lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Kerajaan Digesa Tambah Baik Infrastruktur Pelancongan Besut
Kerajaan Digesa Tambah Baik Infrastruktur Pelancongan Besut
KUALA TERENGGANU, 24 April – Kerajaan Negeri disaran menambah baik kemudahan asas dengan tujuan memajukan sektor pelancongan di daerah Besut khususnya DUN Kuala Besut. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Azbi Salleh berkata, penambahbaikan infrastruktur itu bagi menarik lebih ramai pelancong ke kawasan tersebut. "Saya ingin menyentuh tentang prasarana untuk kemudahan pelancong, ada yang datang menaiki bas yang sedikit menyukarkan mereka kerana tidak ada sistem pengangkutan yang lebih efisien.  "Pelancong hanya berjalan kaki ke jeti untuk ke Pulau Perhentian dan jarak dari stesen bas ke jeti ialah sekitar 850 meter iaitu mengambil masa lebih kurang 15 minit. "Hal ini menyebabkan pelancong berpanas dan berhujan untuk ke jeti tersebut," jelasnya. Beliau berkata demikian dalam Perbahasan Dewan Undangan Negeri Terengganu mesyuarat pertama penggal kedua Dewan Undangan Negeri Terengganu ke-15 2024, Wisma Darul Iman, semalam. Oleh itu, beliau mencadangkan agar kerajaan negeri menyediakan kemudahan asas seperti yang terdapat di Hatyai, Thailand, di mana perkhidmatan kereta atau van dikenali sebagai Tuk-Tuk disediakan. "Manakala Pekan Lama Kuala Besut yang terletaknya jeti pelancong dicadangkan untukndiperindahkan dengan warna-warna bangunan ceria dan menarik. "Jalan raya ditukar dari tar berturap kepada tapak gajah dan disarankan juga membina pintu gerbang sebagai salah satu mercu tanda gerbang pelancongan di Besut," ujarnya lagi.
24 Apr 24
178
Gerakkan Kempen Indahnya Hidup Bersyariat Hingga ke Kampung
Gerakkan Kempen Indahnya Hidup Bersyariat Hingga ke Kampung
KUALA TERENGGANU, 24 April - Kerajaan Negeri diseru memberikan penekanan yang lebih besar kepada agenda 'Indahnya Hidup Bersyariat' dengan menggerakkan program berkaitan ke setiap daerah, Dewan Undangan Negeri (DUN) dan kampung. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail berkata, penduduk setempat percaya bahawa langkah ini dapat memastikan kehidupan mereka lebih selaras dengan prinsip-prinsip Islam. "Kerajaan Negeri mengumumkan inisiatif tahun indahnya hidup bersyariat pada tahun ini, disambut baik oleh penduduk Batu Rakit, Terengganu, serta rakyat seluruh negeri.  "Semua program kerajaan, pastikan ia bertepatan dengan syariat terutama dalam sektor hiburan dan sukan," jelasnya. Beliau berkata demikian ketika membahaskan Titah Ucapan Diraja Sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman semalam. Beliau turut menjelaskan bahawa setiap agenda solat perlu dimasukkan dalam apa sahaja program kerajaan kerana solatlah yang dapat mengubah sikap masing-masing. "Supaya tujuan kita sampai kepada setiap masyarakat," katanya.
