Artikel "Semasa" Terkini
JPNT Beku Tugas Guru Didakwa Terlibat Perdagangkan Wanita
KUALA TERENGGANU, 27 Mac - Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) mengambil tindakan membekukan sementara tugas guru penolong kanan selepas didakwa memperdagangkan seorang wanita di sebuah apartment di sini baru-baru ini.
Pengarahnya, Jelani Sulong berkata, tindakan itu diambil bagi memberi ruang kepada siasatan lebih terperinci berhubung pertuduhan tersebut selain JPNT akan menunggu keputusan mahkamah.
Menurutnya, perkara ini masih dalam siasatan polis dan mereka serah sepenuhnya kepada pihak polis dan JPNT akan menunggu keputusan mahkamah sebelum mengambil tindakan selanjutnya.
"Baru-baru ini pertuduhan sudah dibuat di Mahkamah dan beliau (guru berkenaan) tidak mengaku salah, manakala 31 Mac depan dijangka sebutan semula kes.
"Jadi, kita di peringkat jabatan tunggu dahulu keputusan daripada mahkamah sebelum tindakan tatatertib akan menyusul," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan sidang media pengumuman Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) di Sekolah Menengah Agama (Atas) Sultan Zainal Abidin di sini semalam.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya juga telah membuat siasatan secara menyeluruh berhubung isu tersebut.
"Setakat ini guru itu tidak boleh mengajar sehingga mahkamah buat keputusan, jika mahkamah putuskan sebaliknya (tidak bersalah) mungkin guru itu boleh mengajar semula," katanya.
Baru-baru ini, media melaporkan seorang guru dan rakannya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu atas tuduhan memperdagangkan wanita bagi eksploitasi seks, dua minggu lalu.
Guru tersebut, Mohd. Hasfyanizam Mansor, 48, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nazlyza Mohamad Nazri.
Namun, rakan guru itu, Mohamad Fazley Jaafar, 29, yang berdepan pertuduhan sama mengaku bersalah.
Mengikut pertuduhan, dua lelaki itu didakwa telah memperdagangkan seorang wanita tempatan berusia 29 tahun bagi maksud eksploitasi seks di sebuah apartment di bandar raya ini kira-kira pukul 2.35 pagi pada 11 Mac lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 (Akta 670) dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan (KK).
Bagi kesalahan itu, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
26 Mar 24
747
Anak Guru Muncul Pelajar Terbaik STAM 2023
KUALA TERENGGANU, 26 Mac - Membaca al-Quran sebagai terapi diri setiap kali berhadapan kesukaran dalam pelajaran membuahkan hasil buat anak seorang guru apabila dinobatkan pelajar terbaik Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2023 untuk negeri Terengganu.
Pelajar Sekolah Menengah Agama Atas Sultan Zainal Abidin (SMAAZA) Nik Abdullah Hanif Nik Mohd Akbari, 19, berkata, dia sebak dan bersyukur kerana usaha keras dan tumpuan sepenuhnya ketika belajar akhirnya membuahkan hasil.
Beliau yang juga penghafaz 30 juzuk al-Quran berjaya memperolehi sembilan Mumtaz dan satu Jayyid Jiddan antara tujuh pelajar cemerlang STAM Terengganu 2023 yang diumumkan oleh Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, Jelani Sulong di Sekolah Menengah Agama (Atas) Sultan Zainal Abidin (SMAASZA) di sini hari ini.
Berkongsi resepi kejayaannya, dia berkata penumpuan terhadap setiap mata pelajaran yang diajar oleh ustaz atau ustazah ketika dalam kelas menjadi amalannya sejak awal termasuk menghafalnya kembali selepas itu.
“Tiada rahsia sebenarnya, cuma belajar bersungguh-sungguh, kena hafal daripada awal dan sebelum peperiksaan kita kena ulang balik apa yang kita hafal sebelum ini… bukan saat akhir baru nak buat.
“Subjek STAM bukan sahaja memerlukan hafalan tetapi juga pemahaman sebab itu kena tekun dan usaha dengan sunguh-sungguh,” katanya kepada pemberita.
Anak kepada pasangan guru itu juga berkata terdapat juga hari-hari yang dia merasakan putus asa dan sedih namun tidak membiarkannya mempengaruhi diri sehingga menjejaskan pengajian.
“Pernah rasa ‘down’…putus asa tapi akan telefon Umi (ibu) Mariam Jameelah Ishak, 40, minta nasihat dan semangat termasuk dengan kawan dan juga para guru supaya kembali kuat,” ujarnya yang berhasrat menyambung pengajian dalam bidang Muamalat di Universiti Madinah.
