Artikel "Semasa" Terkini
Sultan Mizan Berkenan Rasmi Sidang DUN
KUALA TERENGGANU, 22 April - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin hari ini berkenan merasmikan Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN)Terengganu Ke-15 di Wisma Darul Iman di sini.
Keberangkatan Baginda diiringi Yang Di-Pertuan Muda Terengganu Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin dan Tengku Muhammad Muaz Sultan Mizan Zainal Abidin.
Ketibaan baginda disambut Menteri Besar Dato Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Yang Dipertua DUN, Dato' Mohd Nor Hamzah.
Turut menyambut ketibaan baginda, Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja; Panglima Briged Kelapan Infantri Malaysia Ke-29,
Brigedier Jeneral Muzamil Ali dan
Ketua Polis Negeri DCP, Datuk Mazli Mazlan.
Istiadat dimulakan dengan berkumandangnya lagu kebesaran Negeri Terengganu sebelum Sultan Mizan berkenaan memeriksa Kawalan Kehormatan Utama Kawalan Kehormatan terdiri daripada Unit 6, Pasukan Simpanan Persekutuan Terengganu dan Pancaragam Rejimen 512 (Askar Wataniah)
Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu kali ke-15 akan bermula hari ini hingga 25 April 2024.
22 Apr 24
236
Pendaratan Ikan Meningkat, Sultan Mizan Hargai Usaha Kerajaan
KUALA TERENGGANU, 22 April - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menzahirkan penghargaan atas kejayaan perancangan Pengurusan dan Pemuliharaan Sumber Perikanan secara mampan melalui Pelan Strategi Pertanian 2019 hingga 2023 yang mencatatkan peningkatan sebanyak 39 peratus pendaratan ikan marin.
Titah baginda, sebanyak 13,143 tan berjaya direkod sepanjang tahun 2023.
"Justeru itu, program yang dirancang harus diperkasakan dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan menerusi pemfokusan kepada program pembangunan tukun ke arah mewujudkan tukun tiruan garis sempadan dan pesisir pantai perairan Terengganu," titah baginda pada Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu Ke-15 di Wisma Darul Iman di sini, hari ini.
Baginda juga bertitah Banci Pertanian kali ke-4 yang sedang dilaksanakan oleh Kementerian Ekonomi pada tahun ini turut memberikan fokus pengumpulan data secara menyeluruh untuk industri pertanian negara.
"Hasil dapatan daripada bancian ini, diharap mampu memberi sumbangan terhadap isu struktur ekonomi import makanan yang tinggi, kenaikan harga dan seterusnya bakal membuka peluang pekerjaan kepada rakyat Beta di dalam industri ini," titah baginda.
22 Apr 24
166
Sultan Mizan Sukacita Perkembangan Pelaburan Terengganu
KUALA TERENGGANU, 22 April - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menzahirkan rasa sukacita apabila Terengganu masih kekal antara destinasi utama pelaburan di Malaysia.
Baginda bertitah, walaupun berhadapan dengan suasana ekonomi dunia yang penuh dengan cabaran pada tahun 2023, kerajaan negeri masih berjaya menarik ramai pelabur ke Terengganu.
"Dengan pelaburan sebanyak RM3.75 bilion dalam sektor pembuatan, pelancongan, dan logistik, Terengganu masih kekal sebagai antara destinasi utama pelaburan," titah baginda pada Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu Ke-15 di Wisma Darul Iman di sini, hari ini.
Sultan Mizan juga bertitah keberhasilan dalam pelaburan itu dipacu oleh ekosistem industri yang sudah terbentuk dengan baik melalui dasar dan peraturan yang menyokong perkembangan industri.
22 Apr 24
1768
Doakan Beras Ganu Kembali Semula Ke Pasaran - Exco
KUALA TERENGGANU, 22 April – “Doakan Beras Ganu kembali semula ke pasaran dalam tempoh masa terdekat insya-Allah,” ujar Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim.