24 Apr 24
139
Kerajaan Digesa Bendung Lambakan Sayuran Dari Thailand
Kerajaan Digesa Bendung Lambakan Sayuran Dari Thailand
KUALA TERENGGANU, 24 April- Kerajaan Terengganu digesa agar mencari jalan membendung lambakan pelbagai jenis sayuran dari dari Thailand yang memasuki negeri ini hingga mengakibatkan para petani tempatan mengeluh kerana pendapatan mereka terjejas. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permaisuri, Mohd Yusop Majid berkata, tidak dinafikan negara seberang itu memiliki kepakaran yang tinggi dalam bidang pertanian sehingga menghasilkan sayur-sayuran berkualiti. "Kemahiran dari negara terbabit boleh dipelajari dan dicontohi namun bukannya membiarkan produk negara terbabit terus memasuki negeri ini. "Kerana limpahan produk yang masuk dari negara seberang itu akan menyebabkan hasil usaha petani negeri kita ini tidak mendapat sambutan dan harga untuk pasaran akan dimainkan oleh orang tengah. "Selain itu adalah perlu untuk diaktifkan agensi pemasaran yang tidak membebankan petani, contohnya seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) yang dahulunya aktif, tetapi hari ini kita tidak berapa mendengar agensi ini memainkan peranan yang sewajarnya dalam membantu para petani," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika membahaskan Titah Ucapan Diraja Sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu, di Wisma Darul Iman, di sini, semalam. Mengulas lebih lanjut, Yusop berkata adalah menjadi harapan para petani supaya pihak FAMA mengaktifkan agensinya supaya dapat membantu para petani mendapat hasil jualan yang sewajarnya. "Kerajaan negeri juga perlu memberi bantuan yang sewajarnya bagi memastikan industri makanan dalam negeri rancak. "Kerajaan negeri juga perlu mewujudkan pemantau-pemantau bebas dalam sektor pertanian agar laporan yang diterima adalah tepat, kita tidak mahu orang yang berkait agensi pertanian yang membuat laporan biar ada pihak yang bebas," ujarnya. Dalam pada itu katanya, kerajaan negeri juga perlu membuat pengezonan pertanian supaya tidak terjadi petani mengusahakan tanaman yang sama yang akhirnya mengakibatkan kejatuhan harga pasaran. "Kalau kita dengar rata-rata tanam jagung, tanam tembikai sehingga hari ini harga dia RM1.20 sekilo cuma ketika Ramadan baru ini harganya mencecah RM3 ia berlaku kerana tidak akan pengezonan. "Juga menjadi kewajipan bagi pihak kerajaan membuat kawalan dan penguatkuasaan supaya petani dapat meletakkan harga yang sesuai. "Terakhirnya ialah perlu mengerakkan kempen merakyatkan pertanian dalam negeri Terengganu," ujarnya.  
24 Apr 24
222
Kualiti RMM Dorong Terengganu Terpilih Bandar Paling Bahagia
Kualiti RMM Dorong Terengganu Terpilih Bandar Paling Bahagia
KUALA TERENGGANU, 24 April – Pembangunan Rumah Mampu Milik (RMM) berkualiti merupakan antara sebab Terengganu menerima anugerah bandar paling bahagia. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong, mengucapkan tahniah kepada Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Majlis Perbandaran Dungun (MPD), Majlis Daerah Besut (MDB), Majlis Daerah Marang (MDM), dan Majlis Daerah Hulu Terengganu (MDHT) atas anugerah yang diperoleh. “Penghargaan tersebut merupakan pengiktirafan kepada usaha bersama pihak berkuasa tempatan dalam meningkatkan kesejahteraan penduduk dan keharmonian masyarakat di seluruh Terengganu.  "Saya berharap agar momentum ini dapat menjadi pemangkin untuk usaha lebih gigih dalam pembangunan dan penyelenggaraan bandar di masa hadapan,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika membahaskan Titah Ucapan Diraja Sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman semalam. Tambah Sulaiman, pembangunan tonggak utama dalam mengejar impian kegemilangan dan kesejahteraan. Jelasnya lagi, seiring dengan perjalanan masa, Terengganu terus melangkah ke hadapan dengan gagah dan bersemangat. “Melalui usaha gigih dan kesungguhan, kita menyaksikan pembangunan pesat di pelbagai bidang, dari pembangunan infrastruktur yang memudahkan mobiliti penduduk sehingga kepada peningkatan pendidikan, ekonomi dan kebudayaan. “Namun, pembangunan sejati tidak hanya diukur melalui kemajuan fizikal semata-mata, ia juga terletak kepada persepaduan dan keharmonian dalam kalangan masyarakat,” ujarnya.
