Pengerusi Benua Hijau Sdn Bhd, Tengku Seri Temenggong Raja, Dato’ Seri Tengku Baharuddin Ibni Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah. Bagi pihak Pejabat Tanah Setiu pula, Mou tersebut telah ditandatangani oleh Pentadbir Tanah Setiu, Ahmad Rizal Mamat. Tambahnya, inisiatif tersebut secara langsung akan memberi pulangan ekonomi kepada komuniti setempat. Selain itu, menjadikan kawasan yang diwartakan di bawah Enakmen Taman Negeri Terengganu 2017 sentiasa dilindungi dan kekal hijau selaras dengan moto MPTN.        
12 Dec 23
298
Walau Royalti Disekat, Kebajikan Rakyat Tetap Jadi Keutamaan
Walau Royalti Disekat, Kebajikan Rakyat Tetap Jadi Keutamaan
MARANG, 12 Disember - Kebajikan rakyat akan tetap menjadi keutamaan walaupun kewangan negeri terbatas dan royalti petroleum milik Terengganu masih dinafikan. ADUN Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong dengan tegas menyatakan komitmen untuk berlaku adil selama masih diberi amanah oleh rakyat. "Saya bukanlah yang terbaik, tetapi insya-Allah saya cuba lakukan yang terbaik dan berlaku adil tanpa mengira warna politik, bangsa dan agama. "Situasi kewangan Terengganu masih menunggu royalti petroleum sebanyak lebih RM1 bilion lagi. "Meskipun dihadapkan dengan cabaran kekangan kewangan kebajikan rakyat tetap menjadi keutamaan," jelasnya di Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar di Dewan Komuniti Bukit Parit. Sulaiman membangkitkan kesedaran akan kepentingan prinsip adil dalam menjalankan tugas sebagai wakil rakyat. Dalam tumpuan yang lain beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada semua 25 orang pelajar dan pihak yang menyumbang.   
12 Dec 23
145
Penyelenggaraan Berkala Infrastruktur Sistem Saliran Kurang Risiko Banjir
Penyelenggaraan Berkala Infrastruktur Sistem Saliran Kurang Risiko Banjir
KUALA TERENGGANU, 12 Disember- Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pengairan Dan Saliran Negeri Terengganu melaksanakan penyelenggaraan secara berkala infrastruktur sistem saliran sebagai usaha mengurangkan risiko kejadian banjir. Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti Dan Pembangunan Luar Bandar Negeri, Hanafiah Mat berkata, langkah itu merupakan salah satu inisiatif dilakukan JPS dalam menangani isu banjir sebelum musim tengkujuh 2023 di kawasan berisiko banjir di negeri ini. “Keberkesanan projek-projek tebatan banjir dalam menangani masalah banjir khasnya di kawasan kampung yang tidak mempunyai sistem aliran yang sistematik boleh dipertingkatkan lagi dengan pembinaan saliran perumahan / kampung (dibina oleh PBT) yang menghubungkan sistem saliran utama/parit monsun (dibina oleh JPS) bagi mengurangkan banjir yang berlaku,” katanya. Menurut beliau, sejumlah RM13,697,681 juta telah diperuntukkan bagi menjalankan kerja penggalian sungai dan kerja yang berkaitan di bawah Program Pemuliharaan Sungai bagi mengurangkan risiko banjir dan kerja-kerja kecemasan di luar jangka (sebelum dan selepas banjir) di bawah peruntukan persekutuan. “Selain itu, bagi menampung aliran air banjir kerja-kerja penyelenggaraan kolam takungan banjir turut dilaksanakan dengan peruntukan persekutuan sebanyak RM3.7 Juta. “Sistem pengoperasian mekanikal dan elektrikal tebatan banjir turut diselenggara dengan sejumlah RM820,000.00 diperuntukkan,” jelasnya. Manakala katanya, di pihak Kerajaan Negeri, sejumlah RM250,000 juga telah diperuntukkan bagi menyelenggara saliran bandar dan RM100,000 bagi penyelenggaraan muara sungai. “Dengan inisiatif yang telah dilaksanakan oleh pihak JPS ini adalah diharapkan risiko kejadian banjir dapat dikurangkan sementara menunggu program-program penyelesaian jangka panjang disiapkan,” ujarnya.  
12 Dec 23
284