Artikel "Semasa" Terkini
Maahad Tahfiz Fokus Tingkat Kemahiran Teknikal Pelajar
KUALA NERUS, 5 Jun – Maahad Tahfiz Wa’ Tarbiyah Darul Iman (MTT) terus memperbaharui pendekatan pendidikan dengan menekankan pentingnya kemahiran teknikal untuk kesinambungan masa depan pelajar.
Dalam satu perhimpunan di MTT, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi, dan Pembangunan Insan negeri, Ahmad Shah Mohamed, memberi penekanan kepada langkah proaktif tersebut.
Beliau menjelaskan bahawa Maahad Tahfiz telah membuka peluang baru bagi pelajar dengan memasukkan kemahiran vokasional seperti pendawaian elektrik dan jahitan ke dalam kurikulum mereka.
“Langkah tersebut memberi peluang lebih luas kepada pelajar untuk memperoleh kebolehan praktikal yang penting dalam pasaran pekerjaan yang semakin canggih,” katanya ketika majlis berkenaan.
Ahmad Shah menekankan kepentingan sokongan daripada komuniti dalam memastikan setiap pelajar mempunyai akses kepada pendidikan yang relevan dengan keperluan semasa.
Beliau juga bangga dengan Maahad Tahfiz atas usaha institusi itu menyediakan pendidikan yang mudah difahami dan praktikal bagi masa depan generasi muda.
Majlis bersejarah itu berakhir dengan majlis perasmian mini konvokesyen kursus tahfiz vokational MTT untuk 2023, menandakan langkah penting bagi pelajar yang telah dilengkapi dengan kemahiran vokasional yang bermakna.
05 Jun 24
383
Pengguna Perlu Sedar Hak Serta Tanggungjawab
MARANG, 5 Jun - Orang ramai perlu diberi kesedaran bagi membolehkan mereka bertindak sebagai pengguna bijak, tahu hak-hak pengguna dan mengetahui saluran aduan yang sepatutnya.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna, Ariffin Deraman berkata terdapat lima saluran telah disediakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam usaha menegakkan hak-hak pengguna di Malaysia.
Katanya, saluran itu meliputi Whatsapp, portal e-Aduan KPDN, Call Centre, Aplikasi Telefon Pintar Ez ADU KPDN dan Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC).
"Setiap aduan berkaitan kenaikan harga barang atau berkaitan bekalan akan diambil tindakan segera sekiranya aduan diberikan lengkap dengan premis yang terlibat.
"Oleh itu jangan teragak-agak untuk membuat aduan sekiranya peniaga membuat kesalahan untuk kepentingan bersama," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pertandingan Cabaran Troli Pengguna sempena Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Terengganu di Pasaraya PXR Wakaf Tapai di sini hari ini.
Dalam program tersebut 48 peserta dari 16 agensi dan jabatan persekutuan telah memyertai pertandingan tersebut.
Menurut Ketua Seksyen Pendayaupayaan Pengguna Pentadbiran dan Kewangan, Alifah Noor Abidin, pemenang dikira berdasarkan perbelanjaan optimum dan berjaya membeli berdasarkan soalan yang diberikan.
Tempat pertama telah dimenangi oleh Jabatan Alam Sekitar yang membawa pulang RM1,000 beserta hamper, naib johan pula jatuh kepada Politeknik Kuala Terengganu (RM700) manakala tempat ketiga dimenangi oleh Majlis Keselamatan Negeri (RM500).
Kesemua johan, naib johan dan tempat ketiga akan mewakili negeri ke peringkat kebangsaan yang bakal diadakan di negeri Perak pada Julai ini.
05 Jun 24
148
EPIC Rasmi Pusat Latihan Baharu
KUALA TERENGGANU, 5 Jun – Anak syarikat kerajaan negeri, EPIC Berhad telah merasmikan EPIC Excellent Learning Centre (EELC) yang baharu di Bangunan Admin D, Fasa 2, Kemaman Supply Base (KSB) semalam.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC, Ts Muhtar Suhaili berkata, ia merupakan inisiatif terbaru syarikat untuk menyediakan infrastruktur latihan yang lebih baik dan moden.
Menurutnya, pusat tersebut telah diubahsuai agar lebih selesa, elegan, dan profesional.