Beliau mengemukakan kenyataan itu sebagai respons terhadap isu Beras Ganu tiada di pasaran, sambil menekankan bahawa jenama Beras Ganu tidak akan lenyap, namun perlu dilakukan penstrukturan semula berdasarkan situasi semasa.
Katanya, selama kira-kita tiga musim Program Beras MyGAP dengan jenama Beras Ganu berjalan lancar sehinggalah Kerajaan Perikatan Nasional (PN) bertukar kepada Kerajaan Madani.
“Selepas peralihan tampuk kepimpinan di Kementerian Pertanian, beberapa kenyataan bernada memperlekehkan usaha Kerajaan Negeri Terengganu dalam menghasilkan jenama Beras Ganu telah dikeluarkan oleh Pejabat Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM)
“Kita memahami dari nada kenyataan tersebut bahawa KPKM tidak gembira dengan sedikit kejayaan Terengganu bahkan usaha kerajaan negeri bukan hanya tak disokong malah diperlekehkan,” katanya dalam hantaran di laman facebook rasmi miliknya pada hari ini.
Tambah Dr Azman, kemuncaknya ialah, berlaku sabotaj dari Kilang Padi Konsortium Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) apabila Beras MyGAP yang sepatutnya dibekalkan kepada TADC untuk dibungkuskan dengan jenama Beras Ganu telah dijual kepada pihak lain.
Tambahnya lagi, hanya 30 peratus sahaja dijual kepada TADC dan dari jumlah padi MyGAP musim 2023 yang telah dibayar insentif oleh Kerajaan Negeri Terengganu.
Menurutnya, Kilang Konsortium hanya membekalkan 120 metrik tan beras sahaja kepada Terengganu Agrotech Development Corp Sdn Bhd (TADC) dari jumlah keseluruhan 840 metrik tan yang sepatutnya dibekalkan.
“Bakinya telah dijual kepada pihak lain tanpa dimaklumkan kepada Kerajaan Negeri. Untuk makluman, bekalan Beras MyGAP kepada TADC dibayar dengan harga sama sebagaimana kilang jual kepada syarikat lain.
“Kita yakin sabotaj ini bukan keputusan Kilang Konsortium LPP secara bersendirian. Sedia difahami retetan senario sebelum berlaku sabotaj. Ia suatu agenda dari pihak yang lebih atas.
“Panas sampai ke petang yang diharapkan rupanya hujan disiang hari menyebabkan kerjasama dengan Kilang Konsortium LPP tak mampu diteruskan lagi,” jelasnya.
Dr Azman berkata, kerajaan negeri telah mengemukakan tuntutan untuk mendapatkan ganti Beras MyGAP dari padi yang telah dibayar insentif oleh kerajaan negeri dan ini adalah hak kita.
Jelasnya lagi, TADC sebagai anak syarikat kerajaan negeri (GLC) yang melaksanakan Program Beras Ganu belum ada kilang padi.
“Kita hanya ada kilang pembungkusan beras buat masa ini dan di kilang inilah beras MyGAP dibungkus dan seterusnya diedarkan, ‘way forward’ kita ialah untuk TADC memiliki kilang padi sendiri.
“Pelajaran mahal yang kita pelajari dari peristiwa ini ialah, dalam rantaian pengeluaran, kita tak boleh bergantung kepada pihak lain yang tidak berniat baik terhadap kita.
“Kita mesti mampu berdikari dan menyediakan semua keperluan dalam rantaian pengeluaran sendiri,” ujarnya.
Untuk rekod, Beras Ganu ialah Beras MyGAP, beras berkualiti tinggi yang disahkan selamat secara saintifik terutama dari segi kualiti dan kandungan racun.
Selain itu, Terengganu adalah negeri yang mempunyai pesawah memiliki persijilan MyGAP paling ramai di Malaysia dan persijilan ini dibawah Kementerian Pertanian.