24 Apr 24
2474
Promosi Nilai Syariah Dalam 'Islamic Tourism'
Promosi Nilai Syariah Dalam 'Islamic Tourism'
KUALA TERENGGANU, 23 April - Kerajaan negeri disaran untuk terus mempromosikan nilai-nilai syariah dalam usaha membangun industri pelancongan Islam. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Muhamed berkata, dengan menerapkan prinsip-prinsip syariah dalam produk dan perkhidmatan pelancongan, kerajaan Terengganu dapat menarik lebih ramai pelancong Muslim untuk melancong ke sini. "Saya ingin mencadangkan kepada Kerajaan Negeri Terengganu khususnya Exco Pelancongan untuk terus kekal dengan negeri yang mendokong syariat atau mesra syariat untuk berusaha mempopular dan mempromosi 'Islamic tourism' bagi menarik pelancong Muslim dari negara China khususnya," jelasnya. Beliau berkata demikian ketika membahaskan Titah Ucapan Diraja Sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman hari ini. Tambahnya, selain daripada sektor pertanian, Terengganu juga menjadi destinasi pelancongan utama bagi pelancong dalam dan luar negara, terutamanya dengan tumpuan kepada produk pelancongan alam semula jadi. "Usaha mempromosi 'Islamic tourism' perlu diselaraskan dan diatur melalui kerjasama dengan Kementerian Pelancongan dan di sana mungkin kita dapat mengambil manfaat daripada bajet Kementerian Pelancongan," katanya. Sementara itu, fenomena 'moreh' semasa bulan Ramadan merupakan satu tradisi yang diamalkan oleh masyarakat di Malaysia perlu diangkat dalam memperhebatkan 'Islamic Tourism'. "Banyak tempat dan lokasi khususnya di tempat peranginan menjadi lokasi moreh yang popular," katanya. Justeru itu, belia mencadangkan kepada Kerajaan Negeri agar menjadikan aktiviti sebegini sebagai satu daya tarikan pelancongan khususnya pada bulan Ramadan.
23 Apr 24
263
Tuntutan Royalti Berkumandang di Sidang DUN Terengganu
Tuntutan Royalti Berkumandang di Sidang DUN Terengganu
KUALA TERENGGANU, 23 April - Tuntutan kembalikan royalti minyak hak milik Terengganu berkumandang di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada hari ini selepas beberapa wakil rakyat membangkitkan isu terbabit. Paling mencuri tumpuan, wakil rakyat muda iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr. Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Md Fauzi yang mempersoalkan kewujudan keadilan apabila hasil petroleum, tanah dan pertanian semuanya dijarah oleh Kerajaan Persekutuan tanpa diberikan hasilnya kepada negeri. "Adakah Kerajaan Persekutuan sekarang sudah bertukar menjadi penjajahan bentuk baru? Mungkin ramai dalam dewan ini yang tidak terasa, namun kalau kita melihat denyut nadi rakyat Terengganu, ada yang mengharapkan bantuan dana i-Fitri dan bantuan awal persekolahan agar beban mereka berkurang.  "Tapi harapan tinggal harapan apabila hasil disekat oleh Kementerian Kewangan (sehinggakan) ada guru-guru al-Quran yang tertunggak elaun mereka selama berbulan-bulan tanpa pembelaan, sama juga yang berlaku kepada sekolah-sekolah di bawah Yayasan Terengganu, peruntukan penyelenggaraan tersekat kerana masalah kewangan. "Biasiswa yang sepatutnya diberi kepada lebih ramai anak Terengganu yang cemerlang juga terpaksa dikurangkan, tidak dikira lagi bantuan perubatan, bantuan Tabung Darul Iman dan pelbagai bantuan lain yang tersekat kerana menjadi mangsa 'politik balas dendam'," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika membahaskan Titah Ucapan Diraja Sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu, di Wisma Darul Iman, di sini. Sementara itu, ADUN Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili pula berkata, dalam pembentangan bajet 2024 Kerajaan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin telah memperuntukkan RM1.86 bilion merangkumi perbelanjaan mengurus dan pembangunan yang sepatutnya disalurkan melalui hasil royalti petroleum. "Namun hasil petroleum tidak dibayar sebagaimana jadual bayaran terdahulu malah bayaran untuk tahun 2023 pun masih tidak dibuat sepenuhnya oleh kerajaan pusat sebagaimana tahun-tahun terdahulu. "Ia sangat mempengaruhi perjalanan Kerajaan Negeri termasuk dalam menyempurnakan amanah sebagai pemimpin sebagaimana yang dititahkan oleh Ke Bawah Duli Tuanku," ujarnya. Bagi ADUN Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong pula menyifatkan tindakan Kerajaan Persekutuan menafikan bayaran royalti itu adalah tersangat zalim. "Perlu dilakukan sesuatu bagi mengembalikan setiap sen hak rakyat Terengganu kepada yang berhak untuk mengurus dan mentadbir ... Penyalahgunaan kuasa yang berlaku dan melibatkan pimpinan utama negara adalah amat mendukacitakan, lebih-lebih lagi apabila melibatkan pemimpin beragama Islam," ujarnya. Dalam pada itu, ADUN Ladang, Zuraida Md Noor menyifatkan Kerajaan Persekutuan tidak menghayati semangat federalisme kerana sering mempermainkan isu royalti sehingga menyebabkan Terengganu berdepan tekanan dalam menjaga kebajikan rakyat. Justeru katanya, pelaksanaan pelan Penjanaan Pendapatan Baharu Negeri Terengganu yang telah dirangka dengan teliti oleh Jawatankuasa Pasukan Petugas Penjanaan Pendapatan Baharu negeri bersama dengan agensi dan jabatan kerajaan mahupun swasta memberikan nafas baru kepada rakyat. "Saya melihat ini merupakan satu langkah yang tepat setelah kita berdepan dengan tekanan bayaran royalti yang sentiasa dipermainkan oleh pihak yang tidak menghormati semangat federalisme," ujarnya. Walaupun berdepan isu kewangan disebabkan royalti, ADUN Bandar, Ahmad Shah Muhamed pula berharap agar kerajaan negeri akan tetap terus serius dan fokus dalam melaksanakan perancangan dan program yang ditetapkan. "Setiap EXCO dan portfolio mesti terus berfungsi, cari ruang untuk jalinkan hubungan baik dengan kementerian berkenaan, manfaatkan apa sahaja ruang untuk mendapatkan bajet bagi pelaksanaan program dan projek kementerian.  