“Tahniah kepada Human Resources & Administration (HRA) Division, khususnya Training & Staffing Department,” katanya dalam hantaran di laman Facebook rasmi miliknya pada hari ini.
Muhtar menekankan tiga agenda utama dalam 'Message from GCEO' kepada semua staf iaitu menjadikan EPIC sebagai 'People-Centric', 'Performance-Based', dan 'Company of Choice'.
Beliau berharap EELC ini akan membantu meningkatkan kemahiran, ilmu, dan kebolehan semua pekerja.
“Dengan adanya EELC, EPIC Berhad berhasrat untuk memperkukuh kedudukan mereka dalam industri dengan tenaga kerja yang lebih mahir dan berpengetahuan,” ujarnya.
05 Jun 24
387
YT Jalin Kerjasama Dengan Kumpulan TI Taja Pelajar Cemerlang
KUALA TERENGGANU, 5 Jun- Yayasan Terengganu (YT) hari ini menandatangani perjanjian YT - TI Young Talent Scholarship Programme 2023 bersama Kumpulan Terengganu Inc (TI) bagi membuka peluang kepada pelajar cemerlang negeri ini mendapatkan pendidikan tinggi terbaik.
Pengarahnya, Dato’ Mohd Azmi Mohamad Daham berkata, YT telah menubuhkan Tabung Biasiswa GLC pada Tahun 2022 untuk meningkatkan kapasiti tawaran biasiswa dengan sokongan syarikat korporat Negeri Terengganu sebagai alternatif pendidikan tinggi kepada golongan sasar yang layak serta mereka yang memerlukan.
“Terengganu Incorporated Sdn.Bhd bersama-sama kumpulan dibawahnya seperti TDM Berhad, EPIC Berhad, Ladang Rakyat Trengganu Sdn. Bhd, Golden Pharos Berhad dan PTB Group telah menyalurkan sumbangan dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM500,000 melalui Tabung Biasiswa GLC,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani Perjanjian YT - TI Young Talent Scholarship Programme 2023 antara Kumpulan Terengganu Inc dan Yayasan Terengganu yang disaksikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato’ Satiful Bahari Mamat di Wisma Darul Iman.
Turut hadir, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Inc, Burhanuddin Hilmi Mohamed@Harun.
Mohd Azmi berkata, YT bertanggungjawab mengendalikan dan mengurus biasiswa kepada pelajar cemerlang yang terpilih.
“Fungsi tabung ini bukan hanya tertakluk kepada penajaan semata-mata, malah merangkumi aspek kebajikan serta kesejahteraan pendidikan anak-anak Terengganu di setiap peringkat.
“Sumbangan kepada Tabung Biasiswa GLC ini juga terbuka kepada semua individu, agensi atau syarikat korporat yang berminat untuk turut sama membantu bagi pendanaan biasiswa pelajar-pelajar cemerlang Negeri Terengganu dengan setiap sumbangan layak mendapat pengecualian cukai oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri,” jelasnya.
Katanya, pemeteraian Perjanjian antara YT bersama Kumpulan Terengganu Inc berkenaan merupakan manifestasi kesungguhan kedua-dua entiti dalam usaha menawarkan lebih banyak tawaran biasiswa untuk dimanfaatkan demi pembangunan modal insan minda kelas pertama berserta jaminan peluang pekerjaan bersama Kumpulan TI.
Terdahulu, pada majlis sama turut diraikan 10 orang pelajar yang terpilih sebagai penerima Biasiswa YT-TI bagi ambilan kedua tahun 2023 dengan setiap pelajar memperolehi tajaan biasiswa dianggarkan berjumlah RM50,000 sepanjang tempoh pengajian selama empat tahun disamping turut menerima peranti ipad atau komputer riba bagi kegunaan pembelajaran.
Kesemua pelajar ini sedang melanjutkan pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda di beberapa Universiti Awam Dalam Negara dengan pengkhususan bidang Perundangan, Pengurusan Muamalat, Analitik Data, Sains Komputer, Sains Statistik, Pengurusan Alam Sekitar. Pentadbiran Perniagaan dan Teknologi Pertanian.