Pada tahun ini, Nilai Gred Purata Negeri Terengganu ialah 2.79 mengatasi Nilai Gred Purata Kebangsaan 3.09 dengan perbezaan nilai sebanyak 0.30 dan peningkatan nilai 9.7 peratus.
Seorang lagi pelajar cemerlang, Nor Aidil Syawani Mohd Rowazi, 19 yang memperolehi lapan Mumtaz, satu Jayyid Jiddan dan satu Jayyid menyifatkan kecemerlangan itu adalah untuk membalas jasa kedua ibu bapanya selama ini.
"Alhamdulillah, terima kasih atas sokongan semua guru-guru sehingga saya boleh mencapai kejayaan ini. Namun begitu, fokus belajar macam mana pun, hubungan dengan ALLAH SWT kena jaga, itu yang penting,
“Kejayaan ini akan mencetus motivasi untuk terus berjaya dalam menyambung pelajaran dalam bidang syariah ke Madinah nanti," katanya.
26 Mar 24
2151
Keputusan STAM Terengganu Atasi Gred Purata Kebangsaan
KUALA TERENGGANU, 26 Mac - Keputusan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2023 di Terengganu menunjukkan peningkatan apabila berjaya memperoleh Gred Purata Negeri (GPN) 2.79 mengatasi Gred Purata Kebangsaan (GPK) 3.09.
Pengarah Pendidikan Terengganu, Jelani Sulong berkata, calon STAM yang menduduki peperiksaan bagi 2023 adalah seramai 165 dan 53 daripada jumlah itu dari sekolah agama kerajaan manakala calon institusi kerajaan negeri (89) dan calon persendirian (23)
Katanya, seramai tujuh calon STAM memperoleh keputusan cemerlang (mumtaz) iaitu lima daripadanya adalah pelajar sekolah SMA (ATAS) Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu dan dua lagi daripada Maahad Tahfiz Al-Quran Terengganu
“Sekolah Menengah Agama (SMA) (ATAS) Sultan Zainal Abidin menjadi sekolah terbaik dengan Gred Purata Sekolah (GPS) 2.37 peratus.
“Kedua SMA Al-Falah iaitu GPS 3.04, Maahad Tahfiz Al-Quran Terengganu 2.47, Institut Pengajian Islam 2.50 dan Ma'ahad Tahfiz Wal Tarbiyah Darul Iman 3.86,” katanya di sidang media selepas mengumumkan keputusan STAM peringkat negeri Terengganu, hari ini.
Mengulas mengenai jumlah calon yang sedikit menduduki STAM, JPNT akan melihat keperluan meningkatkan pertambahan calon dari semasa ke semasa
“Kita dapat lihat STAM sebenarnya menjadi platform bagi pelajar terutama yang ingin melanjutkan pengajian di luar negara yang mana hanya dua sekolah kelolaan KPM yang menawarkan STAM.
“Kita akan lihat kesesuaian untuk menambahnya berdasarkan keperluan selepas ini,” katanya.
26 Mar 24
1061
Al Fateh Hidupkan Ramadan
Oleh : Nasuha
KUALA NERUS, 26 Mac- Akademi Kepimpinan Al- Fateh tidak melepakan peluang bagi menghidupkan sambutan Ramadan pada kali ini dengan mengagihkan 500 pek bubur lambuk kepada penduduk di daerah ini.
Pengurus Akademi Kepimpinan Al Fateh, Ahmad Mukrim Adnan berkata, melalui kerjasama Masjid Al-Ikhlas, Kampung Banggol Tuan Muda serta Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) setempat telah berjaya melaksanakan program berkenaan.
"Tujuan kita adalah bagi menghidupkan bulan Ramadan dengan berkongsi rezeki kepada masyarat setempat dan program ini merupakan tanggungjawab sosial korporat (CSR).
"Dengan harapan agar ia dapat menghubungkan jalinan antara Akademi Kepimpinan Al-fateh, komuniti setempat dan alumni Program Kem Impak Belia Darul Iman (KIAM) agar Ramadan pada kali ini lebih bermakna," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di program agihan bubur lambuk berkenaan, di sini, semalam.
Mengulas lebih lanjut katanya, sejak dari pagi pihaknya bersama AJK masjid telah menyediakan bubur lambuk istimewa itu.
"Program ini dijalankan secara one off bermula pada pukul 8 pagi sehingga lima petang dari proses membeli, menyediakan bahan, memasak dan agihan.
"Seramai 30 orang yang terlibat secara langsung dalam program ini dan lebih bermakna Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buluh Gading turut bersama, " ujarnya.