23 Apr 24
3367
Terengganu Cipta 5,000 Peluang Pekerjaan Melalui Pelaburan
Terengganu Cipta 5,000 Peluang Pekerjaan Melalui Pelaburan
KUALA TERENGGANU, 23 April – Terengganu berjaya menyediakan lebih 5,000 peluang pekerjaan melalui hasil pelaburan. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Noor berkata Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) telah mengumumkan Terengganu merealisasikan nilai pelaburan berjumlah RM2.4 bilion di negeri ini sehingga Mac lalu.  “Nilai tersebut telah melebihi 50 peratus daripada RM4.2 bilion yang disasarkan bagi tahun ini. “Selain merancakkan industri berorientasikan eksport dan domestik, saya berharap Kerajaan negeri juga mengoptimumkan peluang ini untuk mengukuhkan rantaian perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di peringkat nasional dan global,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika membahaskan Titah Ucapan Diraja Sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman hari ini. Zuraida juga menyuarakan kebanggaannya terhadap usaha yang diketuai oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Unit Perancang Ekonomi Negeri, dan beberapa pihak lain dalam merancang untuk memajukan industri nadir bumi (REE).  Menurutnya, langkah ini disambut baik sebagai upaya bersama dalam meningkatkan potensi ekonomi serta pembangunan industri strategik di Terengganu. “November tahun lepas, Menteri Besar menyebutkan perkara ini dalam Ucapan Belanjawan 2024, Januari tahun ini sudah diadakan perbincangan dengan pihak pelabur dan pada Mac lalu pula disusuli dengan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU).  “Saya mewakili seluruh rakyat memberikan sokongan dan dukungan penuh kepada Kerajaan Negeri dalam menjayakan agenda ini supaya dapat menjana hasil yang maksimum kepada negeri, selain dapat menarik lebih banyak pelaburan serta mengukuhkan pasaran pekerjaan di negeri ini.  Tambah Zuraida, melihat kepada momentum yang semakin baik dalam sektor perindustrian, perdagangan, dan pelaburan, serta peningkatan prestasi produktiviti pekerja negeri, beliau optimis bahawa ini akan memacu pertumbuhan ekonomi negeri mencapai sasaran yang ditetapkan. “Namun, Kerajaan Negeri juga diingatkan agar sentiasa berhati-hati agar sumber mineral kita tidak dirompak seperti yang berlaku ke atas hasil daripada minyak dan gas asli negeri kita bak kata pepatah sekalilah si buta kehilangan tongkat,” ujarnya.                      
23 Apr 24
1407
Terengganu Catat Gred Purata STAM Lebih Tinggi daripada Gred Nasional
Terengganu Catat Gred Purata STAM Lebih Tinggi daripada Gred Nasional
KUALA TERENGGANU, 23 April - Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2023 Negeri Terengganu mencatatkan Gred Purata Negeri 2.79 sekali gus mengatasi Gred Purata Nasional (GPN) iaitu 3.09. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Md Noor berkata peningkatan itu secara tidak langsung menonjolkan potensi STAM untuk terus bersaing dalam ekosistem Kementerian Pendidikan Malaysia.  “Lebih membanggakan ialah apabila Gred Purata Sekolah (GPS) Sekolah Agama Negeri Terengganu mencatatkan prestasi yang lebih baik iaitu 2.48 berbanding Sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia, 2.52.  “Tahniah saya ucapkan kepada pelajar-pelajar STAM 2023 dan juga kepada para pendidik atas pencapaian ini,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika membahaskan Titah Ucapan Diraja Sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman hari ini. Tambah Zuraida, beliau percaya bahawa sektor pendidikan akan terus menjadi perhatian utama dan keutamaan Kerajaan Negeri dalam usaha untuk memperkasakan potensi pendidikan di Terengganu. “Ia dizahirkan melalui titah ucapan Tuanku Al-Sultan semalam yang sentiasa menekankan kepentingan kecemerlangan pendidikan yang berterusan. “Sehubungan dengan itu, saya berharap agar infrastruktur dan kurikulum Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI) dan Sekolah Menengah Islam Darul Iman (SMIDI) dapat ditambah baik dari semasa ke semasa menerusi sokongan kewangan daripada sumbangan semua pihak," ujarnya.                  