05 Jun 24
276
Syarikat Greenverse Mohon Maaf Tak Guna Bahasa Melayu
KEMAMAN, 5 Jun - Syarikat Greenverse Holding yang terpalit dengan kontroversi tidak menggunakan bahasa melayu dalam satu majlis perasmian Projek Kilang Pemerolehan Kembali Buangan Berjadual di Kerteh di daerah ini tampil memohon maaf.
Pengarah Urusan Greenverse Holding, Dato’ Alex Heng Sia Kwang mengakui kesilapan tersebut kepada semua rakyat Malaysia terutamanya Ahli Dewan Undangan Negeri Kemasik, Saiful Azmi Suhaili selaku perasmi majlis berkenaan.
“Syarikat kami menzahirkan perasaan dukacita atas isu yang dibangkitkan oleh (orang ramai) di media sosial kerana kesilapan kami tidak mengunakan Bahasa Melayu di paparan sewaktu keterlibatan YB (Ir Saiful Azmi) dalam majlis tersebut.
“Kesilapan ini adalah tidak disengajakan kerana pihak kami sangat teruja untuk meraikan majlis tersebut yang dirancang dalam masa singkat dengan jemputan yang terhad kepada rakan-rakan perniagaan terdekat sahaja,” jelasnya dalam satu kenyataan media.
Menurut Alex Heng, pihaknya berjanji perkara itu tidak akan berlaku lagi di masa hadapan dan kesilapan tersebut akan menjadikan mereka lebih matang dalam meraikan sesuatu program syarikat.
“Komitmen kami untuk melaksanakan tanggungjawab sosial dan memberikan manfaat kepada masyarakat di Kerteh tidak terkesan dan akan terus dipertingatkan.
“Kami mengambil maklum segala komen yang negatif dan positif dalam kami membina hubungan terbaik di dalam perniagaan kami,” jelasnya.
Tiga hari lalu, orang ramai mempersoalkan penganjuran majlis tersebut kerana menggunakan bahasa cina sepenuhnya.
Netizen menganggap tindakan itu tidak wajar dan menuntut penjelasan penganjur kerana bahasa rasmi di Malaysia adalah bahasa melayu.
Dalam pada itu, projek yang mendatangkan pelaburan sebanyak RM247 juta dijangka mampu membuka lebih 700 peluang pekerjaan untuk penduduk setempat sekali gus akan menjadi pemangkin ekonomi kawasan berkenaan.
05 Jun 24
7118
Pembinaan Kilang di Kerteh Cipta Lebih 700 Peluang Pekerjaan
KEMAMAN, 4 Jun – Syarikat Greenverse Holding Sdn Bhd telah mengumumkan rancangan pembinaan kilang 'Pengurusan Kemudahan Bersepadu Sisa Terjadual' di Kerteh Biopolymer Park, yang dijangka mencipta lebih 700 peluang pekerjaan untuk penduduk setempat.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, dan Kesihatan negeri, Ir Saiful Azmi Suhaili, menyatakan bahawa kilang tersebut akan menjadi pemangkin ekonomi kawasan berkenaan.
Menurutnya, projek itu mendapat sokongan kuat daripada rakan kongsi utama, China Hyway Group Limited, sebuah syarikat antarabangsa yang berpengalaman dalam pelbagai bidang industri.
“Dengan pelaburan sebanyak RM247 juta, kilang ini akan dilaksanakan secara berperingkat.
"Fasa pertama dijadualkan siap pada pertengahan tahun 2025, manakala fasa kedua dijangka siap pada tahun 2028,” katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) pada hari ini
Tambah Saiful, beliau berharap agar Greenverse Holding dapat memastikan segala perjalanan operasi syarikat berjalan lancar dan sempurna dalam mengurus sisa terjadual secara menyeluruh, dengan menumpukan kepada penyelesaian ‘Cradle-to-Cradle’ (C2C).
“Ini selaras dengan prinsip ekonomi kitaran yang dilaksanakan mengikut polisi serta prinsip yang ditetapkan oleh pihak kerajaan.
“Projek ini adalah satu langkah bijak dan inovatif dalam usaha untuk mentakrifkan semula sisa terjadual bukan sebagai ‘produk sampingan’ untuk dilupuskan, tetapi sebagai komoditi yang akan ditukar menjadi sumber berharga untuk industri lain, iaitu dari ‘Waste to Wealth’,” jelasnya.