22 Apr 24
278
Kemasukan Ternakan Melalui Penyeludupan Beri Kesan Buruk - Sultan Mizan
KUALA TERENGGANU, 22 April - Sultan Mizan Zainal Abidin menzahirkan rasa bimbang berikutan kemasukan ternakan dari luar melalui penyeludupan yang tiada saringan serta sijil pengesahan bebas penyakit oleh negeri atau negara pengeluar.
Baginda bertitah, tindakan itu boleh memberi kesan ’ buruk kepada industri ternakan di Terengganu.
"Permintaan yang tinggi terhadap ternakan yang mempunyai ketidaksahihan kawalan penyakit ini memberikan kesan langsung terhadap keselamatan makanan kepada rakyat," titah baginda pada Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu Ke-15 di Wisma Darul Iman di sini, hari ini
Dalam pada itu Sultan Mizan bertitah, penguatkuasaan berterusan sama ada di perairan mahupun sempadan negeri perlu dipergiatkan agar isu pencerobohan sumber marin serta penyeludupan ternakan ini terkawal dan tidak berleluasa.
22 Apr 24
110
Sidang DUN Terengganu Dijangka Panas Bahas Royalti
KUALA TERENGGANU, 21 April – Isu royalti petroleum dijangka menjadi topik hangat dibincangkan oleh 32 wakil rakyat pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu bermula Isnin, esok.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata beliau tidak menolak kemungkinan isu berkenaan akan menjadi perbahasan sidang DUN Terengganu kali ini.
Terdahulu, Kerajaan Persekutuan mendakwa telah menyalurkan Wang Ehsan berjumlah RM172.3 juta kepada kerajaan Terengganu pada minggu lepas bagi membiayai komitmen emolumen kerajaan negeri, menurut Kementerian Kewangan (MOF).
“Tetapi hasil perbincangan dengan Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum itu, tidak sama dengan apa yang telah dibincang (lain dibincang lain dibuat).
“Kita sebenarnya jangka penyaluran terus ke kerajaan negeri untuk baki lebih RM700 juta lagi untuk 2023, baki tahun lepas sebagaimana dibincang,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Menteri Besar Terengganu di Perkarangan Kediaman Seri Iman, Batu Buruk baru-baru ini.
Tambah Ahmad Samsuri, kenyataan itu juga jelas menunjukan bayaran royalti Terengganu tidak akan disalur sebagaimana sebelumnya.
“Tidak sama dengan 10-15 tahun lalu, cara penyaluran ke negeri dan kita akan ‘adapt’ dengan cara ini.
“Ini kali pertama kita berhadapan dengan situasi ini, sebahagiannya kita akan sebut dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) nanti,” ujarnya.
Untuk rekod, Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu kali ke-15 akan bermula pada 22 hingga 25 April 2024.
21 Apr 24
451
Beras Rosak Boleh Dijadikan Makanan Ternakan
KUALA TERENGGANU, 19 April - Beras rosak dan dikatakan tidak selamat dimakan manusia masih boleh dijadikan sebagai makanan haiwan ternakan berbanding dibuang begitu sahaja.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, sangat merugikan jika hasil titik peluh para petani di sawah akhirnya dibuang di tempat pembuangan sampah.
"Ketika majoriti rakyat sukar untuk mendapatkan bekalan beras, ada pihak yang boleh menyimpan stok beras sehingga rosak. Biasanya kerana lama tempoh masa ia disimpan," ujar beliau ketika mengulas isu beras dibuang di Pahang.
Menurut beliau, beras yang dimasuki bubuk bukan bermakna beras telah rosak dan tidak selamat dimakan.
Jelas Dr Azman, ia boleh dicuci dan dibersihkan semula menggunakan mesin yang ada di kilang pembungkusan beras.
"Memang beras tempatan agak cepat masuk bubuk berbanding beras import kerana beras tempatan tak ada campuran bahan kimia.
"Tiada bahan kimia menjadikan ia lebih baik dan selamat untuk dimakan.