23 Apr 24
465
Zuraida Usul Tiga Langkah Elak Tragedi Lemas Berulang
Zuraida Usul Tiga Langkah Elak Tragedi Lemas Berulang
KUALA TERENGGANU, 23 April – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Md Noor mengusulkan tiga langkah bagi mengelakkan tragedi lemas di pantai berulang kembali di negeri ini. Beliau berkata antara langkah yang perlu diambil ialah memperbanyakkan pemasangan papan tanda bahaya setiap 100 meter di kawasan tumpuan, memasang bendera merah ketika laut bergelora dan menubuhkan lebih ramai skuad pasukan penyelamat pantai atau 'lifeguard' di pantai yang berisiko. “Serta di kawasan tumpuan terutamanya ketika laut bergelora serta melaksanakan langkah keselamatan yang tinggi apabila melibatkan aktiviti rekreasi di air.  “Skuad penyelamat pantai ini tidak terhad kepada Angkatan Pertahanan Awam (APMM) sahaja, tetapi perlu melibatkan agensi penyelamat, badan bukan kerajaan (NGO) dan sukarelawan sebagai satu gabungan tenaga yang komprehensif untuk memastikan keselamatan di pantai,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika membahaskan Titah Ucapan Diraja Sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman hari ini. Tambah Zuraida, situasi kehilangan nyawa melibatkan kejadian lemas boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tidak mengenal latar belakang individu.  Selain kesedaran individu katanya, agensi berkaitan perlu bertanggungjawab dan lebih cakna berkenaan aspek-aspek keselamatan dalam setiap perancangan pembangunan di manamana sahaja lokasi.  “Saya ingin berterima kasih kepada Kerajaan Negeri yang telah mewujudkan zon selamat yang dikhususkan untuk pengunjung mandi manda di kawasan rekreasi pantai Pulau Kekabu, Marang. “Elok sekiranya zon selamat ini diperluas ke pantai-pantai kawasan panas atau ‘hotspot’ (dengan izin) yang selalu berlakunya kejadian lemas,” ujarnya.                
23 Apr 24
198
Sidang DUN Terengganu Rakam Takziah Nahas Helikopter TLDM
Sidang DUN Terengganu Rakam Takziah Nahas Helikopter TLDM
KUALA TERENGGANU, 23 April- Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN)Terengganu hari ini memberi  penghormatan terakhir dan membacakan surah Al Fatihah  terhadap mangsa-mangsa insiden dua helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang terhempas di Lumut, Perak pagi tadi. Ucapan rakaman takziah itu dinyatakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Md Fauzi. ketika membahaskan titah Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin sempena pembukaan penggal persidangan kedua Dewan Undangan Negeri ke-15 di Wisma Darul Iman, di sini. "Kita baru sahaja dikejutkan dengan insiden pelanggaran dua helikopter milik TLDM di Lumut sebentar tadi dan ada beberapa perajurit kita terkorban.  "DUN Sura ingin mengambil perhatian sidang dewan agar kita semua dapat membaca al-Fatihah untuk perajurit kita yang terkorban. Salam takziah daripada kami, ADUN Terengganu," katanya. Dalam kejadian tersebut, dua helikopter yang sedang menjalani raptai Perbarisan Hari TLDM ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut dilaporkan bertembung dan terhempas. Seramai 10 kru terbabit insiden iaitu tujuh kru Helikopter HOM TLDM manakala tiga kru Fennec TLDM. Kesemua mangsa disahkan terkorban di tempat kejadian dan dihantar ke Hospital Angkatan Tentera Pangkalan TLDM Lumut untuk proses pengecaman.
23 Apr 24
101