Beliau juga menekankan bahawa kerjasama antara Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dan institusi pendidikan setempat akan memastikan penghasilan bakat yang berterusan untuk kemudahan dan industri tersebut.
“Perjanjian pajakan tanah seluas 50 ekar telah dimeterai antara Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWNT) dan Greenverse Holding Sdn Bhd, menandakan komitmen jangka panjang dalam pembangunan industri dan ekonomi negeri Terengganu,” ujarnya.
Beliau juga berharap agar projek tersebut tidak hanya memberi manfaat kepada industri, tetapi juga kepada rakyat negeri Terengganu.
04 Jun 24
4234
Bidai Tradisional Hadapi Persaingan
KUALA TERENGGANU, 4 Jun - Permintaan terhadap bidai tradisional buatan tangan didapati semakin berkurangan ekoran lambakan bidai sudah siap (dihasilkan dengan mesin) yang dipasarkan secara atas talian lebih menarik minat pembeli.
Perkara tersebut diakui pembuat bidai Mohd Syamsuddin Embong, 51, dari Kampung Ladang Sekolah, di sini, yang telah mengusahakan perusahaan itu (bidai tradisional) sejak lebih 30 tahun lalu.
“Saya merupakan generasi keempat dalam keluarga yang mengusahakan pembuatan bidai tradisional ini.
“Mulanya abang sulung yang mengusahakan perabot buat, selepas itu abang kedua, ketiga dan seterusnya saya ambil alih,” ujarnya ketika ditemui pemberita di kedainya, baru-baru ini.
Menurut beliau, faktor ekonomi mendorong orang ramai memilih bidai sudah siap disebabkan harganya lebih murah berbanding bidai tradisional walaupun ia dibuat secara manual serta dijamin ketahanannya.
“Perusahaan bidai ini ibarat pembuatan songket tenunan tangan dan tenunan mesin.
“Kebanyakan pembeli akan pilih yang murah, tetapi bagi mereka yang tahu menghargai seni kerja tangan, akan menempah bidai tradisional yang lebih memberi kepuasan dan mengikut citarasa berikutan kualiti, warna dan ukuran boleh dipilih dan ditentukan sendiri.
“Kalau dulu tidak cukup tangan, namun alhamdulillah walaupun kini permintaan agak perlahan tetapi tetap ada pembeli yang datang ke kedai untuk tempah bidai dengan saya,” ujarnya.
Katanya, bidai yang dihasilkan berharga RM10 untuk sekaki persegi sekali dengan pemasangan.
“Bidai tradisional ini sesuai digunakan sebagai pelindung tidak kira ketika hujan mahupun panas.
“Sekiranya ada yang menempah kita akan mengambil ukuran dan memasangnya di rumah pelanggan,” ujarnya.
04 Jun 24
225
'Hiking Santai' Meriahkan Hiking Park Bukit Mentok
KEMAMAN, 4 Jun – Seramai 150 orang pendaki telah menyertai program "Hiking Santai" di Hiking Park Bukit Mentok dalam usaha mempromosikan eko-pelancongan di kawasan tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris, berkata program 'Hiking Santai' tersebut bukan sahaja menggalakkan gaya hidup sihat dan cinta alam, tetapi juga mengeratkan hubungan silaturrahim dalam kalangan komuniti setempat.
"Kejayaan program ini membuka peluang untuk lebih banyak aktiviti serupa di masa akan datang, demi manfaat bersama dan menekankan kepentingan memelihara alam sekitar dan potensi besar Bukit Mentok sebagai destinasi pelancongan hijau," ujarnya ketika merasmikan Teratak Lebai Saras, di sini hari ini.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Mohd Hafiz Adam,
Program ini dianjurkan dengan kerjasama erat antara Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Bukit Mentok dan Geng Bukit Mentok Hiking Park.
Program dimulakan seawal jam 8:30 pagi dengan para peserta berkumpul di dataran Hiking Park Bukit Mentok. Sesi memanaskan badan yang penuh semangat berlangsung pada jam 8:40 pagi sebelum pendakian sejauh 2.73 kilometer bermula pada jam 9 pagi. Pendakian berakhir pada jam 10:50 pagi dengan para peserta menikmati pemandangan indah sepanjang perjalanan.