"Bubuk juga cepat masuk jika beras disimpan ditempat lembab. Tolong jangan buang beras kalau tengok ada bubuk. Ia masih selamat dimakan selepas dicuci dan diproses semula," katanya.
Terdahulu, tular video yang memaparkan barangan asas antaranya beras, tepung dan sardin dibuang di tapak pelupusan sampah.
Video tular sejak semalam di media sosial itu telah menimbulkan pelbagai reaksi masyarakat.
19 Apr 24
2358
Khalwat : Terengganu Terus Kuatkuasa Hukuman Jenayah Syariah
KUALA TERENGGANU, 18 April- Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu semalam menjatuhkan hukuman sebatan ke atas pesalah khalwat yang merupakan kes pertama di Terengganu melibatkan pesalah khalwat perempuan mengikut pindaan undang-undang Kesalahan Jenayah Takzir Terengganu pindaan 2022.
Wanita berstatus janda itu didenda RM4,000 atau lapan bulan penjara jika gagal membayar denda dan enam sebatan selepas disabitkan kesalahan berkhalwat kali kedua di sebuah rumah di Kemaman pada Januari lalu.
Hakim Kanan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, Rosdi Harun membuat keputusan itu selepas tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 31 (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu Pindaan 2022.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh yang berusia 37 tahun dan pasangannya ditahan berkhalwat ketika serbuan oleh penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) di sebuah rumah di Taman Geliga, Kemaman sekitar jam 3.15 petang pada 31 Januari lalu.
Hasil siasatan oleh pihak penguat kuasa mendapati kedua-duanya tidak mempunyai hubungan sebagai suami isteri atau mahram.
Sebelum ini tertuduh pernah dihukum denda RM3,000 atau empat bulan penjara jika gagal bayar denda setelah disabitkan melakukan kesalahan sama di bawah Seksyen 31 (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 pada 28 Januari 2018.
Sementara itu, pasangan lelaki yang turut ditahan bersama tertuduh akan didakwa di Mahkamah Rendah Syariah Kemaman pada 23 April depan bagi kesalahan kali pertama melibatkan khalwat.
18 Apr 24
630
Projek Roselprenuer Bantu Tingkat Taraf Hidup OKU Pekak
KUALA TERENGGANU, 18 April - Sekumpulan penyelidik Universiti Malaysia Terengganu (UMT) tampil membantu meningkatkan taraf hidup ahli persatuan Orang Kelainan Upaya (OKU) Pekak melalui projek Roselprenuer.
Ketua Projek, Prof. Madya Ts. Dr. Wan Zaliha Wan Sembok berkata, pihaknya terpanggil untuk membantu kumpulan itu setelah menjalankan beberapa siri penyelidikan yang berpotensi untuk dilaksanakan oleh kumpulan sasar.
“Pada tahun 2020, OKU yang berdaftar di Jabatan Kebajikan Masyarakat adalah seramai 581,265 orang. Daripada jumlah tersebut, OKU kategori cacat pendengaran mencatatkan 6.3 peratus. Jumlah pekerja cacat pendengaran yang berdaftar dalam organisasi kerajaan atau swasta amatlah rendah, direkodkan hanya sekitar 210 orang OKU dengan masalah pendengaran.
“Oleh itu, satu inisiatif perlu diambil bagi membantu golongan ini dalam memajukan diri mereka melalui ilmu dan teknologi dalam bidang pertanian yang sangat luas dan mudah untuk diaplikasikan,” ujarnya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Komunikasi Korporat, UMT, hari ini.
Menurut beliau, penanaman rosel dan penghasilan produk berasaskan rosel merupakan ‘jalan keluar’ yang sesuai dan bertepatan dengan kelebihan yang dimiliki kumpulan itu.
“Projek penanaman rosel ini dijalankan di atas tanah berkeluasan lima ekar yang boleh menampung sebanyak 5,000 polibeg pokok dan usahakan oleh mereka di perkarangan Pejabat Persatuan Orang Pekak Terengganu, Batu Burok.