26 Mar 24
128
Azam Azmi Dinobat Pertahanan Terbaik Tewaskan Duo JDT
KUALA TERENGGANU, 26 Mac – Pertahanan Terengganu FC (TFC), Azam Azmi Murad dinobat sebagai Pertahanan Terbaik dalam Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) untuk tahun 2023 yang berlangsung semalam.
Menurut kenyataan rasmi Malaysian Football League (MFL) berkata Azam berjaya menewaskan dua lagi finalis bagi kategori pertahanan terbaik iaitu Feroz Baharudin dan Corbin Ong dari Pasukan Johor Darul Takzim (JDT).
Katanya, tiga finalis tersebut telah disenarai pendek daripada 10 calon bagi kategori berkenaan.
“Antaranya, Azam Azmi dan Shahrul Nizam dari Terengganu, Dominic Tan dan Rizal Ghazali dari Sabah, Feroz Baharudin, Corbin Ong dan Matt Davies dari JDT, Kamal Azizi dari KL City, serta Quentin Cheng dan Sharul Nazeem dari Selangor.
“Untuk rekod bagi edisi ABK22 pada musim lalu, kategori ini telah dirangkul oleh pemain pertahanan dari JDT iaitu Shahrul Saad namun kini gelaran itu disandang oleh pemain muda negara yang sedang meningkat naik iaitu Azam Azmi Murad,” ujar kenyataan itu.
Sementara itu, pemain muda Terengganu FC, Ubaidullah Shamsul Fazili turut mencuri tumpuan selepas berjaya memenangi Anugerah Pemain Terbaik Piala MFL yang juga merupakan kategori baharu untuk kejohanan yang kali pertama dipertandingkan pada musim 2023.
“Alhamdulillah untuk anugerah ini dan saya nak ucapkan terima kasih kepada pihak pengurusan Terengganu, barisan jurulatih, rakan-rakan sepasukan yang banyak membantu perjalanan kami di Piala MFL.
“Terima kasih juga kepada MFL yang menyediakan platform kejohanan ini khusus buat pemain-pemain muda buat kali pertama pada tahun lalu,” kata Ubaidullah.
Anugerah Fair Play pula dimenangi Pasukan Terengganu FC manakala anugerah Fan XI Malaysia 2023 yang ditentukan menerusi undian penyokong dimenangi oleh Azam Azmi Murad dan Mohamad Shahrul Nizam Ros Hasni daripada TFC.
26 Mar 24
460
160 Unit RPMM Tok Jembal Dijangka Siap Jun
KUALA NERUS, 26 Mac – Projek perumahan melibatkan 160 buah unit Rumah Pangsa Mampu Milik (RPMM) di Tok Jembal dijangka siap sepenuhnya termasuk penyediaan landskap pada bulan Jun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata RPMM tersebut telah berada dalam fasa akhir untuk 'touch-up' sebelum diserahkan kepada pemilik nanti.
“Dengan reka bentuk moden, RPMM ini akan memberi keselesaan kepada 160 orang penerima pemilik yang terdiri dari golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
“Harga yang ditawarkan juga amat rendah dengan harga RM80,000 seunit selepas subsidi dan dilengkapi tiga bilik tidur serta dua bilik air,” katanya dalam hantaran di laman facebook rasmi miliknya baru-baru ini.
Terdahulu Menteri Besar, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar ketika merasmikan majlis pecah tanah projek berkenaan berkata pembangunan lima blok RPMM empat tingkat itu membabitkan kos keseluruhan RM26 juta di kawasan seluas 1.7 hektar.
Menurutnya, pembinaan kediaman tersebut menyediakan komponen pembangunan yang membolehkan peserta menikmati kehidupan lebih baik kerana reka bentuknya boleh dikatakan paling moden dengan tempat letak kereta dan motosikal berbumbung serta mempunyai laluan yang menghubungkan kelima-lima blok.
“Inisiatif tersebut merupakan antara komitmen kerajaan negeri dalam memastikan golongan berpendapatan rendah dan sederhana di Terengganu dapat menghuni kediaman selesa dengan pelbagai kemudahan mencukupi untuk keluarga masing-masing.
“Hal itu kerana dalam membangunkan sesuatu projek perumahan baharu kerajaan negeri bukan sahaja menyediakan tempat tinggal semata-mata, malah kemudahan asas untuk keselesaan rakyat yang memenuhi aspek keselamatan dan kesihatan,” ujarnya.