Setelah penat mendaki, peserta disajikan dengan aktiviti santai berkemah pada jam 11 pagi. Menu istimewa kambing bakar dan udang galah bakar menambah kemeriahan suasana, menjadikan program ini lebih istimewa dan berkesan di hati semua yang hadir.
04 Jun 24
501
Pemergian Pemilik Sabasun Satu Kehilangan Besar
KUALA TERENGGANU, 4 Jun – Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, melahirkan rasa sedih atas pemergian pemilik Pasar Raya Sabasun, Allahyarham Che Salmi Che Ibrahim yang telah meninggal dunia pagi tadi.
“Antara kebaikan terbesar beliau sebelum dijemput Ilahi ialah memutuskan untuk tidak menjual sebarang produk boikot di Pasaraya Sabasun.
"Semoga Allahyarham Che Salmi ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman,” katanya dalam hantaran di laman facebook rasmi miliknya pada hari ini.
Ahmad Samsuri turut mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham atas ujian yang dihadapi.
Untuk makluman, Allahyarham merupakan seorang yang sangat disayangi dan dihormati oleh masyarakat setempat. Pemergian beliau adalah satu kehilangan besar buat seluruh warga Terengganu.
“Marilah kita sama-sama berdoa agar roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman dan dikurniakan keampunan serta rahmat dari Allah SWT.
“Kepada keluarga Allahyarham, semoga diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi saat-saat sukar ini,” ujarnya.
Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Bukit Kecil dalam kenyataan memaklumkan bahawa Allahyarham Che Salmi Che Ibrahim telah meninggal dunia pada jam 4.45 pagi di Kuala Lumpur.
“Masa solat jenazah akan diadakan selepas solat Asar di Masjid Khalifah Jalan Pusara. Jenazah akan dikebumikan di Perkuburan Bukit Kecil,” jelasnya.
04 Jun 24
592
PB Hotel Sasar Peroleh Pendapatan RM24 Juta Tahun Ini
KUALA TERENGGANU, 4 Jun – Paya Bunga (PB) Hotel, anak syarikat Kumpulan Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri (PMINT) menyasarkan perolehan pendapatan sebanyak RM24 juta tahun ini.
Pengurus Besarnya, Abdul Hadi Alias berkata, sasaran tersebut berdasarkan peningkatan hampir RM4 juta berbanding perolehan yang direkodkan sepanjang tahun lalu iaitu RM19.8 juta.
Katanya, beliau yakin sasaran itu dapat dicapai menerusi pelbagai pakej perkhidmatan yang ditawarkan selain memfokuskan kepada pakej jualan bilik penginapan, sewaan ballroom dan dewan seminar,termasuk memperhebatkan lagi promosi pakej restoran mereka.
"PB Hotel juga meneroka cabang perniagaan baharu iaitu perkhidmatan katering untuk penyediaan makanan di Institut Teknologi Petroleum Petronas (Instep) dan beberapa acara jamuan besar melibatkan Istana Syarqiyyah.
"Perniagaan baharu ini akan turut menyumbang sekurang-kurangnya satu pertiga daripada peningkatan perolehan dan keuntungan PB Hotel pada akhir Disember tahun ini," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Dalam masa sama, Abdul Hadi berkata, PB Hotel kini dalam perancangan untuk mengadakan pakej perkahwinan di atas bumbung bangunan (rooftop) dan muncul hotel yang pertama memperkenalkannya di Terengganu.
"Konsep sebegini sudah banyak dibuat di sekitar Lembah Klang dan kita sedang berbincang untuk merealisasikannya dalam tempoh satu atau dua tahun lagi," katanya.
PB Hotel pernah mencipta nama di peringkat antarabangsa apabila dipilih oleh International Travel Award sebagai pemenang bagi kategori 'Best City Hotel' yang telah diadakan di Waldorf Astoria Palm, Jumeirah, Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 17 Jun 2023.
“Ini termasuk memenangi anugerah antarabangsa daripada Universal Crescent Standard Centre (UCSC) sebagai Pengiktirafan Standard Kualiti Islam Bagi Kategori Hotel untuk tahun 2021 hingga 2023.
"Kita juga berjaya mengekalkan 'rating' melebihi 8 daripada maksima 10 oleh Hotels.com iaitu 8.2 dan Agoda iaitu 8.7 pada tahun ini," katanya.
04 Jun 24
270