“Kita perkenalkan projek tanaman rosel melalui program pemindahan ilmu serta mengadakan siri latihan melalui kelas dan juga amali di lapangan.
“Projek Roselprenuer ini melibatkan hampir 100 orang ahli daripada komuniti OKU Pekak termasuk isi rumah dan sekiranya projek ini mencapai sasaran yang digariskan, kita sedia kembangkan kepada semua ahli OKU pekak yang berdaftar di negeri ini,” ujarnya.
Katanya, projek Roselpreneur di bawah tajaan dana Yayasan Inovasi Malaysia, Kementerian Sains, Teknolog dan Inovasi (MOSTI) dan dijangka memberi pulangan kira-kira RM1,000 sebulan.
“Projek ini diperkenalkan kepada ahli persatuan OKU pekak pada September 2023 dan pemilihan padanan peserta OKU ini juga berdasarkan kemampuan serta mudah dilaksanakan dengan kos rendah.
“Kita terapkan semua aspek bermula dengan langkah pertama penyediaan tapak, semaian, penjagaan tanaman, tuaian dan juga penghasilan produk hiliran seperti jus, jem, aiskrim dan lain-lain,” ujarnya.
Menurut beliau, program berbentuk pemindahan ilmu kepada komuniti itu telah dilaksanakan sejak lebih lima tahun lalu melibatkan peserta dari pelbagai latar belakang seperti komuniti asnaf, ibu tunggal dan kumpulan B40.
“Beberapa program pemindahan ilmu telah dilaksanakan sebelum ini seperti projek penghasilan baja, projek penanaman Melon Manis Terengganu, projek penanaman sayuran berbuah seperti tomato ceri, bendi, cili, timun batang serta penanaman pelbagai jenis sawi termasuk strawberi tanah rendah.
Selain itu, OKU Pekak ini juga telah mampu berdikari melalui projek pertanian bandar yang mana telah membuahkan hasil lumayan.
“Apa yang kita harapkan semoga program pemindahan ilmu dari universiti kepada komuniti seperti ini mampu memberi suntikan semangat dan harapan baharu buat kumpulan sasar untuk keluar daripada kepompong kemiskininan serta mengubah kualiti kehidupan ke tahap lebih baik,” ujarnya.
18 Apr 24
385
Aksi Menari 'Alamak Raya Lagi' Boleh Bawa Hukum Haram
KUALA TERENGGANU, 17 April - Aksi tarian menggunakan lagu 'Alamak Raya Lagi' di media sosial boleh membawa kepada hukum haram lebih-lebih sekiranya mendedahkan aurat.
Mufti Terengganu, Prof. Madya Datuk Dr Mohamad Sabri Harun berkata, trend tersebut perlu dielakkan kerana ia dilihat menjatuhkan maruah wanita apabila mempamerkan aurat.
Bahkan katanya, bukan sahaja menyerlahkan reputasi yang negatif kepada pelakunya malah menurutnya akan mencemarkan perayaan Aidilfiltri yang sedang diraikan oleh seluruh umat Islam pada ketika ini.
"Sepatutnya pebutan tersebut dielakkan kerana boleh menonjolkan aurat yang boleh membawa kepada (hukum) haram, sebarang perbuatan yang negatif sudah pasti mencemarkan keharmonian perayaan Aidilfitri itu sendiri," ujarnya sebagaimana yang dilaporkan Sinar Harian ketika dihubungi di sini, semalam.
Dalam pada itu, Mohammad Sabri turut menzahirkan perasaan kesal atas tindakan masyarakat beragama Islam yang begitu mudah terikut dengan trend semasa sehingga melupakan batas agama.
"Sehubungan itu, saya ingin mengingatkan kepada masyarakat supaya jangan mudah terikut-ikut dengan budaya baharu.
"Fikir dahulu sebelum melakukan sesuatu, jika tidak, dibimbangi akan menjerumuskan diri kepada fitnah yang mencemarkan budaya harmoni kita," ujarya.
17 Apr 24
385