26 Mar 24
632
Dua Kawasan di Kuala Berang Bakal Dijadikan Kawasan Perumahan
HULU TERENGGANU, 25 Mac - Kerajaan Terengganu telah mengenalpasti dua tapak di Kuala Berang yang sesuai untuk dijadikan sebagai tapak projek perumahan kos rendah.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, Lembah Pertang dan Taman Mardec berukuran kira-kira tujuh ekar mempunyai potensi untuk dibangunkan.
Katanya, kedudukannya pula strategik kerana tidak jauh dari Bandar Kuala Berang di sini.
"Tapak pertama dilawati ialah Lembah Pertang lebih kurang tujuh kilometer dari Bandar Kuala Berang manakala tapak kedua ialah Taman Mardec terletak betul-batul berhampiran dengan bandar itu sekitar lebih satu kilometer sahaja," katanya ketika bercakap kepada media selepas lawatan ke tapak perumahan Taman Mardec di sini hari ini.
Turut hadir, Timbalannya, Ir Saiful Azmi Suhaili dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang, Dr Mamad Puteh serta beberapa orang pegawai dari Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Terengganu.
Wan Sukairi yang juga ADUN Wakaf Mempelam berkata lawatan hari ini bertujuan untuk meninjau keadaan kedua-dua tapak berkenaan dan membuat penilaian kesesuaian untuk projek perumahan terbabit.
Jelasnya, ia juga bagi manfaat kepada ratusan keluarga (penduduk) dari daerah tersebut.
"Petang ini kami datang ke kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Berang Daerah Hulu Terengganu untuk melihat dua tapak yang menjadi cadangan untuk projek perumahan kos rendah di daerah ini.
"Kedua-dua tapak perumahan berkenaan berukuran lebih dari tujuh ekar, bolehlah kerajaan membuat projek perumahan kos rendah di siitu yang bakal memberi manfaat kepada ratusan keluarga di daerah tersebut," ujar beliau.
Sebelum ini kerajaan negeri menyediakan 160 unit kediaman buat golongan berpendapatan rendah dan sederhana menerusi projek rumah pangsa mampu milik (RPMM) dengan reka bentuk paling moden di Tok Jembal, Kuala Nerus.
Projek tersebut hampir siap dan dijangka dapat diduduki selewat-lewatnya akhir tahun ini.
25 Mar 24
3624
Mana 14 Juta Kampit Beras Tempatan?
KUALA TERENGGANU, 25 Mac - Sungguh pelik apabila Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) sendiri bingung tentang kehilangan 14 juta kampit beras putih tempatan yang sepatutnya berada di pasaran.
Pengerusi Task Force (Kluster makanan) NACCOL, Datuk Syed Abu Hussain Hafiz Syed Abdul Faisal berkata, keputusan telah dibuat oleh pihaknya bagi memastikan beras itu diedarkan pada 20 Mac lalu.
Katanya, Pengarah kawal Selia Padi Negara, Datuk Azman Mahmood memaklumkan beras itu sepatutnya telah berada di pasaran pada waktu ini dengan kuantiti sebanyak 140,000 metrik tan.
"Telah disahkan dalam mesyuarat NACCOl bahawa beras putih tempatan sebanyak 14 juta kampit (disahkan ada) untuk diedarkan tetapi malangnya tiada, ke mana pergi beras putih ini?.
"Apakah aktiviti mengampit semula daripada beras putih tempatan kepada beras import masih berlaku.
"Saya akan minta penjelasan daripada pengawai Penguat Selia untuk namakan kilang yang mengeluarkan sebanyak 14 juta kampit beras itu dan di mana beras itu diedarkan supaya rakyat dapat maklumat untuk membeli beras tersebut menjelang perayaan," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas mengadakan lawatan serta tinjauan di dua pasaya Mydin Mall dan Giant Hypermarket di sini, hari ini.
Mengulas lebih lanjut katanya, hasil tinjauan pihaknya mendapati beras 10 kilogram berharga RM26 juga tidak ada di pasar raya terbabit.
"Bermakna pengumumam yang dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih belum ada tindakan setelah seminggu diminta agar dibekalkan kepada rakyat.
"Saya telah pun pergi ke 60 lokasi yang berlainan di seluruh negara hanya terdapat di 10 pasar raya sahaja itupun dengan jumlah yang sangat sedikit antara lima hingga 10 kampit sahaja," ujarnya.
Menjawab mengenai permasalahan beras merupakan masalah terpencil, katanya ia tidak menunjukkan sedemikian, kerana semua pasar raya yang dipantau menghadapi masalah bekalan tersebut.
"Maknanya bukan kes terpencil walaupun telah dibuat keputusan masih tidak ada lagi beras ini, jadi kemana perginya?.
"NACCOL dah buat keputusan 6 hari lepas, ketua Pengarah Kawal Selia pun telah mengesahkan ada 140,000 metrik tan beras untuk diedarkan tetapi malangnya beras itu masih tidak ada lagi di pasaran," katanya.
Dalam pada itu beliau mengharapkan agar apa yang diputuskan oleh pihaknya dapat dilaksanakan oleh pembekal bagi memastikan rakyat dapat merasai keberadaan bekalan beras itu menjelang Hari Raya Aidilfitri.
25 Mar 24
1991
Perjuangan Didik Masyarakat Hayati Ramadan
KUALA NERUS, 25 Mac - Madinah Ramadan bertemakan bulan perjuangan dan jihad pada kali ini merupakan usaha kerajaan negeri mendidik masyarakat agar beriltizam mengamalkan ajaran Islam secara syumul.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, perjuangan dan jihad sangat sinonim dengan bulan ini kerana ia mengandungi hikmah dan banyak peristiwa besar berlaku.
"Seperti Perang Badar Al-Qubra, pembukaan bumi Sepanyol dan pembukaan Balkan di kerajaaan uthmaniyyah, terdapat juga kemenangan tentera Islam Mesir ke atas zionis Israel pada tahun 1973, dan juga pembukaan satu Bukit Banjaluka di Bosnia oleh Umat Islam daripada tangan Serbia.
"Tujuan kita mengetengahkan slogan ini yang pertamanya kita mahu membangkitkan semangat juang dan jihad dalam diri rakyat Terengganu khususnya apabila kita sedang menyaksikan bagaimana jihad saudara kita di bumi Palestin, di Gaza," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program Madinah Ramadan.
Mengulas lebih lanjut, Muhammad Khalil berkata berada di lokasi yang jauh bukan menjadi halangan untuk menyemaikan semangat dalam diri bagi sentiasa bersama dengan pejuang Islam di Palestin.
"Walaupun kita berada jauh tetapi kita adalah satu umat, perjuangan mereka adalah perjuangan kita, kesusahan mereka adalah kesusahan kita bersama.
"Kita mahu menegaskan di sini bahawa walaupun kita berada jauh dengan saudara kita di sana tetapi niat jihad di dalam diri kita bersama-sama dengan mereka," ujarnya.
Tegasnya Ramadan adalah bulan kemenangan kepada Islam di mana ia telah dibuktikan melalui kemenangan yang dicapai oleh generasi awal Islam.
"slogan ini ataupun tema ini juga diangkat bagi menangkis serangan dan tohmahan musuh Islam yang melabel Islam sebagai agama ganas khususnya apabila dikaitkan dengan jihad dan perjuangan.
"Mereka begitu takut dengan perkataan jihad sehingga mereka tekan umat Islam jangan belajar ayat al-Quran tentang jihad, jangan belajar sejarah Islam tentang jihad.
"Sedangkan Islam mewajibkan kepada umatnya untuk berjihad, ia merupakan satu amalan yang sangat mulia konsepnya sangat luas bukan sahaja mengangkat senjata tetapi perjuangan untuk menegakkan agama Allah dengan pelbagai cara melalui kata-kata, penulisan, harta benda, sokongan moral dan lain-lain," ujarnya.
25 Mar 24
112
Terengganu Pertingkat Keselamatan Kawasan Pelancongan
KUALA TERENGGANU, 25 Mac - Terengganu akan mengambil langkah-langkah proaktif dalam mempertingkat keselamatan orang ramai dan pelancong yang berkunjung ke kawasan pelancongan di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata pihaknya telah mengadakan pertemuan dengan pihak berkuasa tempatan, pegawai-pegawai polis dan agensi-agensi Bomba sejak awal tahun lalu.
“Pertemuan tersebut bagi memastikan bahawa kehadiran pelancong ke negeri ini tidak terkait dengan aktiviti dadah, persundalan dan sebagainya.
“Berkait dengan fenomena alam, semua tempat di Terengganu selamat, tetapi semasa musim Monsun Timur Laut (MTL) para pelancong diingatkan agar berhati-hati ketika melakukan sebarang aktiviti khususnya melibatkan air," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup dan Penyampaian Hadiah Program PeliTer@TTI bertempat di Booth Jabatan Pelancongan Negeri (Sebelah Galeri Khat TTI), Tasik Pahlawan, TTI di sini baru-baru ini.
Tambah Razali, pada waktu ini pulau-pulau masih belum dibuka dan pihaknya sedang mengatur program-program untuk para pelancong.
“Kita tidak mampu mengawal semua keadaan yang melibatkan keselamatan namun kita akan melakukan sebaik mungkin,” ujarnya.
25 Mar 24
205